SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Aug 30, 2009

10 cara raih keuntungan Ramadhan


Kepada perindu syurga yang dipenuhi nikmat yang kekal abadi, seharusnya ada penyesalan jika terlepas peluang untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan di bulan yang penuh dengan keberkatan dan hari-hari yang penuh kerahmatan ini, Ramadhan adalah bulan terbaik,hari terbaik,jam terbaik,minit dan saat terbaik yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w. setiap detik di bulan Ramadhan menanti hati orang beriman untuk menghirup titisan-titisan kebaikan dan mengumpul pahala sebanyak mungkin sebagai bekal di akhirat nanti. Jangan biarkan ia berlalu, jangan biarkan Ramadhan meninggalkanmu begitu sahaja,adakah mungkin Ramadhan akan hadir lagi dalam hidup kita?

Di sini diperturunkan 10 cara yang terbaik untuk kita mengaut sebanyak mungkin keuntungan yang tidak mungkin dapat diperolehi di bulan selain Ramadhan.

1- Solat

Solat di bulan Ramadhan mempunyai nilai dan pahala yang berbeza, solat sunat diberi pahala Fardu dan solat fardu diberi pahala 70 kali ganda.

Solat sunat

Sabda nabi s.a.w;
"من صابر على اثنتي عشرة ركعة في اليوم والليلة دخل الجنة".

Maksudnya;
“sesiapa yang sanggup mendirikan 12 rakaat sunat sehari semalam pasti masuk syurga”.

Sabda nabi s.a.w;
: "من صلى لله في اليوم والليلة اثنتي عشرة ركعة من غير الفريضة بني له بيت في الجنة".

Maksudnya;
“sesiapa yang solat sehari semalam 12 rakaat yang bukan fardu, dibina baginya satu rumah dalam syurga”.

Solat sunat 12 rakaat ialah 2 rakaat sebelum subuh, 4 rakaat sebelum zohor, 2 rakaat selepas zohor, 2 rakaat selepas maghrib dan 2 rakaat selepas isya’.

Solat tarawih termasuk dalam solat sunat yang perlu diberi perhatian untuk meraih ganjaran terbaik di bulan Ramadhan.

Solat fardu

Solat berjamaah di masjid diganda 27 kali ganda pahala, bayangkan kalau anda solat berjamaah di masjid pada bulan Ramadhan, berapa banyak pahala yang kita dapat..

5 waktu solat tambah 70 pahala Ramadhan tambah 27 pahala solat jamaah tambah 30 hari Ramadhan.

5 x 70 x 27 x 30 = 283,500 hampir suku juta pahala solat fardu berjamaah di masjid di bulan Ramadhan.

2- Puasa

Puasa terbahagi kepada 3 bahagian

i) Puasa orang awam
Iaitu menahan diri daripada makan,minum dan seksual sahaja.

ii) Puasa orang khusus
Bukan sekadar berpuasa orang awam bahkan berpuasa segala anggota,mata,telinga,lidah,tangan,kaki dan hati daripada melakukan maksiat.

iii) Puasa orang khusus khusus
Ditambah rasa cinta kepada Allah s.w.t, tidak meminta kecuali Allah,benci kepada maksiat dan tidak terfikir ingin melakukannya dan hati tidak sibuk dengan perkara sia-sia kecuali zikir dan ketaatan.

Jenis puasa manakah yang kita lakukan sekarang?

Puasa sebenar

Berpuasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum sahaja, tetapi mengambil pengajaran daripada roh puasa iaitu sesiapa yang boleh menahan diri daripada melakukan perkara halal dalam bulan Ramadhan maka wajib baginya menahan diri daripada melakukan perkara haram samaada dalam bulan Ramadhan atau di luar Ramadhan. Puasa sebenar ialah kita dapat melatih diri dan akhlak menjadi yang terbaik dan diteruskan selepas Ramadhan, bukan menjadi baik dalam bulan Ramadhan sahaja.

Keuntungan berpuasa

-Sehari berpuasa menjauhkan kita dari api neraka selama 70 tahun dan Allah boleh menambah kepada sesiapa yang dikehendakinya.

-Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah s.w.t

-Orang berpuasa akan masuk syurga melalui pintu khas yang bernama Rayyan.

-al-Quran dan puasa akan memberi syafaat di hari Qiamat dan tidak akan meninggalkan seorang hamba sehingga dia masuk ke syurga.

3- Qiyamullail

Qiyamullail ialah sebaik-baik nikmat selepas nikmat Islam, ia merupakan nikmat khulwah (berseorangan) dengan Allah s.w.t, tidak ada yang lebih baik daripada meninggalkan tidur dan bermunajat dengan Allah s.w.t. Qiyamullail merupakan sekolah yang besar untuk melatih jiwa, hanya orang-orang yang ikhlas sahaja yang boleh melazimi qiyamullail, oleh itu berusahalah bersungguh-sungguh supaya kita boleh mengislahkan diri dan dapat bersama-sama menjadi orang yang melazimi qiyamulail.

Keuntungan qiyamullail

-mendapat kemuliaan
Sabda nabi s.a.w; "قيام الليل شرف المؤمن". Maksudnya; qiyamullail adalah kemuliaan bagi mukmin”.

-mendapat 5 kebaikan
i-menjadi orang soleh

ii-hampir kepada Allah s.w.t

iii-mencegah melakukan dosa

iv-menghapus dosa

v-menghilangkan penyakit dari badan

-doa yang mustajab dan diterima taubat, khususnya dilakukan 1/3 akhir malam.


4- Zikrullah

Zikirullah adalah nyawa bagi hati, kelazatan bagi roh dan kenikmatan bagi jiwa.

Kata ulama; sesungguhnya di dunia ada syurga, sesiapa yang tidak memasukinya maka tidak akan masuk syurga di akhirat, syurga dunia ialah zikrullah.

Zikrullah pada setiap tempat dan masa.

Firman Allah ns.w.t : ali-Imran :191
"الذين يذكرون الله قيامًا وقعودًا وعلى جنوبهم"

Maksudnya;
“(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring”.

Peliharalah zikir anda pada 3 keadaan

i- zikir pagi dan petang- sekurang-kurangnya ma’thurat hanya lebih kurang 10 minit.

ii- Zikir dalam keadaan tertentu – bangun tidur, masuk tandas,keluar rumah,masuk rumah dan lain-lain.

iii- Zikir hati – atau yang disebut sebagi tafakkur – berfikir melihat kebesaran kejadian makhluk Allah s.w.t.


Kata Imam an-Nawawi; Tidak akan menjaga zikir pagi dan petang, kecuali orang yang bertaqwa.

Kata ulama; zikir bagi orang mukmin seperti air bagi ikan.


Keuntungan zikrullah

-menghapuskan dosa dan memberatkan timbangan amal

- sebagai benteng diri anugerah Allah s.w.t

-ketenangan hati dan jiwa "أَلا بِذِكْرِ اللهِ تَطْمَئِنُّ الْقَلُوب". Maksudnya; ingatlah dengan zikrullah dapat menenangkan hati.

5- Sedekah

Sesiapa yang ingin hampir kepada Allah dengan ibadahnya, yang inginkan darjat yang tinggi, yang ingin duduk bersama nabi di dalam syurga, yang ingin sihat tubuh badan, yang inginkan kebaikan untuk anak isteri selepas kematiannya, maka bersedekahlah, jangan sekali-kali merasakan sedekah anda akan mengurangkan harta anda.

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah ;245
- "مَن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً وَاللهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ".

Maksudnya;
“siapakah orangnya Yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman Yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya Dengan berganda-ganda banyaknya? dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Sabda nabi s.a.w;
- "داووا مرضاكم بالصدقة"

Maksudnya; Ubatlah orang sakit di kalangan kamu dengan bersedekah.

Sabda nabi s.a.w;
- "أنا وكافل اليتيم في الجنة هكذا"، وأشار بالسبابة والوسطى وفرق بينهما.

Maksudnya; Aku dan penjamin anak yatim seperti ini, sambil nabi menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya(menunjukkan hampirnya orang yang bersedekah membantu anak yatim dengan nabi s.a.w di dalam syurga)

Doa Malaikat; اللهم أعطِ منفقًا خلفًا.. اللهم أعطِ ممسكًا تلفًا.

Maksudnya; Ya Allah ! berikan kepada orang yang bersedekah gantian hartanya,
Ya Allah ! berikan kepada orang bakhil kerosakan hartanya.

Keuntungan sedekah

-khazanah kebajikan yang banyak di sisi Allah s.w.t

-duduk hampir dengan nabi di dalam syurga

-rezeki bertambah di dunia

-segala hajat terlaksana


6- Tilawah al-Quran

Merupakan ibadah terbaik dalam bulan Ramadhan, berusahalah untuk khatam al-Quran lebih dari sekali.

Cara mudah khatam al-Quran

-membaca dua helaian al-Quran bersamaan empat muka surat pada setiap kali solat fardu, sehari semalam anda akan dapat habiskan satu juzuk, sebulan Ramadhan anda akan dapat sekali khatam al-Quran, untuk dua kali khatam gandakan sahaja kepada empat helaian al-Quran, begitulah seterusnya.

Untuk menjadi yang terbaik, maka bukan sahaja kita mengkhatamkan al-Quran sekali atau dua kali tetapi menghayati tafsirnya dan beramal dengan hukum hakam al-quran.Tidak bermakna jika kita boleh khatam 10 kali pun dalam bulan Ramadhan tetapi tidak beramal dengannya.

Keuntungan tilawah al-Quran

-setiap huruf yang dibaca diberi ganjaran 10 pahala dan Allah akan menambahkan lagi bagi sesiapa yang dikehendaki.(huruf dalam al-Quran hampir 300 ribu x 10 = 3 juta pahala sekali khatam)

-darjat kedudukan dalam syurga berdasarkan berapa banyak tilawah di dunia.

-doa yang makbul sewaktu khatam al-Quran.


7- Taubat

Merupakan penyesalan atas maksiat yang telah dilakukan, menjauhkan diri dari mengulanginya dan berazam tidak akan kembali melakukannya.

Setiap muslim perlu bertaubat setiap hari dari dosa yang dilakukan, kerana sebaik-baik manusia iaitu nabi s.a.w beristihgfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t lebih 70 kali sehari. Adakah kita lebih baik daripada nabi s.a.w, maka kita tidak perlu beristighfar lebih banyak daripadanya.

Firman Allah s.w.t :at-Tahrim :8
"Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Keadaan orang yang bertaubat

Hancur luluh hatinya mengenangkan dosa yang dilakukan, bercucuran air matanya, hidup jiwanya, bimbang dosa tak diampun, merasa manis dengan melakukan ketaatan dan keimanan.

Keuntungan Taubat

-murah rezeki

-taubat faktor mandapat zuriat


8- Iktikaf

Iktikaf sunnah yang dilazimi oleh nabi s.a.w pada 10 akhir Ramadhan, pada tahun terakhir kehidupan nabi , beliau beriktikaf 20 hari.

Apa itu iktikaf?

Iaitu tinggal diam dalam masjid untuk beribadah dan meninggalkan kesibukan dunia, tidak keluar dari masjid kecuali darurat.

Tujuan Iktikaf

-mengfokuskan ibadah dan meninggalkan kesibukan dunia sambil bermunajat kepada Allah s.w.t.

-mencari Lailatul qadar dan menghidupkan malamnya untuk mendapatkan kelebihannya.

-mengurangkan percakapan dengan memelihara lidah sambil menyibukkan diri dengan zikrullah.

-bermunajat dengan Allah s.w.t dan bermanja dengannya serta bertadarus al-Quran.

Pelik

Kata imam az-Zuhri;
“Pelik bagi orang islam, mereka meninggalkan Iktikaf sedangkan nabi tidak pernah meninggalkannya sejak berhijrah ke madinah sehinggalah beliau wafat”.

Keuntungan Iktikaf

-timbunan pahala sejak masuk ke masjid hinggalah keluar daripanya.

-mengetahui bagaimana cara berhubung dengan Allah s.w.t dan bermanja dengannya.


9- Lailatul Qadar

Malam terbaik dalam setahun, malam yang dinanti oleh orang yang beriman setiap tahun untuk maraih keuntungan besar padanya.

Kelebihannya

Tidak ada kelebihan sepertinya, beribadah padanya mendapat pahala seribu bulan atau 83 tahun beribadah.

Bila waktunya?

Carilah ia di sepuluh terakhir Ramadhan, lebih lebih lagi pada malam-malam yang ganjil.

Cara mendapatkannya

Tidur secukupnya sebelum berbuka, berbuka dengan makanan yang sedikit sahaja, kemas kini jadual supaya dapat berqiyamullail, penuhkan separuh akhir malam dengan zikrullah, istighfar dan Tilawah al-quran.

Peringatan

Awasi tidur anda supaya tidak terlepas beribadah, jauhi percakapan dan perbuatan yang tidak berfaedah.

Doa yang diajar oleh nabi untuk dibaca pada malam lailatul Qadar
"اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني"

Maksudnya;
Ya Allah! Sesungguhnya engkau maha pengampun, suka kepada keampunan maka ampunkan dosaku Ya Allah!.

Kelebihan agung

Sabda nabi s.a.w

قال صلى الله عليه وسلم: "من قام ليلة القدر إيمانًا واحتسابًا غفر له ما تقدم من ذنبه"

Maksudnya;
“sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan perkiraan dosa dan pahala, diampun dosanya yang telah lalu”.

Keuntungan dapat Lailatul Qadar


-diampun segala dosa yang lalu

-boleh mendapatkan apa yang dihajati seperti rezeki dan isteri yang solehah.

10- Buat baik kepada dua ibubapa

Semua manusia dan muslim perlu mengetahui bagaimana cara melakukan kebaikan kepada kedua ibubapa, bagaimana cara mencium tangan mereka, bagaimana cara berkhidmat kepada mereka, sesungguhnya ramai dari kalangan kita telah mengabaikan hak-hak kedua ibubapa.

Peringatan

Rugi dan rugi dan rugi dan rugi, orang yang mempunyai dua ibubapa tetapi oleh kerana tidak menjaga hak kedua ibubapanya maka dia tak dapat masuk syurga.

Jauhi dari mengeluarkan kata-kata yang menyakiti mereka, kerana Allah s.w.t telah menegahnya di dalam al-quran.

Firman Allah s.w.t :al-Isra’ :23
“dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun)”.

Keuntungan berbuat baik kepada ibubapa

-syurga di bawah telapak kaki ibu

-mendapat reda allah s.w.t, kerana reda Allah terletak pada reda kedua ibubapa.

Inilah sepuluh amalan terbaik yang perlu diberi perhatian oleh orang yang beriman, supaya Ramadhan pada tahun ini dapat menambahkan bonus pahala kita sebelum kita bertemu dengan Allah s.w.t, ingat apabila kita bertemu dengan Allah s.w.t, kita tidak membawa bersama kita wang dan harta, kalau dibawa pun tidak boleh membantu apa-apa, Cuma yang dapat membantu kita ialah amalan-amalan kebajikan yang dilakukan di dunia. Sama-sama kita memperbanyakkan harta akhirat.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Aug 18, 2009

10 cara sambut Ramadhan

Bermacam-macam gelagat manusia apabila datangnya Ramadhan. Ada di antara mereka yang menyambut bulan Ramadhan dengan rasa yang berat,maklumlah terpaksa meninggalkan makan dan minum lebih-lebih lagi rokok,ada juga yang sambut Ramadhan dengan tidur sahaja,ada yang tak tahu apa yang perlu dibuat untuk menghabiskan 13 jam berpuasa,ada yang tidak ada langsung amalan-amalan soleh untuk mendapat kelebihan beribadah di bulan Ramadhan,ada yang menghabiskan masa berjam-jam di depan kaca TV dengan pelbagai program halwa mata dan telinga,ada yang menghabiskan malam yang panjang dengan berbual-bual kosong,ada yang menyambut Ramadhan dengan membazirkan makanan dan minuman seolah-olah Ramadhan adalah bulan makan bukan bulan puasa dan macam-macam lagi.


Tetapi bagi orang yang dipilih oleh Allah s.w.t dan dikurniakan kepada mereka kebaikan yang banyak,yang boleh membezakan antara benar dan salah,hak dan batil, mereka menyambut Ramadhan dengan penuh kegembiraan kerana mereka melihat peluang keemasan yang disediakan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hambanya di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.

Bulan Ramadhan adalah bulan pengampunan dosa,bulan rahmat,bulan pelepasan dari api neraka.

Sabda nabi s.a.w:
«أتاكم رمضان، شهر مبارك، فرض الله عليكم صيامه، تفتح فيه أبواب الجنّة، وتغلق فيه أبواب الجحيم، وتغل فيه مردة الشياطين، لله فيه ليلة خير من ألف شهر، من حرم خيرها فقد حرم» [رواه النسائي وصححه الألباني].

Maksudnya;
“telah datang kepada kamu Ramadhan,bulan keberkatan,Allah telah fardukan kamu berpuasa,dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka,dibelenggu syaitan-syaitan,demi Allah, padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan,sesiapa yang tidak mencari kebaikannya sesungguhnya diharamkan baginya kebaikan’. (riwayat an-Nasa’ie disohihkan oleh al-Albani)

Dari keterangan hadis nabi s.a.w mereka mengetahui kelebihan,kemenangan dan keuntungan bulan Ramadhan,maka mereka ingin merebut peluang keemasan tersebut supaya mereka tidak menyesal di Hari Akhirat nanti kerana melepaskan dan mensia-siakan Ramadhan.

Firman Allah s.w.t :al-Fajr:24
{يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِي}

Maksudnya
“ ia akan berkata: "Alangkah baiknya kalau Aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!"

Firman Allah s.w.t :al-mukminun:99-100
رَبِّ ارْجِعُونِ لَعَلِّي اَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْت

Maksudnya:
99. kesudahan golongan Yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -

100. "Supaya Aku mengerjakan amal-amal Yang soleh Dalam perkara-perkara Yang telah Aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata Yang ia sahaja Yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Oleh itu sebagai muslim yang tahu dengan kehebatan yang dibawa oleh Ramadhan, maka perlu menyambut Ramadhan dengan perkara-perkara berikut;


1- Bertaubat Nasuha
Bertaubat daripada dosa adalah wajib setiap waktu dan ketika,tapi dalam bulan Ramadhan ia adalah lebih wajib,sesiapa yang tidak bertaubat pada bulan Ramadhan bila lagi nak bertaubat?

Firman Allah s.w.t ; an-Nur ;31
“dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya”.

Wahai orang yang melambatkan taubat ! adakah taubat untuk kamu ada tarikh luput?maka kamu melambatkan taubat sehingga tarikh tersebut, tidak…kita tak tahu bila kita akan mati…segerakan taubat anda, jangan sekali-kali mengatakan; “insyaallah masuk bulan ramadhan nanti aku taubatlah..”adakah kita akan hidup di bulan Ramadhan ini? Belum pasti…oleh itu taubat sebelum kita melangkah masuk Ramadhan, pastikan kita melangkah masuk dengan hati yang bersih daripada dosa.


2- Melakukan segala amalan ikhlas kerana Allah
Jika hendak beramal pastikan ikhlas, jika tidak, apa yang dilakukan akan menjadi sia-sia.

Firman Allah s.w.t:al-Kahfi:110

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaKu Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang satu; oleh itu, sesiapa Yang percaya dan berharap akan pertemuan Dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal Yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun Dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

Firman Allah s.w.t:al-Bayyinah:5

“pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan Yang demikian itulah ugama Yang benar”.

3- Berdoa supaya Allah s.w.t memanjangkan umur sehingga boleh hidup di bulan Ramadhan tahun ini dengan sihat walafiat sehingga boleh melakukan amalan puasa,taraweh, tilawah al-Quran, zikir dan amalan-amalan yang lain dengan baik dan sempurna

Anas bin Malik menceritakan bahawa nabi s.a.w apabila masuk bulan Rejab baginda berdoa;

(اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان) riwayat Ahmad dan tobrani.

Maksudnya;
‘Ya Allah ! berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami kepada bulan Ramadhan’.

Apabila sudah berada dalam bulan Ramadhan, maka berdoalah;
(الله أكبر، اللهم أهله علينا بالأمن والإيمان، والسلامة والإسلام، والتوفيق لما تحب وترضى ربي وربك الله)

Maksudnya;
‘Allah maha besar, ya Tuhanku!,jadikan Ramadhan bulan keamanan,iman,keselamatan,penyerahan diri kepada Allah dan taufiq bagi apa yang engkau suka dan reda,tuhanku dan tuhanmu ialah Allah s.w.t. (riwayat at-Tirmizi dan ad-Darimi)

4- Memuji dan bersyukur kepada Allah bila dapat hidup di bulan Ramadhan.

Imam an-Nawawi menyebut di dalam kitab al-azkar; “ketahuilah bahawa digalakkan kepada sesiapa yang memperolehi nikmat dan selamat dari bencana untuk sujud syukur kepada Allah s.w.t, sebesar-besar nikmat ialah Allah memudahkan kita untuk melakukan ketaatan kepadanya, maka apabila tiba bulan Ramadhan dan kita diberi nikmat kesihatan untuk melakukan amal soleh, ini merupakan nikmat yang besar yang sewajarnya disyukuri”.

5- Bergembira dengan kehadiran Ramadhan, ini adalah sunnah kerana nabi s.a.w apabila tiba bulan Ramadhan maka baginda menyampaikan kepada sahabat berita gembira tersebut seperti sabda nabi s.a.w;

: (جاءكم شهر رمضان، شهر رمضان شهر مبارك كتب الله عليكم صيامه فيه تفتح أبواب الجنان وتغلق فيه أبواب الجحيم...)

Maksudnya;
“ telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan Ramadhan bulan berkat,Allah memfardukan kamu berpuasa padanya,dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka…”. (riwayat Ahmad)

Sesungguhnya para ulama salafus soleh dari kalangan sahabat dan tabi’in amat prihatin dengan bulan Ramadhan dan sangat bergembira dengan kehadirannya, apakah ada kegembiraan lain yang lebih hebat daripada ketibaan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan dari Allah s.w.t.

6- Keazaman dan perancangan untuk meraih sebanyak mungkin pahala dan keberkatan di bulan Ramadhan. Sangat menyedihkan ramai dari kalangan orang Islam mempunyai perancangan yang rapi untuk urusan dunia tapi terlalu sedikit yang merancang untuk akhirat, semua ini hasil daripada kejahilan mereka dengan agama dan sifat lalai dengan pesona dunia. Seorang muslim perlu merancang kehidupan bulan Ramadhan dengan teliti samaada waktu siang atau waktu malam.

7- Mengetahui dengan mendalam hukum hakam berkaitan puasa, kerana seorang muslim perlu melakukan ibadah dalam keadaan ada ilmu mengenai ibadah tersebut, oleh itu seorang muslim perlu dan wajib tahu masalah-masalah puasa dan hukum hakamnya sebelum ketibaan Ramadhan supaya puasanya diterima oleh Allah s.w.t.

8- Persediaan jiwa dan roh melalui pembacaan dan kajian kitab-kitab,buku-buku, majalah-majalah, kaset-kaset dan vcd agama yang berkaitan dengan puasa dan kelebihannya untuk memotivasikan diri untuk melakukan yang terbaik di bulan Ramadhan.

9- Mengingati fakir dan miskin dan memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat.

10- Menyambut Ramadhan dengan membuka lembaran baru besama;

-Allah s.w.t dengan bertaubat nasuha kepadanya

-Nabi s.a.w dengan mengikut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang

-Ibubapa,isteri,anak-anak dan kaum kerabat terdekat dengan menghubungkan silatur rahim.
-Masyarakat setempat dengan menjadi seorang manusia yang sangat berguna kepada manusia lain . Sabda nabi; “ sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak manfaat kepada manusia”.

Mudah-mudahan kita diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk bertemu dengan Ramadhan al-Mubarak pada tahun ini dan diberi taufiq dan hidayah juga kekuatan untuk menghidupkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang sudah pasti pahalanya digandakan oleh Allah s.w.t.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Bin Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Aug 13, 2009

Pergi Tak Kembali

kemaskini 4.35pm Pemimpin Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi kerana sakit jantung.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital swasta itu.

Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambahnya.

Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut - yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

"Pada kira-kira jam 10.30 beliau jatuh pengsan. Tapi ambulans tiba agak lewat, kira-kira 20 minit selepas itu. Apabila sampai ke hospital beliau sudah disahkan meninggal dunia," kata Mohd Asri.

Seorang lagi anggota Rabbani, Mohamad Afandi Shahbudin, berkata jenazah beliau akan dikebumikan di Bukit Lancong dekat Shah Alam petang ini.

Seorang saudara angkat allahyarham Shariman Wahab, berkata beliau antara individu terakhir yang dihubungi oleh allahyarham, yang mengadu berasa letih dan sedih dalam perbualan telefon mereka pagi ini.

Menurutnya lagi, allahyarham pernah tinggal bersama keluarganya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya selama kira-kira 15 tahun sebelum ini.

Adik ipar allahyarham Adha Buyong dilaporkan berkata Asri menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi, diikuti ahli keluarga lain termasuk balu allahyarham Haliza Shahzan, 38.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya bersama pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta rakan-rakan artis termasuk Amy Search, Yassin dan Nash.

Penyanyi lagu 'Pergi tak kembali' itu lahir pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor dan menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau, yang mempunyai enam anak, sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni.

Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nadamurni.

Allahyarham dalam coretan terakhir di blognya (asrirabbani.blogspot.com) mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.

Pencapaian kumpulan itu, yang bernadikan Asri, termasuklah beberapa anugerah

Pencapaian kumpulan itu, yang bernadikan Asri, termasuklah beberapa anugerah utama industri muzik - album nasyid terbaik selama tiga tahun dan album terbaik (2001).

Komen saya

Terkejut apabila saya mendapat berita kematian penasyid utama kumpulan Rabbani Ustaz Asri Bin Ibrahim yang menjadi idola saya melalui lagu-lagu nasyid dakwahnya, saya terduduk sebentar, istighfar,.....Inna lillah wainna ilaihi rajiuun, dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali, seorang lagi sahabat seperjuangan meninggalkan arena dakwah,kembali menyahut seruan ilahi....memadailah kematian itu menjadi satu pengajaran...pengajaran bagi semua insan, bahawa hidup hanya sementara dan kematian datang tiba-tiba, semoga segala penat lelahmu mendapat ganjaran besar dari Allah s.w.t, bagi yang hidup teruskan perjuangan dakwah di jalan Allah s.w.t, sesungguhnya perjuangan belum selesai, yang pergi sudah selesai tugasnya, yang hidup selesaikan tugasmu, jangan jadi manusia lalai.

Takziah kepada seluruh ahli keluarga Ustaz Asri bin Ibrahim, mudah-mudahan rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.



Pergi Tak Kembali

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada...lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang...ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Aug 7, 2009

Ahlan Wasahlan Ramadhan Karim

Kepada semua pengunjung blog peringatan bagi yang lalai, sempena ketibaan bulan ramadhan al-Mubarak yang telah disediakan oleh Allah s.w.t kepada kita semua dengan kebaikan dan keberkatan yang banyak, saya mengucapkan كل عام وأنتم بخير (setiap tahun kamu semua dalam kebaikan yang banyak) Ahlan Wasahlan Ramadhan Karim (Selamat datang Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan) InsyaAllah blog ini akan memaparkan beberapa artikel berkaitan Ramadhan dan Puasa di sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak nanti.

Dengan kedatangan Ramadhan yang mulia nanti marilah sama-sama kita mempersiapkan diri untuk meningkatkan amalan kepada Allah s.w.t, bersedialah dari awal untuk menyambut Ramadhan, jangan hanya tahu Ramadhan pada malam diistiharkan oleh mohor raja-raja sahaja,Jadilah seorang insan yang masuk ke dalam bulan Ramadhan dengan sentiasa bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t.Ramai di kalangan kita yang menyambut Ramadhan dengan menyediakan pelbagai menu lazat untuk hidangan berbuka dan bersahur, sedangkan bulan Ramadhan adalah bulan berpuasa bukan bulan berpesta makan, kita bersiap sedia untuk menjamu nafsu dengan sekenyang-kenyangnya tapi tidak bersedia untuk menjamu roh dengan amalan-amalan yang soleh. Allah s.w.t memfardukan puasa di bulan ini untuk melahirkan taqwa.

Firman Allah s.w.t: al-Baqarah :183
(يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون)

Maksudnya:
“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Bulan Ramadhan adalan musim bunga kepada orang Islam, kerana ia memperbaharui seluruh kehidupan manusia, memperbaharui akal dan ilmu, bulan Ramadhan adalah bulan mempertingkatkan ilmu, mempertingkat bacaan al-quran, melakukan qiyamullail dan sebagainya,padanya dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka maka perbanyakkan amal soleh dan kurangkan maksiat serta banyakkanlah bersedekah.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, akhirnya sampai kepada Ramadhan al-mubarak, begitulah Allah s.w.t menjadikan pertukaran hari,minggu dan bulan sebagai persiapan untuk menyambut bulan yang penuh kebaikan dan keberkatan.Bulan Ramadhan bulan berkat,bulan sabar,bulan taubat,bulan rahmat,bulan keampunan,bulan kasih sayang Allah kepada hambanya,bulan doa,bulan dijanjikan pelepasan dari api neraka.

Ramadhan bulan kemenagan, kemenangan melawan syaitan,kemenangan melawan nafsu syahwat,kemenangan mengatasi maksiat.Oleh itu kewajipan kita ialah mempersiapkan diri dengan sebaik-baik persiapan dan merancang dengan sebaik-baik perancangan,bukan persediaan untuk makan,minum dan syahwat tetapi persediaan keimanan,dakwah,ilmu dan amalan-amalan terbaik yang boleh dipersembahkan kepada Allah s.w.t.

Janganlah kita termasuk dalam kumpulan manusia yang tidak ambil peduli dengan kehebatan Ramadhan,bagi mereka Ramadhan sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain,oleh itu mereka menyambut Ramadhan dengan melakukan maksiat dan dosa dan mereka keluar dari Ramadhan seperti mereka masuk ke dalam Ramadhan dengan berterusan melakukan maksiat dan dosa,itulah orang-orang yang lalai, jangan jadi orang yang lalai, jika kita manusia berdosa maka jadikan Ramadhan pada tahun ini sebagai titik tolak untuk bertaubat nasuha kepada Allah s.w.t.

Marilah kita sama-sama menanamkan azam untuk merebut seberapa banyak peluang yang ada serta mengimarahkan setiap detik hari-hari Ramadhan dengan melakukan amal soleh,setiap detik Ramadhan jangan dibiarkan berlalu tanpa melakukan ketaatan, di waktu siang kita berpuasa,zikir dan tilawah al-Quran, di waktu malam kita solat sunat sambil mendengar bacaan imam,kita juga berazam akan meninggalkan segala dosa dan maksiat dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan tidak akan kembali melakukan dosa dan maksiat lagi,Ramadhan adalah bulan taubat kalau kita tidak bertaubat di dalamnya maka bila lagi kita akan bertaubat?

(( اللهم لك الحمد كله أنت أوجدتني ورزقتني وجعلتني مسلما،
اللهم سبحانك قد عصيتك بنعمتك، سبحانك خالفتك مع عظمتك
اللهم إن لم تغفر لي فمن يغفر لي؟ وإن لم ترحمني فمن يرحمني
اللهم لا رب لي سواك فأدعوك وأرجوك
اللهم أني عائد إليك تائبا فبرحمتك ومغفرتك ولطفك لا تردني، واقبلني يا من يقبل التوبة عن عبادة ويعفو عن السيئات
اللهم مهما عظمت ذنوبي فرحمتك أعظم، ومهما كثرت خطاياي فأنت تغفر الذنوب جميعا.
اللهم إني ظلمت نفسي ظلما كثيرا وإنه لايغفر الذنوب جميعا فاغفر لي مغفرة من عندك وارحمني إنك أنت الغفور الرحيم.
اللهم ردنا إليك ردا جميلا .... برحمتك يا أرحم الراحمين.))

Ya Allah ! bagimu segala kepujian, engkau telah menciptaku,memberi rezeki kepadaku dan menjadikanku muslim.
Ya Allah ! mahasuci engkau,sesungguhnya aku telah menderhaka ke atas nikmatmu,mahasuci engkau,aku telah menentangmu sedangkan engkau tuhan yang maha agung.
Ya Allah ! jika engkau tidak mengampunkan dosaku, maka siapa pula yang akan mengampunkannya, jika engkau tidak mengasihiku, maka siapa pula yang akan mengasihiku.
Ya Allah ! tidak ada tuhan melainkan engkau, aku berdoa dan mengharap kepadaMu
Ya Allah ! sesungguhnya aku kembali bertaubat kepadaMu dengan mengharapkan rahmatMu,keampunaMu dan kelembutanMu yang tidak akan menolak permintaanku. Terimalah taubatku wahai tuhan penerima taubat !
Ya Allah ! walau sebesar mana dosaku, rahmatMu lebih besar daripada itu. Sebanyak mana kesalahanku, engkau adalah yang maha pengampun.
Ya Allah ! sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diri sendiri dan tidak ada yang boleh mengampun kecuali engkau, maka kurniakanlah pengampunan dari sisiMu dan kasihanilah aku sesungguhnya engkau maha pengampun lagi maha pengasih.
Ya Allah ! kembalikan aku kepadaMu sebagai hamba yang terbaik, dengan rahmatMu wahai tuhan yang maha pengasih.


Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Aug 1, 2009

Peliharalah solat anda

Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog peringatan bagi yang lalai, yang masih setia untuk berkunjung dan mengambil sedikit peringatan kerana setiap manusia tidak lepas daripada sifat lalai.Kadang kala kita lalai dengan urusan dunia maka kita mendapat kerugian di dunia,tetapi kerugian di dunia hanya sedikit sahaja, lalai yang paling besar ialah lalai dengan urusan akhirat, kita lalai daripada melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t dan lalai dengan terus melakukan maksiat kepada Allah s.w.t maka kita akan mendapat kerugian yang sangat besar di akhirat nanti yang tidak boleh ditebus dengan air mata darah sekalipun.

Saya masih lagi nak menulis tentang solat, sambungan daripada artikel lepas “solatlah sebelum kamu disolatkan”.solat yang menjadi tiang agama, perkara yang paling besar dan penting dalam kehidupan seorang muslim tiba-tiba menjadi perkara paling remeh dan tidak penting dalam hidupnya, solat hanya macam keropok sahaja, sekejap ada sekejap tak ada, kadang-kadang solat kerana malu dengan bapa mertua, kadang-kadang tidak solat, kadang-kadang penuh kadang-kadang tak penuh. Inilah reality kehidupan remaja kita pada hari ini, boleh dikatakan 95% daripada mereka tidak solat penuh 5 waktu sehari semalam.

Wahai orang-orang yang meremehkan solat! Adakah kamu tahu apa itu solat?kemudian apakah kamu tahu apa itu solat? Ketahuilah bahawa solat adalah tiang agama, solat adalah salah satu daripada rukun islam yang lima,solat adalah amalan yang pertama yang akan dihisab di hari akhirat, jika solat kamu diterima maka semua amalan kamu yang lain akan diterima, tapi jika solat kamu ditolak maka semua amalan yang lain juga akan ditolak, status islam pada seorang muslim bergantung kepada status solatnya, status keuntungan seorang muslim bergantung kepada status pemeliharaan solatnya. Kata Umar al-Khattab “ Tidak ada keuntungan bagi orang yang meninggalkan solat.

Solat pemisah antara orang beriman dan orang yang kufur,sesiapa tidak pernah menunaikan solat menjadi kafir kerana meninggalkannya.

Sabda nabi s.a.w
“العهد لذي بيننا وبينهم الصلاة فمن تركها فقد كفر”

Maksudnya:
“ Perjanjian antara kita dengan mereka (orang kafir) ialah solat, sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya telah kafir”. (riwayat at-Tirmizi-hadis sohih)

Sabda nabi s.a.w
" بين الرجل وبين الشرك والكفر ترك الصلاة "

Maksudnya:
“ Perbezaan antara manusia dan perbezaan antara syirik dan kufur ialah meninggalkan solat”. (riwayat Muslim)

Mengikut pandangan ahli ilmu sejak dari zaman nabi s.a.w, orang-orang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran sehingga berlalu waktu solat adalah kafir, sehingga berlalu waktu solat ialah melewatkan solat dan solat bukan dalam waktunya.

Mengikut ahlus sunnah waljamaah orang meninggalkan solat tapi masih mengatakan solat itu wajib maka dia menjadi fasik(melakukan dosa besar).Ramai yang tertipu dengan perkataan “FASIK”, oleh itu,jawapan mereka mudah sahaja, tak solat fasik aje, belum kafir lagi…Subhanallah.

Ketahuilah bahawa apabila seorang manusia menjadi dewasa dan matang maka semua perkara yang dilaluinya menjadi dewasa dan matang, oleh itu sesiapa yang sentiasa menjaga solat sejak dari kecil (7 tahun) maka solatnya akan menjadi dewasa dan matang, sebaliknya sesiapa yang tidak menjaga solatnya sejak dari kecil maka solatnya tidak menjadi dewasa dan tidak menjadi matang bersama kedewasaan dan kematangannya. Sebab itu,ramai remaja tua hari ini tidak solat kerana solatnya masih remaja.Mengapa manusia rasa susah dan sukar untuk menunaikan solat?, sedangkan Allah s.w.t telah mempermudahkannya dengan hanya memfardukan solat 5 waktu sahaja sehari semalam bukan 50 waktu.

Wahai orang-orang yang lalai! Di bawah ini ada beberapa panduan yang boleh membantu dengan izin Allah s.w.t untuk memudahkan kita menunaikan solat dan memeliharanya insyaAllah.

1) Ingatlah azab meninggalkan solat , kerana orang yang meninggalkan solat mendedahkan dirinya kepada azab Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t: Maryam:59.
“kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan Yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (ghayya) (dalam neraka),

Mengikut Kaab al-Ahbar : azab yang disebut dalam ayat ini (ghayya) ialah satu lembah dalam neraka Jahannam, jika dialirkan kepada gunung dunia nescaya gunung akan menjadi cair kerana panasnya.

Bayangkan apabila kita bertemu dengan Munkar dan Nakir nanti di alam Barzah, bagaimana bentuk azab yang akan kita terima?cuba lihat pesalah-pesalah dunia yang disebat dengan 20 puluh kali sebatan bagaimana keadaan mereka sewaktu disebat dan selepas disebat,itu baru azab dunia, manusia yang sebat dan hanya menggunakan rotan yang kecil, bagaimana kalau Munkar dan Nakir dan bagaimana bentuk belantam yang digunakan.

2) Menjauhkan diri dari melakukan dosa dan maksiat, kerana dosa dan maksiat akan mengotorkan hati dan melemahkan badan untuk melakukan ibadah kepada Allah s.w.t lebih-lebih lagi ibadah solat.

3) Pilihlah kawan-kawan yang sentiasa menunaikan solat dan memeliharanya, kerana seorang kawan akan mempengaruhi kawannya yang lain, orang yang solat pun kalau berkawan dengan kawan-kawan yang tak solat akhirnya akan meninggalkan solat.

4) Jangan meninggalkan solat sekali-kali, apabila terlupa solat maka biasakan diri mengqada’ solat dengan segera,jangan memberi ruang kepada syaitan untuk melalaikan kita.

5) Jika sudah berumah tangga maka suami isteri perlu bantu membantu memperingatkan antara satu sama lain apabila tiba waktu solat,untuk memudahkan urusan ini, pilihlah isteri atau suami yang soleh.

6) Berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan solat,jika kita tertinggal maka hendaklah mencela diri sendiri atas kelalaian tersebut, sehingga kita menjadi biasa dengan solat di mana sahaja kita berada.

7) Sentiasalah berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah supaya menjadikan kita di kalangan orang-orang yang mendirikan solat, kerana Allah s.w.t akan menerima doa hambanya yang bersungguh-sungguh.

8) Ingatlah kelebihan menunaikan solat,sesungguhnya orang yang menunaikan solat mendapat darjat yang tinggi dalam syurga dan dipermudahkan urusan dunia mereka.


9) Sentiasa menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid dan surau untuk menambahkan ilmu agama dan melembutkan hati.

10) Memperbanyakkan koleksi buku-buku agama lebih-lebih lagi buku kepentingan solat dan balasan orang yang meninggalkan solat.

Sama-sama kita berdoa supaya Allah s.w.t menjadikan kita di kalangan orang-orang yang mendirikan solat dan memelihara waktu solat insyaAllah.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai