SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Apr 30, 2009

Selsema Khinzir

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah : 173

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Firman Allah s.w.t : al-Maaidah : 3

“diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang Yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang Yang disembelih kerana Yang lain dari Allah, dan Yang mati tercekik, dan Yang mati dipukul, dan Yang mati jatuh dari tempat Yang tinggi, dan Yang mati ditanduk, dan Yang mati dimakan binatang buas, kecuali Yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan Yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib Dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik”.

Antara perkara yang diharamkan oleh al-Quran ialah daging khinzir dan segala produk yang berkaitan dengan khinzir, hanya khinzir binatang haram yang disebut secara khusus dalam al-Quran. Sebagai umat Islam yang beriman dengan Allah dan kitab al-Quran kita mesti memahami dan menyedari bahawa setiap apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t ada rahsia dan hikmahnya.

Seperti yang diketahui umum , wabak Selsema khinzir sedang melanda
Mexico dan Amerika Utara beberapa hari lepas. 81 orang maut di Mexico ,
menjangkiti 12 orang di Amerika Syarikat dan buat pertama kalinya pihak
berkuasa di New Zealand mengesahkan 10 pelajar negara berkenaan yang baru
pulang dari Mexico menghidap selesema khinzir dan terpaksa dikuarantin sebagai
langkah berjaga-jaga.

Penyakit dan jangkitan daripada Khinzir

Daniel S. Shapiro, M.D Pengarah Clinical Microbiologi Laboratories, boston Midical Center, merumuskan terdapat lebih daripada 25 penyakit yang boleh dijangkiti daripada khinzir antaranya adalah Influenza.

Jangkitan kuman virus Influenza pada tahun 1918 membunuh lebih kurang 20 juta manusia di seluruh dunia, ada yang menganggarkan jumlah sebenar 40 juta orang. Kajian ke atas spesimen-spesimen mangsa menunjukkan punca wabak ini adalah daripada kuman virus khinzir.

Wabak pada 1957 yang dikenali sebagai Asian flu dan wabak yang menyerang Hong Kong pada tahun 1968 kemungkinan datang daripada binatang ternakan sebelum menjangkiti khinzir. Di dalam khinzir virus ini berubah menjadi lebih bahaya sebelum menjangkiti manusia.

Khinzir mengubah virus ke tahap lebih bahaya

Di dalam Journal of Virology 1997, kajian dilakukan 12 orang pakar yang dipimpin oleh Dr Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin mendapati bahawa pada kerongkong khinzir terdapat sel-sel khusus yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang lebih berbahaya kepada manusia. Pakar-pakar Sains menganggap khinzir sebagai “mixing vessel” atau tempat pelbagai kuman dikumpulkan untuk diubah kepada bentuk yang berbahaya. Menurut kajian ini, virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia bertukar menjadi kuman yang berbahaya yang menjangkiti manusia selepas memasuki sel-sel di dalam khinzir ini.

Penemuan-penemuan ini mampu memberi jawapan kepada punca wabak penyakit demam selsema flu yang menyerang dan membunuh jutaan manusia di dunia. Tambahan daripada itu, BBC News bertarikh 29 Oktober 1999 melaporkan penemuan ahli-ahli sains yang menunjukkan virus khinzir menjadi punca wabak yang paling teruk di dalam sejarah dunia moden pada tahun 1918.virus daripada keluarga HIV juga wujud di dalam khinzir yang dibawa oleh DNAnya dan ia tidak boleh dipisahkan.

Apa yang penting yang perlu kita belajar dan sebagai peringatan bagi yang lalai ialah betapa agama Islam dan al-Quran dan perutusan nabi s.a.w adalah sangat benar dan tidak ada keraguan lagi. Al-Quran yang menjadi kitab petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa tidak ada keraguan di dalamnya.

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah : 2

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa”

Oleh itu apa sahaja yang disuruh oleh al-Quran wajiblah kita melakukannya begitu juga apa yang ditegah dan dilarang oleh al-Quran wajib pula kita menjauhinya walaupun kita tidak tahu apa hikmahnya. Percayalah hikmah disebalik suruhan dan larangan Allah s.w.t pasti akan terbongkar kebenarannya suatu hari nanti.

Di samping kita berdoa mudah-mudahan wabak ini tidak singgah di Negara kita dan dijauhkan daripada bala dan ujian Allah s.w.t.

Doa mohon keselamatan,kesihatan dan tolak bala

اللهم إنا نحن عبيدك يا الله, وأبناء عبيدك يا رحمن, نواصينا في يدك, ماض فينا حكمك, عدل فينا قضاؤك, نسألك اللهم بكل اسم هو لك, سمّيت به نفسك, أو علّمته أحدا من خلقك, أو استأثرت به في علم الغيب عندك, أن ترزقنا الصّحة والسّلامة والعافية والمعافاة الدائمة في الدين والدنيا والأخرة برحمتك يا أرحم الراحمين

Maksudnya;

Ya Allah ! sesungguhnya kami adalah hamba-hambaMu, anak-anak dari hamba-hambaMu.

Ya Rahman ! ubun-ubun kami ada di dalam genggamanMu, telah terdahulu ketetapanMu bagi kami, telah adil qadha dan qadarMu bagi kami, kami meminta dengan nama-namaMu yang telah engkau sebut untuk diriMu atau yang telah engkau ajarkan kepada salah seorang hambaMu atau nama yang engkau rahsiakan dalam ilmuMu yang ghaib, agar engkau kurniakan kepada kami kesihatan dan keselamatan, afiat dan keselamatan yang kekal dalam agama, dunia dan akhirat dengan rahmatMu Ya Allah !, wahai yang paling mengasihi daripada segala yang mengasihani.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri HJ Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Apr 12, 2009

Nyanyian atau Zikir

Dah dua minggu lebih rasanya tidak menulis artikel yang boleh memberi sedikit motivasi keagamaan di ruangan ini, oleh kerana ada beberapa program penting perlu dibereskan dan kekangan jadual kuliah yang terlalu padat sehingga tidak ada ruang untuk menulis. Namun begitu mudah mudahan para pengunjung dapat mengambil manfaat daripada artikel-artikel yang sudah ditulis sebelum ini.

Sewaktu saya dan dua orang sahabat dalam perjalanan balik dari satu program keagamaan kami singgah sekejap di sebuah kedai makan untuk mengisi sedikit perut sambil berbincang hal-hal dakwah. Kebetulan waktu itu, TV sedang menayangkan siaran langsung satu program reality TV akademi fantasia 7. seorang peserta perempuan sedang menyanyi waktu itu, tiba-tiba sahabat saya (seorang ustaz SMKA) berkata “ Masyaallah! Pelajar saya tu, baru habis SPM, dulu waktu di sekolah dia penyanyi nasyid pernah wakil sekolah tapi sekarang……….

Ini satu di antara ribuan, mungkin jutaan kisah yang berlaku, persoalan pertama saya ialah kalau pelajar-pelajar SMKA boleh terlibat dengan program ini, bagaimana pula dengan pelajar-pelajar bukan SMKA. Bukan bererti pelajar SMKA ini maksum (tak melakukan dosa), tapi inikah generasi yang kita nak lahirkan dari sekolah yang beridentiti agama?

Dalam persoalan kedua ialah tak bolehkah menyanyi? Tak bolehkah berhibur? Dan tak bolehkah menjadi penghibur?

Menyanyi tidak haram secara mutlak dan tidak juga harus secara mutlak. Namun di situ ada beberapa ikatan yang harus kita perhatikan sehubungan dengan masalah nyanyian ini, iaitu:

1. Nyanyian itu harus diperuntukkan buat sesuatu yang tidak bertentangan dengan etika dan ajaran Islam. Oleh karena itu kalau nyanyian-nyanyian tersebut penuh dengan pujian-pujian terhadap arak dan menganjurkan orang supaya minum arak, misalnya, maka menyanyikan lagu tersebut hukumnya haram, dan si pendengarnya pun haram juga. Begitulah nyanyian-nyanyian lain yang dapat dipersamakan dengan itu.

2. Mungkin subjek nyanyian itu sendiri tidak menghilangkan pengarahan Islam, tetapi cara menyanyikan yang dilakukan oleh si penyanyi itu beralih dari lingkungan halal kepada Ingkungan haram, misalnya lenggang gaya dengan suatu kesengajaan yang dapat membangkitkan nafsu dan menimbulkan fitnah dan perbuatan cabul.

3. Sebagaimana agama akan selalu memberantas sikap berlebih-lebihan dan kesombongan dalam segala hal sampai pun dalam beribadah, maka begitu juga halnya berlebih-lebihan dalam hiburan dan menghabiskan waktu untuk berhibur, padahal waktu itu sendiri adalah bererti kehidupan!

Tidak dapat diragukan lagi, bahwa berlebih-lebihan dalam masalah yang mubah (harus)dapat menghabiskan waktu untuk melaksanakan kewajiban-kewajiban. Maka tepatlah kata ahli hikmah: "Tidak pernah saya melihat satu perbuatan yang berlebih-lebihan, melainkan di sebalik itu ada satu kewajiban yang terabai."

4. Tinggal lagi ada beberapa hal yang seharusnya setiap pendengarnya itu sendiri yang memberitahu kepada dirinya sendiri, iaitu apabila nyanyian atau satu macam nyanyian itu dapat membangkitkan nafsu dan menimbulkan fitnah serta nafsu kebinatangannya itu dapat mengalahkan segi rohaniahnya, maka dia harus menjauhi nyanyian tersebut dan dia harus menutup pintu yang dari situlah angin fitnah akan menghembus, demi melindungi hatinya, agamanya dan budi luhurnya. Sehingga dengan demikian dia dapat tenang dan gembira.

5. Di antara yang sudah disepakati, bahwa nyanyian yang disertai dengan perbuatan-perbuatan haram lainnya seperti: di persidangan arak, dicampur dengan perbuatan cabul dan maksiat, maka di sinilah yang oleh Rasulullah s.a.w. pelakunya, dan pendengarnya diancam dengan siksaan yang sangat dasyat, iaitu sebagaimana sabda nabi s.a.w:

"Sungguh akan ada beberapa orang dari ummatku yang minum arak, mereka namakan dengan nama lain, kepala mereka itu bisa dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan nyanyian-nyanyian, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu kedalam bumi dan akan menjadikan mereka itu seperti kera dan babi." (Riwayat Ibnu Majah)

Rujuk http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/40349.html

Tambahan pula, nyanyian yang berlaku hari dengan keadaan penyanyi yang tidak menutup aurat di hadapan lelaki yang bukan mahramnya adakah ini kita nak menghukumkannya sebagai harus? Saya serahkan kepada anda untuk menjawabnya, saya bukan seorang mufti untuk mengeluarkan fatwa.

Saudara dan saudariku sekelian!

Sampai bila kita nak keluar dari sifat lalai?

Ayuh ingat Allah dan puji Allah…selagi kita diberi kesempatan umur yang ada, ini menunjukkan Allah masih kasih kepada kita, berapa ramai yang sudah mati meninggalkan kita tanpa sempat bertaubat? Dan berapa ramai pula yang mati ketika sedang menyanyi? Adakah ini dikira mati dalam imaaan? Sesungguhnya anda telah menipu diri sendiri jika mengatakan menyanyi boleh boleh memberi ketenangan dan kebahagian kepada diri anda.

Ibnu Mas,uud pernah berkata;

“Nyanyian menumbuhkan sifat munafik dalam hati, seperti hujan menumbuhkan tanaman. Manakala zikir menumbuhkan iman seperti hujan menumbuhkan tanaman”.

Sesungguhnya nyanyian melalaikan hati dan menghalang kita memahami al-Quran dan beramal dengannya kerana al-Quran dan nyanyian yang bercanggah dengan Islam tidak akan dapat bertemu dalam hati seorang manusia selama-lama.al-Quran mengarahkan kita supaya tidak mengikut hawa nafsu manakala nyanyian sebaliknya.

Berapa ramai orang yang begitu asyik menyanyi mati dalam keadaan bibirnya mengulang-ngulang lirik-lirik lagu yang dihafaz bukan kalimah “La ilaha illallah”. Dan ini merupakan puncak kehinaan kerana melakukan maksiat kepada Allah dan mengikut telunjuk Syaitan.

Cuba ambil iktibar dari kisah benar yang dicerikan oleh seorang pemandi mayat;

“ saya memandikan jenazah seorang pemuda yang nampak jelas pada wajahnya yang hitam, tanda banyak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t., apabila selesai dimandikan saya melihat cecair yang pelik keluar dari telinganya, ia bukan darah tapi seakan-akan nanah yang keluar secara berterusan, saya belum pernah melihat keadaan begini sebelum ini,saya menunggu 5 minit hingga 15 minit tapi ia tetap keluar berterusan sehingga memenuhi tempat pemandian… Subhanallah !... dari mana datang nanah ini? Oleh kerana ia tidak berhenti maka terus dikafan sahaja, nanah berterusan keluar sehingga dikebumikan ke liang lahad”.

Siapa pemuda ini? Apabila ditanya kepada warisnya, mereka menceritakan bahawa pemuda ini suka mendengar lagu-lagu yang melalaikan siang malam pagi dan petang, sehingga apabila diberikan kepadanya kaset-kaset atau CD al-Quran dan kuliah agama semuanya digunakan untuk copy lagu-lagu nyanyian.

Tidak semua jenazah orang suka menyanyi akan jadi begitu, ini antara pengajaran yang perlu diambil oleh kita semua, supaya kita boleh berubah dari melafazkan kata-kata yang tidak berfaedah kepada melagukan al-Quran dan zikir kepada Allah s.w.t.

Saudara dan saudariku sekelian!

Berazamlah untuk meninggalkan nyanyian yang melalaikan.

Tukar CD atau VCD lagu-lagu yang melalaikan kepada al-Quran dan ceramah-ceramah agama.

Sibukkan diri apabila tiba masa lapang dengan….

-memperbanyakkan membaca al-Quran

-menjauhkan diri dari pusat-pusat hiburan, dekatkan diri dengan masjid.

-ingatlah kesan negatif nyanyian, yang akan mengeraskan hati.

-memperbanyak zikir, tasbih dan istighfar

-ingat bahawa mati boleh datang ketika anda sedang menyanyi atau mendengar nyanyian.

-membaca fatwa-fatwa ulama tentang nyanyian dan hiburan supaya boleh mencari hiburan alternatif.

-membaca dan mengambil iktibar dari kisah taubat penyanyi dan pelakon dunia.

Ayuh ! sekaranglah waktunya untuk kita beristighfar dan bertaubat kepada Allah sebelum dosa kita bertambah dan datang kematian secara tiba-tiba, hari-hari yang berlalu mengurangkan umur dan menambah dosa, ingat nyanyian tidak boleh membantu sewaktu di dalam kubur, tidak juga ketika kita dihisab di mahsyar.

Sampaikan nasihat ini kepada sesiapa sahaja.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai