SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Mar 15, 2009

Mana Produk Kita?

Baru ku tahu rupanya, Teh Cap Masjid adalah bukanlah pengeluaran Bumiputera. Nampaknya kita tertipu dengan penjenamaan. Selain menggunakan jenama cap Masjid, nama teh tersebut pun menggambarkan seperti ia adalah keluaran orang Islam iaitu dengan perkataan "Guru" iaitu Teh Guru Cap Masjid

Selain dari mengelirukan dari aspek penjenamaan, syarikat tersebut juga cuba menipu dengan menggunakan pewarna.

Umat Islam lambat sangat nak keluarkan produk sendiri sehingga bangsa lain mengambil kesempatan kerana prospek benefit yang diaorang dah nampak. Rakyat beragama Islam di Malaysia adalah yang tertinggi dan semestinya mempunyai permintaan yang tinggi juga terutama bab makanan.
baca seterusnya Sini

Komen saya

Sudah banyak komen dari orang-orang yang perihatin dengan urusan umat Islam yang ditulis, komen saya ini,Cuma menambahkan koleksi yang ada untuk menunjukkan keperihatinan kita kepada urusan umat Islam dan sebagai peringatan semula bagi yang lalai.

Apabila kita membaca, melihat dan mengkaji persoalan yang berkaitan dengan makanan,minuman, pakaian dan pelbagai lagi keperluan harian yang diperlukan oleh orang Islam maka kita sentiasa mendapati keperluan-keperluan orang Islam ini majoritinya disediakan dan diusahakan oleh orang bukan Islam. Walaupun kita hidup di negara sendiri yang diperintah oleh orang-orang Islam, kita mempunyai tanah sendiri, tetapi keperluan orang-orang Islam seolah-olah tidak terbela dan kadang kala susah rasanya nak dapatkan keperluan yang diusahakan oleh orang-orang Islam.Adakah kita hanya ingin menjadi pengguna semata-mata dan tidak ada usaha yang serius untuk berubah menjadi pengusaha dan pengeluar barangan sendiri, tidak dinafikan ada juga produk yang diusahakan oleh orang-orang Islam tapi tidak mencukupi, kurang kualiti dan tidak mendapat sambutan pula di kalangan orang-orang Islam sendiri mungkin dari segi kualitinya atau sikap tak kisah dengan barangan yang nak dibeli dari segi halal dan haramnya.

Ada dua persoalan di sini yang perlu diperhatikan oleh orang-orang Islam;

i) Produk orang Islam
ii) Sambutan terhadap produk orang Islam tidak menggalakkan.

1)Produk orang Islam

Untuk mengatasi persoalan ini, orang Islam perlu diberi motivasi dan penjelasan bahawa syariat Islam terbahagi kepada dua;

Fardu ain
Fardu kifayah

Fardu ain ialah yang berkaitan dengan pengurusan diri dari segi roh, akal, fizikal dan akhlak seperti; membaca al-quran, hukum-hakam ibadah, asas-asas akhlak, halal dan haram dan sebagainya.

Fardu kifayah ialah berkaitan pengurusan sistem yang berkaitan dengan kehidupan manusia; seperti pertanian, perkilangan,perniagaan, perubatan,kejuruteraan,pertahanan dan pelbagai ilmu yang memberi manfaat.

Menyediakan produk untuk kegunaan orang-orang Islam adalah fardu kifayah ke atas umat Islam. Apabila sebahagian umat Islam telah melaksanakannya maka gugurlah kewajipan tersebut dari sebahagian yang lain. Tapi yang menjadi persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan sebahagian orang Islam itu? Inilah yang perlu diperincikan, adakah ia tiga daripada sepuluh,atau lima daripada sepuluh atau tujuh daripada sepuluh atau bagaimana? Dan adakah umat Islam hari ini sudah menunaikan tanggungjawab fardu kifayah ini ataupun belum mencapai tahap yang sebenar?

Maka orang-orang Islam perlu sedar dan jangan sekali-kali lalai dalam memenuhi tuntutan fardu kifayah ini. Kewajipan orang-orang Islam ialah menceburi bidang pertanian, perniagaan dan juga perkilangan untuk menampung keperluan umat Islam.

a)Bidang pertanian

Allah s.w.t telah menyediakan kepada manusia beberapa keperluan asas untuk manusia bertani, antaranya ialah

i)Bumi atau tanah
Firman Allah s.w.t : Nuh :19
"Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan”.

Firman Allah s.w.t : ar-Rahman :10-13
10. dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya Yang lain:
11. terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma Yang ada kelopak-kelopak mayang;
12. demikian juga terdapat biji-bijian Yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan Yang harum;
13. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?

ii)Air
Allah s.w.t menyediakan kepada manusia sungai, parit laut dan juga hujan untuk membantu pertanian.

Firman Allah s.w.t : al-An’aam :99
“dan Dia lah Yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan Dengan air hujan itu Segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman Yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) Yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah Yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, Yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan Yang tidak bersamaan. perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan kami) bagi orang-orang Yang beriman”.

Firman Allah s.w.t : Abasa :24-28
24. (Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya):
25. Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan Dengan curahan Yang menakjubkan.
26. kemudian Kami belah-belahkan bumi Dengan belahan Yang sesuai Dengan tumbuh-tumbuhan, -
27. lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian,
28. dan buah anggur serta sayur-sayuran,

iii)Angin
Allah s.w.t mengutuskan angin untuk membantu proses pendebungaan.
Firman Allah s.w.t : al-Hijr :19-22
19. dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang Yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu Yang tertentu timbangannya.
20. dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini Segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk Yang kamu bukanlah orang Yang sebenar menyediakan rezekinya.
21. dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan Dengan menurut kadar dan masa Yang tertentu.
22. dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka Dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu Yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.

Antara hadis nabi s.a.w yang menggalakkan pertanian ialah;

Sabda nabi s.a.w
“ Tidak ada balasan bagi seorang muslim yang menanam pokok atau sayuran, kemudian tanaman itu dimakan oleh burung atau dicuri oleh manusia melainkan baginya pahala sedekah”.(riwayat Muslim)

Daripada motivasi al-Quran dan al-Hadis di atas umat Islam perlu mempergiatkan usaha untuk bertani demi untuk memenuhi keperluan umat Islam yang lain. Tetapi malangnya umat Islam khususnya kita di Malaysia tidak berminat untuk bertani dengan pelbagai alasan yang diberikan,tetapi sebaliknya kita melihat orang-orang bukan Islam pula seolah-olah menyahut seruan al-Quran dan al-Hadis untuk berbudi kepada tanah sehingga tanah yang sekangkang kera yang ada di hadapan atau di belakang rumah mereka tidak disia-siakan untuk ditanam sayur-sayuran dan sebagainya berbanding kita umat Islam lebih selesa membeli dari mereka walaupun sebatang serai atau sehelai daun kunyit.

b)Perkilangan dan perniagaan

Begitu juga dalam bidang perkilangan dan perniagaan untuk memproses bahan-bahan mentah dan dipasarkan kepada orang-orang islam. Bila ada yang menanam kopi atau teh maka kita perlukan pula kepada kilang untuk memproses kopi dan teh tersebut untuk dipasarkan kepada umat Islam. Inilah yang mungkin kita kekurangan hari ini, sehingga minuman teh dan kopi diproses oleh orang bukan Islam, kita hanya menjadi pembeli yang setia, lebih parah ada di kalangan kita yang minum di kedai-kedai bukan muslim.

Umat Islam perlu digerakkan dari tidur yang lena, oleh kerana tidur yang panjang ini, menyebabkan kita susah untuk mencari produk keluaran orang-orang Islam, contoh mudah ialah susahnya nak dapatkan mee, kuey teow, tauhu, bebola ikan dan sebagainya yang diproses oleh orang-orang Islam.

2)Sambutan terhadap produk orang Islam tidak menggalakkan.

Hari ini walaupun ada juga produk yang dikeluarkan oleh orang-orang Islam, tapi persoalan seterusnya ialah sejauh mana kesedaran pengguna-pengguna yang beragama Islam untuk membeli dan menyokong produk keluaran orang-orang Islam ini. Oleh kerana tidak ada kesedaran umat Islam untuk mencari yang halal maka mereka tidak peduli dengan barangan yang dibeli. Masih ramai lagi yang tidak melihat tanda Halal pada produk yang akan dibeli, tidak kisah samada barangan tersebut dibuat oleh siapa?yang penting beli, halal haram soal nombor dua.oleh itu ramai yang membeli ayam di kedai bukan Islam walaupun tidak ada tanda halal atau tanda halal yang diragui kesahihannya, kadang kala diletakkan gambar penyembelih muslim yang sudah meninggal dunia bertahun-tahun dan ramai juga yang makan dan minum di kedai bukan Islam dan sebagainya. Sebagai umat Islam kita perlu peduli dengan makanan dan minuman yanmg kita ambil kerana ia berkait rapat dengan jiwa, akhlak dan amal ibadah.

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah : 168
“Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu”.

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah : 172
“Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya”.

Sabda nabi s.a.w;
“ Seorang manusia yang memasukkan ke dalam mulutnya satu suapan daripada benda haram tidak diterima amalannya empat puluh hari…” (riwayat muslim)

Komen ringkas ini hanya memfokuskan kepada makanan dan minuman sahaja, selain daripada itu masih banyak lagi barangan keperluan yang sepatutnya diceburi oleh orang Islam. sama-samalah kita fikir-fikirkan apakah yang perlu kita buat supaya kita boleh menggunakan produk kita sendiri, berilah sokongan kepada produk-produk orang Islam yang ada, semoga dengan sokongan yang diberikan dapat meningkatkan lagi motivasi sesama Islam untuk menghasilkan produk-produk yang lebih banyak.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Mar 8, 2009

Kelebihan Taat dan Mengikut Nabi S.A.W

Sebagai seorang muslim yang menjadi umat nabi Muhammad s.a.w, kita perlu tahu apakah kewajipan kita terhadap nabi s.a.w dan apakah kelebihan jika kita menunaikan kewajipan itu. Di antara kewajipan seorang muslim kepada nabi s.a.w ialah mengikut sunnah yang ditinggalkan oleh nabi s.a.w dan taat dan patuh kepadanya.
Apabila seorang muslim taat dan patuh dengan apa yang dibawa oleh nabi s.a.w, maka ada banyak kelebihan yang akan diperolehi hasil dari ketaatan dan kepatuhan itu.

Antaranya ialah;

1) Taat kepada nabi ertinya taat kepada Allah s.w.t

Firman Allah s.w.t :an-Nisa’ :80
“sesiapa Yang taat kepada Rasulullah, maka Sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa Yang berpaling ingkar, maka (janganlah Engkau berdukacita Wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan)”.

2) Taat kepada nabi daripada rukun iman

Firman Allah s.w.t :an-Nisa’ :65
“maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim Dalam mana-mana perselisihan Yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa Yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu Dengan sepenuhnya”.


3) Taat kepada nabi sumber hidayah

Firman Allah s.w.t : an-Nur :54
“Katakanlah lagi (kepada mereka): " Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kepada Rasul Allah. kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah Bahawa Sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa Yang ditugaskan kepadaNya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa Yang ditugaskan kepada kamu. dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk; dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah Dengan penjelasan Yang terang nyata".

4) Taat kepada nabi mengundang rahmat Allah

Firman Allah s.w.t :Ali-Imran :132
“dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat”.

5) Taat kepada nabi akan dihimpunkan bersama nabi-nabi, orang-orang Siddiqiin , orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

Firman Allah s.w.t : an-Nisa’ :69-70
"dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang Yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, Iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang Yang Syahid, serta orang-orang Yang soleh. dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang Yang taat)".

"demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha mengetahui (akan balasan pahalanya)".

6) Taat kepada nabi sumber kejayaan dan boleh masuk syurga

Firman Allah s.w.t : an-Nisa’ :13
“Segala hukum Yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke Dalam syurga Yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan Yang amat besar”.

7) Mengikut nabi tanda cinta hamba kepada Allah dan mengundang cinta Allah kepada hambaNya

Firman Allah s.w.t : Ali-Imran :31
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

8) Mengikut nabi sebab diampunkan dosa

Firman Allah s.w.t : Ali-Imran :31
“Serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

9) Mengikut nabi sumber hidayah

Firman Allah s.w.t :al-A’raaf :158
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) Yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang menghidupkan dan mematikan. oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Yang Ummi Yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk".

Terdapat banyak hadis yang menganjurkan supaya berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dan kewajipan taat dan mengikut jejak langkah nabi s.a.w sehingga jika kita tidak taat kepada nabi dan mengikutnya kita akan binasa.

Antara hadis-hadis tersebut ialah;

 . عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول صلى الله عليه وسلم قال: "كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبي، قالوا: يا رسول الله ومن يأبي؟ قال: من أطاعني دخل الجنة ومن عصاني فقد أبى" رواه البخاري.

Maksudnya;
“ Dari Abu Hurairah r.a bahawa rasulullah s.a.w bersabda; Semua umatku akan masuk syurga kecuali yang ingkar,sahabat bertanya siapakah yang ingkar itu Ya rasulallah ! jawab baginda; Siapa yang taat kepadaku masuk syurga, siapa yang menderhaka itulah orang yang ingkar. (riwayat Bukhari)

Bersempena kita menyambut Maulidur rasul s.a.w pada tahun ini marilah sama-sama kita mempertingkatkan azam untuk lebih mengenali nabi s.a.w dengan memperbanyakkan membaca buku-buku sirah nabawiyyah, untuk kita menggali segala khazanah dan pusaka yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w, di samping membaca ratusan ribu hadis yang dibukukan , semuanya terlalu mudah untuk didapati samada dari buku-buku dengan pelbagai bahasa atau melalui web-web atau blog-blog yang boleh dipercayai, terpulang kepada kita mahu atau tidak sahaja. Jangan lupa singgahlah di masjid-masjid dan surau-surau untuk bersama-sama dalam majlis ceramah dan forum bersempena maulidur rasul mudah-mudahan dapat memberi sedikit lagi info dan maklumat kepada kita mengenai rasulullah s.a.w dan sebagai menyatakan kasih dan cinta kita kepada nabi s.a.w.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Mar 7, 2009

Rasulullah Terpujinya Akhlakmu

Rabiul awwal datang lagi, tidak ada yang paling istimewa dalam kehidupan seorang muslim melainkan mengingati, menghayati dan mengikut jejak yang yang ditinggalkan oleh manusia pilihan Muhammad s.a.w. Walaupun mengingati, mengasihi dan menghayati sirah perjalanan hidup nabi s.a.w adalah dituntut pada setiap masa dan ketika, tetapi Rabiul awwal mempunyai sejarah yang tersendiri, sekurang-kurangnya apabila kita adakan sambutan dengan mengadakan ceramah-ceramah dan forum-forum mengungkap sejarah kelahiran dan dakwah yang disampaikan oleh nabi s.a.w boleh memberi sedikit peringatan bagi yang lalai yang tak pernah terdetik di hati untuk mengingati manusia agung ini, lebih-lebih lagi sunnah nabi s.a.w sudah banyak diabaikan bahkan ada di kalangan anak-anak orang Islam sudah tidak kenal siapa rasulullah lagi, maka bersempena sambutan maulidur rasul ini, jadikan sebagai titik tolak untuk memperbanyakkan membaca sirah nabi s.a.w dan sampaikan kepada generasi kita siapakah yang dikatakan rasulullah itu.

Sabda nabi s.a.w;
“ Ajarkan anak kamu tiga perkara; ajarkan mereka supaya cintakan nabi, cintakan keluarga nabi dan ajarkan mereka al-Quran”. (riwayat at-Tabrani)

Rasulullah adalah contoh tauladan terbaik dalam kehidupan seorang manusia muslim. Jika generasi kini tidak didedahkan dengan akhlak rasulullah s.a.w, maka mereka akan terdedah dengan akhlak yang buruk yang akan membawa kerosakan dalam keluarga, masyarakat dan negara dan membawa imej buruk kepada agama Islam itu sendiri.

Firman Allah s.w.t : al-Ahzab :21
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.

Antara perkara penting yang dibawa oleh rasulullah selain aqidah dan ibadah ialah penyempurnaan akhlak yang mulia. Perjalanan dakwah rasulullah s.a.w diwarnai dengan akhlak-akhlak yang terpuji yang ditunjukkan oleh baginda sehingga sebahagian besar kejayaan dakwah baginda adalah melalui akhlak yang agung.

Firman Allah s.w.t :al-Qalam :4
“Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia”.

Siapakah yang membaca dan mengkaji sirah rasulullah s.a.w kemudian tidak ada apa-apa kesan pada dirinya, tidak menangis dan tidak rindu dengan rasulullah s.a.w?siapa sahaja yang mengkaji sirah nabi s.a.w dengan hati yang ikhlas dan kerinduan yang mendalam terhadap nabi s.a.w akan menangis dan berkata “aku menjadi saksi bahawa engkau adalah rasulullah”.

Mudah-mudahan kita boleh menjadikan sirah nabi dan akhlak baginda yang agung sebagai panduan dalam semua urusan kehidupan kita, akhlak kita dan hubungan sesama manusia. Kita berurusan dengan manusia sebagaimana nabi berurusan dengan musuhnya, ketika nabi bersabda;

“Sesungguhnya aku diperintah oleh Allah menghubungkan silatur rahim dengan orang yang memutuskan hubungannya denganku,aku memberi kepada orang yang tidak memberi padaku dan aku memaafkan orang yang menzalimiku”.

Kita berurusan dengan sesama muslim sebagaimana nabi berurusan dengan orang munafik, sesungguhnya nabi s.a.w telah memaaf dan mengampunkan mereka. Kita berurusan dengan anak-anak kita sebagaimana nabi s.a.w berurusan dengan khadam dan pekerjanya. Sesungguhnya nabi mempunyai seorang khadam Yahudi yang berkhidmat untuknya, apabila khadam Yahudi ini sakit nabi merawatnya, sambil duduk di sisi kepalanya, bertanya khabarnya dan menyerunya supaya memeluk islam, akhirnya khadam Yahudi ini memeluk islam dan nabi bersabda; “segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kamu keranaku dari api neraka”.

Dalam kisah yang lain, seorang yahudi meminta nabi menjelaskan hutangnya di depan orang ramai di masjid dengan suara yang tinggi sambil menjerit dan marah-marah, tetapi nabi s.a.w hanya tersenyum dan masih berlembut dengannya sehingga Yahudi ini melihat keadaan nabi yang tidak melenting lalu Yahudi ini terus berkata; “ Aku bersaksi bahawa engkau adalah rasulullah, kerana kami membaca dalam kitab Taurat bahawa nabi akhir zaman ini antara sifatnya semakin marah semakin lembut”.

Mudah-mudahan kita dapat berurusan dengan manusia dengan sebaik-baiknya walaupun mereka menyakiti kita, kerana nabi s.a.w pernah disakiti oleh kaumnya, dihalau keluar dari bumi Mekah, dihina dan diperangi sehingga tidak ada perkara yang buruk tidak pernah dilakukan terhadap nabi s.a.w tapi apabila nabi s.a.w diberi kemenangan oleh Allah s.w.t dan dapat masuk semula ke bumi Mekah, sejarah telah mencatatkan bahawa nabi s.a.w telah memaafkan musuh-musuhnya dahulu, nabi berkata kepada mereka; “Allah telah maafkan kamu, pergilah kamu dibebaskan”.

Nabi s.a.w pernah ke bumi Thaif untuk berdakwah tapi baginda dihalau oleh penduduk Thaif, mereka melontarnya dengan batu sehingga berdarah tumitnya tapi nabi hanya berdoa “ Ya Allah ampunkan kaumku, sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti”.

Nabi s.a.w menjahit kasutnya, menjahit pakaiannya, membersihkan rumahnya, memerah susu kambingnya, memberi keutamaan kepada sahabat dalam soal makanan dari dirinya sendiri, sangat kasih kepada orang miskin, bersama dengan orang yang teraniaya, perihatin kepada janda, menziarahi orang sakit, mengikuti janazah ke kubur, meletakkan tangannya yang mulia di atas kepala anak yatim, bersikap lembut dengan wanita, menjamu tetamu, memberi makan kepada orang yang lapar, bergurau dengan kanak-kanak, kasihan kepada haiwan dan banyak lagi akhlak yang agung, jika kita membaca dan mengkaji sirah rasulullah s.a.w.

Ya Rasulullah ! sesungguhnya apabila kami membaca sejarah manusia dan tokoh-tokoh agung dunia kemudian kami membaca sirahmu, maka seolah-olah tidak ada manusia yang agung kecuali dirimu, kami tidak mengiktiraf kecuali dirimu, semua tokoh dunia adalah kecil pada pandangan kami jika dibandingkan dengan dirimu.

Ya Rasulullah ! kamu tak pernah hilang dari ingatan kami, kamu sentiasa di hati kami, sentiasa dalam jiwa kami, sentiasa dalam pendengaran dan penglihatan kami, kamu sentiasa berada dalam setiap titis darah kami, kamu sentiasa berada dalam setiap zarrah jasad kami, kamu sentiasa hidup dalam segala perlakuan kami dengan menghidupkan sunnahmu dan akhlakmu, kami sanggup menebus nyawa kami untukmu, kami sanggup menebus anak-anak dan isteri kami untukmu, kami sanggup menggadai nyawa kami untuk mempertahankanmu dari dihina oleh musuh-musuhmu, kami sanggup menggadai maruah kami untuk mempertahankan maruahmu Ya Rasulullah.

صلى الله وسلم عليك كلما ذكرك الذاكرون، وصلى الله وسلم عليك كلما غفل عن ذكرك الغافلون.





Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 28, 2009

Bolehkah Kristian guna nama Allah?


Kerajaan perlu tarik semula kebenaran guna kalimah Allah

 KEPALA BATAS: Kerajaan perlu menarik balik keputusan membenarkan penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan agama Kristian kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malahan di seluruh dunia.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, kerajaan tidak bertindak secara bijak apabila membenarkan penggunaan kalimah itu oleh penerbitan Kristian kerana ia akan menimbulkan kemarahan umat Islam dan boleh membawa kepada tindakan agresif. Katanya, kerajaan sepatutnya tidak membuat keputusan sedemikian tetapi menyerahkan kepada mana-mana mahkamah yang berkenaan untuk proses rayuan memandangkan perkara itu telah dibawa ke mahkamah oleh pihak penerbitan Herald The Catholic Weekly.

Kerajaan perlu menanggung risiko kesan daripada keputusan itu iaitu sama ada rakyat bertolak ansur seperti mana yang dilakukan kerajaan atau tidak akan menyokong kerajaan yang ada pada masa akan datang, katanya ketika mengulas laporan akhbar berhubung penggunaan perkataan "Allah" bukan lagi satu larangan seperti yang terkandung dalam warta baru yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri awal tahun ini.

Perintah tersebut berbunyi: "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan 'Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'Solat' adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan "Khusus Untuk Penganut Agama Kristian".

"Pada saya, kerajaan telah melakukan satu kesilapan dan yakin umat Islam di negara ini tidak akan menerimanya kerana pengertian Allah itu adalah berdasarkan kepada tauhid yang berbeza antara Islam dan Kristian dan ini boleh mencetuskan golongan Islam yang ekstrim," kata Nakhaie kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Halal di Dewan Milenium di sini hari iniMohd Nakhaie, yang juga pengerusi Majlis Amal Islamiah Malaysia berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan kebenaran itu juga dilihat tidak menyokong usaha memelihara Islam sebagai agama rasmi negara ini. BERNAMA

Dilarang guna Allah

Oleh HAMDEN RAMLI
KOTA KINABALU 28 Feb. – Pewartaan kebenaran penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian dibatalkan kerana terdapat kesilapan pada warta tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perintah yang diwartakan pada 16 Februari 2009 itu juga bertentangan dengan keputusan kerajaan sebelum ini dan ia dibuat sebelum mahkamah memberikan keputusan.

Sehubungan itu katanya, kementerian membatalkan pewartaan tersebut dan memperbetulkan segera kesilapan berkenaan.

“Dalam perkara larangan penggunaan nama Allah itu, kita tidak akan mengatasi keputusan kerajaan yang tidak membenarkan penggunaan nama Allah oleh agama lain selain Islam dan kita juga tidak akan mendahului keputusan mahkamah.

“Saya mengaku berlaku kesilapan dalam pewartaan larangan penggunaan nama Allah itu dan kita akan mengambil tindakan untuk membetulkannya,” tegas beliau kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Baca seterusnya

Isu penggunaan nama Allah oleh pihak gereja

Isu Permohonan Pihak Geraja menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada God dalam tulisan berkaitan ajaran Kristian adalah isu besar dalam negara kita. Seluruh Muslim perlu mengetahui dan mengambil berat isu ini serta menunjukkan penentangan terhadap sebarang usaha untuk menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan mereka, begitu juga penggunaan Ka'bah merujuk kepada gereja dan solat merujuk kepada sembahyang di dalam gereja. Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi, firma Hj Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden PGSM telah dilantik sebagai Peguamcara kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak dan juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.Sini

Apa respon umat Islam?


Komen Saya
 Setiap agama membawa ajaran masing-masing yang mungkin berbeza dan bercanggah antara satu sama lain.Walaubagaimanapun jika dikaji dan diselidik masih terdapat persamaan dalam ciri-ciri asas setiap agama, tapi tak dapat dinafikan dalam persamaan itu ada seribu perbezaan.

Asas dalam kebanyakan agama ialah mengakui kewujudan tuhan yang mencipta alam ini, inilah asas persamaannya, tapi setiap agama mempunyai tuhan yang berbeza mengikut iktiqad dan kepercayaan masing-masin, di sinilah letaknya perbezaannya.

Tuhan kepada orang yang beragama Islam dipanggil Allah
Tuhan kepada orang yang beragama Kristian dipanggil God
Tuhan kepada orang yang beragama Yahudi dipanggil Yahweh
Tuhan kepada orang yang beragama Hindu dipanggil Brahman

Tuhan kepada orang yang beragama Majusi dipanggil Athura Mazda

Kepercayaan orang Islam kepada Allah
Setiap orang Islam wajib beriman kepada Allah, mereka wajib beriman
bahawa Allah itu wujud dan dialah satu-satunya tuhan yang wajib disembah. Allah tidak sama dengan tuhan agama lain. Ini kerana agama Islam menolak konsep Antropomorfisme yang mencacatkan kedudukan tuhan, seperti penjelmaan tuhan, tuhan beristeri dan berkeluarga, tuhan mempunyai anak, tuhan berbentuk dan berjasad dan sebagainya.Allah mempunyai sifat-sifat serta nama-nama yang suci. Terdapat 99 nama Allah yang dikenali dengan nama Asma ul-Husna.

Kepercayaan orang kristian tentang Tuhan
Kepercayaan agama Kristian kepada tuhan terbahagi dua;
i) Jesus (Isa) yang membawa ajaran asal
Jesus tidak membawa ajaran baru tapi penerus kepada ajaran nabi Musa a.s. Jesus mengajarkan tuhan ialah satu dan tidak diperanakkan, dia ialah tuhan yang satu dan tunggal


ii) Paulus pembawa pembaharuan
Paulus atau Saul keturunan Yahudi. Beliau membawa ajaran baru berkenaan Jesus, beliau mengatakan sebenarnya Jesus adalah anak tuhan, oleh itu Paulus menganggap Jesus adalah tuhan yang perlu disembah. Jesus dianggap elemen kedua dalam doktrin Triniti yang mempercayai tuhan terdiri daripada tiga elemen iaitu; tuhan bapa, Tuhan anak dan Roh Qudus, mereka adalah tiga dalam satu.Inilah kepercayaan orang Kristian hari ini.

Jelas kepada kita perbezaan kepercayaan dan iktiqad orang Islam dan orang Kristian. Tuhan yang disebut Allah ialah tuhan yang esa, yang tunggal, yang tidak ada tuhan yang disembah melainkanNya.

Firman Allah s.w.t:al-Ikhlas :1-4
1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;

2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;
4. "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya".

Tuhan orang Kristian ialah God yang tidak sama dengan Allah s.w.t, jadi kenapa mereka ingin meletakkan nama Allah sebagai tuhan mereka?Kalau mereka ingin menggunakan nama Allah, mereka perlu menyertai agama Islam yang mengtauhidkan (mengesakan) Allah s.w.t, selagi mereka meneruskan kepercayaan Triniti selagi itu mereka tidak layak untuk menggunakan nama Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t :al-Kaafiruun :1-6
1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!

2. "Aku tidak akan menyembah apa Yang kamu sembah.
3. "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) Yang Aku sembah.
4. "Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
5. "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat.
6. "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".

Kepada orang Islam pertahankan nama Allah, sebutlah banyak-banyak nama Allah, pagi, petang,siang dan malam, jangan sampai kita sebagai orang Islam hanya ingin mempertahankan nama Allah tapi tidak pernah menyebut nama itu dan kadang kala tidak kenal siapa Allah sehingga ada orang yang beragama lain pula yang berminat dengan nama Allah. Bagi yang berlidah mat saleh, biasakan menyebut "Oh Allah" " Ya Allah" bukan "Oh my God" seperti yang disebut oleh orang Kristian. Kalau kita tak suka orang Kristian menggunakan perkataan "Allah" kita juga tak suka orang Islam guna perkataan "God".

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 25, 2009

Bertaubatlah sebelum terlambat

Sabda nabi s.a.w

"يا أيها الناس، توبوا إلى الله، فإني أتوب في اليوم إليه مائة مرة

Maksudnya
“Wahai manusia ! bertaubatlah kepada Allah s.w.t, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah 100 kali sehari”. (riwayat Muslim)
Maka taubat adalah wajib bagi setiap muslim.

Firman Allah s.w.t : an-Nur :31
"dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya”.
Firman Allah s.w.t : at-Tahrim :8
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,”.

Semua manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan dan tidak boleh merasakan dirinya selamat daripada melakukan dosa kepada Allah s.w.t.

Sabda nabi s.a.w
"كل بني آدم خطاء"

Maksudnya;
“ setiap anak Adam melakukan kesalahan”. (riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majjah)

Walaubagaimanapun tidak ada masalah kalau manusia melakukan kesalahan, sebab memang manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan, tapi yang jadi masalah kalau manusia berterusan melakukan kesalahan.

Firman Allah s.w.t : ali-Imran :135
“dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.

Sesungguhnya Adam a.s. melakukan kesalahan dan lalai tetapi segera bertaubat kepada Allah s.w.t, sebagaimana doa nabi Adam dirakamkan dalam al-Quran dalam surah al-A’raf :23

“mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi".

Dan al-Baqarah :37
“kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat Yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

Manusia melakukan kesalahan dan tergelincir ke lembah maksiat tapi dia mampu membersihkan diri dengan taubat. Taubat adalah penghapus dosa yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia untuk membasuh dan menyucikan dosa dan maksiat.

Firman Allah s.w.t :al-Baqarah :222
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri”.

Sabda nabi s.a.w
"التائب من الذنب كمن لا ذنب له"

Maksudnya;
“ Orang yang sentiasa bertaubat, seolah-olah tidak ada dosa baginya”.
(riwayat Ibnu Majjah, at-Tobrani dan al-Baihaqi)

Tapi apa makna taubat?

Taubat bukan sekadar ucapan lidah, sebagaimana yang sering kita sebut “Aku kembali bertaubat kepada Allah, aku kembali kepada Allah dan aku menyesal dengan apa yang aku lakukan”. Ini tidak dinamakan taubat.

Taubat yang sebenarnya merangkumi beberapa perkara;

1) Menyesal kerana melakukan dosa
Rasa bersalah dengan dosa yang telah dilakukan, rasa bumi ini sempit, rasa tidak ada jalan keluar lagi kecuali kembali kepada Allah s.w.t.

2) Berazam tidak akan melakukan dosa itu lagi
Berazam dengan ikhlas untuk memperbaiki diri dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama lagi,berazam untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan tidak akan melakukan maksiat dan tidak akan kembali melakukannya sebagaimana susu tidak kembali lagi ke tempat keluarnya.

3) Melakukan amal soleh
Dengan cara menggantikan perbuatan buruk dengan perbuatan yang baik, kata-kata dusta kepada benar, suasana yang buruk kepada suasana yang baik dan sebagainya. Inilah yang perlu dilakukan kerana al-Quran mensyaratkan selepas taubat ialah iman dan amal soleh.

Firman Allah s.w.t:Maryam :60
“kecuali orang-orang Yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun”.

Allah mengiringkan taubat dengan iman, kerana maksiat lebih- lebih lagi dosa besar boleh menghalau iman keluar dari hati.

Sabda nabi s.aw

لا يزنى الزاني حين يزني وهو مؤمن، ولا يشرب الخمر حين يشربها وهو مؤمن، ولا يسرق السارق حين يسرق وهو مؤمن

Maksudnya;
“ tidak akan berzina seseorang itu kalau dia ada iman, tidak akan minum arak seseorang itu kalau dia ada iman dan tidak akan mencuri seseorang itu kalau dia ada iman”.

Maksiat zina, minum arak dan mencuri menghalau iman keluar dari hati seorang manusia. Oleh itu mesti memperbaharui iman dengan taubat dan melakukan amalan soleh, inilah resepi taubat.

Penghalang taubat

Apakah yang menghalang manusia bertaubat? Apakah yang melambatkan manusia bertaubat, perkara ini perlu diberi perhatian oleh seorang muslim supaya taubatnya tidak terhalang dan dilambatkan.

Antara penghalang taubat ialah

1) Panjang angan-angan
Manusia merasakan dirinya masih muda dan masih kuat dan menyangka umurnya masih panjang maka dia menunggu umur pencen untuk bertaubat.

2) Meremehkan maksiat
Meremehkan maksiat, menganggap dosa itu kecil, menyangka itu perkara biasa sahaja, semua ini tidak perlu ada pada seorang mukmin.

Sabda nabi s.a.w;
"المؤمن يري ذنبه كالجبل، يخاف أن يقع عليه، والمنافق يري ذنبه كذباب وقع على أنفه فقال هكذا وهكذا

Maksudnya;
“ Seorang mukmin melihat dosa itu seperti gunung yang akan menghempapnya, seorang munafik melihat dosa hanya seperti seekor lalat yang bermain-main di hidungnya dan menghalaunya begitu sahaja.
(riwayat Bukhari, Ahmad dan at-Tirmizi)

Satu kisah untuk renungan, “Seorang hamba Allah yang soleh sakit tenat, sahabatnya datang menziarahinya dan orang soleh ini menangis, sahabatnya bertanya; “kenapa kamu menangis? Sedangkan kamu tak pernah melakukan dosa besar dan tak pernah meninggalkan suruhan Allah? Maka jawab hamba soleh ini, “ aku menangis bukan kerana itu, tapi aku menangis kerana aku takut kalau aku melakukan dosa dan aku menyangka ia kecil sahaja tapi sebenarnya di sisi Allah adalah besar”.

Kata ulama salaf
“ janganlah kamu melihat kepada kecilnya maksiat yang dilakukan, tapi lihatlah kepada besarnya zat yang kamu melakukan maksiat kepadanya”. Yakni Allah s.w.t.

3) Bertawakkal kepada pengampunan Allah
Manusia yang melakukan dosa kemudian bertawakkal kepada pengampunan Allah, seperti katanya; “tak apalah lakukan dosa, Allah kan maha pengampun dan penyayang,rahmat Allah kan luas?” dan macam-macam lagi. Ingat jangan kita tertipu dengan syaitan, jangan kita hanya melihat kepada keampunan Allah semata-mata, tapi lihat juga kepada azab Allah yang sangat pedih, memang rahmat Allah itu luas, tapi untuk siapa?untuk orang yang bertaqwa, untuk orang yang melakukan kebaikan.

Firman Allah s.w.t: al-A’raf :156
"Dan Tetapkanlah untuk Kami kebaikan Dalam dunia ini dan juga di akhirat, Sesungguhnya Kami kembali (bertaubat) kepadamu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa Yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang Yang bertaqwa, dan Yang memberi zakat, serta orang-orang Yang beriman kepada ayat-ayat kami.

Firman Allah s.w.t: al-A’raf :56
“dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya Dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga Dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang Yang memperbaiki amalannya”.

Akhir sekali orang mukmin perlu berada antara harap rahmat Allah dan takut azab Allah.

Firman Allah s.w.t:az-Zumar :9
“Engkaukah Yang lebih baik) atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?

Firman Allah s.w.t: al-Isra’ :57
“orang-orang Yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang Yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; Sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara Yang semestinya) ditakuti”.

Marilah sama-sama kita menyegerakan taubat dan memperbaiki kesalahan kita, dan mudah-mudahan Allah s.w.t menerima taubat kita sebagai taubat yang nasuha.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 21, 2009

Pelajar pukul guru

Pelajar pukul guru adalah masalah yang kini sering menjadi topik hangat masyarakat. Ada beberapa kes yang direkodkan dan banyak lagi kes-kes yang tidak direkodkan kini. Selain daripada pukul banyak lagi kesalahan disiplin yang dilakukan oleh pelajar.

Antara kes yang direkodkan

KANGAR 16 Okt. - Dua orang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini didakwa menendang dan memukul seorang guru Fizik berusia 27 tahun setelah dipercayai tidak puas hati dengan tugasan kerja kursus yang diberikan kepada mereka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, kedua-dua pelajar tingkatan dua itu dikatakan dipanggil guru berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkataan kesat yang ditulis dalam kertas kerja kursus yang dihantar.

Baca seterusnya



Mengapakah masalah ini berlaku ?

Ada banyak sebab yang mendorong masalah disiplin pelajar menular walaupun ada garis panduan yang sedia ada mengikut pekeliling.Berdasarkan surat pekeliling iktisas 3/1983 yang disiarkan oleh kementerian Pendidikan Malaysia.

JENIS-JENIS KESALAHAN

1. KESALAHAN BERAT.

• Kurang sopan, biadap kepada guru atau pelajar. • Mencuri, menipu, berjudi, minum minuman keras. • Mengugut atau memeras atau menggunakan kekerasan. • Terlibat dalam najis dadah atau merokok. • Menganggotai kumpulan haram. • Memukul guru atau pelajar. • Melakukan perbuatan yang tidak bermoral. • Ponteng kelas, sekolah dan perhimpunan. • Membawa atau menyebarkan gambar atau video lucah.

2. KESALAHAN SEDERHANA BERAT.

Bising. • Bergaduh atau bertumbuk. • Keluar kelas tanpa kebenaran. • Mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. • Pakian tidak kemas. • Bersubahat dengan sebarang kesalahan. • Bercakap bohong atau menipu. • Membawa atau bermain permainan yang merbahaya. • Tidak menghormati guru atau pelajar. • Mengotori kelas atau kawasan sekolah. • Tidak menepati masa. • Tidak membawa peralatan pembelajaran. • Tidak menyiapkan kerja atau latihan.

3. KESALAHAN RINGAN •

Datang lewat ke sekolah atau asrama. • Tidak membayar yuran sekolah atau asrama. • Mengusik atau menganggu pelajar. • Merayau-rayau. • Makan atau minum dalam kelas. • Melompat pagar sekolah. • Menganggu ketenteraman. • Tidak menunjukan semangat kekitaan atau sayangkan sekolah.

4. PERINGATAN. •

Semua hukuman berat dan sederhana akan dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga. Kesalahan ini akan direkodkan. • Sebarang kesalahan yang dilakukan berulang akan dianggap kesalahan berat. • Pengetua atau lembaga Disiplin Sekolah mempunyai kuasa untuk mengubahsuaikan mana-mana bahagian dalam peraturan ini.

Pekelling ini juga tidak mampu menangani masalah walaupun ia dijadikan sebagai panduan.

Oleh itu, tak lain tak bukan marilah kita kembali kepada tanggungjawab asas dalam pendidikan anak-anak. Di mana bermulanya pendidikan ini adalah dari rumah, ibu bapa wajib mengajar anak-anak sejak dari kecil untuk menghormati guru, memuliakan guru dan menunaikan hak-hak guru mereka. Kata pepatah; didik anak biarlah dari rebungnya.

Nabi s.a.w telah meletakkan asas kepada ibu bapa para pendidik dan panduan-panduan untuk mendidik anak-anak supaya memuliakan alim ulama dan guru-guru, supaya manusia tahu kelebihan mereka sebagai ilmuan dan supaya pelajar-pelajar mereka dapat menunaikan hak mereka sebagai guru.

Antara wasiat nabi s.a.w melalui hadis-hadis baginda;

Sabda nabi s.a.w
“ Bukan umatku sesiapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, tidak kasihan kepada orang yang lebih muda dan tidak menunaikan hak guru-guru. (riwayat Ahmad, Thabrani dan al-Hakim)

Sabda nabi s.a.w
“ Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu dari mereka. (riwayat at-Thabrani)

Sabda nabi s.a.w
“ Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik ; Orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil”. (riwayat at-Thabrani)

Pengajaran yang boleh kita ambil daripada wasiat-wasiat nabi adalah seperti berikut;

1) Pelajar mesti bersifat rendah diri (tawadhu’) terhadap gurunya, tidak boleh melawan arahan guru, seperti pesakit mengikut arahan doktor.

Imam al-Ghazali berkata; “Tidak akan dapat ilmu kecuali dengan merendah diri dan mendengar dengan teliti…

2) Pelajar wajib melihat gurunya dengan penuh penghormatan.

Imam as-syafie berkata; “Aku membuka lembaran kitabku di depan Imam Malik (gurunya) dengan penuh hati-hati, supaya Imam Malik tidak mendengar bunyinya.

Ar-Rabi’ (murid Imam as-Syafie) berkata; “ Aku tidak sekali-kali minum di hadapan Imam as-Syafie sewaktu beliau melihatku kerana aku gerun dengan kehebatannya”.

3) Pelajar mestilah mengiktiraf hak gurunya dan jangan lupa kelebihan gurunya.
Syu’bah berkata; “ aku apabila menerima satu ilmu dari seorang manusia maka aku akan menjadi hambanya seumur hidup”.

Syauqi berkata dalam syairnya
“ Tunaikan hak guru dan muliakan mereka, seorang guru seolah-olah nabi yang diutus’.

Sepatutnya seorang pelajar mendoakan guru-gurunya sepanjang hayatnya, memelihara hubungan dengan keluarga guru-gurunya selepas kematian mereka, menziarahi kubur mereka, meminta ampun untuk mereka, mengikut jejak langkah mereka dan menjadikan guru-guru sebagai contoh dan tauladan dalam kehidupan.

4) Pelajar perlu bersabar dengan sikap panas baran gurunya, jangan sekali-kali memboikot mereka dan tidak belajar ilmu dari mereka.Jika guru marah, maka minta maaf dan bertaubat dengan kesalahan yang dilakukan, elakkan perbuatan yang boleh mendatangkan kemarahan guru kerana semua ini akan menjaga hubungan baik antara guru dan murid.

Alim ulama berkata; “ Sesiapa yang tidak bersabar ketika menuntut ilmu maka dia akan kekal dalam kejahilan, sesiapa yang bersabar akan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.

5) Pelajar wajib duduk di hadapan gurunya dengan penuh adab sopan, mendengar dengan penuh minat, melihat kepada wajah gurunya, tidak berpaling ke kiri dan ke kanan, ke atas dan ke bawah jika tidak ada keperluan.

Seorang pelajar perlu menjauhkan perkara-perkara yang kurang sopan di hadapan gurunya; tidak boleh mengganggu perjalanan P&P, tidak boleh menggerakkan tangan atau kakinya atau anggota lain tanpa hajat, tidak boleh mengorek hidungnya, tidak boleh menguap dengan membuka mulutnya, tidak boleh tidur waktu belajar, tidak boleh bermain jari jemarinya atau seluar dan bajunya, tidak boleh banyak cakap tanpa hajat, tidak boleh buat lawak yang menyebabkan kebisingan, kalau terpaksa ketawa ketawalah tanpa suara,tidak boleh banyak berdehem tanpa hajat, jika terpaksa bersin maka rendahkan suara semampu mungkin dan tutup mukanya dengan sapu tangan atau tisu.

6) Pelajar tidak boleh masuk ke bilik guru atau tempat yang dikhususkan untuk guru tanpa izin.
Jika setelah minta izin tapi tidak diizinkan masuk maka pulanglah jangan sekali-kali diulang-ulang minta izin. Jika ragu-ragu samada guru mendengar atau tidak maka boleh diulang sebanyak tiga kali sahaja, jika terpaksa mengetuk pintu maka ketuklah dengan lembut dan beradab dengan hujung jari. Apabila dibenarkan masuk, masuklah dengan penampilan yang terbaik, badan yang bersih, berpakaian kemas lebih-lebih lagi jika P&P sedang dijalankan.

Inilah di antara adab-adab yang perlu diajar kepada anak-anak oleh ibu bapa dan para pendidik. Jika anak-anak sejak dari kecil diajar adab-adab ini maka mereka akan menjadi terpelajar bukan kurang ajar sebagaimana yang berlaku pada hari ini. Mereka akan menjadikan guru-guru sebagai orang yang paling dihormati selepas ibu bapa mereka, gurulah orang yang memberi sinar cahaya dalam kehidupan mereka selepas mereka berada dalam kegelapan. Ingatlah sehebat manapun manusia, setinggi manapun pangkatnya dia mesti ada guru yang mengajarnya satu waktu dahulu.Oleh itu hormati guru, muliakan guru, janganlah melawan guru lebih-lebih lagi memukul guru, ikut arahan guru, kecuali jika disuruh melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.



Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 18, 2009

Stres dan penyelesaiannya mengikut Islam

Firman Allah s.w.t :al-Mulk :2
"Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)".

Allah s.w.t mencipta manusia dan menguji manusia untuk menilai siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Ujian Allah boleh terjadi dalam pelbagai bentuk, samada dalam bentuk fizikal, biologikal atau psikologikal dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t :al-Baqarah :155
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar".

Punca sres

1) Dalam diri :Seperti; harapan yang tinggi, masalah peribadi, pengalaman yang traumatik semasa kecil dan lain-lain pengalaman.

2) Tekanan rumah tangga : seperti; jodoh perkahwinan, keibubapaan, hubungan suami isteri, hubungan dengan mertua dan sebagainya.

3) Tekanan sosial :seperti; masalah perhubungan, tekanan tempat kerja, tekanan kehidupan samada di bandar atau kampung.

4) Tekanan pekerjaan : seperti; jenis pekerjaan, risiko atau tanggungawab pekerjaan, keadaan fizikal kerja, organisasi, peranan atau tugas, perkembangan kerjaya dan komunikasi yang tidak berkesan.

Firman Allah s.w.t :al-Balad :4
"Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa Dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)".


Manusia sejak berada dalam rahim ibunya sudah menghadapi stres kerana tempat tinggalnya yang sangat sempit hanya sebesar sebiji bola sahaja, kemudian apabila dilahirkan manusia stres menghadapi angin dunia yang sejuk yang menyebabkan bayi menangis, kemudian sakit apabila tali pusat tertanggal, kemudian sakit bersunat, kemudian stres memasuki alam persekolahan samada Pra Sekolah, Sekolah rendah, sekolah menengah,dan universiti, kemudian stres mencari jodoh dan perkahwinan, kemudian stres rumah tangga, masalah anak-anak, seterusnya berhadapan dengan pelbagai penyakit; kencing manis, lemah jantung, darah tinggi dan sebagainya, kemudian stres menghadapi sakaratul maut seterusnya sres menghadapi Munkar dan Nakir dan seksa kubur, kemudian stres hari kebangkitan semula, perhimpunan Mahsyar, timbangan amal, titian Sirat dan akhir sekali Syurga atau neraka. Berbahagialah seorang manusia bila dimasukkan ke dalam Syurga dan hilanglah stresnya tapi jika dimasukkan ke Neraka stresnya akan berterusan tidak berpenghujung.

Punca stres mengikut Islam

Menurut pandangan Islam punca stres itu bukan dari tekanan mental semata-mata bahkan punca tekanan itu sebenarnya berpunca daripada kecelaruan dan kelemahan hati, roh, nafsu dan akal.

Kelemahan hati

Kelemahan hati yang menyebabkan longgarnya hubungan manusia dengan Allah s.w.t yang menyebabkan kehidupannya menjadi sempit seolah-olah tidak ada jalan keluar daripada masalah. Hati yang baik mempunyai unsur yang sangat halus(latifah) ketuhanan (rabbaniah) dan kerohanian (ruhaniah)

Firman Allah s.w.t : Toha :124
"Dan sesiapa Yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka Sesungguhnya adalah baginya kehidupan Yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat Dalam keadaan buta".

Kelemahan roh

Roh menghidupkan jasad atau badan, maka kekuatan roh itu dinilai dari sudut mengenali Allah s.w.t, semakin ia kenal Allah semakin kuat dan mantap roh tersebut, jika tidak maka roh itu akan lemah mudah diganggu dan diresapi oleh iblis dan syaitan.

Kelemahan nafsu

Mengikut imam al-Ghazali nafsu adalah satu unsur yang halus yang mana ia adalah hakikat manusia, ia mempunyai bermacam-macam sifat dan keadaan. Apabila keinginan negatif dan keburukan menguasai hati, itulah yang dikatakan nafsu Lawwamah atau Ammarah bis su'. Apabila ketenangan, ketenteraman dan kejernihan menyelubungi hati, itulah yang dikatakan nafsu Mutmainnah.

Firman Allah s.w.t : al-Fajr :27-30
27. (setelah menerangkan akibat orang-orang Yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan Bahawa orang-orang Yang beriman dan beramal soleh akan disambut Dengan kata-kata): "Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -


28. "Kembalilah kepada Tuhanmu Dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -

29. "Serta masuklah Engkau Dalam kumpulan hamba-hambaKu Yang berbahagia -

30. "Dan masuklah ke Dalam SyurgaKu! "

 
Kelemahan akal
 
Menurut imam al-Ghazali, akal ialah sesuatu yang dapat menerima ilmu dan wadah pengetahuan, kelemahan akal berpunca daripada kejahilan atau sedikit ilmu seseorang. Para ilmuan mengandaikan ilmu itu adalah makanan bagi akal, tanpa ilmu akal akan mati, akal yang mati tidak akan berfungsi dengan baik.
 
Strategi menangani stres melalui pendekatan Islam
 
1) Tadabbur al-Quran
 
Membaca al-quran dengan betul, dalam masa yang sama memahami makna ayat-ayat yang dibaca serta menghayati dan mengamalkan arahan dan larangan akan mententeramkan fikiran, hati, rohani dan jasmani. Sebagaimana al-Quran boleh memberi respon yang baik kepada molekul air begitu juga al-Quran boleh memberi ketenangan kepada manusia yang membaca dan mendengarnya sebagaimana hasil kajian saintifik oleh Dr. Masaru Emoto seorang “pakar air” dari Jepun.
 
Antara cohtohnya
 
Bentuk molekul air oksigen dan berkhasiat (mineral tempatan) yang belum dibaca apa-apa

Bentuk molekul air dibaca surah kitab suci al-Quran

Bentuk molekul air sebelum dibaca doa

Bentuk molekul air setelah dibacakan doa sebelum diminum


Untuk rujukan selanjutnya sila ke sini

Selalulah membaca al-Quran sekurang-kurangnya 2 kali khatam setahun. setiap hari sekurang-kurangnya sepuluh ayat, insyaAllah kita akan ditulis sebagai orang yang sentiasa ingat kepada Allah s.w.t.

2) Taqarrub kepada Allah s.w.t
Taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, mengenali dan mencintainya lebih daripada segala-galanya sehingga lahir rasa kehambaan sejati dalam diri melalui amal ibadah secara istiqamah (berterusan) dengan cara;
i) Qiamullail
 iaitu bangun pertengahan malam atau sepertiga malam untuk beribadah kepada Allah s.w.t dengan menunaikan ibadah solat sunat seperti solat Tahajjud, Hajat, Taubat, Tasbih dan Witir.
ii) Istighfar dan Taubat
 iaitu dengan sentiasa beristighfar sekurang-kurangnya 75-100 kali sehari dan berzikir dengan zikir-zikir daripada al-Quran dan juga Hadis.

3) Syukur dan ikhlas
 iaitu melakukan kerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan, semuanya dilakukan kerana Allah s.wt. Jika kita bekerja atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu, apabila kita tidak dapat apa yang kita hajati sudah pasti stres akan melanda.

Firman Allah s.w.t :al-Insaan :9
"(sambil berkata Dengan lidah atau Dengan hati): "Sesungguhnya Kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; Kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih".

4) Tawakkal
Berserah dan menyerahkan natijah semua perkara kepada Allah s.w.t setelah berusaha sedaya upaya serta percaya yakin kepada segala janjinya.

unsur penting dalam Tawakkal

i) Menyedari bahawa Allah pemberi rezeki, kekuatan, keinginan dan tubuh badan yang sihat dan kuat untuk bekerja.

ii) Menyedari bahawa segala perbuatan, tindakan, hakikat sebenarnya adalah kehendak Allah s.w.t.

InsyaAllah jika semua ini ada pada kita, maka kita akan menjadi manusia yang tidak pernah berputus asa dan tidak akan stres kerana semuanya berlaku dengan kehendak Allah s.w.t. Sebagai orang Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t, sepatutnya kita dapat menghadapi stres dengan baik setelah kita mengetahui bahawa semua yang menimpa kita adalah ujian dari Allah s.w.t, walaubagaimanapun stres akan melanda sesiapa sahaja, kerana semua manusia akan diuji oleh Allah s.w.t, cuma sebagai muslim mungkin kita dapat mengurangkan stres tersebut dengan cara-cara yang disebut di atas, di sana ada lagi cara-cara lain yang boleh dilakukan untuk mengawal stres seperti pendekatan fizikal dan emosi.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai