SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Jan 17, 2009

Pakaian Wanita Islam

Islam mengharamkan kepada wanitanya memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan kulit tubuh, begitu juga pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh, lebih-lebih lagi anggota tubuh yang membawa fitnah kepada kaum lelaki seperti dada dan buntut.
Dalam satu hadis Sohih riwayat imam Imam Muslim
Nabi s.a.w bersabda;
maksudnya;
Ada dua golongan yang akan menjadi ahli neraka yang aku tidak pernah melihat keduanya itu;
1) Satu kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia(pemerintah yang zalim)
2) perempuan-perempuan yang berpakaian tapi bogel yang cenderung untuk melakukan maksiat dan mengajak orang lain melakukan maksiat, rambutnya seperti bonggol unta, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau syurga sedangkan bau syurga boleh dihidu dari jarak sekian sekian.(dalam hadis lain disebut dari jarak lima ratus tahun perjalanan)

Siapakah perempuan yang berpakaian tapi bogel?
Perempuan-perempuan yang berpakaian tapi disebut berbogel ertinya; mereka berpakaian tapi pakaian mereka tidak menepati ciri-ciri yang disuruh oleh syara', seperti;
-Pakaian yang nipis sehingga menampakkan kulit atau auratnya.
-Pakaian yang ketat dan sendat sehingga menampakkan anggota tubuhnya

inilah pakaian yang dipakai oleh wanita-wanita zaman moden ini.

Siapa pula rambut seperti bonggol unta?
Ia bermaksud perempuan yang menggayakan rambut mereka dengan pelbagai fesyen moden hari ini, seolah-olah nabi s.a.w telah ditayangkan kepadanya keadaan wanita zaman ini yang yang membuka rambut mereka dan menggayakan dengan pelbagai gaya untuk menarik perhatian lelaki yang bukan suami mereka. Bukan sahaja sekadar itu bahkan ada yang memakai rambut palsu yang diharamkan oleh nabi s.a.w.
Mudah-mudahan isteri-isteri kita dan anak-anak perempuan kita tidak tergolong dalam golongan ini.

Perlu juga diingatkan kepada wanita bertudung supaya tidak memakai tudung yang bercanggah dengan syariat islam, tudung yang tidak menepati cara-cara pemakaian yang betul.

Firman Allah s.w.t : an-Nur :31
"dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya".

Firman Allah s.w.t "dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka"
Bermakna ciri-ciri memakai tudung yang betul ialah menutup kepala sehingga ke dada dengan tudung yang tidak nipis atau tidak jarang sehingga menampakkan leher dan telinga mereka.

Contoh Pakai tudung dan pakaian yang betul dan menepati syara'

Antara cara memakai tudung dan pakaian yang tidak menepati syara' ialah;

1) Bertudung tapi kain atau lengan baju yang dipakai terlalu singkat
2) Memakai tudung yang tidak menutupi dada, samaada terlalu singkat atau diikat pada leher atau ditarik ke bahu.
3) Bertudung tetapi pakaian terlalu ketat dan sendat hingga menampakkan susuk tubuh
4) Bertudung tetapi kain dibelah samaada tepi, hadapan atau belakang hingga menampakkan betis bila melangkah.
5) Bertudung tapi tudung yang terlalu jarang hingga nampak leher atau telinga
6) Bertudung tapi pakai seluar nampak pusat atau buntut

Hari ini macam-macam jenis tudung ada, ada tudung bunga bawal ,tudung dubai, tudung kashmir, permaisuri ,tudung syria dan lain-lain. Bukanlah salah dengan fesyen-fesyen yang ada cuma pastikan ia mempunyai ciri-ciri yang dibenarkan oleh syara'. Pada pengamatan saya setakat ini, cara pemakaian wanita islam amat mendukacitakan, tapi kalau ditegur marah pula, kenapa ustaz tegur kami yang dah pakai tudung ni, tegurlah yang tak pakai tudung tu.Sebenarnya kita berdakwah kepada semua, kepada yang tak pakai tudung kita berdakwah kepada mereka supaya memakai tudung, kepada yang dah pakai tudung kita cuba nak memperbetulkan sedikit kesalahan yang ada supaya ia tidak menjadi perkara yang sia-sia. Agama adalah nasihat, beruntunglah kita kalau ada hamba Allah yang menegur kita, sebab kita boleh memperbaiki kesilapan, bayangkan dalam hidup kita ini, tidak ada yang nak menegur kita maka sentiasalah kita buat silap kerana kita tak tahu yang kita salah, kita rasa macam betul saja. Oleh itu sepatutnya kita ucapkan terima kasih kepada orang yang menegur kita sebab dia ingin menyelamatkan kita, bukannya melenting dan marah-marah. Percayalah, sekali kita ditegur oleh sahabat kita kemudian kita melenting dan marah maka sahabat kita tidak akan menegur kita lagi walaupun kita melakukan kesalahan,ini akan merugikan kita sendiri.

Marilah kita memakai pakaian dengan niat nak beribadah kepada Allah s.w.t, kerana tujuan pakaian ada dua; pertama untuk menutup aurat, kedua untuk berhias (penampilan yang kemas yang tidak bercanggah dengan syara')bukan untuk menunjuk-nunjuk pakaian kita yang mahal-mahal atau canggih, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong.

Firman Allah s.w.t : Luqman :18
 "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri".

Sabda nabi s.a.w;
"Sesiapa yang memakai pakaian untuk kebanggaan di dunia, Allah s.w.t akan memakaikannya dengan pakaian kehinaan di hari qiamat, kemudian dibakar dengan api neraka" (riwayat Ibnu Majjah)

Kesimpulannya, wahai muslimah semua! yang belum bertudung pakailah tudung selagi kita diberi kesempatan untuk melakukannya, yang telah bertudung pakailah tudung yang menepati syara' dan hanya bertujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t bukan kerana yang lain.

Pesanan buat wanita islam


Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment