Syuhada’ Gaza hampir mencecah angka 1000 syuhada setakat ini’. Entah berapa banyak syuhada’ yang gugur sebelum ini di bumi Palestin dan entah berapa banyak lagi syuhada’ yang akan gugur di Palestin hingga hari qiamat. Terbukti bahawa Palestin adalah bumi syahid. Di Negara lain juga ada kematian, tetapi kematian yang berpunca dari kemalangan jalan raya, penyakit fizikal atau bencana alam. Di Negara kita ada yang mati kerana dadah, rokok, gam, rempit dan lain-lain, mati yang sia-sia.
Apa kelebihan mati syahid?adakah orang mati syahid yang tidak menunaikan kewajipan agama akan diampun oleh Allah s.w.t?
Tidak dinafikan pengorbanan nyawa di jalan Allah s.w.t adalah puncak amalan seorang hamba kepada penciptanya, kerana orang yang mengorbankan nyawanya kerana Allah s.w.t telah menjual dunia untuk Allah s.w.t dengan harga yang mahal iaitu keredaan Allah dan nikmat syurga. Dengan sebab pengorbanan ini Allah s.w.t mengampunkan dosa bagi orang yang ikhlas berjihad di jalan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t :ali-Imran :195
“ maka orang-orang Yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan Yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga Yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan Yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan Yang terbunuh (gugur Syahid Dalam perang Sabil) - Sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan Sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. dan di sisi Allah jualah pahala Yang sebaik-baiknya (bagi mereka Yang beramal soleh)".
Firman Allah s.w.t :as-Sof : 10-12
10. Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?
11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).
12. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan Yang besar.
Seorang lelaki bertemu nabi s.a.w lalu bertanya kepada nabi s.a.w; “wahai Rasulallah! Ada pendapat kamu jika aku berperang di jalan Allah s.w.t, adakah akan diampun dosa-dosaku? Jawab nabi s.a.w; Ya, jika kamu terbunuh dalam keadaan sabar dan mengharap pahala dari Allah s.w.t, kamu mara menentang musuh bukan berpaling melarikan diri’.
Jelas kepada kita bahawa niat yang ikhlas, kesabaran, dan tidak melarikan diri dari medan peperangan menjadi sebab penghapusan dosa.
Begitu juga sabda nabi s.a.w; di ampun bagi orang yang syahid segala dosanya kecuali hutang. Oleh itu bagi mujahid fi sabilillah pastikan tidak berhutang sebelum ke medan pertempuran, jika tidak mampu untuk membayar hutang maka wajid dia berpesan kepada waris-warisnya untuk melangsaikan hutangnya.
Sabda nabi s.a.w; (riwayat Tirmizi dan Ibnu Majjah)
“ Bagi orang yang mati syahid ada tujuh kelebihan;
Diampun dosanya
Boleh melihat tempat tinggalnya di syurga
Dijauhkan dari azab kubur
Aman dari ketakutan yang dasyat
Diletak di atas kepalanya mahkota waqar(permata merah lebih baik daripada dunia dan isinya)
Dikahwinkan dengan 72 orang bidadari syurga
Boleh memberi syafaat kepada 70 orang kaum kerabatnya
Begitulah hebatnya mati syahid, yang ikhlas berjuang di jalan Allah s.w.t, yang akan diampunkan dosanya oleh Allah s.w.t, namun kepada mujahid fi sabilillah sepatutnya kita hidup sebagai muslim yang taat dan patuh kepada Allah s.w.t, menjauhi dosa dan maksiat dan sentiasa bersedia untuk berjihad di jalan Allah s.w.t sehingga kita mati jalan Allah dalam keadaan yang paling mulia sebagai seorang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.
Kepada syuhada yang gugur di bumi Palestin dan di bumi islam yang lain berbahagialah dengan janji Allah s.w.t kepada kamu dan berbahagialah dengan nikmat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. sesungguhnya syahid adalah impian setiap orang islam.
Firman Allah s.w.t : al-Qamar : 54-55
54. Sesungguhnya orang-orang Yang bertakwa, di tempatkan Dalam taman-taman syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai,
55. di tempat Yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang berkuasa melakukan sekehendakNya.
Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai
Jan 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment