SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Apr 30, 2009

Selsema Khinzir

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah : 173

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Firman Allah s.w.t : al-Maaidah : 3

“diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang Yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang Yang disembelih kerana Yang lain dari Allah, dan Yang mati tercekik, dan Yang mati dipukul, dan Yang mati jatuh dari tempat Yang tinggi, dan Yang mati ditanduk, dan Yang mati dimakan binatang buas, kecuali Yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan Yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib Dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik”.

Antara perkara yang diharamkan oleh al-Quran ialah daging khinzir dan segala produk yang berkaitan dengan khinzir, hanya khinzir binatang haram yang disebut secara khusus dalam al-Quran. Sebagai umat Islam yang beriman dengan Allah dan kitab al-Quran kita mesti memahami dan menyedari bahawa setiap apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t ada rahsia dan hikmahnya.

Seperti yang diketahui umum , wabak Selsema khinzir sedang melanda
Mexico dan Amerika Utara beberapa hari lepas. 81 orang maut di Mexico ,
menjangkiti 12 orang di Amerika Syarikat dan buat pertama kalinya pihak
berkuasa di New Zealand mengesahkan 10 pelajar negara berkenaan yang baru
pulang dari Mexico menghidap selesema khinzir dan terpaksa dikuarantin sebagai
langkah berjaga-jaga.

Penyakit dan jangkitan daripada Khinzir

Daniel S. Shapiro, M.D Pengarah Clinical Microbiologi Laboratories, boston Midical Center, merumuskan terdapat lebih daripada 25 penyakit yang boleh dijangkiti daripada khinzir antaranya adalah Influenza.

Jangkitan kuman virus Influenza pada tahun 1918 membunuh lebih kurang 20 juta manusia di seluruh dunia, ada yang menganggarkan jumlah sebenar 40 juta orang. Kajian ke atas spesimen-spesimen mangsa menunjukkan punca wabak ini adalah daripada kuman virus khinzir.

Wabak pada 1957 yang dikenali sebagai Asian flu dan wabak yang menyerang Hong Kong pada tahun 1968 kemungkinan datang daripada binatang ternakan sebelum menjangkiti khinzir. Di dalam khinzir virus ini berubah menjadi lebih bahaya sebelum menjangkiti manusia.

Khinzir mengubah virus ke tahap lebih bahaya

Di dalam Journal of Virology 1997, kajian dilakukan 12 orang pakar yang dipimpin oleh Dr Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin mendapati bahawa pada kerongkong khinzir terdapat sel-sel khusus yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang lebih berbahaya kepada manusia. Pakar-pakar Sains menganggap khinzir sebagai “mixing vessel” atau tempat pelbagai kuman dikumpulkan untuk diubah kepada bentuk yang berbahaya. Menurut kajian ini, virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia bertukar menjadi kuman yang berbahaya yang menjangkiti manusia selepas memasuki sel-sel di dalam khinzir ini.

Penemuan-penemuan ini mampu memberi jawapan kepada punca wabak penyakit demam selsema flu yang menyerang dan membunuh jutaan manusia di dunia. Tambahan daripada itu, BBC News bertarikh 29 Oktober 1999 melaporkan penemuan ahli-ahli sains yang menunjukkan virus khinzir menjadi punca wabak yang paling teruk di dalam sejarah dunia moden pada tahun 1918.virus daripada keluarga HIV juga wujud di dalam khinzir yang dibawa oleh DNAnya dan ia tidak boleh dipisahkan.

Apa yang penting yang perlu kita belajar dan sebagai peringatan bagi yang lalai ialah betapa agama Islam dan al-Quran dan perutusan nabi s.a.w adalah sangat benar dan tidak ada keraguan lagi. Al-Quran yang menjadi kitab petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa tidak ada keraguan di dalamnya.

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah : 2

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa”

Oleh itu apa sahaja yang disuruh oleh al-Quran wajiblah kita melakukannya begitu juga apa yang ditegah dan dilarang oleh al-Quran wajib pula kita menjauhinya walaupun kita tidak tahu apa hikmahnya. Percayalah hikmah disebalik suruhan dan larangan Allah s.w.t pasti akan terbongkar kebenarannya suatu hari nanti.

Di samping kita berdoa mudah-mudahan wabak ini tidak singgah di Negara kita dan dijauhkan daripada bala dan ujian Allah s.w.t.

Doa mohon keselamatan,kesihatan dan tolak bala

اللهم إنا نحن عبيدك يا الله, وأبناء عبيدك يا رحمن, نواصينا في يدك, ماض فينا حكمك, عدل فينا قضاؤك, نسألك اللهم بكل اسم هو لك, سمّيت به نفسك, أو علّمته أحدا من خلقك, أو استأثرت به في علم الغيب عندك, أن ترزقنا الصّحة والسّلامة والعافية والمعافاة الدائمة في الدين والدنيا والأخرة برحمتك يا أرحم الراحمين

Maksudnya;

Ya Allah ! sesungguhnya kami adalah hamba-hambaMu, anak-anak dari hamba-hambaMu.

Ya Rahman ! ubun-ubun kami ada di dalam genggamanMu, telah terdahulu ketetapanMu bagi kami, telah adil qadha dan qadarMu bagi kami, kami meminta dengan nama-namaMu yang telah engkau sebut untuk diriMu atau yang telah engkau ajarkan kepada salah seorang hambaMu atau nama yang engkau rahsiakan dalam ilmuMu yang ghaib, agar engkau kurniakan kepada kami kesihatan dan keselamatan, afiat dan keselamatan yang kekal dalam agama, dunia dan akhirat dengan rahmatMu Ya Allah !, wahai yang paling mengasihi daripada segala yang mengasihani.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri HJ Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment