SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Aug 1, 2009

Peliharalah solat anda

Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog peringatan bagi yang lalai, yang masih setia untuk berkunjung dan mengambil sedikit peringatan kerana setiap manusia tidak lepas daripada sifat lalai.Kadang kala kita lalai dengan urusan dunia maka kita mendapat kerugian di dunia,tetapi kerugian di dunia hanya sedikit sahaja, lalai yang paling besar ialah lalai dengan urusan akhirat, kita lalai daripada melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t dan lalai dengan terus melakukan maksiat kepada Allah s.w.t maka kita akan mendapat kerugian yang sangat besar di akhirat nanti yang tidak boleh ditebus dengan air mata darah sekalipun.

Saya masih lagi nak menulis tentang solat, sambungan daripada artikel lepas “solatlah sebelum kamu disolatkan”.solat yang menjadi tiang agama, perkara yang paling besar dan penting dalam kehidupan seorang muslim tiba-tiba menjadi perkara paling remeh dan tidak penting dalam hidupnya, solat hanya macam keropok sahaja, sekejap ada sekejap tak ada, kadang-kadang solat kerana malu dengan bapa mertua, kadang-kadang tidak solat, kadang-kadang penuh kadang-kadang tak penuh. Inilah reality kehidupan remaja kita pada hari ini, boleh dikatakan 95% daripada mereka tidak solat penuh 5 waktu sehari semalam.

Wahai orang-orang yang meremehkan solat! Adakah kamu tahu apa itu solat?kemudian apakah kamu tahu apa itu solat? Ketahuilah bahawa solat adalah tiang agama, solat adalah salah satu daripada rukun islam yang lima,solat adalah amalan yang pertama yang akan dihisab di hari akhirat, jika solat kamu diterima maka semua amalan kamu yang lain akan diterima, tapi jika solat kamu ditolak maka semua amalan yang lain juga akan ditolak, status islam pada seorang muslim bergantung kepada status solatnya, status keuntungan seorang muslim bergantung kepada status pemeliharaan solatnya. Kata Umar al-Khattab “ Tidak ada keuntungan bagi orang yang meninggalkan solat.

Solat pemisah antara orang beriman dan orang yang kufur,sesiapa tidak pernah menunaikan solat menjadi kafir kerana meninggalkannya.

Sabda nabi s.a.w
“العهد لذي بيننا وبينهم الصلاة فمن تركها فقد كفر”

Maksudnya:
“ Perjanjian antara kita dengan mereka (orang kafir) ialah solat, sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya telah kafir”. (riwayat at-Tirmizi-hadis sohih)

Sabda nabi s.a.w
" بين الرجل وبين الشرك والكفر ترك الصلاة "

Maksudnya:
“ Perbezaan antara manusia dan perbezaan antara syirik dan kufur ialah meninggalkan solat”. (riwayat Muslim)

Mengikut pandangan ahli ilmu sejak dari zaman nabi s.a.w, orang-orang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran sehingga berlalu waktu solat adalah kafir, sehingga berlalu waktu solat ialah melewatkan solat dan solat bukan dalam waktunya.

Mengikut ahlus sunnah waljamaah orang meninggalkan solat tapi masih mengatakan solat itu wajib maka dia menjadi fasik(melakukan dosa besar).Ramai yang tertipu dengan perkataan “FASIK”, oleh itu,jawapan mereka mudah sahaja, tak solat fasik aje, belum kafir lagi…Subhanallah.

Ketahuilah bahawa apabila seorang manusia menjadi dewasa dan matang maka semua perkara yang dilaluinya menjadi dewasa dan matang, oleh itu sesiapa yang sentiasa menjaga solat sejak dari kecil (7 tahun) maka solatnya akan menjadi dewasa dan matang, sebaliknya sesiapa yang tidak menjaga solatnya sejak dari kecil maka solatnya tidak menjadi dewasa dan tidak menjadi matang bersama kedewasaan dan kematangannya. Sebab itu,ramai remaja tua hari ini tidak solat kerana solatnya masih remaja.Mengapa manusia rasa susah dan sukar untuk menunaikan solat?, sedangkan Allah s.w.t telah mempermudahkannya dengan hanya memfardukan solat 5 waktu sahaja sehari semalam bukan 50 waktu.

Wahai orang-orang yang lalai! Di bawah ini ada beberapa panduan yang boleh membantu dengan izin Allah s.w.t untuk memudahkan kita menunaikan solat dan memeliharanya insyaAllah.

1) Ingatlah azab meninggalkan solat , kerana orang yang meninggalkan solat mendedahkan dirinya kepada azab Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t: Maryam:59.
“kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan Yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (ghayya) (dalam neraka),

Mengikut Kaab al-Ahbar : azab yang disebut dalam ayat ini (ghayya) ialah satu lembah dalam neraka Jahannam, jika dialirkan kepada gunung dunia nescaya gunung akan menjadi cair kerana panasnya.

Bayangkan apabila kita bertemu dengan Munkar dan Nakir nanti di alam Barzah, bagaimana bentuk azab yang akan kita terima?cuba lihat pesalah-pesalah dunia yang disebat dengan 20 puluh kali sebatan bagaimana keadaan mereka sewaktu disebat dan selepas disebat,itu baru azab dunia, manusia yang sebat dan hanya menggunakan rotan yang kecil, bagaimana kalau Munkar dan Nakir dan bagaimana bentuk belantam yang digunakan.

2) Menjauhkan diri dari melakukan dosa dan maksiat, kerana dosa dan maksiat akan mengotorkan hati dan melemahkan badan untuk melakukan ibadah kepada Allah s.w.t lebih-lebih lagi ibadah solat.

3) Pilihlah kawan-kawan yang sentiasa menunaikan solat dan memeliharanya, kerana seorang kawan akan mempengaruhi kawannya yang lain, orang yang solat pun kalau berkawan dengan kawan-kawan yang tak solat akhirnya akan meninggalkan solat.

4) Jangan meninggalkan solat sekali-kali, apabila terlupa solat maka biasakan diri mengqada’ solat dengan segera,jangan memberi ruang kepada syaitan untuk melalaikan kita.

5) Jika sudah berumah tangga maka suami isteri perlu bantu membantu memperingatkan antara satu sama lain apabila tiba waktu solat,untuk memudahkan urusan ini, pilihlah isteri atau suami yang soleh.

6) Berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan solat,jika kita tertinggal maka hendaklah mencela diri sendiri atas kelalaian tersebut, sehingga kita menjadi biasa dengan solat di mana sahaja kita berada.

7) Sentiasalah berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah supaya menjadikan kita di kalangan orang-orang yang mendirikan solat, kerana Allah s.w.t akan menerima doa hambanya yang bersungguh-sungguh.

8) Ingatlah kelebihan menunaikan solat,sesungguhnya orang yang menunaikan solat mendapat darjat yang tinggi dalam syurga dan dipermudahkan urusan dunia mereka.


9) Sentiasa menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid dan surau untuk menambahkan ilmu agama dan melembutkan hati.

10) Memperbanyakkan koleksi buku-buku agama lebih-lebih lagi buku kepentingan solat dan balasan orang yang meninggalkan solat.

Sama-sama kita berdoa supaya Allah s.w.t menjadikan kita di kalangan orang-orang yang mendirikan solat dan memelihara waktu solat insyaAllah.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Jul 26, 2009

Solatlah sebelum anda disolatkan


Assalamualaikum kepada semua pengunjung yang masih mengziarahi blog saya, terima kasih atas perhatian dan sokongan anda,semoga Allah s.w.t akan memberi kekuatan kepada saya untuk terus menulis dan memberi peringatan kepada yang lalai. Ramai sahabat dan pengunjung menanti dan menunggu artikel-artikel terbaru dari blog ini,tapi tak muncul-muncul juga, rasa dah 2 bulan lebih tidak dikemaskini.Insyaallah selepas ini saya akan cuba menulis sedikit peringatan terutama untuk diri saya sendiri yang mungkin lalai dari ingat kepada Allah s.w.t.

Sepanjang bulan julai ini bermula 16 hingga 31 Julai saya sibuk dengan ceramah Isra' dan Mi'raj, lebih kurang 20 sesi ceramah yang perlu diselesaikan, insyaallah mudah-mudahan saya dapat memberikan sesuatu kepada umat Islam kefahaman tentang falsafah isra' dan mi'raj ini, supaya ia bukan sahaja disambut sebagai satu adat dan budaya sahaja tetapi perlu menghayati dan menjiwai serta mengambil pengajaran daripadanya.

Sedikit perkongsian saya pada kali ini, setelah sekian lama menyepi tanpa berita ialah perkara yang paling penting dalam peristiwa besar isra' dan mi'raj iaitu misi nabi s.a.w mengadap Allah dan menerima fardu solat.Cara Allah s.w.t mengfardukan solat tidak sama dengan fardu yang lain dalam rukun Islam. Fardu yang lain Allah s.w.t turunkan ayat al-Quran kepada nabi melalui Jibril a.s, tapi solat nabi dipanggil mengadap Allah di Sidratul muntaha yang tidak pernah dikunjungi oleh nabi-nabi dan rasul-rasul sebelumnya bahkan Jibril sekalipun.Ini menunjukkan pentingnya solat dalm kehidupan seorang Muslim. Kewajipan solat tak pernah gugur dan tak boleh diganti pada waktu-waktu yang lain, berbanding dengan puasa yang boleh diganti pada hari lain jika kita musafir atau sakit, begitu juga Haji dan Umrah tidak perlu dilakukan jika tidak ada kemampuan, begitu juga zakat tidak perlu ditunaikan jika tidak cukup nisabnya.Tapi solat samaada kita bermukim atau musafir, sihat atau sakit, panas atau hujan, ribut atau taufan selagi kita sedar dan tidak gila maka ia tetap perlu dilakukan, kerana solat adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat maka sesungguhnya dia telah mendirikan agama, sesiapa yang meninggalkan solat maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama.

Walaupun pada peringkat awal, nabi s.a.w menerima fardu solat sebanyak 50 waktu, tetapi akhirnya dikurangkan sehingga 5 waktu dan pahalanya tetap 50 waktu sebab setiap kebajikan akan dibalas sepuluh kali ganda sekurang-kurangnya.Jika sekiranya solat 50 waktu ini tidak dikurangkan maka kita wajib solat setiap 30 minit satu solat. Alhamdulillah kita hanya perlu solat 5 waktu sahaja sehari semalam kalau dihimpunkan semuanya hanya mengambil masa 30 minit sahaja untuk 5 waktu,kita masih ada 23 jam 30 minit untuk menguruskan dunia.Tapi berapa orang sahaja yang mengingati Allah 5 kali sehari melalui solatnya? ramai di kalangan orang yang mengaku islam tidak genap solat mereka 5 kali sehari.Cuba tanya remaja kita hari ini, siapa yang solat 5 waktu penuh sehari semalam? jawapannya tidak, ada yang solat 4, ada yang 3, ada yang 2, ada yang satu sahaja, paling banyak tidak solat langsung atau yang disebut sebagai jamak takyah(tak payah)semua waktu tak payah solat.Ini melalui pengalaman saya berceramah di sekolah-sekolah, institusi-institusi dan jabatan-jabatan kerajaan, apabila saya bertanya kepada mereka, maka begitulah jawapannya.

Sebab itu dalam perjalanan nabi s.a.w bersama Jibril a.s. sebelum menerima fardu solat, nabi s.a.w sudah ditunjukkan satu kumpulan manusia yang kerja mereka memecahkan kepala sehingga pecah berderai dan berdarah kemudian baik semula kemudian dipecahkan lagi, begitulah seterusnya azab yang dikenakan kepada mereka.Ini simbolik kepada orang yang berat kepala mereka untuk menunaikan solat.
Kita lihat hari ini betapa beratnya seorang manusia muslim untuk menunaikan solat tapi dalam masa yang sama dia boleh melakukan perkara lain.Ada orang boleh bangun malam untuk menonton bolasepak, tapi tak sanggup untuk solat Tahajjud, ada orang boleh shoping berjam-jam tapi tak boleh solat walaupun 5 minit, ada orang boleh meeting berjam-jam tapi lupa waktu solat, ada orang boleh berkaraoke 10 lagu 20 lagu tapi solat....?Cuba perhatikan apabila anda berkursus, apabila waktu rehat tengahari, selepas makan dan minum berapa orang yang berkursus itu menunaikan solat? tak ramai, boleh bilang dengan jari, apabila ditanya kenapa tak solat? jawapannya : tak ada dalam tentatif program, dalam tentatif yang ada ialah rehat/makan/minum sahaja solat tidak diletakkan, sebab itu kena letakkan dalam tentatif program perkataan solat untuk peringatan bagi yang lalai. Kita jalan-jalan cari makan di restauran atau gerai-gerai makan, berapa ramai yang solat? samaada pelanggan atau peniaga, sama saja, jamak takyah.Kita pergi ke stadium menyaksikan perlawanan bolasepak dan sebagainya, berapa ramai penonton yang solat di surau yang disediakan di stadium tersebut? bagaimana pula dengan pemain? jawablah sendiri.

Sempena dengan isra' dan mi'raj tahun ini, sama-samalah kita memberi penekanan kepada solat, kerana solat adalah mi'rajul mu'min.belajarlah ilmu berkaitan solat, hadirilah kuliah-kuliah maghrib, subuh, ceramah-ceramah, forum-forum agama untuk menambahkan ilmu agama kita masing-masing.Pengabaian terhadap solat berlaku disebabkan gagalnya ibubapa menunaikan tanggungjawab mendidik anak-anak. Nabi s.a.w mengarahkan ibubapa mendidik anak-anak solat sejak berumur tujuh tahun dan memukul anak-anak dengan tujuan mendidik ketika mereka berumur 10 tahun.Adakah anda sudah menunaikan tanggungjawab tersebut? adakah anda sudah mengarahkan anak-anak solat sewaktu umur mereka tujuh tahun? adakah anda pernah memukul mereka kerana tak solat sewaktu umur mereka 10 tahun?sila jawab sebelum disoal oleh Allah s.w.t.Insyaallah jumpa lagi.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj abdullah
Peringatan bagi yang lalai

May 9, 2009

Ibu oh Ibu

10 May adalah Hari Ibu yang disambut di Malaysia. Walaupun Islam hanya ada Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha sahaja yang disambut oleh orang Islam di seluruh dunia, tidak ada hari-hari kebesaran yang lain, namun jika sekiranya perlu mengadakan sambutan hari ibu untuk memberi kesedaran kepada anak-anak yang mungkin makin hari makin melupakan hak-hak seorang ibu yang perlu ditunaikan, maka baik juga kita mengambil kesempatan ini untuk memberi peringatan kepada yang lalai khususnya kepada anak-anak yang melupakan jasa dan pengorbanan ibubapa mereka.

Di antara perkara yang paling penting ialah kita perlu mengetahui apakah hak-hak dua ibubapa? Supaya kita tidak melanggar hak-hak tersebut yang boleh menyebabkan kita boleh dicap sebagai anak derhaka.

Di antara pesan nabi s.a.w supaya anak-anak melakukan kebaikan kepada dua ibubapa ialah;

1- Reda Allah terletak kepada keradaan ibubapa

Sabda nabi s.a.w
“ Reda Allah terletak reda kedua ibubapa dan kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan kedua ibubapa”.

2- Berbuat baik kepada ibubapa mendahului berjihad di jalan Allah s.w.t

Seorang lelaki bertemu dengan nabi s.a.w lalu bertanya, “Bolehkah saya berjihad? Nabi bertanya; “adakah kamu ada ibubapa? Jawab lelaki tersebut; “ya, ada. Maka nabi bersabda berjihadlah kamu dengan menjaga keduanya”. (Riwayat Bukhari)

Ibu diberi sedikit kelebihan oleh Islam untuk lebih diberi perhatian oleh anak-anak.

Imam Bukhari melaporkan dari Abu Hurairah r.a berkata;

“Datang seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w; “Ya Rasulallah! siapakah yang lebih berhak untuk aku melakukan kebaikan kepadanya? Jawab nabi s.a.w, “ibumu, dia bertanya lagi, “siapa pula selepas itu? Jawab nabi ibumu, bertanya lagi, “siapa pula selepas itu? Jawab nabi ibumu, bertanya lagi, “siapa pula selepas itu? Jawab nabi bapamu.

Ibnu Kathir melaporkan dalam tafsirnya dari Sulaiman Bin Buraidah dari bapanya;

“Seorang lelaki melakukan Tawaf sambil mendukung ibunya, lalu dia bertanya kepada nabi adakah dia telah menunaikan hak ibunya? jawab nabi, “ tidak, tidak walaupun satu kesakitan yang pernah ditanggung oleh ibumu sewaktu mengandungkanmu”.

Sebab Islam melebihkan ibu daripada bapa ialah

1) Ibu mengandung, melahirkan, menyusukan, mengurus keperluan anak dan mendidik anak lebih daripada bapa.

2) Ibu sebagai wanita, diberi perasaan lebih mengasihi dan menyintai anak lebih daripada bapa, sebab itu anak-anak lebih manja dengan ibu berbanding bapa mereka.

Sempena dengan hari ibu ini, di sini saya perturunkan beberapa adab yang perlu diajar kepada anak-anak dan dilakukan oleh mereka untuk menunaikan hak kepada ibu bapa mereka.

1- Taat dan patuh kepada setiap arahan ibubapa kecuali perkara maksiat.

2- Bercakap dengan ibubapa secara lembut dan sopan

3- Bangun menghormati ibubapa apabila mereka masuk ke rumah

4- Mencium tangan ibubapa pagi dan petang dan hari-hari tertentu

5- Menjaga marwah dan harta ibubapa

6- Memuliakan dan memberi apa yang diminta oleh ibubapa

7- Bermesyuarat dalam segala urusan dengan ibubapa

8- Memperbanyakkan doa dan istighfar untuk ibubapa

9- Membantu ibubapa tanpa disuruh

10- Tidak mengangkat suara yang tinggi di hadapan mereka

11- Tidak menyampuk ketika mereka sedang bercakap

12- Tidak keluar dari rumah jika tidak diizinkan

13- Tidak mengganngu ibubapa yang sedang tidur

14- Tidak melebihkan isteri dan anak-anak daripada ibubapa

15- Tidak menghina ibubapa jika mereka melakukan perkara yang kita tidak suka

16- Tidak ketawa di hadapan mereka jika tidak ada perkara yang perlu

17- Tidak mengambil makanan yang ada di hadapan ibubapa kecuali dengan izin

18- Tidak tidur di hadapan ibubapa sewaktu mereka sedang duduk kecuali dengan izin

19- Tidak melunjurkan kaki di hadapan ibubapa

20- Tidak boleh masuk dahulu dan berjalan di hadapan mereka

21- Segera menjawab apabila dipanggil oleh ibubapa

22- Menghormati kawan-kawan ibubapa waktu mereka masih hidup atau selepas kematian mereka

23- Tidak memanggil ibubapa dengan nama mereka

24- Tidak memanjat atau menaiki tempat yang melintasi kepala mereka

25- Sering berdoa kepada ibubapa lebih-lebih lagi selepas kematian mereka.

Mudah-mudahan adab-adab ini dapat diberi perhatian oleh ibubapa untuk disampaikan kepada anak-anak, begitu juga anak-anak, harap dapat menjaga adab-adab ini supaya kita tidak digelar sebagai anak yang derhaka.Insyaallah jika pendidikan yang berterusan diberikan kepada anak-anak, kita tidak perlu lagi kepada hari ibu, kerana setiap hari perlu kita melakukan kebaikan kepada ibubapa dan insyaallah tidak ada lagi anak-anak yang akan menghantar ibubapa mereka ke rumah kebajikan masyarakat.



Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

May 6, 2009

Buanglah selimutmu

Firman Allah s.w.t : al-Muzzammil :1-3

1. Wahai orang Yang berselimut!.
2. bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),
3. Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

Perintah solat Tahajjud

Allah s.w.t menyeru orang yang berselimut untuk bangun menunaikan solat malam (Tahajjud dan lain-lain) walaupun yang dimaksudkan orang yang berselimut itu ialah nabi Muhammad s.a.w, tapi dalam konteks yang lebih luas ia bererti orang yang dirundung malang, kegelisahan, kecemasan, kekhuatiran atau kengerian, kerana menghadapi pelbagai kesusahan dan kemungkinan yang menimpa dirinya.

Al-quran melalui surah al-Muzzammil ayat 2 menawarkan penyelesaian bagi menghilangkan segala perasaan yang negatif itu, dengan mengarahkan supaya bangun melakukan solat pada malam hari kecuali sedikit daripadanya.

Wahai orang yang ditimpa kesusahan! Buanglah selimutmu itu, dengan cara mengambil wuduk kemudian solatlah, kamu pasti mendapat kekuatan dan bebas daripada rasa sedih dan bimbang.

Bangunlah pada separuh malam atau boleh dikurangi sedikit atau dilebihkan sedikit. Dikurangi sedikit ertinya pada waktu 2/3 malam, dilebihkan sedikit ertinya 1/3 malam. Ini jelas dalam firman Allah s.w.t di penghujung surah;


Firman Allah s.w.t : al-Muzzammil :20

“Sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya Engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya….”.

Untuk mengira 2/3 malam, ½ malam dan 1/3 akhir malam adalah berbeza antara negara, negeri dan tempat. Di sini saya turunkan contoh pengiraan sebagai panduan kita bersama;


Untuk mengira ½ malam atau pertengahan malam

1- pastikan waktu terbenam matahari dan waktu terbit fajar

2- kira berapa jam antara waktu terbenam matahari dan terbit fajar

3- kemudian bahagi dengan dua

4- seterusnya tambahkan jumlah tersebut ke atas waktu terbenam matahari


contoh pengiraan

katakan waktu terbenam matahari pukul 6 malam dan waktu subuh pukul 5 pagi.

Tempoh antara keduanya ialah 11 jam.

11 jam bahagi dua samajuga 5 jam setengah.

5 jam setengah ditambah ke atas waktu terbenam matahari (6 tambah 5 setengah)

Ertinya separuh malam bagi tempat tersebut ialah bermula pukul 11.30 malam.


Untuk mengira 1/3 akhir malam

1- pastikan waktu terbenam matahari dan waktu terbit fajar

2- kira berapa jam antara waktu terbenam matahari dan terbit fajar

3- kemudian bahagi dengan tiga

4- seterusnya tolak jumlah tersebut daripada waktu terbit fajar


contoh pengiraan

katakan waktu terbenam matahari pukul 6 malam dan waktu subuh pukul 5 pagi.

Tempoh antara keduanya ialah 11 jam.

11 jam bahagi tiga samajuga 3 jam 40 minit

3 jam 40 minit ditolak daripada waktu terbit fajar (pukul 5 pagi tolak 3 jam 40 minit)

Ertinya 1/3 akhir malam bagi tempat tersebut ialah bermula pukul 12.20 pagi.


Untuk mengira 2/3 malam


1- pastikan waktu terbenam matahari dan waktu terbit fajar

2- kira berapa jam antara waktu terbenam matahari dan terbit fajar

3- kemudian bahagi dengan tiga

4- waktu dua bahagian pertama ialah 2/3 malam


contoh pengiraan

katakan waktu terbenam matahari pukul 6 malam dan waktu subuh pukul 5 pagi.

Tempoh antara keduanya ialah 11 jam.

11 jam bahagi tiga samajuga 3 jam 40 minit (dua bahagian pertama 3 jam 40 x 2 =7 jam 20 minit)

Ertinya antara pukul 6 malam hingga 1.30 pagi adalah waktu 2/3 malam)


Dari sini kita dapat buat kesimpulan bahawa solat kurang daripada 2/3 malam ertinya ialah antara maghrib hingga 11 malam, solat separuh malam ialah antara pukul 11 malam hingga pukul 12 malam dan solat 1/3 akhir malam ialah antara 12.30 hingga waktu subuh.

Waktu paling utama untuk melakukan qiyamullail ialah 1/3 akhir malam, mungkin kita lakukan pada jam 3 pagi atau 4 pagi atau sebelum sedikit daripada waktu subuh. Ini kerana sabit daripada hadis riwayat imam Bukhari dan imam Muslim yang bermaksud;

‘ Tuhan kita (Allah s.w.t) turun setiap malam kelangit dunia ketika 1/3 malam yang terakhir sambil berkata; “sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku perkenankan, sesiapa meminta kepadaku pasti aku berikan dan sesiapa yang meminta ampun dariku pasti aku ampunkan”.

Oleh itu, setiap muslim dan muslimah perlu merebut peluang beribadah di akhir malam ini untuk mendapatkan kelebihan segala permintaan akan diperkenankan oleh Allah s.w.t di samping dapat menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.

Tetapi waktu beginilah kita sentiasa lalai dan diulit mimpi indah sehingga kadang-kadang subuh pun terlepas, tetapi yang peliknya kita sanggup bangun waktu-waktu 1/3 malam begini untuk menonton piala eropah atau piala dunia khususnya kita di Malaysia.kenapa kita sanggup menghabiskan masa dua tiga jam di hadapan TV tapi tidak sanggup untuk menggunakan masa tersebut untuk rukuk dan sujud kepada Allah s.w.t , berdoa dan meminta keampunan kepada Allah s.w.t yang sentiasa bersedia untuk memberi keampunan kepada kita. Jawapannya kita termasuk dalam kumpulan manusia lalai dan lupa kepada Allah s.w.t. walaubagaimanapun tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk menonton perlawanan bolasepak jika kita sering bangun malam untuk beribadah dan menonton hanya kebetulan sahaja setelah kita menunaikan solat-solat sunat.

Ayuh wahai saudara-saudaraku! kita tidak lepas daripada masalah dalam kehidupan, sepanjang waktu siang kita bekerja dan melakukan urusan dunia, dalam masa itu kita akan menghadapi pelbagai masalah samada kecil ataupun besar, apa salahnya pada waktu akhir malam kita bangun dan bermunajat kepada Allah s.w.t mengadu segala kelemahan diri dan mudah-mudahan mendapat kekuatan dari Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t :al-Muzzammil :7-8

7. (Kami galakkan Engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana Sesungguhnya Engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan Yang panjang kira bicaranya;


8. dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya Dengan sebulat-bulat tumpuan.


Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Apr 30, 2009

Selsema Khinzir

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah : 173

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Firman Allah s.w.t : al-Maaidah : 3

“diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang Yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang Yang disembelih kerana Yang lain dari Allah, dan Yang mati tercekik, dan Yang mati dipukul, dan Yang mati jatuh dari tempat Yang tinggi, dan Yang mati ditanduk, dan Yang mati dimakan binatang buas, kecuali Yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan Yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib Dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik”.

Antara perkara yang diharamkan oleh al-Quran ialah daging khinzir dan segala produk yang berkaitan dengan khinzir, hanya khinzir binatang haram yang disebut secara khusus dalam al-Quran. Sebagai umat Islam yang beriman dengan Allah dan kitab al-Quran kita mesti memahami dan menyedari bahawa setiap apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t ada rahsia dan hikmahnya.

Seperti yang diketahui umum , wabak Selsema khinzir sedang melanda
Mexico dan Amerika Utara beberapa hari lepas. 81 orang maut di Mexico ,
menjangkiti 12 orang di Amerika Syarikat dan buat pertama kalinya pihak
berkuasa di New Zealand mengesahkan 10 pelajar negara berkenaan yang baru
pulang dari Mexico menghidap selesema khinzir dan terpaksa dikuarantin sebagai
langkah berjaga-jaga.

Penyakit dan jangkitan daripada Khinzir

Daniel S. Shapiro, M.D Pengarah Clinical Microbiologi Laboratories, boston Midical Center, merumuskan terdapat lebih daripada 25 penyakit yang boleh dijangkiti daripada khinzir antaranya adalah Influenza.

Jangkitan kuman virus Influenza pada tahun 1918 membunuh lebih kurang 20 juta manusia di seluruh dunia, ada yang menganggarkan jumlah sebenar 40 juta orang. Kajian ke atas spesimen-spesimen mangsa menunjukkan punca wabak ini adalah daripada kuman virus khinzir.

Wabak pada 1957 yang dikenali sebagai Asian flu dan wabak yang menyerang Hong Kong pada tahun 1968 kemungkinan datang daripada binatang ternakan sebelum menjangkiti khinzir. Di dalam khinzir virus ini berubah menjadi lebih bahaya sebelum menjangkiti manusia.

Khinzir mengubah virus ke tahap lebih bahaya

Di dalam Journal of Virology 1997, kajian dilakukan 12 orang pakar yang dipimpin oleh Dr Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin mendapati bahawa pada kerongkong khinzir terdapat sel-sel khusus yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang lebih berbahaya kepada manusia. Pakar-pakar Sains menganggap khinzir sebagai “mixing vessel” atau tempat pelbagai kuman dikumpulkan untuk diubah kepada bentuk yang berbahaya. Menurut kajian ini, virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia bertukar menjadi kuman yang berbahaya yang menjangkiti manusia selepas memasuki sel-sel di dalam khinzir ini.

Penemuan-penemuan ini mampu memberi jawapan kepada punca wabak penyakit demam selsema flu yang menyerang dan membunuh jutaan manusia di dunia. Tambahan daripada itu, BBC News bertarikh 29 Oktober 1999 melaporkan penemuan ahli-ahli sains yang menunjukkan virus khinzir menjadi punca wabak yang paling teruk di dalam sejarah dunia moden pada tahun 1918.virus daripada keluarga HIV juga wujud di dalam khinzir yang dibawa oleh DNAnya dan ia tidak boleh dipisahkan.

Apa yang penting yang perlu kita belajar dan sebagai peringatan bagi yang lalai ialah betapa agama Islam dan al-Quran dan perutusan nabi s.a.w adalah sangat benar dan tidak ada keraguan lagi. Al-Quran yang menjadi kitab petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa tidak ada keraguan di dalamnya.

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah : 2

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa”

Oleh itu apa sahaja yang disuruh oleh al-Quran wajiblah kita melakukannya begitu juga apa yang ditegah dan dilarang oleh al-Quran wajib pula kita menjauhinya walaupun kita tidak tahu apa hikmahnya. Percayalah hikmah disebalik suruhan dan larangan Allah s.w.t pasti akan terbongkar kebenarannya suatu hari nanti.

Di samping kita berdoa mudah-mudahan wabak ini tidak singgah di Negara kita dan dijauhkan daripada bala dan ujian Allah s.w.t.

Doa mohon keselamatan,kesihatan dan tolak bala

اللهم إنا نحن عبيدك يا الله, وأبناء عبيدك يا رحمن, نواصينا في يدك, ماض فينا حكمك, عدل فينا قضاؤك, نسألك اللهم بكل اسم هو لك, سمّيت به نفسك, أو علّمته أحدا من خلقك, أو استأثرت به في علم الغيب عندك, أن ترزقنا الصّحة والسّلامة والعافية والمعافاة الدائمة في الدين والدنيا والأخرة برحمتك يا أرحم الراحمين

Maksudnya;

Ya Allah ! sesungguhnya kami adalah hamba-hambaMu, anak-anak dari hamba-hambaMu.

Ya Rahman ! ubun-ubun kami ada di dalam genggamanMu, telah terdahulu ketetapanMu bagi kami, telah adil qadha dan qadarMu bagi kami, kami meminta dengan nama-namaMu yang telah engkau sebut untuk diriMu atau yang telah engkau ajarkan kepada salah seorang hambaMu atau nama yang engkau rahsiakan dalam ilmuMu yang ghaib, agar engkau kurniakan kepada kami kesihatan dan keselamatan, afiat dan keselamatan yang kekal dalam agama, dunia dan akhirat dengan rahmatMu Ya Allah !, wahai yang paling mengasihi daripada segala yang mengasihani.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri HJ Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Apr 12, 2009

Nyanyian atau Zikir

Dah dua minggu lebih rasanya tidak menulis artikel yang boleh memberi sedikit motivasi keagamaan di ruangan ini, oleh kerana ada beberapa program penting perlu dibereskan dan kekangan jadual kuliah yang terlalu padat sehingga tidak ada ruang untuk menulis. Namun begitu mudah mudahan para pengunjung dapat mengambil manfaat daripada artikel-artikel yang sudah ditulis sebelum ini.

Sewaktu saya dan dua orang sahabat dalam perjalanan balik dari satu program keagamaan kami singgah sekejap di sebuah kedai makan untuk mengisi sedikit perut sambil berbincang hal-hal dakwah. Kebetulan waktu itu, TV sedang menayangkan siaran langsung satu program reality TV akademi fantasia 7. seorang peserta perempuan sedang menyanyi waktu itu, tiba-tiba sahabat saya (seorang ustaz SMKA) berkata “ Masyaallah! Pelajar saya tu, baru habis SPM, dulu waktu di sekolah dia penyanyi nasyid pernah wakil sekolah tapi sekarang……….

Ini satu di antara ribuan, mungkin jutaan kisah yang berlaku, persoalan pertama saya ialah kalau pelajar-pelajar SMKA boleh terlibat dengan program ini, bagaimana pula dengan pelajar-pelajar bukan SMKA. Bukan bererti pelajar SMKA ini maksum (tak melakukan dosa), tapi inikah generasi yang kita nak lahirkan dari sekolah yang beridentiti agama?

Dalam persoalan kedua ialah tak bolehkah menyanyi? Tak bolehkah berhibur? Dan tak bolehkah menjadi penghibur?

Menyanyi tidak haram secara mutlak dan tidak juga harus secara mutlak. Namun di situ ada beberapa ikatan yang harus kita perhatikan sehubungan dengan masalah nyanyian ini, iaitu:

1. Nyanyian itu harus diperuntukkan buat sesuatu yang tidak bertentangan dengan etika dan ajaran Islam. Oleh karena itu kalau nyanyian-nyanyian tersebut penuh dengan pujian-pujian terhadap arak dan menganjurkan orang supaya minum arak, misalnya, maka menyanyikan lagu tersebut hukumnya haram, dan si pendengarnya pun haram juga. Begitulah nyanyian-nyanyian lain yang dapat dipersamakan dengan itu.

2. Mungkin subjek nyanyian itu sendiri tidak menghilangkan pengarahan Islam, tetapi cara menyanyikan yang dilakukan oleh si penyanyi itu beralih dari lingkungan halal kepada Ingkungan haram, misalnya lenggang gaya dengan suatu kesengajaan yang dapat membangkitkan nafsu dan menimbulkan fitnah dan perbuatan cabul.

3. Sebagaimana agama akan selalu memberantas sikap berlebih-lebihan dan kesombongan dalam segala hal sampai pun dalam beribadah, maka begitu juga halnya berlebih-lebihan dalam hiburan dan menghabiskan waktu untuk berhibur, padahal waktu itu sendiri adalah bererti kehidupan!

Tidak dapat diragukan lagi, bahwa berlebih-lebihan dalam masalah yang mubah (harus)dapat menghabiskan waktu untuk melaksanakan kewajiban-kewajiban. Maka tepatlah kata ahli hikmah: "Tidak pernah saya melihat satu perbuatan yang berlebih-lebihan, melainkan di sebalik itu ada satu kewajiban yang terabai."

4. Tinggal lagi ada beberapa hal yang seharusnya setiap pendengarnya itu sendiri yang memberitahu kepada dirinya sendiri, iaitu apabila nyanyian atau satu macam nyanyian itu dapat membangkitkan nafsu dan menimbulkan fitnah serta nafsu kebinatangannya itu dapat mengalahkan segi rohaniahnya, maka dia harus menjauhi nyanyian tersebut dan dia harus menutup pintu yang dari situlah angin fitnah akan menghembus, demi melindungi hatinya, agamanya dan budi luhurnya. Sehingga dengan demikian dia dapat tenang dan gembira.

5. Di antara yang sudah disepakati, bahwa nyanyian yang disertai dengan perbuatan-perbuatan haram lainnya seperti: di persidangan arak, dicampur dengan perbuatan cabul dan maksiat, maka di sinilah yang oleh Rasulullah s.a.w. pelakunya, dan pendengarnya diancam dengan siksaan yang sangat dasyat, iaitu sebagaimana sabda nabi s.a.w:

"Sungguh akan ada beberapa orang dari ummatku yang minum arak, mereka namakan dengan nama lain, kepala mereka itu bisa dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan nyanyian-nyanyian, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu kedalam bumi dan akan menjadikan mereka itu seperti kera dan babi." (Riwayat Ibnu Majah)

Rujuk http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/40349.html

Tambahan pula, nyanyian yang berlaku hari dengan keadaan penyanyi yang tidak menutup aurat di hadapan lelaki yang bukan mahramnya adakah ini kita nak menghukumkannya sebagai harus? Saya serahkan kepada anda untuk menjawabnya, saya bukan seorang mufti untuk mengeluarkan fatwa.

Saudara dan saudariku sekelian!

Sampai bila kita nak keluar dari sifat lalai?

Ayuh ingat Allah dan puji Allah…selagi kita diberi kesempatan umur yang ada, ini menunjukkan Allah masih kasih kepada kita, berapa ramai yang sudah mati meninggalkan kita tanpa sempat bertaubat? Dan berapa ramai pula yang mati ketika sedang menyanyi? Adakah ini dikira mati dalam imaaan? Sesungguhnya anda telah menipu diri sendiri jika mengatakan menyanyi boleh boleh memberi ketenangan dan kebahagian kepada diri anda.

Ibnu Mas,uud pernah berkata;

“Nyanyian menumbuhkan sifat munafik dalam hati, seperti hujan menumbuhkan tanaman. Manakala zikir menumbuhkan iman seperti hujan menumbuhkan tanaman”.

Sesungguhnya nyanyian melalaikan hati dan menghalang kita memahami al-Quran dan beramal dengannya kerana al-Quran dan nyanyian yang bercanggah dengan Islam tidak akan dapat bertemu dalam hati seorang manusia selama-lama.al-Quran mengarahkan kita supaya tidak mengikut hawa nafsu manakala nyanyian sebaliknya.

Berapa ramai orang yang begitu asyik menyanyi mati dalam keadaan bibirnya mengulang-ngulang lirik-lirik lagu yang dihafaz bukan kalimah “La ilaha illallah”. Dan ini merupakan puncak kehinaan kerana melakukan maksiat kepada Allah dan mengikut telunjuk Syaitan.

Cuba ambil iktibar dari kisah benar yang dicerikan oleh seorang pemandi mayat;

“ saya memandikan jenazah seorang pemuda yang nampak jelas pada wajahnya yang hitam, tanda banyak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t., apabila selesai dimandikan saya melihat cecair yang pelik keluar dari telinganya, ia bukan darah tapi seakan-akan nanah yang keluar secara berterusan, saya belum pernah melihat keadaan begini sebelum ini,saya menunggu 5 minit hingga 15 minit tapi ia tetap keluar berterusan sehingga memenuhi tempat pemandian… Subhanallah !... dari mana datang nanah ini? Oleh kerana ia tidak berhenti maka terus dikafan sahaja, nanah berterusan keluar sehingga dikebumikan ke liang lahad”.

Siapa pemuda ini? Apabila ditanya kepada warisnya, mereka menceritakan bahawa pemuda ini suka mendengar lagu-lagu yang melalaikan siang malam pagi dan petang, sehingga apabila diberikan kepadanya kaset-kaset atau CD al-Quran dan kuliah agama semuanya digunakan untuk copy lagu-lagu nyanyian.

Tidak semua jenazah orang suka menyanyi akan jadi begitu, ini antara pengajaran yang perlu diambil oleh kita semua, supaya kita boleh berubah dari melafazkan kata-kata yang tidak berfaedah kepada melagukan al-Quran dan zikir kepada Allah s.w.t.

Saudara dan saudariku sekelian!

Berazamlah untuk meninggalkan nyanyian yang melalaikan.

Tukar CD atau VCD lagu-lagu yang melalaikan kepada al-Quran dan ceramah-ceramah agama.

Sibukkan diri apabila tiba masa lapang dengan….

-memperbanyakkan membaca al-Quran

-menjauhkan diri dari pusat-pusat hiburan, dekatkan diri dengan masjid.

-ingatlah kesan negatif nyanyian, yang akan mengeraskan hati.

-memperbanyak zikir, tasbih dan istighfar

-ingat bahawa mati boleh datang ketika anda sedang menyanyi atau mendengar nyanyian.

-membaca fatwa-fatwa ulama tentang nyanyian dan hiburan supaya boleh mencari hiburan alternatif.

-membaca dan mengambil iktibar dari kisah taubat penyanyi dan pelakon dunia.

Ayuh ! sekaranglah waktunya untuk kita beristighfar dan bertaubat kepada Allah sebelum dosa kita bertambah dan datang kematian secara tiba-tiba, hari-hari yang berlalu mengurangkan umur dan menambah dosa, ingat nyanyian tidak boleh membantu sewaktu di dalam kubur, tidak juga ketika kita dihisab di mahsyar.

Sampaikan nasihat ini kepada sesiapa sahaja.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Mar 24, 2009

Wanita dan Tabarruj

Apabila saya menemani isteri untuk membeli kain di beberapa kedai sekitar Bandaraya Kuching (begitu juga di tempat-tempat lain) pandangan saya tertumpu kepada bermacam-macam ragam manusia (bukan tidak menjaga pandangan mata,tetapi untuk muhasabah agama) lebih-lebih lagi kaum wanita samada muslimah atau non muslimah. Penampilan pakaian dan gaya yang pelbagai, sehingga tidak ada perbezaan lagi manakah wanita muslimah dan yang mana pula wanita non muslimah, kalaulah saya nak menghukum dengan hanya pada pandangan zahir semata-mata boleh dikatakan semuanya non muslimah berdasarkan pakaian yang dipakai, termasuk wanita muslimah yang bertudung dengan tudung-tudung yang pelbagai yang boleh dikatakan sembilan puluh persen cara bertudung dan berpakaian mereka tidak menepati garis panduan syara’. Apabila melihat jenis-jenis kain yang dijual dan jenis-jenis tudung, sekali lagi saya menggelengkan kepala, kebanyakan kain dan tudung terlalu nipis dan menampakkan aurat apabila dipakai, sekalai lagi wanita muslimah kita gagal mematuhi garis panduan syara’.

Siapa yang nak disalahkan? Penjual kain atau tudung? Atau trend masa kini? Atau kejahilan umat islam yang tidak mendalami dan ambil peduli dengan agama sehingga menyebabkan mereka berpakaian mengikut trend semasa yang terang-terang menyalahi syariat islam, ingatlah bahawa kejahilan adalah musuh utama umat islam. Cara berpakaian yang tidak menepati garis panduan syara’ disebut sebagai Tabarruj (menampakkan perhiasan yang diharamkan).

Untuk berkongsi ilmu dengan muslimah-muslimah sekelian di sini saya menukilkan beberapa garis panduan yang dipetik daripada kitab halal dan haram dalam Islam oleh prof Dr Yusuf al-Qaradhawi mudah-mudahan dapat dijadikan panduan dalam berpakaian mengikut kaedah yang betul.

Tabarruj (Menampak-nampakkan Perhiasan) adalah Haram

Seorang muslimah mempunyai budi pekerti yang dapat membezakan dari perempuan kafir atau perempuan jahiliah. Budi pekerti perempuan muslimah ialah pandai menjaga diri, tunduk, terhormat dan pemalu.

Berbeza dengan perempuan jahiliah, akhlak dan moralnya ialah mudah menunjuk-nunjukkan perhiasannya (tabarruj) dan suka menarik perhatian laki-laki.

Arti tabarruj yang sebenarnya ialah: membuka dan menampakkan sesuatu untuk dilihat mata. Mahligai disebut buruj seperti ayat yang mengatakan burujim musyyadah, tempat perjalanan bintang juga disebut buruj, karena tingginya dan tampak jelas oleh orang-orang yang melihatnya.

Zamakhsyari berkata: "Bahwa tabarruj itu ialah memaksa diri untuk membuka sesuatu yang seharusnya disembunyikan." Seperti kata orang Arab: safinatun barij (perahu yang tidak pakai atap).

Namun tabarruj dalam ayat di atas adalah khusus untuk perempuan terhadap laki-laki lain, yaitu mereka nampakkan perhiasannya dan kecantikannya.

Dalam mengertikan tabarruj ini, Zamakhsyari menggunakan unsur baru, yaitu: takalluf (memaksa) dan qashad (sengaja) untuk menampakkan sesuatu perhiasan yang seharusnya disembunyikan. Sesuatu yang harus disembunyikan itu ada kalanya suatu tempat di badan, atau gerakan anggota, atau cara berkata dan berjalan, atau perhiasan yang biasa dipakai berhias oleh orang-orang perempuan dan lainlain.

Tabarruj ini mempunyai bentuk dan corak yang bermacam-macam yang sudah dikenal oleh orang-orang banyak sejak zaman dahulu sampai sekarang.

Ahli-ahli tafsir dalam menafsirkan ayat yang mengatakan:

"Dan tinggallah kamu (hai isteri-isteri Nabi) di rumah-rumah kamu dan jangan kamu menampak-nampakkan perhiasanmu seperti orang jahiliah dahulu." (Ahzab: 33)

sebagai berikut:

• Yujahid berkata: Perempuan ke luar dan berjalan di hadapan laki-laki.

• Qatadah berkata: Perempuan yang cara berjalannya dibuat-buat dan menunjuk-nunjuk.

• Muqatil berkata: Yang dimaksud tabarruj, yaitu melepas kudung dari kepala dan tidak diikatnya, sehingga kalung, subang dan lehernya tampak semua.

Cara-cara di atas adalah daripada tabarruj di zaman jahiliah dahulu, yaitu: bercampur bebas dengan laki-laki, berjalan dengan melenggang, tudung dan sebagainya tetapi dengan suatu model yang dapat menampakan kecantikan tubuh dan perhiasannya.

Jahiliah pada zaman kita sekarang ini ada beberapa bentuk dan bermacam-macam, tabarruj hari ini kalau diukur dengan tabarruj jahiliah, maka tabarruj jahiliah itu masih boleh dianggap sebagai suatu bentuk pemeliharaan.

Beberapa perkara yang Dapat Mengeluarkan Perempuan dari Batas Tabarruj

Yang dapat mengeluarkan seorang perempuan muslimah dari batas tabarruj yang selanjutnya disebut kesopanan Islam, yaitu hendaknya dia dapat menepati perkara-perkara seperti berikut:

a) Ghadh-dhul Bashar (menundukkan pandangan), sebab perhiasan perempuan yang termahal ialah malu, sedang bentuk malu yang lebih tegas ialah: menundukkan pandangan, seperti yang difirmankan oleh Allah: an-Nur :31

"Katakanlah kepada orang-orang mu'min perempuan hendaklah mereka itu menundukkan sebagian pandangannya."

b) Tidak bergaul bebas sehingga terjadi persentuhan antara laki-laki dengan perempuan, seperti yang biasa terjadi di panggung-panggung wayang, bilik-bilik kuliah, institusi pengajian tinggi, kendaraan-kendaraan awam dan sebagainya di zaman kita sekarang ini. Sebab Ma'qil bin Yasar meriwayatkan, bahwa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagai berikut:

"Kalau kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum dari besi, lebih baik daripada dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya."

(Riwayat Thabarani dan Baihaqi)

c) Pakaian harus selaras dengan tata kesopanan Islam. Sedang pakaian menurut tata kesopanan Islam, yaitu terdapatnya sifat-sifat seperti berikut:

1. Harus menutup semua badan, selain yang memang telah dikecualikan oleh al-Quran dalam firmannya:

"Apa-apa yang biasa nampak pada zahirnya"

yang menurut pendapat yang lebih kuat, yaitu muka dan dua tapak tangan.

2. Tidak tipis dan tidak membentuk badan sehingga tampak kulit. Sebab sesuai apa yang dikatakan Nabi:

"Sesungguhnya termasuk ahli neraka, yaitu perempuan-perempuan berpakaian tetapi telanjang, yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk berbuat maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Riwayat Muslim)

Maksud berpakaian tetapi telanjang, yaitu: pakaian mereka itu tidak berfungsi menutup aurat, sehingga dapat dilihat kulit yang di bawahnya kerana nipis dan sempitnya pakaian itu. Beberapa orang perempuan dari Bani Tamim masuk rumah Aisyah, dengan berpakaian yang sangat nipis, kemudian Aisyah berkata: "Kalau kamu sebagai orang mu'min, maka bukan ini caranya pakaian orang-orang perempuan mu'min itu." (Riwayat Thabarani dan lain-lain). Ada pula seorang perempuan yang baru saja menjadi pengantin, dia memakai tudung yang sangat nipis sekali, maka kata Aisyah kepadanya: "Perempuan yang memakai tudung seperti ini bererti tidak beriman dengan surah an-Nur."(ayat 30-31)

3. Tidak mengetatkan anggota tubuh dan menampakkan bagian-bagian yang cukup menimbulkan fitnah, sekalipun tidak nipis, seperti pakaian yang dianggap pakaian kebudayaan barat yang wanita hari ini berlumba-lumba untuk mengikut trend tersebut. pakaian yang membentuk bentuk buah dada, pinggang, punggung dan sebagainya. Suatu model yang dapat membangkitkan nafsu syahwat. Sedangkan yang memakainya itu sendiri seperti berpakaian tetapi berbogel. Ini lebih menarik dan menimbulkan fitnah, daripada pakaian yang tipis.

4. Bukan pakaian khusus yang dipakai oleh orang laki-laki seperti seluar panjang (jeans) di zaman kita sekarang ini. Sebab Rasulullah s.a.w. pernah melaknat perempuan-perempuan yang menyerupai laki-laki, dan laki-laki yang menyerupai perempuan. Begitu juga Rasulullah s.a.w. pernah melarang perempuan memakai pakaian laki-laki dan laki-laki memakai pakaian perempuan.

5. Bukan pakaian khusus yang dipakai oleh orang-orang kafir seperti Yahudi, Kristian dan penyembah-penyembah berhala. Sebab menyamai mereka itu dilarang dalam Islam, supaya ummatnya ini baik yang laki-laki ataupun perempuan mempunyai ciri-ciri tersendiri baik dalam hal-hal yang nampak ataupun yang tersembunyi. Justru itu Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya ummat Islam berbeza dengan orang kafir dalam beberapa hal.

Sabda Nabi s.a.w:

"Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia itu dari golongan mereka."
(Riwayat Thabarani)

6. Khusyu' dan bersahaja, baik dalam cara berjalannya maupun berbicaranya; dan supaya menjauhkan gerak-gerak yang tidak baik pada tubuh maupun wajahnya. Sebab gerakan-gerakan yang dibuat-buat adalah termasuk perbuatan perempuan-perempuan pelacur, bukan sifat perempuan muslimah. Oleh kerana itu,

Allah s.w.t berfirman: al-Ahzab : 30

"Janganlah perempuan-perempuan melembikkan perkataannya, sebab orang-orang yang hatinya ada penyakit akan menaruh perhatian."

7. Tidak bermaksud untuk menarik perhatian orang laki-laki supaya mereka mengetahui apa yang disembunyikan baik dengan bau-bauan ataupun dengan bunyi-bunyian. Untuk itu,

Allah s.w.t berfirman: an-Nur :31

"Janganlah perempuan-perempuan itu memukul-mukulkan kakinya di tanah supaya diketahui apa yang mereka sembunyikan dari perhiasan mereka."

Perempuan-perempuan jahiliah dahulu kalau berjalan di hadapan laki-laki, mereka pukul-pukulkan kakinya supaya terdengar suara gelang kakinya. Untuk itu maka al-Quran melarangnya, karena hal tersebut dapat membangkitkan khayal laki-laki yang bergelora syahwatnya, dan cukup menunjukkan niat jahatnya perempuan-perempuan supaya diperhatikan oleh laki-laki. Yang sama dalam hal ini ialah perempuan yang suka memakai aneka macam wangi-wangian yang cukup dapat membangkitkan syahwat dan menarik perhatian laki-laki.

Sabda Nabi s.a.w:

"Perempuan apabila memakai wangi-wangian, kemudian berjalan melalui suatu majlis (laki-laki), maka berarti dia itu begini -yakni: perempuan lacur." (Riwayat Abu Daud, Tarmizi dan ia berkata: hasan sahih. Yang semakna dengan ini diriwayatkan juga oleh Nasa'i, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Dari keterangan-keterangan di atas dapat kita ketahui, bahwa Islam tidak menghalang seorang perempuan muslimah --seperti yang biasa dikatakan--- selamanya dipenjara dalam rumah, tidak boleh keluar kecuali ke kubur (sampai mati). Tetapi Islam membolehkan seorang perempuan muslimah keluar rumah untuk pergi bersembahyang, mencari ilmu, melaksanakan keperluannya dan setiap tujuan agama atau duniawi yang dibenarkan, seperti yang biasa dilakukan oleh isteri-isteri sahabat dan berikutnya, padahal mereka itu sebaik-baik kurun (abad).

Di antara mereka ada yang keluar ikut dalam peperangan bersama Rasulullah, dengan para khulafa' dan panglima-panglima perang lainnya. Bahkan Rasulullah s.a.w. sendiri pernah berkata kepada salah seorang isterinya, yaitu Saudah sebagai berikut:

"Sungguh Allah telah mengizinkan kamu keluar rumah untuk urusan-urusanmu." (Riwayat Bukhari)

Dan sabdanya pula:

"Apabila salah seorang isterimu minta izin untuk pergi ke masjid, maka jangan halang-halangi dia." (Riwayat Bukhari)

Dan dalam hadisnya yang lain pula, ia bersabda:

"Jangan kamu menghalang hamba Allah yang perempuan itu untuk pergi ke masjid-masjid Allah." (Riwayat Muslim)

rujuk halal dan haram dalam Islam

Inilah nasihat dan peringatan yang mampu diberikan kepada yang masih lalai. Sayangnya suara ini terlalu pendek dan hanya boleh sampai di surau-surau dan masjid-masjid yang hanya di hadiri oleh segelintir manusia dan juga blog-blog agama yang hanya dibaca oleh yang komit dengan agama sahaja. Dakwah adalah kewajipan semua orang Islam, bukan terhad kepada golongan uztaz dan ustazah sahaja, sesiapa sahaja yang sampai kepadanya mesej dakwah ini maka panjangkanlah dan sampaikanlah kepada yang tidak sampai dakwah kepada mereka, mudah-mudahan kita dapat bantu membantu dalam perkara kebaikan dan sama-sama dapat berkongsi pahala, yang paling penting selamatkan orang Islam dari kehancuran dan api neraka walaupun usaha yang kita buat kecil sahaja, lebih baik buat dari tak buat, sekurang-kurangnya kita sudah menunaikan amanah.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai