Tidak dinafikan akhlak yang mulia merupakan buah atau hasil beriman kepada Allah s.w.t.Dengan beriman kepada Allah s.w.t manusia tidak akan melakukan maksiat samaada yang terang atau tersembunyi,samaada sewaktu di depan manusia atau berseorangan.Ini hasil didikan iman yang meletakkan Allah s.w.t sentiasa melihat,sentiasa bersama dan sentiasa menyaksikan apa yang dilakukan oleh hambaNya.Mafhum daripada sabda nabi s.a.w, seorang mukmin tidak akan berzina jika sekiranya sewaktu ingin berzina dia beriman kepada Allah s.w.t dan seorang mukmin tidak akan mencuri jika waktu ingin mencuri dia beriman kepada Allah s.w.t.Kesimpulannya akhlak yang baik adalah buah atau hasil beriman kepada Allah s.w.t.
Antara contoh akhlak terpuji yang terhasil daripada didikan iman kepada Allah s.w.t ialah;seorang remaja tidak akan mencuri walaupun sebiji buah epal,bahkan dia akan membelinya walaupun dia ada kesempatan untuk mencurinya.Kenapa dia tidak mencuri?sedangkan buah epal yang dibeli dan dicuri itu sama sahaja khasiatnya,vitamin yang ada pada sebiji buah epal yang dibeli sama sahaja dengan epal yang dicuri,rasanya sama,kelazatannya sama,tapi bagi manusia beriman ia tidak sama,orang beriman tidak melihat kepada fizikal buah atau khasiat buah tersebut, tetapi melihat kepada dosa dan pahala.Buah epal yang dibeli ada pahala dan keberkatan sebagai nilai tambah kepada khasiatnya manakala buah epal yang dicuri ada dosa yang akan dicatat oleh Raqib dan Atiq.Hebatnya iman.
Abdullah Nasih Ulwan menyebut di dalam kitabnya “Tarbiatul Aulad” bahawa ibubapa mesti mengawasi anak-anak mereka di peringkat umur mumayyiz lagi, empat perkara utama:
-Menipu
-Mencuri
-Mencela/mencaci
-Keruntuhan akhlak
Ini di antara sifat-sifat buruk yang tak perlu ada pada seorang muslim yang beriman.Oleh itu ia perlu dibentuk sejak anak-anak masih kecil lagi,kata orang “melentur buluh biar dari rebungnya”.
Islam melarang keras menipu kerana ia boleh menjadikan masyarakat huru-hara,menyebabkan orang tak bersalah dituduh bersalah kalau saksinya menipu,dan macam-macam keburukan yang lain,sehingga nabi memasukkan penipu dalam empat tanda orang munafik.
Sabda nabi:
أربع من كن فيه كان منافقا خالصا,ومن كان فيه خصلة منهن كان فيه خصلة من النفاق حتى يدعها؛إذا اؤتمن خان وحدّث كذب وإذا عاهد غدر وإذا خاصم فجر
Maksudnya:
Empat sifat tanda munafik, jika ada salah satu sifat tersebut pada seorang muslim maka dikira munafik sehinggalah dia meninggalkannya; apabila diamanahkan khianat,apabila bercakap menipu,apabila berjanji mungkir dan apabila bermusuh melampau.
Begitu juga mencuri,islam melarang keras perbuatan ini kerana ia memudaratkan harta orang lain, sehingga islam mensyariatkan hukuman potong tangan terhadap pencuri yang sabit kesalahannya.
Diceritakan dalam satu kisah;
seorang hakim menjatuhkan hukuman potong tangan kepada seorang pencuri.Apabila sampai hari pelaksanaan hukuman,pencuri tersebut menjerit dengan sekuat hatinya sambil berkata;
"sebelum kamu memotong tanganku,terlebih dahulu potonglah lidah ibuku.Sewaktu kecil, kali pertama aku mencuri sebiji telur ayam jiranku,ibuku tidak memarahiku dan tidak menyuruhku mengembalikan telur tersebut kepada jiranku,tetapi sebaliknya dia mengatakan "alhamdulillah" kamu sudah dewasa.Jika bukan kerana lidah ibuku, nescaya aku tidak menjadi pencuri pada hari ini".
Begitulah jika salah didikan, anak-anak akan mengutuk kita suatu hari nanti. Oleh itu berilah teguran kepada anak-anak jika mereka mencuri walaupun hanya sebiji gula-gula.
Seterusnya pastikan anak-anak tidak menyebut perkataan-perkataan yang berunsur kecaman,kejian,laknat,lucah dan sebagainya.Biasakan mereka berzikir kepada Allah s.w.t.
Contohnya; menyebut alhamdulillah ketika mendapat nikmat, menyebut subhanaalah ketika kagum bukannya fuyoo dan sebagainya.
Seterusnya dengan penuh amanah kepada Allah s.w.t pastikan anak-anak tidak terlibat dengan pelbagai gejala sosial yang ada. Hanya dengan didikan iman yang mantap kita dapat menyelamatkan mereka.Marilah sama-sama kita menyemai iman yang mantap kepada anak-anak mudah-mudahan dengan iman itu akan lahir buah yang segar dan lazat.
Nov 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment