SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Dec 27, 2008

Bolehkah doa akhir dan awal tahun hijrah?

Hadis Palsu tentang Kelebihan Doa Awal & Akhir Tahun

Written by al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

THURSDAY, 18 JANUARY 2007

Hadis Palsu tentang Kelebihan Doa Awal & Akhir Tahun

Oleh al-ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Laman web http://www.islam.gov.my/program/doa.html mencatatkan satu hadis tentang kelebihan membaca doa awal tahun bermaksud: sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata “kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak- Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”

Sememangnya menjadi amalan sebahagian masyarakat Muslim Melayu berhimpun pada hari terakhir tahun hijri untuk berdoa dengan doa awal tahun dan akhir tahun. Doa yang selalu dibaca dan kononnya datang daripada Nabi berbunyi:

اللهم ما عملته في هذه السنة مما نهيتني عنه ولم ترضه ، ونسيته ولم تنسه ، وحلمت عليَّ في الرزق بعد قدرتك على عقوبتي ، ودعوتني إلى التوبة بعد جراءتي على معصيتك ، اللهم إني استغفرك منه فاغفر لي ، وما عملته فيها من عمل ترضاه ووعدتني عليه الثواب فأسألك يا كريم ، يا ذا الجلال والإكرام أن تقبله مني ، ولا تقطع رجائي منك يا كريم ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم Ulasan

Hadis tidak diriwayatkan dalam mana kitab-kitab hadis. Penentuan awal tahun dan akhir tahun hanya berlaku di zaman Umar iaitu pada tahun ke 17 hijrah atau selepas 7 tahun kewafatan Nabi. Bagaimana mungkin baginda menjelaskan hadis ini dan doa awal tahun kepada para sahabat?

Justeru hadis ini adalah palsu dan haram serta tidak wajar disebarkan.

Baginda bersabda:مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “sesiapa yang berdusta menggunakan nama ku,maka tersedialah untuk dirina satu tempat duduk dalam neraka.” (hadis riwayat Bukhari dan Ahmad)

Diriwayatkan daripada Samurah bahawa Nabi bersabda:

مَنْ حدَّثَ عنِّي بحديثٍ يرى أنَّه كذبٌ فهو أحدُ الكاذبيـن

Maksudnya: “sesiapa yang bercerita atas namaku satu hadis yang dirasakannya bohong, maka dia adalah salah seorang pembohong. (hadis riwayat Muslim)

Komen Saya
Setiap ibadah yang hendak dilakukan mestilah berpandukan kepada Sunnah nabi s.a.w, kerana ibadah adalah "Tauqifiyyah" iaitu mesti berpandukan syarak. Tidak boleh melakukan ibadah mengikut hawa nafsu, kerana ia akan termasuk dalam kata "muhdathatuha" perkara baru yang tidak diajar oleh nabi s.a.w., dan setiap perkara baru ialah Bid,ah dan setiap Bid,ah itu sesat, setiap yang sesat itu tempatnya adalah neraka.

Persoalannya bolehkah kita berdoa pada akhir tahun Hijrah dan awal tahun sebagaimana kebiasaan masyarakat kita buat pada hari ini? Dalam persoalan ini yang menjadi fokus ialah hadis yang menyatakan;
"sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata “kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak- Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”. ini yang menjadi pertikaian, kerana ia adalah palsu.

Untuk mengelakkan diri daripada termasuk ke dalam perkara terlarang adalah lebih baik kita membaca doa akhir dan awal tahun yang dicadangkan atau mana-mana doa lain asalkan ia adalah doa. Sebab kita dituntut berdoa kepada Allah s.w.t pada bila-bila masa dan ketika, samaada awal tahun,akhir tahun, awal hari, akhir hari, awal minggu, akhir minggu atau sebagainya.

firman Allah s.w.t;al-Baqarah:186
"dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul".

firman Allah s.w.t;Ghafir:60
"dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina."

Kita berdoa dan mengharapkan perkenan daripada Allha s.w.t, tanpa melihat kepada hadis tadi.Insyaallah mudah-mudahan Allah menerima doa kita. Dan perlu diingat bahawa jika kita terlepas waktu awal dan akhir tahun hijrah ini tidak menjadi masaalah untuk kita berdoa pada waktu lain. Jangan jadikan amalan berdoa ini mengikut musim sahaja tapi kita tak berdoa di waktu lain, janganlah kita hanya datang ke masjid atau surau pada malam hijrah untuk berdoa tapi kita tak datang ke masjid dan surau di waktu lain untuk sama-sama solat berjamaah. Perlu diingat juga bahawa malam hijrah tidak termasuk waktu yang afdal untuk berdoa, ia cuma sempena mengambil peluang akhir tahun untuk bermuhasabah amalan-amalan yang sudah berlalu setahun dan bertaubat dari kesalahan dan berikrar tidak akan mengulanginya pada tahun akan datang itu sahaja.

Adapun antara waktu-waktu yang afdal berdoa ialah;
-Hari Arafah
-Bulan Ramadhan
-Wahtu Sahur akhir malam
-Hari Jumaat
-Ketika sujud
-Antara azan dan iqamah
-selepas  solat
-Waktu turun hujan
-Ketika bersedia untuk berjihad di jalan Allah
-ketika musafir

Maka kita sangat digalakkan memperbanyakkan doa pada hari dan masa tersebut. janganlah kita bergaduh dan bermusuhan sesama kita dalam persoalan doa pada malam hijrah ini. Bagi yang nak berdoa silakan berdoa dengan syarat bahawa doa ini adalah satu ikhtiar kita bukan arahan nabi untuk berdoa pada malam tersebut. Bagi yang tak mahu berdoa, mungkin boleh membuat amalan lain yang boleh mendatangkan manfaat kepada kita, marilah sama-sama kita bantu membantu dalam perkara yang kita sepakat dan berlapang dadalah dalam perkara yang kita tidak sepakat, pendapat kita betul mungkin juga tersilap, pendapat orang lain  mungkin salah dan munkin juga betul.

firman Allah s.w.t;al-Maidah:2

" hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)".



Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment