SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Dec 30, 2008

Gaza terus bermandi darah

KEJAM... Ribuan penduduk Gaza berarak mengiringi jenazah kanak-kanak Palestin, Dena Balosha, 4, untuk dikebumikan. Dena dan empat ahli keluarganya terbunuh dalam serangan terbaru tentera Israel, semalam.

BANDAR GAZA 29 Dis. – Jet-jet pejuang Israel mengebom kedudukan Hamas di Genting Gaza buat hari ketiga berturut-turut hari ini menyebabkan tujuh orang terbunuh, termasuk kanak-kanak.

Antara mangsa yang terkorban awal hari ini ialah empat kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 12 tahun daripada sebuah keluarga.

Mereka terbunuh dalam serangan udara ke atas sebuah masjid dekat rumah mereka di pekan Jabaliya, utara Gaza, manakala dua budak lelaki terbunuh dalam satu serangan di bandar Rafah, selatan wilayah ini.

Jet-jet pejuang Israel mensasarkan rumah Komander Kanan sayap bersenjata Hamas, Briged Izz el-Deen al-Qassam, Maher Zaqout, tetapi beliau terselamat kerana tidak berada di rumah itu ketika serangan tersebut.

Rejim Yahudi itu terus memekakkan telinga terhadap desakan dunia supaya rejim zionis itu menghentikan keganasan di semenanjung itu.

Sewaktu kereta kebal dan meriam Israel berkumpul di sempadan Gaza sebagai persiapan untuk melancarkan serangan darat, pesawat perang melancarkan puluhan serangan di wilayah yang padat dengan penduduk di wilayah itu, awal hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengulangi gesaannya supaya keganasan itu dihentikan segera dan mendesak Israel membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah yang mengalami sekatan sejak Hamas menguasai wilayah itu pada Jun 2007.

“Beliau sekali lagi mendesak supaya segala tindakan keganasan dihentikan segera,” kata jurucakap Ki-moon.
Operasi ‘Cast Lead’ tentera Israel yang dilancarkan kelmarin telah pun membunuh 310 rakyat Palestin termasuk puluhan penduduk awam dan mencederakan lebih 1,400 lagi, menurut pasukan perubatan Gaza.

Hamas membidas masyarakat antarabangsa kerana tidak mengambil tindakan tegas untuk menghentikan keganasan Israel itu.

“Israel melakukan holocaust, sementara dunia hanya memerhati dan tidak berbuat apa-apa untuk menghentikannya,” kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhum.
Sementara itu, para pemimpin dunia terus mengutuk serangan Israel di Genting Gaza.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyifatkan apa yang berlaku di Genting Gaza sebagai satu ironi kerana serangan dan pembunuhan penduduk Palestin dilakukan di ambang umat Islam menyambut ketibaan Maal Hijrah.
Naib Perdana Menteri China, Li Kegiang turut mengecam serangan Israel itu.
Beliau berkata, China terkejut dan sangat khuatir dengan operasi ketenteraan di Genting Gaza yang telah mengorbankan banyak jiwa dan ramai yang cedera.
– AFP
Sumber
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Komen saya:
Apa yang perlu kita buat?

Kewajipan semua orang Islam di timur dan barat, utara dan selatan terhadap saudara seagama di Gaza Palestin pada waktu ini ialah menghulurkan bantuan dan melahirkan rasa simpati kepada mereka.Sesiapa yang dikurniakan  keluasan rezeki dari Allah s.w.t hendaklah menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa.Membantu rakyat Palestin, samaada berbentuk material atau spiritual adalah wajib ke atas orang Islam seluruh dunia.Wajib ke atas kita membantu samaada dengan harta atau sekurang-kurangnya dengan doa.
Kata Dr Yusuf al-Qaradhawi;
"Wajib atas orang Islam di mana sahaja mereka berada menghulurkan bantuan kepada saudara mereka di Palestin samaada dengan harta atau lidah, pen atau nyawa tapi untuk waktu ini pertolongan berbentuk harta amatlah diharapkan. Sesungguhnya berjihad dengan harta tidak kurang hebatnya dari berjihad dengan nyawa.

Marilah sama-sama kita mendoakan saudara-saudara kita seagama di Gaza Palestin. Sabda nabi s.a.w sesungguhnya bandingan orang mukmin seperti satu jasad, apabila salah satu anggotanya sakit maka seluruh tubuh akan tarasa demam dan tak tidur malam.

Marilah kita menghulurkan bantuan kewangan melalui NGO-NGO yang ada antaranya AMAN Palestin.
http://www.amanpalestin.org/

Memboikot barangan yang dikeluarkan oleh syarikat yang menyokong rejim zionis seperti yang disarankan oleh laman web ini
http://www.inminds.co.uk/boycott-israel.php

Video rayuan bantuan Palestin


Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment