SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Dec 13, 2008

Jalan-jalan cari makan

Apa yang anda makan pagi ini? Mungkin sebiji roti canai kosong dengan teh tarik ? atau capati dengan kopi O atau lebih berat lagi mee goreng, nasi goreng, mee lakna? Atau apa-apa saja la, macam-macam ada, macam-macam jenis kueh mueh, macam-macam jenis mee, macam-macan jenis nasi dan macam-macam jenis lauk.

Untuk apa anda makan? Untuk hidup atau hidup untuk makan, ada orang cakap selagi engkau boleh makan, makanlah, nanti bila dah sakit dah tak boleh makan lagi, kena berpantang pula, kadang kala kita bukan berpantang, tapi pantang jumpa, hentam saja.

Muslimin dan Muslimat sekalian, sebagai seorang muslim kita ada cara makan yang tersendiri, sebagaimana yang diajar oleh nabi s.a.w. Islam mengharuskan kita makan, tapi jangan melampaui batas

Banyak ayat-ayat al-Quran menyuruh kita makan makanan yang halal lagi baik disamping bertakwa , bersyukur dan jangan melampaui batas.

Antara firman Allah s.w.t;

dan makanlah dari rezeki Yang telah diberikan Allah kepada kamu, Iaitu Yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah Yang kepadanya sahaja kamu beriman.
(al- Maidah ayat 88)

dan Kami telah menaungi kamu Dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): "Makanlah dari makanan-makanan Yang baik Yang Kami telah kurniakan kepada kamu". dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri. ( Baqarah ayat 57)

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas. (al- A’raf ayat 31)

oleh itu, makanlah (Wahai orang-orang Yang beriman) dari apa Yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda Yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata. (an-Nahlu ayat 114)

begitu juga sunnah nabi s.a.w amat menitik berat masalah kesihatan dan makanan.

Sabda nabi s.a.w;

ما ملأ ادمي وعاء شرّا من بطنه, بحسب ابن ادم لقيمات يقمن صلبه, فإن كان لا بدّ فاعلا , فثلث لطعامه وثلث لشرابه وثلث لنفثه
(رواه الإمام أحمد والترمذي وغيرهما)

Maksudnya;
“tidak boleh seorang anak Adam memenuhi perutnya dengan cara yang melampaui batas, memadailah dia hanya makan beberapa suap untuk membetulkan tulang belakangnya (untuk kuat beribadah) jika sekiranya tidak mampu dan terpaksa makan lebih daripada itu, maka jadikan 1/3 perut untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 untuk pernafasan.

Jika kita makan banyak melebihi kouta makan dan minum sehingga masuk ke dalam kouta pernafasan ia boleh membawa mudarat pada tubuh dan nyawa.

Ada satu kisah yang berlaku di sebuah negeri , dalam pertandingan makan roti canai siapa paling banyak.Pemenang dalam pertandingan itu berjaya makan 18 biji roti canai, selepas sahaja selesai makan dia minum air yang agak banyak, sejurus selepas itu dia meninggal dunia, kenapa? al-maklum sajalah roti canai yang kita makan akan mengembang di dalam perut, lebih-lebih lagi bila diminum air pula, maka ia memenuhi kouta pernafasan dan menyebabkan tak boleh bernafas, lalu…Inna Lillah

Dalam Hadis yang lain nabi s.a.w bersabda yang mafhumnya;

“orang mukmin makan dengan satu perut, orang kafir makan dengan tujuh perut”.

Maksudnya orang mukmin ada batas-batasnya dalam mencari makanan ada yang boleh makan ada yang haram dimakan, tapi orang kafir tidak ada halal haram dalam makanan mereka.

Firman Allah s.w.t

Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah :168)

Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.
(al-Baqarah:172)

Konsep makanan Halal yang pertama ialah makanan itu sendiri terdiri daripada makanan yang halal dimakan, bukan makanan yang haram , contoh makanan haram haiwan darat seperti Khinzir dan lain-lain, manakala haiwan laut semuanya halal kecuali yang beracun kalau tumbuh-tumbuhan pastikan tidak beracun dan memabukkan.

Kedua cara penyediaan makanan , pastikan haiwan disembelih dengan cara yang betul mengikut syarak, cara memasak mengikut sunnah dan tidak bercampur dengan benda-benda haram, cara dihidangkan tidak bercampur dengan hidangan haram di atas meja dan sebagainya.

Kadangkala kita hari ini, hanya perihatin dengan makanan haram sahaja, semua orang islam cukup sensitive dengan khinzir, tapi kebanyakan kita tidak peduli dengan cara penyediaan makanan halal.

Kita tak peduli ayam yang kita beli itu disembelih oleh siapa? dijual oleh siapa? Dimasak oleh siapa? Yang penting ialah ayam, sebab bagi kita ayam itu halal, itu sahaja. Tak hairan ramai orang islam yang makan dan minum di kedai non muslim, sebab katanya dia makan ayam bukan khinzir, dia minum kopi bukan arak.

Ketiga ialah cara masak, kalau kita lihat di kedai makan, cara basuhan pun tidak betul mengikut sunnah, macamana tukang masak membasuh ayam dan daging, selalunya telur tidak dibasuh terlebih dahulu, main ketuk masuk je dalam kuali bersama najis yang ada dikulitnya, sedap rasanya kan?

Keempat ialah tukang masak. Adakah tukang masak tadi menutup aurat samaada lelaki atau perempuan, walaupun tidak haram makanan yang kita makan daripada tukang masak yang tidak menutup aurat, tapi berkatkah makanan itu? Kadang kala kita ke Bazar ramadhan di bulan Ramadhan, sekali lihat kueh cukup berselera, tapi bila lihat tukang masak atau penjualnya hilang selera. Oleh itu kepada yang suka jalan-jalan cari makan carilah kedai-kedai yang halal, cara penyediaan yang mengikut sunnah, tukang masak yang berpakaian menutup aurat , bukan hanya mencari yang mana paling sedap dan lazat sahaja, tanpa memikirkan ibadah dan berkah.

Jadi kesimpulannya masak di rumah adalah lebih baik, bagi yang ada masa, yang tak sempat masak carilah kedai-kedai yang kita yakin cara penyediaannya mengikut sunnah, supaya makanan yang kita makan bersih, berkhasiat dan berkat, kerana makanan yang kita makan amat rapat perkaitannya dengan ibadah kita, samaada diterima oleh Allah s.w.t ataupu tidak.Mencari yang Halal adalah fardu ke atas setiap orang Islam. Selamat menjamu selera.

Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai
14 Dis 2008

0 comments:

Post a Comment