SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Jan 5, 2009

Peluang di bulan Muharram

Makna bulan Allah Muharram
Sabda nabi s.a.w;
أفضل الصيام بعد رمضان شهر الله المُحَرَّم وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاةُ الليل".

Maksudnya;
"Puasa paling afdal selepas puasa Ramadhan ialah puasa bulan Allah iaitu Muharram dan solat paling afdal selepas solat fardu ialah Solat Malam".(Riwayat Muslim)

Iman Suyuthi berkata; nama bulan ini adalah islam, tidak seperti bulan-bulan lain, kerana nama bulan ini sewaktu jahiliyyah ialah Safar Awal selepasnya Safar Thani, apabila datang islam ia telah menukar nama Safar Awal kepada "Muharram" oleh itu bulan ini digelar bulan Allah.

Puasa di bulan Muharram

Ada setengah golongan mengatakan puasa di bulan Muharram adalah Haram. Pendapat ini tidak ada asas samasekali dalam agama, tapi yang ada dalam agama ialah bulan Muharram ialah salah satu daripada bulan-bulan Haram yang diagungkan oleh Allah s.w.t dan nabi menamakannya sebagai bulan Allah sebagai satu penghormatan kepada bulan ini.
 
Nabi s.a.w telah memberi panduan kepada orang yang bertanya kepadanya mengenai puasa terbaik selepas Ramadhan, dan nabi s.a.w menjawab berpuasa di bulan Muharram.
 
عن علي رضي الله عنه أنه قال: سأَلَهُ رجلٌ فَقَالَ: أَيُّ شهرٍ تأَمُرُني أَنْ أَصومَ بعدَ شهرِ رَمضَانَ؟ فَقَالَ لَهُ: ما سمعتُ أَحدًا يسأَلُ عن هَذَا إِلاَّ رجلاً سمعتُهُ يسأَلُ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وأَنا قاعدٌ عِندَهُ، فَقَالَ: يا رَسُولَ الله: أَيُّ شهرٍ تأَمُرُني أَنْ أَصومَ بعدَ شهرِ رَمضَانَ؟ قَالَ: إِنْ كنتَ صائمًا بعدَ شهرِ رَمضَانَ فَصُمْ المُحَرَّمِ فإِنَّهُ شهرُ الله، فِيهِ يومٌ تابَ الله فِيهِ عَلَى قومٍ ويتوبُ فِيهِ عَلَى قومٍ آخرينَ".


Maksudnya;
"Dari Ali r.a katanya; seorang lelaki bertanya kepadanya : Apakah bulan terbaik yang engkau akan suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadhan? jawab Ali r.a :Aku tidak pernah mendengar seorang pun bertanya soalan seumpama ini sebelum ini kecuali seorang lelaki yang pernah bertanya kepada nabi s.a.w dan aku berada di sisi nabi s.a.w. Lelaki itu berkata Ya Rasullallah;Apakah bulan terbaik yang engkau akan suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadhan? Jawab nabi s.a.w; Jika kamu telah berpuasa Ramadhan maka puasalah Muharram kerana ia bulan Allah, padanya satu hari Allah telah menerima taubat satu kaum, dan padanya satu hari yang Allah akan menerima taubat kaum yang lain".(Riwayat Tirmizi)
 
Puasa Asyura dan penghapusan dosa besar
 
Ada banyak hadis tentang kelebihan puasa Asyura (10 Muharram) antaranya;
sabda nabi s.a.w;
عن أبي قتادة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "صوم يوم عرفة يكفر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية
Maksudnya; Dari Abu Qatadah:sabda nabi s.a.w;puasa hari Arafah menghapus dosa dua tahun, setahun lepas dan setahun akan datang, dan puasa Asyura menghapus dosa setahun yang lepas. (Riwayat Muslim dll)
 
Hadis ini menyebut menghapus dosa semata-mata tanpa mengaitkan samaada dosa kecil atau besar, hanya setengah ulama yang mengaitkan dengan penghapusan dosa kecil.
Imam Nawawi berkata;jika tidak ada dosa kecil maka ia akan menghapuskan dosa besar, jika tidak ada dosa besar maka ia akan mengangkat darjat. 

Cara puasa Asyura

Berpuasa asyura ialah berpuasa pada hari kesepuluh Muharram. Walaubagaimanapun Puasa 10 Muharram ini juga dilakukan oleh Yahudi sebagai memperingati hari nabi Musa a.s diselamatkan oleh Allah dari Firaun dan bala tenteranya. Jika orang Yahudi boleh berpuasa untuk memperingati nabi Musa maka orang islam lebih layak berpuasa pada hari tersebut. Tapi untuk membezakan puasa umat islam dengan puasa orang Yahudi maka nabi mengarahkan berpuasa dengan cara yang berlainan.

sabda nabi s.a.w;
"صوموا يوم عاشوراء، وخالفوا اليهود، وصوموا قبله يوما وبعده يوما"

Maksudnya;
"berpuasalah kamu pada hari sepuluh Muharram (asyura)dan hendaklah kamu menyalahi cara puasa Yahudi, puasalah sehari sebelumnya dan sehari selepasnya. (Riwayat ahmad)

Ibnu Qayyim berkata; kedudukan puasa asyura ada tiga;
-sempurnanya ialah berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas
-atau yang kedua berpuasa Tasu'a (9 Muharram) dan asyura (10 Muharram)
-atau berpuasa hanya pada 10 Muharram.

Jika tidak sempat puasa pada Tasu'a maka bolehlah diganti pada 11 Muharram.

Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment