SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Dec 10, 2008

Tazkirah hari ini

Berfikirlah apabila membaca al-Quran

Pagi ini saya menjadi imam seperti biasa dalam solat Subuh.Surah pilihan pada hari ini ialah surah al-Haj ayat 1 hingga 10 pada rakaat yang pertama. Pada rakaat yang kedua surah Abasa ayat 1 hingga 42.

Pada ayat 5 surah al-Haj bermaksud;

“ Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging Yang disempurnakan kejadiannya dan Yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara Yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan kami); dan Kami pula menetapkan Dalam kandungan rahim (ibu Yang mengandung itu) apa Yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa Yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu Yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula Yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu Yang telah diketahuiNya dahulu. dan (ingatlah satu Bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan Yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman Yang indah permai”.

Pada ayat 18 hingga 22 Surah Abasa bermaksud;

18. (tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah? -
19. dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya Dengan persediaan untuk bertanggungjawab;
20. kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu Yang ia pilih);
21. kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan;
22. kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula).


Dalam kedua-dua surah ini Allah s.w.t mengajak manusia berfikir tentang kejadian mereka hanya daripada setitis mani yang hina.Yang tidak mempunyai nilai di pasaran. Di pasar atau supermarket tidak ada penjual yang menjual air mani, tapi kalau air mineral banyak, madu lebah ada, bermakna air mineral dan madu lebah lebih bernilai daripada air mani, sebab ia ada harga. Air mani kalau jatuh ke tanah ayam tak patok itik tak sudu, tapi kalu tahi manusia jatuh ke bumi ayam berebut-rebut, itik bising menyudu, pada ayam dan itik tahi lebih ada value daripada air mani.

Begitulah Muslimin dan Muslimat hinanya kita apabila kita melihat asal kejadian kita. Tetapi kenapa kita sombong dan bongkak kepada Allah s.w.t, seolah-olah kita dicipta daripada emas dan permata. Kita sombong tak mahu mematuhi suruhan Allah s.w.t malahan kita begitu berani melakukan maksiat kepada allah s.w.t

Berapa ramai di kalangan kita yang tak solat, berapa ramai yang tak berpuasa di bulan Ramadhan, berapa ramai yang tak mengeluarkan zakat, berapa ramai yang belum menunaikan haji walaupun sudah mampu melakukannya, berapa ramai yang menikam nombor ekor, berapa ramai menjadi kaki arak, berapa ramai yang berzina dan membuang anak merata dan lain-lain bentuk penderhakaan kepada Allah s.wt.

Marilah kita sama-sama menginsafi dan melihat siapakah kita sebenarnya? Siapakah yang mencipta kita? Siapakah yang memberi rezeki kepada kita? Untuk apa kita hidup? Ke mana kita akhirnya. Allah s.w.t mengajak manusia berfikir dengan melihat kepada rezeki yang dikurniakan kepada mereka.

Firman Allah s.w.t dalam surah Abasa:24-32

24. (Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya):
25. Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan Dengan curahan Yang menakjubkan.
26. kemudian Kami belah-belahkan bumi Dengan belahan Yang sesuai Dengan tumbuh-tumbuhan, -
27. lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian,
28. dan buah anggur serta sayur-sayuran,
29. dan zaitun serta pohon-pohon kurma,
30. dan taman-taman Yang menghijau subur,
31. dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, -
32. untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

Begitulah cara Allah s.w.t memberi rezeki kepada kita makhluknya dan tak pernah minta supaya kita membalas rezekinya yang banyak itu kecuali mengikut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Jika kita mengikut suruhan dan meninggalkan larangan bukan Allah yang untung, tapi kita yang akan mendapat rahmat, begitu juga kalu kita meninggalkan segala suruhan dan melakukan segala yang ditegah, Allah s.w.t tak rugi apa-apa tapi sebaliknya kita yang rugi dan mendapat kemurkaan Allah s.w.t.

Mudah-mudahan dapat manfaat

Hassan Basri Hj Abdullah

0 comments:

Post a Comment