SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Dec 11, 2008

Tazkirah Jumaat

Antara as-Sajdah dan al-Insan

Jika kita melihat kepada sunnah nabi s.a.w, dalam kebanyakan solat subuh pada hari jumaat baginda membaca Surah as-Sajdah pada rakaat yang pertama dan Surah al-Insan pada rakaat yang kedua. Mungkin inilah yang menyebabkan imam as-Syafie menggalakkan membaca dua surah ini dalam solat subuh hari Jumaat dan mengatakan ia adalah sunat , walaupun golongan Hanafi dan Maliki mengatakan Makruh dengan membaca surah-surah tertentu secara berterusan kerana bimbang orang-orang awam megatakan ia adalah wajib dan tidak sah solat tanpa membaca surah ini.

Mengapa nabi s.a.w solat subuh hari jumaat dengan membaca kedua-dua surah ini?
Ulama cuba memberi sebab, antaranya;

-kerana kedua-dua surah ini menceritakan asal-usul kejadian manusia, amalan-amalan manusia ,kedudukan manusia di akhirat, maka seolah-olah nabi s.a.w membaca kedua surah ini supaya manusia mengetahui kenyataan ini supaya mereka dapat membentuk perangai, membetulkan niat mereka dan halatuju kehidupan mereka .

Cuba kita lihat kedua-dua surah menceritakan tentang asal usul kejadian manusia.

Surah as-Sajdah

Selepas Allah s.w.t menyatakan bahawa dialah yang mencipta langit dan bumi, maka Allah s.w.t berfirman ayat 7-9 yang bermaksud;

7. Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu Dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;
8. kemudian ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, Iaitu dari air (benih) Yang sedikit dipandang orang;
9. kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Kemudian Allah menyatakan bahawa manusia mesti akan lenyap dari muka bumi dan pasti mati tidak ada yang akan kekal abadi. Walaubagaimanapun tinggal di alam Barzah hanyalah dalam tempuh tertentu sahaja, kemudian manusia akan keluar dari kubur dan tidak akan kembali lagi ke kubur selamanya, tetapi orang-orang Musyrikin tidak percaya dan mereka berkata; (as-Sajdah ayat 10)

10. dan mereka (yang kafir) itu berkata: "Adakah apabila Kami telah hilang lenyap Dalam tanah, Kami pula akan hidup semula Dalam bentuk kejadian Yang baharu? betulkah demikian? " (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan Dengan Tuhannya.


Allah s.w.t menjawab melalui firmanNya: (as-Sajdah ayat 27)

27. dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi Yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan Dengan air hujan itu tanaman-tanaman, Yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?

Jika kamu rasa pelik untuk hidup semula selepas mati, maka kenapa kamu tidak melihat kepada bumi yang kamu hidup di atasnya, bumi yang mati kemudian allah s.w.t menurunkan hujan dan menghidupkan tumbuh-tumbuhan dari bumi. Jwapannya begitulah Allah s.w.t akan membangunkan dan membangkitkan kamu semula dari kubur.


Jika kamu ingkar dan tak mahu percaya maka dengarlah firman Allah s.w.t dalam surah as-Sajdah ayat 26;

26. dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): Bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum Yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?

Surah as-Sajdah bertanya dalam ayat 18

18. (jika demikian halnya) maka Adakah orang Yang beriman sama seperti orang Yang fasik? mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).


Mari kita melihat pula kepada surah al-Insan, surah ini menceritakan kisah yang sama mengenai kejadian manusia tetapi dalam cara yang berbeza, inilah kita dapat melihat mukjizat al-Quran yang maha hebat.

Surah al-Insan menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada air mani yang bercampur.

Firman Allah s.w.t;(al-Insan ayat 2)

2. Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat.

Dalam surah al-Insan Allah s.w.t menyatakan manusia Mendengar dan Melihat manakala dalam surah as-Sajdah ayat 9 Allah s.w.t menyatakan manusia dikurniakan Pendengaran dan Penglihatan, sebagaimana firman Allah s.w.t;

9. kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Dalam surah al-Insan disebut kisah ahli neraka tapi hanya dalam satu ayat sahaja, iaitu ayat 4;

4. (dalam pada itu), Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa Yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka Yang menjulang-julang.

Dalam surah as-Sajdah kisah ahli neraka diceritakan lebih panjang lebar, antaranya ialah ayat 12;

12. dan (sungguh ngeri) sekiranya Engkau melihat ketika orang-orang Yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar Dengan sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah Kami ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal Yang baik; Sesungguhnya Kami sekarang telah yakin".

Dalam surah al-Insan diceritakan dengan panjang lebar kisah ahli syurga, firman Allah s.w.t ayat 20-22;

20. dan apabila Engkau melihat di sana (dalam syurga itu), Engkau melihat nikmat Yang melimpah-limpah dan kerajaan Yang besar (yang tidak ada bandingannya).
21. mereka di Dalam syurga memakai pakaian hijau Yang diperbuat dari sutera Halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi Dengan gelang-gelang tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka Dengan sejenis minuman (yang lain) Yang bersih suci.
22. (serta dikatakan kepada mereka): "Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)".

Dalam surah as-Sajdah orang kafir tidak percaya dengan hari kebangkitan semula, dan kita dapati dalam surah al-Insan Allah menggambarkan keadaan orang-orang kafir dan ayat 27-28;

27. Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) Yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat Yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang Yang tidak bertaqwa).
28. Kamilah Yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki, Kami gantikan (Mereka dengan) orang-orang Yang serupa Dengan mereka, Dengan penggantian Yang sebaik-baiknya.


Kedua-dua surah menceritakan ujian Allah s.w.t kepada manusia.

Surah as-Sajdah ayat 13;

13. dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang Dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahannam Dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)".

Ayat ini memberi makna bahawa Allah s.w.t taala mampu mencipta manusia seperti Malaikat yang taat dan patuh kepadaNya atau menjadikan manusia seperti tumbuhan yang tak berakal atau binatang yang tak perlu melakukan ibadah tetapi Dia mencipta manusia sebagai manusia untuk diuji samada manusia hendak bersyukur atau kufur.

Firman Allah dalam surah al-Insan ayat 2-3;

2. Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat.
3. kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan Yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

Begitulah serba sedikit kaitan antara surah as-Sajdah dan Surah al-Insan yang boleh membentuk manusia untuk menjadi seorang Muslim, Mukmin dan Muttaqin. Begitulah masjid dibina di zaman awal islam, imam membaca surah dan makmun menghayati makna surah. Tapi hari ini imam membaca surah tapi makmum tak pernah tahu makna surah walaupun surah-surah ini diulang-ulang beribu kali pun ia tak akan dapat mengubah manusia selagi manusia tidak memahami bahasa al-Quran, lebih dasyat lagi kalau imam juga tak faham apa yang dibacanya sekadar menghafaz surah as-Sajdah dan Surah al-Insan untuk lulus dalam temuduga menjadi imam masjid. Kefahaman kepada ayat yang dibaca perlu dipertingkatkan, bagi yang mampu untuk belajar bahasa Arab dan umur masih muda maka belajarlah bahasa al-Quran ini, bagi yang tidak mampu kerana umur sudah lanjut maka sekadar membeli al-Quran tafsir dan cubalah memahami ayat-ayat Allah s.w.t, kalau tak mampu semua surah dan semua ayat sekadar surah-surah tertentu dan ayat-ayat tertentu, sekurang-kurangnya kita dapat memahami apa yang dibaca oleh imam demi meningkatkan khusyuk ketika solat bersama imam atau bersendirian.

Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai
12/12/08

0 comments:

Post a Comment