SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

May 30, 2010

Isu Pembuangan Bayi


Gejala buang bayi di Malaysia semakin hari semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan reda.setiap hari kita mendengar,melihat dan membaca kisah demi kisah bayi yang ditemui terbuang dalam keadaan yang sangat menyayat hati dan perasaan.dalam masa yang sama juga pelbagai pendapat dan saranan yang dikemukakan untuk mengatasi gejala yang tidak bertamaddun ini.

Apa yang berlaku hari ini memang pernah berlaku di zaman jahiliyyah dahulu, di mana masyarakat jahiliyyah membunuh anak-anak perempuan mereka dengan cara menanam anak tersebut hidup-hidup. Fenomena yang sama berulang kini dalam bentuk dan keadaan yang berbeza bahkan lebih dasyat dan mengerikan.kalau dahulu mereka hanya membunuh anak-anak perempuan, hari ini tak kira lelaki atau perempuan, kalau dahulu mereka menanam anak , hari ini dibuang ke dalam tong sampah,parit,longkang,di tangga masjid bahkan dibakar rentung. Apa yang berlaku hari ini lebih jahiliyyah daripada jahiliyyah dahulu atau lebih mudah disebut sebagai jahiliyyah moden.

Punca masalah

i) Salah faham terhadap agama

Salah faham terhadap agama timbul apabila masyarakat memisahkan kehidupan dunia dan agama, atau lebih tepat ialah fahaman sekular telah menguasai masyarakat muslim sedunia hari ini. Orang Islam meletakkan agama hanya berperanan dalam ibadah rutin sahaja, seperti solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya, manakala urusan politik,ekonomi,sosial, perundangan adalah urusan manusia, agama tak boleh campur tangan. Oleh itu, masalah sosial yang parah hari ini dilihat terasing daripada agama dan jalan penyelesaiannya juga dibuat mengikut akal dan hawa nafsu bukan berpandukan agama. Kalau ada golongan agama yang menegur, maka teguran itu tidak diberi perhatian bahkan dituduh teguran ustaz kampung sahaja walaupun teguran itu mempunyai fakta dan bukti yang jelas.

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah :208
Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

ii) Kurang perhatian ibubapa

Kesibukan ibubapa mengejar harta dunia atau jahil ilmu mendidik anak-anak mengikut syariat Islam menyebabkan golongan remaja hari ini terbiar dan bebas melakukan apa yang mereka inginkan. Mereka sanggup melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama tanpa ada perasaan bersalah dan takut sedikit pun dengan azab Allah s.w.t. ibubapa hanya melahirkan mereka,memberi makan,minum,pakaian tempat tinggal dan sebagainya tanpa menekankan pendidikan agama kepada anak-anak. Bagaimana ibubapa hendak mendidik anak-anak dengan didikan agama sedangkan mereka sendiri tidak pernah menghadiri kuliah-kuliah agama di masjid-masjid atau surau, maka ibubapa yang jahil agama akan mewarisi kejahilan itu kepada anak-anak, kejahilan boleh diwarisi tetapi ilmu dan iman tidak boleh diwarisi.

iii) Pergaulan bebas

Hasil daripada pendidikan agama yang tidak sempurna daripada ibubapa, maka lahirlah generasi yang tidak tahu hukum dan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, mereka hidup dan bergaul sesuka hati mereka. Tidak ada lagi hukum dan undang-undang dalam pergaulan mereka, semuanya adalah harus belaka, berpelukan,berciuman,tidur serumah lelaki perempuan,mandi bersama,makan bersama akhirnya berlakulah perzinaan yang diharamkan oleh Islam.

iv) Cara berpakaian

Kesan daripada kejahilan agama dan pengaruh musuh-musuh Islam,maka cara berpakaian wanita-wanita Islam hari ini dilihat sangat menghairahkan. Berpakaian yang tidak menutup aurat ataupun menutup aurat yang tidak menepati syarak. Cara berpakaian begini boleh menaikkan nafsu lelaki-lelaki yang melihatnya dan seterusnya boleh membawa kepada rogol dan zina.

v) Pengaruh media

Media memainkan peranan yang besar kepada keruntuhan moral dan akhlak yang berlaku pada hari ini. Media dengan segala bentuk yang ada samada TV,internet,novel dan majalah yang lucah dan separuh lucah tidak memberikan vitamin yang sihat kepada roh remaja hari ini.kebanyakkannya membantu kepada pergaulan bebas, meruntun nafsu shahwat dan segala macam penyelewengan dan maksiat yang lain.

vi) Pusat hiburan

Banyaknya pusat-pusat hiburan yang menjadi tempat tumpuan remaja hari ini, memberi sumbangan yang besar kepada gejala sosial. Ada pusat hiburan yang dibuka 24 jam tanpa henti, semua ini boleh menarik minat golongan remaja untuk menghadirinya berbanding masjid dan surau yang memang tidak ada remaja yang suka menghadirinya.

vii) Undang-undang yang tidak berkesan

Jika manusia sudah tidak boleh dididik atau terlepas pandang oleh ibubapanya secara formal maka ia perlu dididik dengan cara tidak formal iaitu dengan cara pencegahan yang berdasarkan kepada penguatkuasaan undang-undang yang berat. Dalam konteks isu buang bayi ini, satu undang-undang perlu digubal bagi mengganti atau memperbaiki undang-undang sedia ada yang lemah dan kurang berkesan. Mewujudkan undang-undang begini adalah tanggungjawab pemerintah berdasarkan satu hadis nabi yang mafhumnya; setiap kamu adalah pengawal dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas orang yang berada di bawah kawalan kamu. Menurut kanun keseksaan yang ada seorang ibu akan dikenakan penjara maksimun 20 tahun jika didapati bersalah membuang bayinya.

Pembuangan bayi mengikut hukum syarak

Dalam Undang-undang Jenayah Syariah, kesalahan ini dilihat dari dua peringkat;

Pertama; pembuangan yang mengakibatkan kematian bayi.
Kedua ; pembuangan yang tidak mengakibatkan kematian.

Pembuangan bayi yang mengakibatkan kematian adalah jenayah yang sama dengan jenayah pembunuhan terhadap orang dewasa. Jika ia dilakukan dengan sengaja, maka pesalah jika sabit kesnya akan dikenakan hukuman mati tertakluk kepada ahli waris bayi, jika terdapat keampunan daripada mereka yang digantikan dengan bayaran pampasan nyawa, maka pesalah wajib membayarnya dengan harta sendiri. Pampasan nyawa seorang mangsa adalah sebanyak 100 ekor unta mengikut jenis yang ditetapkan,jika tiada unta maka pesalah dikehendaki membayar harga 100 ekor unta kepada waris mangsa mengikut nilai tempatan dan semasa. Jika dia diampun dari hukuman mati dan pampasan nyawa, maka dia akan terlepas dari kedua-dua hukuman tersebut tetapi dia dikehendaki membayar kaffarah pembunuhan itu, iaitu membebaskan seorang hamba yang beriman, jika tidak mampu maka dia perlu berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Dalam masalah ini kedudukan pesalah adalah sama, tidak dibezakan samada ibunya atau bapanya atau sesiapa sahaja.

Allah s.w.t member amaran keras kepada orang membunuh dengan sengaja.
Firman Allah s.w.t :an-nisa’ : 93
“dan Barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja Maka balasannya ialah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya”.

Amaran Allah s.w.t sangat keras kepada pembunuh dengan sengaja iaitu
-kekal dalam neraka Jahannam (mengikut jumhur masa yang sangat panjang)
-dimurkai Allah
-dikutuk oleh Allah
-disediakan azab yang besar


Adakah wanita atau perempuan yang mengetahui amaran ini sanggup melakukan pembuangan bayi hingga menyebabkan kematian?, sudah pasti tidak ada kalau mereka mengetahuinya.
Jika pembuangan bayi ini tidak melibatkan kematian, maka pesalah jika sabit kesalahan hanya dikenakan hukuman takzir sahaja berdasarkan pertimbangan hakim, samada disebat atau dipenjara atau dibuang daerah dan sebagainya.

Beberapa cadangan penyelesaian

1. Memantapkan semula aqidah dengan memperbanyak program agama samada di peringkat sekolah atau masjid dan jabatan-jabatan kerajaan. Remaja perlu tahu hukum hakam agama, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan seksual. Bagaimana batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan samada mahram dan bukan mahram (ajnabi).

Fiman Allah s.wt :al-Isra’ : 32
“dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk”.

Mendekati zina ialah segala apa sahaja cara yang boleh membawa kepada zina seperti pergaulan bebas remaja hari ini,berkhalwat dan sebagainya.
Sabda Nabi s.a.w :
“Siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka tidak boleh berkhalwat dengan perempuan tanpa ditemani oleh mahramnya, kerana orang ketiga bersama mereka ialah Syaitan”.(Riwayat Bukhari,Muslim dan Ahmad)

2. Menyemak semula kurikulum pendidikan yang ada , khususnya kurikulum pendidikan agama agar ianya lebih terancang dan dapat dilaksanakan dengan penuh hemat dan berkesan.
3. Keluarga sebagai institusi pertama dalam kehidupan seorang manusia, perlu memainkan peranan yang sebenar dalam membimbing,mendidik dan membentuk generasi muda menjadi insan yang berkualiti. Ibubapa yang tidak memiliki asas pendidikan agama dan kemahiran keibubapaan “parenting skill” perlu menimba ilmu sebagai bekalan untuk mendidik anak-anak mereka.

4. Pihak berkuasa hendaklah berusaha menghapuskan kesemua budaya yang memungkinkan berlakunya perzinaan seperti program pementasan, program-program radio dan TV dan semua media elektronik dan cetak. Begitu juga dengan pusat-pusat hiburan dan maksiat yang terdapat diseluruh Negara perlu dihapuskan.

5. Cara berpakaian yang sopan(bagi orang-orang islam menutup aurat)mesti dikawal sehingga kepada pelancong luar yang datang ke Negara ini. Oleh itu satu kod etika berpakaian perlu digubal dan dilaksanakan secara berkesan ke atas semua orang agar mereka akan terselamat daripada ransangan nafsu yang akan membawa kepada pelakuan yang tidak sihat.

6. Radio dan TV hendaklah menyediakan program-program yang boleh mendidik masyarakat, khususnya remaja, bukan hanya sekadar menyampaikan info dan hiburan atau hanya sekadar mengaut keuntungan semata-mata.

Kesimpulan

Gejala ini tidak harus dibiarkan berterusan, ia hendaklah ditangani dengan segera menerusi perancangan yang teratur rapi dan berkesan. Caca merba dalam masyarakat samada dari sudut pendidikan,politik, ekonomi dan budaya perlu dijernihkan dengan segera kalau kita berhasrat untuk melihat satu bangsa yang cemerlang,gemilang dan terbilang wujud di Negara ini.
Program hiburan dipusat-pusat hiburan seluruh Negara perlu patuh kepada satu garis panduan yang berdasarkan kepada fakta hiburan Negara, yang mengambil kira semua aspek, bukan hanya sekadar mendapatkan pulangan daripada para pelancong atau pengunjung pusat-pusat berkenaan.
Akhirnya renungilah satu hadis nabi s.a.w;
“Sesiapa yang bangun pagi tanpa memberi perhatian kepada urusan orang-orang Islam maka dia bukanlah daripada kalangan mereka”.
Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai