SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Feb 28, 2009

Bolehkah Kristian guna nama Allah?


Kerajaan perlu tarik semula kebenaran guna kalimah Allah

 KEPALA BATAS: Kerajaan perlu menarik balik keputusan membenarkan penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan agama Kristian kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malahan di seluruh dunia.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, kerajaan tidak bertindak secara bijak apabila membenarkan penggunaan kalimah itu oleh penerbitan Kristian kerana ia akan menimbulkan kemarahan umat Islam dan boleh membawa kepada tindakan agresif. Katanya, kerajaan sepatutnya tidak membuat keputusan sedemikian tetapi menyerahkan kepada mana-mana mahkamah yang berkenaan untuk proses rayuan memandangkan perkara itu telah dibawa ke mahkamah oleh pihak penerbitan Herald The Catholic Weekly.

Kerajaan perlu menanggung risiko kesan daripada keputusan itu iaitu sama ada rakyat bertolak ansur seperti mana yang dilakukan kerajaan atau tidak akan menyokong kerajaan yang ada pada masa akan datang, katanya ketika mengulas laporan akhbar berhubung penggunaan perkataan "Allah" bukan lagi satu larangan seperti yang terkandung dalam warta baru yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri awal tahun ini.

Perintah tersebut berbunyi: "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan 'Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'Solat' adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan "Khusus Untuk Penganut Agama Kristian".

"Pada saya, kerajaan telah melakukan satu kesilapan dan yakin umat Islam di negara ini tidak akan menerimanya kerana pengertian Allah itu adalah berdasarkan kepada tauhid yang berbeza antara Islam dan Kristian dan ini boleh mencetuskan golongan Islam yang ekstrim," kata Nakhaie kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Halal di Dewan Milenium di sini hari iniMohd Nakhaie, yang juga pengerusi Majlis Amal Islamiah Malaysia berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan kebenaran itu juga dilihat tidak menyokong usaha memelihara Islam sebagai agama rasmi negara ini. BERNAMA

Dilarang guna Allah

Oleh HAMDEN RAMLI
KOTA KINABALU 28 Feb. – Pewartaan kebenaran penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian dibatalkan kerana terdapat kesilapan pada warta tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perintah yang diwartakan pada 16 Februari 2009 itu juga bertentangan dengan keputusan kerajaan sebelum ini dan ia dibuat sebelum mahkamah memberikan keputusan.

Sehubungan itu katanya, kementerian membatalkan pewartaan tersebut dan memperbetulkan segera kesilapan berkenaan.

“Dalam perkara larangan penggunaan nama Allah itu, kita tidak akan mengatasi keputusan kerajaan yang tidak membenarkan penggunaan nama Allah oleh agama lain selain Islam dan kita juga tidak akan mendahului keputusan mahkamah.

“Saya mengaku berlaku kesilapan dalam pewartaan larangan penggunaan nama Allah itu dan kita akan mengambil tindakan untuk membetulkannya,” tegas beliau kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Baca seterusnya

Isu penggunaan nama Allah oleh pihak gereja

Isu Permohonan Pihak Geraja menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada God dalam tulisan berkaitan ajaran Kristian adalah isu besar dalam negara kita. Seluruh Muslim perlu mengetahui dan mengambil berat isu ini serta menunjukkan penentangan terhadap sebarang usaha untuk menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan mereka, begitu juga penggunaan Ka'bah merujuk kepada gereja dan solat merujuk kepada sembahyang di dalam gereja. Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi, firma Hj Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden PGSM telah dilantik sebagai Peguamcara kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak dan juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.Sini

Apa respon umat Islam?


Komen Saya
 Setiap agama membawa ajaran masing-masing yang mungkin berbeza dan bercanggah antara satu sama lain.Walaubagaimanapun jika dikaji dan diselidik masih terdapat persamaan dalam ciri-ciri asas setiap agama, tapi tak dapat dinafikan dalam persamaan itu ada seribu perbezaan.

Asas dalam kebanyakan agama ialah mengakui kewujudan tuhan yang mencipta alam ini, inilah asas persamaannya, tapi setiap agama mempunyai tuhan yang berbeza mengikut iktiqad dan kepercayaan masing-masin, di sinilah letaknya perbezaannya.

Tuhan kepada orang yang beragama Islam dipanggil Allah
Tuhan kepada orang yang beragama Kristian dipanggil God
Tuhan kepada orang yang beragama Yahudi dipanggil Yahweh
Tuhan kepada orang yang beragama Hindu dipanggil Brahman

Tuhan kepada orang yang beragama Majusi dipanggil Athura Mazda

Kepercayaan orang Islam kepada Allah
Setiap orang Islam wajib beriman kepada Allah, mereka wajib beriman
bahawa Allah itu wujud dan dialah satu-satunya tuhan yang wajib disembah. Allah tidak sama dengan tuhan agama lain. Ini kerana agama Islam menolak konsep Antropomorfisme yang mencacatkan kedudukan tuhan, seperti penjelmaan tuhan, tuhan beristeri dan berkeluarga, tuhan mempunyai anak, tuhan berbentuk dan berjasad dan sebagainya.Allah mempunyai sifat-sifat serta nama-nama yang suci. Terdapat 99 nama Allah yang dikenali dengan nama Asma ul-Husna.

Kepercayaan orang kristian tentang Tuhan
Kepercayaan agama Kristian kepada tuhan terbahagi dua;
i) Jesus (Isa) yang membawa ajaran asal
Jesus tidak membawa ajaran baru tapi penerus kepada ajaran nabi Musa a.s. Jesus mengajarkan tuhan ialah satu dan tidak diperanakkan, dia ialah tuhan yang satu dan tunggal


ii) Paulus pembawa pembaharuan
Paulus atau Saul keturunan Yahudi. Beliau membawa ajaran baru berkenaan Jesus, beliau mengatakan sebenarnya Jesus adalah anak tuhan, oleh itu Paulus menganggap Jesus adalah tuhan yang perlu disembah. Jesus dianggap elemen kedua dalam doktrin Triniti yang mempercayai tuhan terdiri daripada tiga elemen iaitu; tuhan bapa, Tuhan anak dan Roh Qudus, mereka adalah tiga dalam satu.Inilah kepercayaan orang Kristian hari ini.

Jelas kepada kita perbezaan kepercayaan dan iktiqad orang Islam dan orang Kristian. Tuhan yang disebut Allah ialah tuhan yang esa, yang tunggal, yang tidak ada tuhan yang disembah melainkanNya.

Firman Allah s.w.t:al-Ikhlas :1-4
1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;

2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;
4. "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya".

Tuhan orang Kristian ialah God yang tidak sama dengan Allah s.w.t, jadi kenapa mereka ingin meletakkan nama Allah sebagai tuhan mereka?Kalau mereka ingin menggunakan nama Allah, mereka perlu menyertai agama Islam yang mengtauhidkan (mengesakan) Allah s.w.t, selagi mereka meneruskan kepercayaan Triniti selagi itu mereka tidak layak untuk menggunakan nama Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t :al-Kaafiruun :1-6
1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!

2. "Aku tidak akan menyembah apa Yang kamu sembah.
3. "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) Yang Aku sembah.
4. "Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
5. "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat.
6. "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".

Kepada orang Islam pertahankan nama Allah, sebutlah banyak-banyak nama Allah, pagi, petang,siang dan malam, jangan sampai kita sebagai orang Islam hanya ingin mempertahankan nama Allah tapi tidak pernah menyebut nama itu dan kadang kala tidak kenal siapa Allah sehingga ada orang yang beragama lain pula yang berminat dengan nama Allah. Bagi yang berlidah mat saleh, biasakan menyebut "Oh Allah" " Ya Allah" bukan "Oh my God" seperti yang disebut oleh orang Kristian. Kalau kita tak suka orang Kristian menggunakan perkataan "Allah" kita juga tak suka orang Islam guna perkataan "God".

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 25, 2009

Bertaubatlah sebelum terlambat

Sabda nabi s.a.w

"يا أيها الناس، توبوا إلى الله، فإني أتوب في اليوم إليه مائة مرة

Maksudnya
“Wahai manusia ! bertaubatlah kepada Allah s.w.t, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah 100 kali sehari”. (riwayat Muslim)
Maka taubat adalah wajib bagi setiap muslim.

Firman Allah s.w.t : an-Nur :31
"dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya”.
Firman Allah s.w.t : at-Tahrim :8
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,”.

Semua manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan dan tidak boleh merasakan dirinya selamat daripada melakukan dosa kepada Allah s.w.t.

Sabda nabi s.a.w
"كل بني آدم خطاء"

Maksudnya;
“ setiap anak Adam melakukan kesalahan”. (riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majjah)

Walaubagaimanapun tidak ada masalah kalau manusia melakukan kesalahan, sebab memang manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan, tapi yang jadi masalah kalau manusia berterusan melakukan kesalahan.

Firman Allah s.w.t : ali-Imran :135
“dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.

Sesungguhnya Adam a.s. melakukan kesalahan dan lalai tetapi segera bertaubat kepada Allah s.w.t, sebagaimana doa nabi Adam dirakamkan dalam al-Quran dalam surah al-A’raf :23

“mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi".

Dan al-Baqarah :37
“kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat Yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

Manusia melakukan kesalahan dan tergelincir ke lembah maksiat tapi dia mampu membersihkan diri dengan taubat. Taubat adalah penghapus dosa yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia untuk membasuh dan menyucikan dosa dan maksiat.

Firman Allah s.w.t :al-Baqarah :222
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri”.

Sabda nabi s.a.w
"التائب من الذنب كمن لا ذنب له"

Maksudnya;
“ Orang yang sentiasa bertaubat, seolah-olah tidak ada dosa baginya”.
(riwayat Ibnu Majjah, at-Tobrani dan al-Baihaqi)

Tapi apa makna taubat?

Taubat bukan sekadar ucapan lidah, sebagaimana yang sering kita sebut “Aku kembali bertaubat kepada Allah, aku kembali kepada Allah dan aku menyesal dengan apa yang aku lakukan”. Ini tidak dinamakan taubat.

Taubat yang sebenarnya merangkumi beberapa perkara;

1) Menyesal kerana melakukan dosa
Rasa bersalah dengan dosa yang telah dilakukan, rasa bumi ini sempit, rasa tidak ada jalan keluar lagi kecuali kembali kepada Allah s.w.t.

2) Berazam tidak akan melakukan dosa itu lagi
Berazam dengan ikhlas untuk memperbaiki diri dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama lagi,berazam untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan tidak akan melakukan maksiat dan tidak akan kembali melakukannya sebagaimana susu tidak kembali lagi ke tempat keluarnya.

3) Melakukan amal soleh
Dengan cara menggantikan perbuatan buruk dengan perbuatan yang baik, kata-kata dusta kepada benar, suasana yang buruk kepada suasana yang baik dan sebagainya. Inilah yang perlu dilakukan kerana al-Quran mensyaratkan selepas taubat ialah iman dan amal soleh.

Firman Allah s.w.t:Maryam :60
“kecuali orang-orang Yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun”.

Allah mengiringkan taubat dengan iman, kerana maksiat lebih- lebih lagi dosa besar boleh menghalau iman keluar dari hati.

Sabda nabi s.aw

لا يزنى الزاني حين يزني وهو مؤمن، ولا يشرب الخمر حين يشربها وهو مؤمن، ولا يسرق السارق حين يسرق وهو مؤمن

Maksudnya;
“ tidak akan berzina seseorang itu kalau dia ada iman, tidak akan minum arak seseorang itu kalau dia ada iman dan tidak akan mencuri seseorang itu kalau dia ada iman”.

Maksiat zina, minum arak dan mencuri menghalau iman keluar dari hati seorang manusia. Oleh itu mesti memperbaharui iman dengan taubat dan melakukan amalan soleh, inilah resepi taubat.

Penghalang taubat

Apakah yang menghalang manusia bertaubat? Apakah yang melambatkan manusia bertaubat, perkara ini perlu diberi perhatian oleh seorang muslim supaya taubatnya tidak terhalang dan dilambatkan.

Antara penghalang taubat ialah

1) Panjang angan-angan
Manusia merasakan dirinya masih muda dan masih kuat dan menyangka umurnya masih panjang maka dia menunggu umur pencen untuk bertaubat.

2) Meremehkan maksiat
Meremehkan maksiat, menganggap dosa itu kecil, menyangka itu perkara biasa sahaja, semua ini tidak perlu ada pada seorang mukmin.

Sabda nabi s.a.w;
"المؤمن يري ذنبه كالجبل، يخاف أن يقع عليه، والمنافق يري ذنبه كذباب وقع على أنفه فقال هكذا وهكذا

Maksudnya;
“ Seorang mukmin melihat dosa itu seperti gunung yang akan menghempapnya, seorang munafik melihat dosa hanya seperti seekor lalat yang bermain-main di hidungnya dan menghalaunya begitu sahaja.
(riwayat Bukhari, Ahmad dan at-Tirmizi)

Satu kisah untuk renungan, “Seorang hamba Allah yang soleh sakit tenat, sahabatnya datang menziarahinya dan orang soleh ini menangis, sahabatnya bertanya; “kenapa kamu menangis? Sedangkan kamu tak pernah melakukan dosa besar dan tak pernah meninggalkan suruhan Allah? Maka jawab hamba soleh ini, “ aku menangis bukan kerana itu, tapi aku menangis kerana aku takut kalau aku melakukan dosa dan aku menyangka ia kecil sahaja tapi sebenarnya di sisi Allah adalah besar”.

Kata ulama salaf
“ janganlah kamu melihat kepada kecilnya maksiat yang dilakukan, tapi lihatlah kepada besarnya zat yang kamu melakukan maksiat kepadanya”. Yakni Allah s.w.t.

3) Bertawakkal kepada pengampunan Allah
Manusia yang melakukan dosa kemudian bertawakkal kepada pengampunan Allah, seperti katanya; “tak apalah lakukan dosa, Allah kan maha pengampun dan penyayang,rahmat Allah kan luas?” dan macam-macam lagi. Ingat jangan kita tertipu dengan syaitan, jangan kita hanya melihat kepada keampunan Allah semata-mata, tapi lihat juga kepada azab Allah yang sangat pedih, memang rahmat Allah itu luas, tapi untuk siapa?untuk orang yang bertaqwa, untuk orang yang melakukan kebaikan.

Firman Allah s.w.t: al-A’raf :156
"Dan Tetapkanlah untuk Kami kebaikan Dalam dunia ini dan juga di akhirat, Sesungguhnya Kami kembali (bertaubat) kepadamu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa Yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang Yang bertaqwa, dan Yang memberi zakat, serta orang-orang Yang beriman kepada ayat-ayat kami.

Firman Allah s.w.t: al-A’raf :56
“dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya Dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga Dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang Yang memperbaiki amalannya”.

Akhir sekali orang mukmin perlu berada antara harap rahmat Allah dan takut azab Allah.

Firman Allah s.w.t:az-Zumar :9
“Engkaukah Yang lebih baik) atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?

Firman Allah s.w.t: al-Isra’ :57
“orang-orang Yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang Yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; Sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara Yang semestinya) ditakuti”.

Marilah sama-sama kita menyegerakan taubat dan memperbaiki kesalahan kita, dan mudah-mudahan Allah s.w.t menerima taubat kita sebagai taubat yang nasuha.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 21, 2009

Pelajar pukul guru

Pelajar pukul guru adalah masalah yang kini sering menjadi topik hangat masyarakat. Ada beberapa kes yang direkodkan dan banyak lagi kes-kes yang tidak direkodkan kini. Selain daripada pukul banyak lagi kesalahan disiplin yang dilakukan oleh pelajar.

Antara kes yang direkodkan

KANGAR 16 Okt. - Dua orang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini didakwa menendang dan memukul seorang guru Fizik berusia 27 tahun setelah dipercayai tidak puas hati dengan tugasan kerja kursus yang diberikan kepada mereka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, kedua-dua pelajar tingkatan dua itu dikatakan dipanggil guru berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkataan kesat yang ditulis dalam kertas kerja kursus yang dihantar.

Baca seterusnya



Mengapakah masalah ini berlaku ?

Ada banyak sebab yang mendorong masalah disiplin pelajar menular walaupun ada garis panduan yang sedia ada mengikut pekeliling.Berdasarkan surat pekeliling iktisas 3/1983 yang disiarkan oleh kementerian Pendidikan Malaysia.

JENIS-JENIS KESALAHAN

1. KESALAHAN BERAT.

• Kurang sopan, biadap kepada guru atau pelajar. • Mencuri, menipu, berjudi, minum minuman keras. • Mengugut atau memeras atau menggunakan kekerasan. • Terlibat dalam najis dadah atau merokok. • Menganggotai kumpulan haram. • Memukul guru atau pelajar. • Melakukan perbuatan yang tidak bermoral. • Ponteng kelas, sekolah dan perhimpunan. • Membawa atau menyebarkan gambar atau video lucah.

2. KESALAHAN SEDERHANA BERAT.

Bising. • Bergaduh atau bertumbuk. • Keluar kelas tanpa kebenaran. • Mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. • Pakian tidak kemas. • Bersubahat dengan sebarang kesalahan. • Bercakap bohong atau menipu. • Membawa atau bermain permainan yang merbahaya. • Tidak menghormati guru atau pelajar. • Mengotori kelas atau kawasan sekolah. • Tidak menepati masa. • Tidak membawa peralatan pembelajaran. • Tidak menyiapkan kerja atau latihan.

3. KESALAHAN RINGAN •

Datang lewat ke sekolah atau asrama. • Tidak membayar yuran sekolah atau asrama. • Mengusik atau menganggu pelajar. • Merayau-rayau. • Makan atau minum dalam kelas. • Melompat pagar sekolah. • Menganggu ketenteraman. • Tidak menunjukan semangat kekitaan atau sayangkan sekolah.

4. PERINGATAN. •

Semua hukuman berat dan sederhana akan dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga. Kesalahan ini akan direkodkan. • Sebarang kesalahan yang dilakukan berulang akan dianggap kesalahan berat. • Pengetua atau lembaga Disiplin Sekolah mempunyai kuasa untuk mengubahsuaikan mana-mana bahagian dalam peraturan ini.

Pekelling ini juga tidak mampu menangani masalah walaupun ia dijadikan sebagai panduan.

Oleh itu, tak lain tak bukan marilah kita kembali kepada tanggungjawab asas dalam pendidikan anak-anak. Di mana bermulanya pendidikan ini adalah dari rumah, ibu bapa wajib mengajar anak-anak sejak dari kecil untuk menghormati guru, memuliakan guru dan menunaikan hak-hak guru mereka. Kata pepatah; didik anak biarlah dari rebungnya.

Nabi s.a.w telah meletakkan asas kepada ibu bapa para pendidik dan panduan-panduan untuk mendidik anak-anak supaya memuliakan alim ulama dan guru-guru, supaya manusia tahu kelebihan mereka sebagai ilmuan dan supaya pelajar-pelajar mereka dapat menunaikan hak mereka sebagai guru.

Antara wasiat nabi s.a.w melalui hadis-hadis baginda;

Sabda nabi s.a.w
“ Bukan umatku sesiapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, tidak kasihan kepada orang yang lebih muda dan tidak menunaikan hak guru-guru. (riwayat Ahmad, Thabrani dan al-Hakim)

Sabda nabi s.a.w
“ Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu dari mereka. (riwayat at-Thabrani)

Sabda nabi s.a.w
“ Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik ; Orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil”. (riwayat at-Thabrani)

Pengajaran yang boleh kita ambil daripada wasiat-wasiat nabi adalah seperti berikut;

1) Pelajar mesti bersifat rendah diri (tawadhu’) terhadap gurunya, tidak boleh melawan arahan guru, seperti pesakit mengikut arahan doktor.

Imam al-Ghazali berkata; “Tidak akan dapat ilmu kecuali dengan merendah diri dan mendengar dengan teliti…

2) Pelajar wajib melihat gurunya dengan penuh penghormatan.

Imam as-syafie berkata; “Aku membuka lembaran kitabku di depan Imam Malik (gurunya) dengan penuh hati-hati, supaya Imam Malik tidak mendengar bunyinya.

Ar-Rabi’ (murid Imam as-Syafie) berkata; “ Aku tidak sekali-kali minum di hadapan Imam as-Syafie sewaktu beliau melihatku kerana aku gerun dengan kehebatannya”.

3) Pelajar mestilah mengiktiraf hak gurunya dan jangan lupa kelebihan gurunya.
Syu’bah berkata; “ aku apabila menerima satu ilmu dari seorang manusia maka aku akan menjadi hambanya seumur hidup”.

Syauqi berkata dalam syairnya
“ Tunaikan hak guru dan muliakan mereka, seorang guru seolah-olah nabi yang diutus’.

Sepatutnya seorang pelajar mendoakan guru-gurunya sepanjang hayatnya, memelihara hubungan dengan keluarga guru-gurunya selepas kematian mereka, menziarahi kubur mereka, meminta ampun untuk mereka, mengikut jejak langkah mereka dan menjadikan guru-guru sebagai contoh dan tauladan dalam kehidupan.

4) Pelajar perlu bersabar dengan sikap panas baran gurunya, jangan sekali-kali memboikot mereka dan tidak belajar ilmu dari mereka.Jika guru marah, maka minta maaf dan bertaubat dengan kesalahan yang dilakukan, elakkan perbuatan yang boleh mendatangkan kemarahan guru kerana semua ini akan menjaga hubungan baik antara guru dan murid.

Alim ulama berkata; “ Sesiapa yang tidak bersabar ketika menuntut ilmu maka dia akan kekal dalam kejahilan, sesiapa yang bersabar akan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.

5) Pelajar wajib duduk di hadapan gurunya dengan penuh adab sopan, mendengar dengan penuh minat, melihat kepada wajah gurunya, tidak berpaling ke kiri dan ke kanan, ke atas dan ke bawah jika tidak ada keperluan.

Seorang pelajar perlu menjauhkan perkara-perkara yang kurang sopan di hadapan gurunya; tidak boleh mengganggu perjalanan P&P, tidak boleh menggerakkan tangan atau kakinya atau anggota lain tanpa hajat, tidak boleh mengorek hidungnya, tidak boleh menguap dengan membuka mulutnya, tidak boleh tidur waktu belajar, tidak boleh bermain jari jemarinya atau seluar dan bajunya, tidak boleh banyak cakap tanpa hajat, tidak boleh buat lawak yang menyebabkan kebisingan, kalau terpaksa ketawa ketawalah tanpa suara,tidak boleh banyak berdehem tanpa hajat, jika terpaksa bersin maka rendahkan suara semampu mungkin dan tutup mukanya dengan sapu tangan atau tisu.

6) Pelajar tidak boleh masuk ke bilik guru atau tempat yang dikhususkan untuk guru tanpa izin.
Jika setelah minta izin tapi tidak diizinkan masuk maka pulanglah jangan sekali-kali diulang-ulang minta izin. Jika ragu-ragu samada guru mendengar atau tidak maka boleh diulang sebanyak tiga kali sahaja, jika terpaksa mengetuk pintu maka ketuklah dengan lembut dan beradab dengan hujung jari. Apabila dibenarkan masuk, masuklah dengan penampilan yang terbaik, badan yang bersih, berpakaian kemas lebih-lebih lagi jika P&P sedang dijalankan.

Inilah di antara adab-adab yang perlu diajar kepada anak-anak oleh ibu bapa dan para pendidik. Jika anak-anak sejak dari kecil diajar adab-adab ini maka mereka akan menjadi terpelajar bukan kurang ajar sebagaimana yang berlaku pada hari ini. Mereka akan menjadikan guru-guru sebagai orang yang paling dihormati selepas ibu bapa mereka, gurulah orang yang memberi sinar cahaya dalam kehidupan mereka selepas mereka berada dalam kegelapan. Ingatlah sehebat manapun manusia, setinggi manapun pangkatnya dia mesti ada guru yang mengajarnya satu waktu dahulu.Oleh itu hormati guru, muliakan guru, janganlah melawan guru lebih-lebih lagi memukul guru, ikut arahan guru, kecuali jika disuruh melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.



Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 18, 2009

Stres dan penyelesaiannya mengikut Islam

Firman Allah s.w.t :al-Mulk :2
"Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)".

Allah s.w.t mencipta manusia dan menguji manusia untuk menilai siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Ujian Allah boleh terjadi dalam pelbagai bentuk, samada dalam bentuk fizikal, biologikal atau psikologikal dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t :al-Baqarah :155
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar".

Punca sres

1) Dalam diri :Seperti; harapan yang tinggi, masalah peribadi, pengalaman yang traumatik semasa kecil dan lain-lain pengalaman.

2) Tekanan rumah tangga : seperti; jodoh perkahwinan, keibubapaan, hubungan suami isteri, hubungan dengan mertua dan sebagainya.

3) Tekanan sosial :seperti; masalah perhubungan, tekanan tempat kerja, tekanan kehidupan samada di bandar atau kampung.

4) Tekanan pekerjaan : seperti; jenis pekerjaan, risiko atau tanggungawab pekerjaan, keadaan fizikal kerja, organisasi, peranan atau tugas, perkembangan kerjaya dan komunikasi yang tidak berkesan.

Firman Allah s.w.t :al-Balad :4
"Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa Dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)".


Manusia sejak berada dalam rahim ibunya sudah menghadapi stres kerana tempat tinggalnya yang sangat sempit hanya sebesar sebiji bola sahaja, kemudian apabila dilahirkan manusia stres menghadapi angin dunia yang sejuk yang menyebabkan bayi menangis, kemudian sakit apabila tali pusat tertanggal, kemudian sakit bersunat, kemudian stres memasuki alam persekolahan samada Pra Sekolah, Sekolah rendah, sekolah menengah,dan universiti, kemudian stres mencari jodoh dan perkahwinan, kemudian stres rumah tangga, masalah anak-anak, seterusnya berhadapan dengan pelbagai penyakit; kencing manis, lemah jantung, darah tinggi dan sebagainya, kemudian stres menghadapi sakaratul maut seterusnya sres menghadapi Munkar dan Nakir dan seksa kubur, kemudian stres hari kebangkitan semula, perhimpunan Mahsyar, timbangan amal, titian Sirat dan akhir sekali Syurga atau neraka. Berbahagialah seorang manusia bila dimasukkan ke dalam Syurga dan hilanglah stresnya tapi jika dimasukkan ke Neraka stresnya akan berterusan tidak berpenghujung.

Punca stres mengikut Islam

Menurut pandangan Islam punca stres itu bukan dari tekanan mental semata-mata bahkan punca tekanan itu sebenarnya berpunca daripada kecelaruan dan kelemahan hati, roh, nafsu dan akal.

Kelemahan hati

Kelemahan hati yang menyebabkan longgarnya hubungan manusia dengan Allah s.w.t yang menyebabkan kehidupannya menjadi sempit seolah-olah tidak ada jalan keluar daripada masalah. Hati yang baik mempunyai unsur yang sangat halus(latifah) ketuhanan (rabbaniah) dan kerohanian (ruhaniah)

Firman Allah s.w.t : Toha :124
"Dan sesiapa Yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka Sesungguhnya adalah baginya kehidupan Yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat Dalam keadaan buta".

Kelemahan roh

Roh menghidupkan jasad atau badan, maka kekuatan roh itu dinilai dari sudut mengenali Allah s.w.t, semakin ia kenal Allah semakin kuat dan mantap roh tersebut, jika tidak maka roh itu akan lemah mudah diganggu dan diresapi oleh iblis dan syaitan.

Kelemahan nafsu

Mengikut imam al-Ghazali nafsu adalah satu unsur yang halus yang mana ia adalah hakikat manusia, ia mempunyai bermacam-macam sifat dan keadaan. Apabila keinginan negatif dan keburukan menguasai hati, itulah yang dikatakan nafsu Lawwamah atau Ammarah bis su'. Apabila ketenangan, ketenteraman dan kejernihan menyelubungi hati, itulah yang dikatakan nafsu Mutmainnah.

Firman Allah s.w.t : al-Fajr :27-30
27. (setelah menerangkan akibat orang-orang Yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan Bahawa orang-orang Yang beriman dan beramal soleh akan disambut Dengan kata-kata): "Wahai orang Yang mempunyai jiwa Yang sentiasa tenang tetap Dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -


28. "Kembalilah kepada Tuhanmu Dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -

29. "Serta masuklah Engkau Dalam kumpulan hamba-hambaKu Yang berbahagia -

30. "Dan masuklah ke Dalam SyurgaKu! "

 
Kelemahan akal
 
Menurut imam al-Ghazali, akal ialah sesuatu yang dapat menerima ilmu dan wadah pengetahuan, kelemahan akal berpunca daripada kejahilan atau sedikit ilmu seseorang. Para ilmuan mengandaikan ilmu itu adalah makanan bagi akal, tanpa ilmu akal akan mati, akal yang mati tidak akan berfungsi dengan baik.
 
Strategi menangani stres melalui pendekatan Islam
 
1) Tadabbur al-Quran
 
Membaca al-quran dengan betul, dalam masa yang sama memahami makna ayat-ayat yang dibaca serta menghayati dan mengamalkan arahan dan larangan akan mententeramkan fikiran, hati, rohani dan jasmani. Sebagaimana al-Quran boleh memberi respon yang baik kepada molekul air begitu juga al-Quran boleh memberi ketenangan kepada manusia yang membaca dan mendengarnya sebagaimana hasil kajian saintifik oleh Dr. Masaru Emoto seorang “pakar air” dari Jepun.
 
Antara cohtohnya
 
Bentuk molekul air oksigen dan berkhasiat (mineral tempatan) yang belum dibaca apa-apa

Bentuk molekul air dibaca surah kitab suci al-Quran

Bentuk molekul air sebelum dibaca doa

Bentuk molekul air setelah dibacakan doa sebelum diminum


Untuk rujukan selanjutnya sila ke sini

Selalulah membaca al-Quran sekurang-kurangnya 2 kali khatam setahun. setiap hari sekurang-kurangnya sepuluh ayat, insyaAllah kita akan ditulis sebagai orang yang sentiasa ingat kepada Allah s.w.t.

2) Taqarrub kepada Allah s.w.t
Taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, mengenali dan mencintainya lebih daripada segala-galanya sehingga lahir rasa kehambaan sejati dalam diri melalui amal ibadah secara istiqamah (berterusan) dengan cara;
i) Qiamullail
 iaitu bangun pertengahan malam atau sepertiga malam untuk beribadah kepada Allah s.w.t dengan menunaikan ibadah solat sunat seperti solat Tahajjud, Hajat, Taubat, Tasbih dan Witir.
ii) Istighfar dan Taubat
 iaitu dengan sentiasa beristighfar sekurang-kurangnya 75-100 kali sehari dan berzikir dengan zikir-zikir daripada al-Quran dan juga Hadis.

3) Syukur dan ikhlas
 iaitu melakukan kerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan, semuanya dilakukan kerana Allah s.wt. Jika kita bekerja atau melakukan sesuatu dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu, apabila kita tidak dapat apa yang kita hajati sudah pasti stres akan melanda.

Firman Allah s.w.t :al-Insaan :9
"(sambil berkata Dengan lidah atau Dengan hati): "Sesungguhnya Kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; Kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih".

4) Tawakkal
Berserah dan menyerahkan natijah semua perkara kepada Allah s.w.t setelah berusaha sedaya upaya serta percaya yakin kepada segala janjinya.

unsur penting dalam Tawakkal

i) Menyedari bahawa Allah pemberi rezeki, kekuatan, keinginan dan tubuh badan yang sihat dan kuat untuk bekerja.

ii) Menyedari bahawa segala perbuatan, tindakan, hakikat sebenarnya adalah kehendak Allah s.w.t.

InsyaAllah jika semua ini ada pada kita, maka kita akan menjadi manusia yang tidak pernah berputus asa dan tidak akan stres kerana semuanya berlaku dengan kehendak Allah s.w.t. Sebagai orang Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t, sepatutnya kita dapat menghadapi stres dengan baik setelah kita mengetahui bahawa semua yang menimpa kita adalah ujian dari Allah s.w.t, walaubagaimanapun stres akan melanda sesiapa sahaja, kerana semua manusia akan diuji oleh Allah s.w.t, cuma sebagai muslim mungkin kita dapat mengurangkan stres tersebut dengan cara-cara yang disebut di atas, di sana ada lagi cara-cara lain yang boleh dilakukan untuk mengawal stres seperti pendekatan fizikal dan emosi.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 15, 2009

Kebaikan dunia dan akhirat

sabda nabi s.aw;
أربع من أُعطيهن فقد أُوتي خيري الدنيا والآخرة: لسانًا ذاكر، وقلبًا شاكر، وبدنًا على البلاء صابرًا، وزوجة صالحة لا تبغيه خَونا في نفسها وماله
maksudnya;
"Empat perkara, sesiapa yang dikurniakannya oleh Allah, maka dia akan mendapat kebaikan dunia dan akhirat;


1) Lidah yang sentiasa berzikir
2) Hati yang sentiasa bersyukur
3) Badan yang sabar menghadapi ujian
4) Isteri yang solehah yang tidak khianat pada dirinya dan harta suaminya.

 Sebesar-besar nikmat Allah

Empat perkara yang disebut oleh nabi s.a.w ini, merupakan sebesar-besar nikmat Allah s.a.w. Lebih besar daripada harta, pangkat, segala apa yang dikejar oleh manusia atas dunia ini, binatang ternakan, ladang, kenderaan, emas dan perak. Sesiapa yang mendapat nikmat ini, sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan dunia dan juga akhirat.

Nikmat yang pertama : Lidah yang sentiasa berzikir

Bahawa Allah s.w.t anugerahkan kepada kita lidah yang sentiasa menyebut namanya pada setiap ketika dan keadaan, tidak pernah jemu menyebut namaNya, lidah yang sentiasa basah menyebut nama Allah.
Ketika manusia sibuk dengan dunia, ketika manusia tenggelam dengan tanggungjawab mereka, maka hendaklah mereka ingat kepada Allah s.a.w. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak reda kepada hambaNya yang mengingatiNya semata-mata ingat dan berzikir dengan zikir yang sedikit.

Firman Allah s.w.t: al-Ahzab :41-42
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً}
maksudnya;
41. Wahai orang-orang Yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah Dengan ingatan serta sebutan Yang sebanyak-banyaknya;

42. dan bertasbihlah kamu kepadanya pada waktu pagi dan petang.

Orang-orang munafik juga ingat kepada Allah s.w.t, tapi sekali sekala dan terlalu sedikit.
Firman Allah s.w.t:an-Nisa' :142
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri Dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)".

Adapun orang-orang yang beriman dengan Allah s.w.t sentiasa berzikir dan ingat Allah s.w.t dalam apa keadaan sekalipun.

Firman Allah s.w.t: Ali-Imran :191
"(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka".

Sesungguhnya mereka sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan, mereka tidak pernah lupa Allah s.w.t ketika aman, damai atau ketika berlaku peperangan bahkan ketika bertemu musuh sekalipun.
Firman Allah s.w.t: al-Anfaal :45
"Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu bertemu Dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)".

Lisan yang sentiasa berzikir ialah lisan yang sentiasa basah dengan zikir. Nabi s.a.w pernah ditanya;

يا رسول الله، إن شرائع الإسلام كثُرت عليَّ، فباب نتمسك به جامع. فقال: "لا يزال لسانك رطبا من ذكر الله
maksudnya;
"Wahai Rasulullah! sesungguhnya syariat Islam terlalu banyak ke atas saya, pintu untuk kami berpegang terlalu banyak, maka bersabda nabi s.a.w; Sentiasalah lidahmu basah menyebut Allah s.w.t.
(riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Perlu diingat bahawa hati perlulah bersama dengan lidah ketika berzikir, jika tidak mampu menghadirkan hati ketika berzikir maka minta lindung dengan Allah daripada Syaitan, insyaallah.

Nikmat yang kedua : Hati yang sentiasa bersyukur

Zikir dan syukur sentiasa beriringan.

Firman Allah s.w.t: al-Baqarah :152
"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu Dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)".


Sabda nabi s.a.w;
"اللهم أعنِّي على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك"
maksudnya;

" Ya Allah ! Bantulah aku untuk mengingatimu, untuk bersyukur kepadamu dan melakukan sebaik-baik ibadah keranamu".(riwayat Ahmad, an-Nasa'ie, Ibnu Khazimah dan Ibnu Hibban)

Syukur sangat dituntut oleh Islam, peringkat pertama syukur ialah manusia merasa semua nikmat adalah datang dari Allah s.w.t, ini ialah pengiktirafan hati yang meyakini bahawa semua nikmat yang kita perolehi adalah datang dari Allah s.w.t sehingga nikmat yang diberi oleh makhluk juga asalnya adalah dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t :an-Nahl :53
"Dan apa-apa nikmat Yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; Kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan".


Hati yang bersyukur mengiktiraf semua nikmat datang dari Allah s.w.t, apa yang ada pada kita, di sekeliling kita semuanya nilmat Allah s.w.t, alangkah besarnya nikmat Allah kepada kita, semua yang ada di sekekeliling kita ditundukkan untuk berkhidmat kepada kita manusia makhluk terbaik.

Firman Allah s.w.t : Ibrahim:32-34
"Allah jualah Yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan Dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan ia Yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut Dengan perintahNya, juga Yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).


dan ia juga Yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan Yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.

dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua Yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya".

Wajib ke atas orang-orang beriman bersyukur dengan nikmat-nikmat ini, kerana syukur boleh memelihara nikmat dan mengikat nikmat tersebut supaya ia berterusan dan ditambah oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t :Ibrahim:7
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Nikmat yang ketiga :Badan yang sabar menghadapi ujian


Menanggung beban, keperitan dan kepayahan pada jalan Allah s.w.t, lapar dan dahaga kerana Allah s.w.t, berjihad di jalan Allah dan sebagainya dalam menghadapi dugaan dan cabaran kehidupan.Seorang manusia tidak akan berjaya di dunia dan akhirat kecuali dengan bersabar.

Sabda nabi s.a.w;
الصبر ضياء"
maksudnya;
"Sabar itu cahaya". (riwayat Muslim, Ahmad dan at-Tirmizi)

 iaitu sabar menerangi jalan manusia, jika tidak ada sabar manusia sebenarnya berjalan di dalam kegelapan.
Sabar ialah nikmat, sesiapa yang dianugerahkan sabar maka dia dianugerahkan nikmat yang besar.

Nikmat yang keempat :Isteri yang solehah yang tidak khianat pada dirinya dan harta suaminya.

Ini antara nikmat yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada hambanya, sesiapa yang dianugerahkan isteri yang solehah sesungguhnya dia mendapat nikmat yang besar bahkan lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Sabda nabi s.a.w;
"الدنيا متاع، وخير متاعها المرأة الصالحة"
maksudnya;
"Dunia adalah mata benda, sebaik-baik mata bendanya ialah Isteri yang solehah".(riwayat Muslim, an-Nasa'ie dan Ibnu Majjah)

Nabi s.a.w ketika berkahwin dengan Khadijah, baginda tidak mencari harta, tidak mencara umur yang muda, tidak mencari kecantikan tapi mencari solehah.
Isteri solehah adalah harta simpanan yang sangat bernilai, kerana mereka membantu kita untuk taat kepada Allah, menjauhkan kita dari melakukan maksiat kepada Allah.

Isteri solehah akan berkata kepada suaminya sewaktu suaminya pergi bekerja;
"Carilah harta yang halal, kami sanggup berlapar tapi tak sanggup makan harta haram dan mendapat kemurkaan Allah".

Isteri solehah bila suaminya keluar berjihad dan ditanya kepadanya adalah kamu sanggup menjadi janda dan siapakah yang akan memberi makan kepada anak-anakmu?.jawabnya dengan penuh keyakinan dan iman; " suamiku hanya memberi makan bukan memberi rezeki, jika yang memberi makan itu mati, masih ada yang memberi rezeki, itulah Allah s.w.t.

Isteri solehah adalah nikmat, sebab itu nabi memasukkan isteri solehah ke dalam nikmta-nikmat dunia dan akhirat.

Sabda nabi s.a.w;
"مَن رزقه الله امرأة صالحة، فقد أعانه الله على شطر دينه، فليتق الله في الشطر الثاني
maksudnya;
"Siapa yang dianugerahkan isteri solehah, sesungguhnya Allah menjaga sebahagian agamanya, maka dia hanya perlu menjaga sebahagian yang baki".(riwayat at-Tobrani dan al-Hakim)

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 12, 2009

Hari Valentine bukan daripada Islam

Islam yang menjadi agama yang diredai oleh Allah s.w.t adalah satu agama yang sempurna. Tidak perlu ada penambahan di dalamnya, Islam telah mengatur seluruh kehidupan penganutnya daripada perkara yang paling kecil hinggalah yang paling besar, dalam semua urusan samada ibadah, muamalah, ekonomi, politik dan sebagainya. Umat islam tidak perlu lagi mencari cara hidup yang lain selain Islam.

Firman Allah s.w.t ; al-Maidah :3
“pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”.

Oleh itu sesiapa yang mencari agama lain atau cara hidup lain selain daripada islam ia tidak akan diterima oleh Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t ; an-Nisa’:85
“dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi”.

Di dalam Islam ada perkara yang halal dan ada perkara yang haram. Perkara yang halal lebih banyak daripada perkara yang haram, kerana tujuan

Allah mencipta sesuatu ialah untuk kesenangan manusia, tidak ada guna jika Allah mengharamkan banyak perkara.Cuma Islam mengharamkan perkara-perkara yang keji dan memberi mudharat kepada manusia itu sendiri.

Firman Allah s.w.t ; al-A’raf:32
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui”.

Firman Allah s.w.t ; al-A’raf:33
“katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan Yang keji, sama ada Yang nyata atau Yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh Dengan tidak ada alasan Yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu Dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang Bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu Yang kamu tidak mengetahuinya”.

Oleh itu setiap ibu bapa para pendidik perlu memaklumkan kepada anak-anak perkara halal dan haram dalam Islam supaya menjadi panduan dalam kehidupan mereka.

Firman Allah s.w.t ; at-Tahrim :6
“Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan”.

Sabda nabi s.a.w;
“Suruhlah anak-anak kamu supaya mengikut segala suruhan Allah s.w.t dan menjauhkan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. itulah cara untuk menyelamatkan kamu dan anak-anak daripada api neraka”.

Sabda nabi s.a.w;
“Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas antara keduanya ada perkara yang shubhah (tak pasti halal atau haram)….(Bukhari)

Nabi dapat banyak perkara tidak suka umat Islam menurut atau mengikut jejak langkah atau cara hidup orang Yahudi dan Kristian, kerana mereka adalah musuh utama Islam dan mereka sentiasa mencari helah untuk umat Islam mengikut jejak langkah mereka, mereka sekali-kali tidak akan reda dengan umat islam sehinggalah umat islam mengikut jejak langkah mereka.

Firman Allah s.w.t ; al-Baqarah :120
“orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu)”.

Dalam persoalan ini nabi sentiasa memastikan supaya umat Islam tidak mengikut cara hidup orang Yahudi dan Kristian, oleh nabi s.a.w sentiasa mencegah sahabat-sahabat daripada mengikut jejak langkah Yahudi dan Kristian.

Dalam persoalan memakai rambut palsu contohnya, nabi melarang sahabat-sahabat dan umat Islam daripada menggunakannya. Kerana ia adat orang-orang Yahudi.

Nabi melarang orang yang memakai rambut palsu dan yang minta supaya dipakaikan”. (Bukhari)

Dalam persoalan mewarna uban, oleh kerana orang-orang Yahudi dan Kristian tidak mewarnakan uban mereka maka nabi mengarahkan sahabat-sahabat supaya mewarnakan uban.

Sabda nabi s.a.w;
“Sesungguhnya Yahudi dan Kristian tidak mewarna uban mereka, maka janganlah kamu menyerupai mereka”. (Bukhari)

Dalam persoalan janggut begitu juga, oleh kerana orang-orang Musyrikin tidak menyimpan janggut maka nabi mengarahkan sahabat menyimpan atau memelihara janggut.

Sabda nabi s.a.w;
“ Hendaklah kamu menyanggah orang-orang musyrik, simpanlah janggut kamu dan cukurlah atau nipiskan misai kamu”. ( Bukhari)

Walaupun hukum larangan di atas ada khilaf di kalangan ulama samada haram, makruh atau harus, tapi yang penting ialah ketegasan nabi s.a.w mengarahkan umatnya supaya tidak mengikut jejak langkah Yahudi dan Kristian walaupun dalam persoalan penampilan dan perhiasan apakah lagi dalam persoalan agama.

Sabda nabi s.a.w;
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia dikira kaum tersebut”. (Abu Daud)


PADA14 Februari setiap tahun sudah pastinya harga bunga ros akan jauh lebih mahal daripada hari-hari biasa. Begitu juga dengan pakej-pakej istimewa yang disediakan oleh kebanyakan restoran dan hotel. Tidak ketinggalan juga radio dan tv menyiarkan rancangan istimewa bersempena dengan Hari Valentine atau Hari Mengingati Kekasih ini. Setiap tahun pada hari ini ramai pasangan kekasih akan meraikannya.

Pada hari ini, bunga ros dan kadang-kadang berserta hadiah seperti coklat akan diberi kepada pasangan masing-masing. Di samping itu ada juga yang pergi makan malam bersama. Paling kurang pun ucapan sayang akan dilafaz atau dinyatakan melalui sms, email atau kad pada tanggal 14 Februari ini. Semua ini adalah untuk menzahirkan perasaan hati kepada pasangan yang disayangi.

Apakah hari Valentine itu? Siapakah Valentine sebenarnya? Kenapa ianya dikenali sebagai hari memperingati kekasih? Bila dan bagaimanakah sambutan ini bermula? Kenapa pada 14 Februari? Bolehkah hari Valentine ini disambut oleh umat Islam? Sebenarnya terdapat beberapa cerita tentang hari kekasih ini. Beberapa orang ulama juga telah membuat kenyataan mengenai hukum menyambut hari kekasih ini.

Sejarah Valentine

Ensiklopedia Katolik menyebutkan tiga versi tentang Valentine, tetapi versi terkenal adalah kisah Pendeta St.Valentine yang hidup di akhir abad ke 3 M di zaman Raja Romawi Claudius II. Pada tanggal 14 Februari 270 M Claudius II menghukum mati St.Valentine yang telah menentang beberapa perintahnya. Claudius II melihat St.Valentine mengajak manusia kepada agama Nashrani lalu dia memerintahkan untuk menangkapnya. Dalam versi kedua , Claudius II melihat orang-orang bujang lebih tabah dalam berperang daripada mereka yang telah berkahwin, yang sejak mula menolak untuk pergi berperang. Maka dia mengeluarkan perintah yang melarang pernikahan. Tetapi St.Valentine menentang perintah ini dan terus mengadakan pernikahan di gereja dengan sembunyi-sembunyi sampai akhirnya diketahui lalu dipenjarakan. Dalam penjara dia berkenalan dengan putri seorang penjaga penjara yang diserang penyakit. Ia mengubatinya hingga sembuh dan jatuh cinta kepadanya. Sebelum dihukum mati, dia mengirim sebuah kad yang bertuliskan "Dari yang tulus cintanya, Valentine." Hal itu terjadi setelah anak tersebut memeluk agama Nashrani bersama 46 kerabatnya.


Versi ketiga menyebutkan ketika agama Nashrani tersebar di Eropah, di salah satu desa terdapat sebuah tradisi Romawi yang menarik perhatian para pendeta. Dalam tradisi itu para pemuda desa selalu berkumpul setiap pertengahan bulan Februari. Mereka menulis nama-nama gadis desa dan meletakkannya di dalam sebuah kotak, lalu setiap pemuda mengambil salah satu nama dari kotak tersebut, dan gadis yang namanya keluar akan menjadi kekasihnya sepanjang tahun. Ia juga mengirimkan sebuah kad yang bertuliskan " dengan nama tuhan Ibu, saya kirimkan kepadamu kad ini."

Akibat sulitnya menghilangkan tradisi Romawi ini, para pendeta memutuskan mengganti kalimat "dengan nama tuhan Ibu" dengan kalimat " dengan nama Pendeta Valentine" sehingga dapat mengikat para pemuda tersebut dengan agama Nashrani.

Bahkan saat ini beredar kad-kad perayaan keagamaan ini dengan gambar anak kecil dengan dua sayap terbang mengelilingi gambar hati sambil mengarahkan anak panah ke arah hati yang sebenarnya itu merupakan lambang tuhan cinta bagi orang-orang Rom

Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka Valentine.

Berdasarkan penerangan di atas, adalah jelas bahawa tidak ada istilah Hari Kekasih atau Valentine’s Day dalam Islam. Hakikatnya, adalah tidak boleh orang-orang Islam menyertainya kerana hari tersebut adalah hari perayaan bagi orang-orang Kristian.

Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang di antara satu sama lain akan tetapi untuk meluahkan kasih sayang di antara seorang lelaki dan perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak bukan yang menggalakkan kepada perkara-perkara yang mendorong atau merangsang kepada yang dilarang dan maksiat.

Realitinya, Islam adalah agama yang praktikal, bukan mengongkong. Islam agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang di antara umatnya.

Dalam Islam ada tiga kategori kasih:

• Pertama, kasih Pencipta (Allah Subhanahu wataala) kepada hamba-Nya;

• Kedua, kasih hamba kepada Pencipta dan

• Ketiga, kasih makhluk sesama makhluk.

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan mengenai hikmat dan besarnya faedah berkasih sayang.

Allah Subhanahu wataala menjelaskan tentang keagungan nikmat-Nya kepada ma-khluk-Nya melalui nikmat kasih sayang; yang tafsirnya:

“Dan (Dialah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di muka bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka.” (Surah Al-Anfaal: 63).

Dan tafsirnya lagi:

“Lalu Allah menyatukan di antara hati (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (Surah Ali Imran: 103).

Dengan penjelasan ayat di atas bahawa Allah Subhanahu wataala sangat mencela dan mengingatkan dengan keras tentang perpecahan sesama makhluk. Allah Subhanahu Wataala juga memerintahkan umat Islam supaya sentiasa berpegang teguh dengan agama Allah dan dilarang berpecah belah dan bermusuhan.

Kasih sesama makhluk pada sifatnya adalah tidak kekal, ia bergantung kepada keadaan, tetapi kasih hamba kepada pencipta-nya dengan iman dan takwa, manakala kasih Pencipta kepada hamba berkekalan. Hal in jelas sebagaimana firman Allah subhanahu wataala yang tafsirnya

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui.” (Surah Ali Imran: 31).

Oleh itu sebaik-baiknya hendaklah setiap orang Islam khasnya golongan remaja tidak terikut-ikut dengan budaya ‘Hari Kekasih’ yang dicipta oleh orang-orang Kristian, sebaliknya hendaklah menumpukan masa dan waktu kepada Allah Subhanahu Wataala dengan melakukan apa jua pekara yang mendatangkan manfaat yang matlamat akhirnya menghidupkan cinta kepada Allah Subhanahu Wataala.

‘HARI Kekasih’ yang dibawa oleh orang-orang Barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan dan merosak akhlak masyarakat Islam, kerana senario menyambut ‘Hari Kekasih’ berlaku di kalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu apa yang lebih membimbangkan bukanlah setakat berutus-utus kad ucapan dan hadiah, atau meraikannya di kelab-kelab disko, tetapi kemungkinan adanya segelintir remaja yang sanggup menghadiahkan kehormatan diri demi membuktikan kesetiaan.

Bagi menjelaskan masalah sebilangan remaja yang begitu mudah terpengaruh dengan budaya asing, Al-Quran memberi pengajaran dan ingatan kepada umat Islam, bahawa orang Yahudi dan Kristian akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya umat Islam supaya mengikut kehendak mereka. Allah Subhanahu Wataala berfirman yang tafsirnya:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar.” Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. Orang-orang yang kami berikan kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutar-belit maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.’’ (Surah Al-Baqarah: 120-121)

Ayat ini memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani itu akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya orang-orang Islam supaya mengikut telunjuk dan kehendak mereka.

Berbagai-bagai cara dan jalan yang mereka lakukan untuk merosakkan kepercayaan dan keperibadian orang-orang Islam, dan kerana ramai yang tidak menyedari hakikat ini maka bukan sedikit dari kalangan umat Islam yang terikut-ikut dengan adat dan budaya serta cara hidup mereka, semata-mata dengan alasan menurut peredaran zaman, sekalipun yang diikuti itu bersalahan dengan ajaran Islam dan bertentangan dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Hakikat ini wajib diketahui dan disedari; mana-mana yang terlanjur, wajib kembali ke jalan yang benar.

Oleh itu, sebagai orang Islam kita hendaklah membuat sesuatu perkara itu dengan mengikut landasan Islam yang sebenar. Mengamalkan adat dan budaya Melayu yang sopan lagi tertib tidaklah salah asalkan tidak bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam.

Islam sangat menitikberatkan soal remaja di antaranya bagaimana mengarah hala tuju tentang percintaan. Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ada menyebutkan bahawa tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan atau lembayung Allah antaranya: Pemuda atau remaja yang sentiasa beribadat kepada Allah tidak kira pagi, petang, siang atau malam; seorang laki-laki apabila diajak oleh perempuan yang cantik jelita dan kaya raya untuk melakukan maksiat, dia menolak kerana takutkan Allah, sebagaimana Baginda bersabda yang maksudnya:

“Tujuh orang yang dilindungi oleh Allah dalam naungan-Nya pada hari tidak ada naungan kecuali naungan-Nya iaitu: Imam yang adil, pemuda yang selalu beribadat kepada Allah, orang yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid, dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang laki-laki yang diajak oleh perempuan yang kaya dan cantik melakukan maksiat, lalu dia berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah,” seorang laki-laki yang sentiasa bersedekah dengan sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang telah dinafkahkan oleh tangan kanannya, dan seseorang yang sentiasa ingat kepada Allah (berzikir) di tempat yang sunyi sehingga matanya mengalir air mata.” (Hadis riwayat Bukhari).

Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa pemuda dan remaja yang hebat itu ialah pemuda yang tahan ujian dan mempunyai jati diri serta tidak mudah terpengaruh semata-mata cinta dan takut kepada Allah Subhanahu Wataala.

Selain itu, Allah Subhanahu Wataala memberikan ganjaran dan petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan takut kepada Allah Subhanahu Wataala dengan membuat perkara yang disuruh dan menjauhi segala perkara yang dilarang-Nya. Perkara ini jelas sebagaimana kisah ashhab Al-Kahfi disebutkan dalam Al-Quran, Allah berfirman yang tafsirnya:

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar: Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (Surah Al-Kahfi: 13).

Harus diingat mengamal dan mengikut budaya asing, terutamanya di dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran kerana perkara-perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang-orang Islam bahkan boleh menjejaskan keimanan dan akidah mereka

Hukum sambut Hari Valentine
Beberapa hukum mengenai sambutan valentine untuk rujukan bersama

Murtad sambut valentine

Haram sambut valentine

Fatwa Syeikh Ibnu Utsaimin: Pertanyaan: Pada akhir-akhir ini ini telah tersebar dan membudaya perayaan hari Valentine -terutama di kalangan pelajar putri, padahal ia merupakan salah satu dari sekian macam hari raya kaum Nashrani. Biasanya pakaian yang dikenakan berwarna merah lengkap dengan sepatu, dan mereka saling tukar mawar merah. Bagaimana hukum merayakan hari Valentine ini, dan apa pula saran dan anjuran anda kepada kaum muslimin. Semoga Allah selalu memelihara dan melindungi anda.

Jawab:
Merayakan hari Valentine itu tidak boleh, karena: Pertama: ia merupakan hari raya bid'ah yang tidak ada dasar hukumnya di dalam syari'at Islam. Kedua : ia dapat menyebabkan hati sibuk dengan perkara-perkara rendahan seperti ini yang sangat bertentangan dengan petunjuk para salaf shalih (pendahulu kita) - semoga Allah meridhai mereka. Maka tidak halal melakukan ritual hari raya, baik dalam bentuk makan-makan, minum-minum, berpakaian, saling tukar hadiah ataupun lainnya. Hendaknya setiap muslim merasa bangga dengan agamanya, tidak menjadi orang yang tidak mempunyai pegangan dan ikut-ikutan. Semoga Allah melindungi kaum muslimin dari segala fitnah (ujian hidup), yang tampak ataupun yang tersembunyi dan semoga meliputi kita semua dengan bimbingan-Nya.

Justeru, secara ringkasnya hukum menyambut hari Valentine, boleh disimpulkan seperti berikut :-


1) Perayaan dalam Islam telah disebutkan oleh Nabi iaitu dari sabdaan Nabi SAW :

(إن لكل قوم عيدا وإن هذا عيدنا)

Ertinya : Sesungguhnya bagi setiap kaum itu perayaan masing-masing, dan ini (IdilFitri dan Idiladha) adalah perayaan kita" ( Riwayat AL-Bukhari, 952 ; Muslim, 1892)

Justeru, sebarang perayaan yang disambut oleh umat Islam mestilah terhad kepada dua perayaan ini sahaja.

Bagaimanapun, jika sesuatu majlis, keraian dan sambutan itu dianjurkan bukan atas asas atau nama agama serta tiada kaitan dengannya bahkan dibuat atas dasar adat semata-mata. Ianya boleh dan harus diraikan dengan syarat sambutannya tidak diserapi apa jua unsur maksiat dan syirik. Sebagai contoh sambutan kemerdekaan Negara, sambutan ulangtahun penubuhan sesebuah syarikat dan sebagainya. Cuma ia bukanlah disambut sebagai hari raya ketiga atau keempat, tetapi hanya sebagai majlis keraian setaraf dengan majlis perkahwinan dan sepertinya sahaja.

Ini bermakna, tujuan dan asal usul perayaan itu perlulah disemak. Maka jika disemak perayaan Valentine ini. Ternyata ia berasal dari cerita dongeng, karut dan syirik berakitan dewa dan sebagainya.

2) Tidak harus pula meniru orang Kafir dan ahli maksiat dalam meraikan majlis yang dianjurkan. Imam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim telah menyebut bahawa telah Ijma' (sepakat keseluruhan Ulama) melarang penyerupaan dalam meraikan perayaan agama ( atas asas agama) selain Islam. ( Iqtidha, 1/454 ; Ahkam Ahli Zimmah, 2/722)

3) Islam tidak mengiktiraf hari kasih sayang. Kasih sayang dalam Islam bersifat universal, tidak dibatasi waktu dan tempat dan tidak dibatasi oleh objek dan motif. Hal ini sesuai dengan hadis :

"Cintailah saudara seislam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari).

Islam sangat melarang keras untuk saling membenci dan bermusuhan, namun sangat menjunjung tinggi akan arti kasih sayang terhadap umat manusia.

Rasulullah saw. bersabda : "Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya lebih dari tiga hari" (Muslim)

Kasih sayang dalam Islam diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturahmi, menjenguk yang sakit, meringankan beban tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang berselisih, mengajak kepada kebenaran (amar ma'ruf) dan mencegah dari perbuatan munkar

4) Sambutan hari Valentine hari ini menjadi semakin terkeji apabila ia menjurus kepada perlakuan maksiat, mengadaikan ‘dara' kepada kekasih yang bernafsu ‘syaitan' dan sepertinya.

5) Islam juga melarang umatnya dari terlibat, duduk serta bersekongkol dalam majlis yang mempersendakan Islam dan bercanggah dengannya. Ini dari firman Allah yang bererti :

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam" ( An-Nisa : 140 )

Diriwayatkan dari Umar r.a. bahwa dia pernah mendengar Rasulullah s,a.w. bersabda:

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah duduk pada suatu hidangan yang padanya diedarkan arak." (Riwayat Ahmad)

Maka majlis arak yang haram itu adalah sama hukumnya dengan majlis Valentine yang juga haram.

6) Hukum memberikan hadiah sempena hari Valentine juga adalah menjadi haram berdasarkan kaedah dari firman Allah : "Janganlah kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan"

Bagaimanapun hukum menjual bunga sahaja, ia tidak kurang dari kategori jualan yang syubhah, makruh atau haram khas di hari Valentine.

Diriwayatkan, ada seorang laki-laki yang memberi hadiah satu bekas arak kepada Nabi s.a.w., kemudian Nabi memberitahu bahwa arak telah diharamkan Allah. Orang laki-laki itu bertanya:

Lelaki: Bolehkah saya jual?

Nabi: Zat yang mengharamkan meminumnya, mengharamkannya juga menjualnya.

Lelaki: Bagaimana kalau saya hadiahkan raja kepada orang Yahudi?

Nabi: Sesungguhnya Allah yang telah mengharamkan arak, mengharamkan juga untuk dihadiahkan kepada orang Yahudi.

Lelaki: Habis, apa yang harus saya perbuat?

Nabi: Tuang saja di dalam parit air. (Al-Humaidi dalam musnadnya)

7) Dilarang juga saling mengirim ucapan bersempena hari ini.

mudah-mudahan dapat dipanjangkan dan disampaikan kepada semua , lebih-lebih lagi pemuda-pemudi Islam yang tidak ambil peduli dengan agama dan halal haram. maka tanggungjawab kitalah sebagai ibu bapa dan pendidik untuk menyampaikannya.
pilih lah... kekasih atau agama?

sebahagian daripada artikel ini adalah gabungan daripada beberapa blog, antaranya;

Raudhah.com
Zaharuddin.net
Islahonline
 
Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri HJ Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 10, 2009

Berfikirlah sejenak dan bersyukurlah

Jika kita ada rumah untuk berteduh, ada tempat untuk tidur, ada makanan di rumah, ada pakaian untuk dipakai, maka kita lebih kaya daripada 75% penduduk dunia. Jika kita ada wang di dalam poket dan kita mampau berbelanja untuk waktu senang dan susah, maka kita lebih kaya daripada 8% penduduk dunia.

Jika kita bangun pagi dalam keadaan sihat walafiat, kita sebenarnya berada dalam nikmat yang sangat besar dan agung. Berapa ramai bahkan jutaan penduduk dunia yang tidak mampu untuk untuk hidup seperti ini kerana penyakit yang dideritai.

Jika kita boleh solat berjamaah di masjid tanpa rasa takut atau ditangkap atau dibunuh, maka kita berada di dalam nikmat yang tidak boleh dikecapi oleh orang lain seperti rakyat Palestin contohnya

Jika kita tidak pernah merasa ketakutan peperangan, makanan penjara atau disiksa, kita berada dalam nikmat yang besar.

Jika kita tersenyum dan bersyukur kepada Allah s.w.t, maka kita berada dalam nikmat, ramai yang boleh melakukannya, tapi tidak melakukannya.

Jika kita orang Islam, maka kita mendapat nikmat yang agung, berapa billion orang kafir di dunia dan mati dalam kekafiran, sepatutnya kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memilih kita sebagai muslim dan mudah-mudahan mati sebagai muslim.

Oleh itu wajib ke atas kita mensyukuri nikmat Allah s.w.t ke atas kita yang tidak terhitung banyaknya.

Firman Allah s.w.t:
وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها
(jika kamu menghitung nikmat Allah, kamu tak mampu menghitungnya)

Lihatlah kepada tubuh badan kita, tempat tinggal kita, makanan kita, minuman kita, pakaian kita, air, udara dan segala-galanya yang kita ada, kita dipenuhi dengan nikmat dunia tapi kita tidak sedar, dan tidak tahu atau buat-buat tak tahu.

Firman Allah s.w.t :Luqmaan:20.
“tidakkah kamu memperhatikan Bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada Kami nikmat-nimatNya Yang zahir dan Yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang Yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah Dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah Yang menerangi kebenaran”.

Jika kita perhatikan betul-betul, kita akan dapati bahawa kita mempunyai dua mata, dua lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.

Firman Allah s.w.t : al-Balad:8-9
8. (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) -

9. dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?

Dua mata yang dikurniakan untuk melihat kebaikan dan tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t, di samping dua mata dikurniakan dua kelopak mata untuk ditutup jika kita terlihat maksiat. Lidah dikurniakan untuk berzikir dan memuji Allah dan dikurniakan dua bibir sebagai kunci kepada lidah untuk mengelakkan bercakap benda kotor dan keji. Adakah kita telah menggunakan semua nikmat ini dengan sebaiknya?

Firman Allah s.w.t :ar-Rahman :13
“maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?

Adakah mudah kita berjalan di atas tapak kaki? Jika tapak kaki sudan sakit dang bengkak, dan adakah mudah untuk kita berjalan sekiranya betis kita sakit atau kaki kita dipotong? Adakah mata kita boleh terpejam jika badan kita sakit dan demam?

Lihatlah kepada mata kita, kita selamat daripada buta, lihatlah telinga kita,kita selamat daripada pekak, lihatlah kepada kulit kita, kita selamat daripada penyakit panau dan kurap,perhatikan akal kita, kita selamat daripada penyakit lupa atau gila.

Adakah kita sanggup menukar mata kita dengan segunung emas? Adakah kita sanggup menukar pendengaran kita dengan segunung perak? Adakah kita sanggup menukar lidah kita dengan permata berlian dan kita menjadi bisu?

Sesungguhnya kita berada dalam nikmat yang sangat banyak tetapi kita tidak pernah menyedarinya, kita hidup dalam kemewahan dan kesenangan sejak bermulanya pagi hinggalah malam. Kita makan daripada rezeki Allah dan segala nikmat yang lain tapi tidak pernah menjadi hamba Allah yang sentiasa beribadah kepadanya, dengan kata yang sebenar.

Firman Allah s.w.t :Qaaf :22
“(serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada Dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami hapuskan kelalaian Yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan Dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".

Berfikirlah tentang diri kita, keluarga kita, rumah kita, kenderaan kita, pekerjaan kita, kesihatan kita,dan alam ini dan jangan kita menjadi manusia yang menyedari nikmat Allah s.a.w. tapi tidak mensyukurinya…..

Firman Allah s.w.t :
“mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka tergamak mengingkarinya; dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang Yang kufur ingkar”.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 7, 2009

Lapan jalan menuju Syurga

Sesungguhnya masalah penyakit hati merupakan salah satu penyakit yang dideritai oleh manusia sejak dulu kini dan akan datang. Sebab-sebab penyakit hati adalah banyak antaranya;
Kawasan persekitaran, Kekeluargaan, Cinta dunia mengatasi cinta akhirat dan Kerosakan iman seorang manusia.

Dalam persoalan ini manusia berada antara hidayah Allah dan godaan syaitan, manusia berada antara dua persimpangan meningkatkan iman dan kerosakan iman samada bersyukur atau kufur.

Firman Allah s.w.t : al-Insaan :2-3
2. Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat.

3. kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan Yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

Di zaman ini kita melihat keruntuhan dan kemerosotan iman adalah terlalu dasyat, ini boleh menyebabkan manusia menuju ke arah keruntuhan dan kebinasan. Antara punca kemerosotan iman ialah kita melahirkan generasi yang mensia-siakan dan meninggalkan solat.

Firman Allah s.w.t : Maryam :59
“kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan Yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka”.

Firman Allah s.w.t :al-Ankabuut:45
“bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa Yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan”.

Sesungguhnya apa yang ada di sekeliling kita semuanya memesongkan kita dari Allah s.w.t. dan melalaikan kita dengan dunia dan segala nafsu syahwatnya.

Firman Allah s.w.t : ali-Imran :14
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”.

Sabda nabi s.a.w;
حُفَّت الجنَّة بالمكاره، وحُفَّت النار بالشهوات"رواه مسلم.
Maksudnya;
“Dikelilingi syurga dengan perkara yang kita tidak suka dan dikelilingi neraka dengan nafsu syahwat”. (riwayat Muslim)

Ertinya jalan ke syurga perlu melalui jalan-jalan yang kita tidak suka, siapa suka beribadah seperti solat,puasa,zakat, haji dan sebagainya. Manakala untuk ke neraka jalannya lebih mudah ikut sahaja hawa nafsu, pasti kita ke sana.

Contoh mudah di sekeliling kita bagaimana perancangan pihak musuh menghancurkan iman orang-orang Islam. Apabila kita melihat kepada majalah-majalah yang menjadi bahan bacaan remaja kita kini, dipenuhi dengan pelbagai perkara yang boleh merosakkan iman. Dengan penambilan wanita-wanita yang berpakaian yang separuh bogel dan sebagainya dan iklan-iklan yang membawa kepada perbuatatan yang haram. Pembedahan kecantikan, menguruskan badan untuk kecantikan, botox, mencukur bulu kening atau mengubahnya dan pelbagai lagi. Begitu juga pengaruh alam siber kepada remaja hari ini dengan pelbagai perkara yang boleh meruntuhkan iman dan menyumbang dosa, web pornonya, chatingnya, Friendsternya, myspacenya yang digunakan untuk jalan yang tidak berfaedah sedikit sangat yang menggunakannya untuk perkara yang berfaedah. Di samping hiburan yang melampau yang menyaksikan percampuran bebas lelaki dan perempuan dan pakaian yang menjolok mata. Semua ini boleh menyumbang kepada keruntuhan iman, akhlak, masa dan harta dan tidak memberi peluang kepada iman untuk bernafas.

Adakah masih ada waktu? Adakah masih ada jihad?adakah masih ada akal?adakah masih ada harta?adakah masih ada agama dan akhlak? Jawapanya ialah ruginya umur dan tempat kembali yang amat menakutkan……neraka.

Bagaimana cara mengatasi?

Tak lain tak bukan, kita perlu membina iman untuk mengalahkan nafsu syahwat, dan ini memerlukan kepada kekuatan, keazaman, kesabaran, mujahadah, berterusan dan tidak berputus asa.

Sesungguhnya puasa,zakat,haji bagi yang mampu, menunaikan solat fardu lima waktu dan amalan-amalan sunat yang lain, amar makruf dan nahi mungkar, membaca al-Quran, mengingati mati, berdakwah kepada Allah, berjihad atau menyumbang kepada jihad, kesemua ini boleh meningkat dan menyuburkan iman.

Lapan jalan menuju syurga

1) solat sunat 12 rakaat (sunat rawatib)

2 rakaat sebelum subuh

4 rakaat sebelum zohor

2 rakaat selepas zohor

2 rakaat selepas maghrib

2 rakaat selepas isya’

Faedah
Allah membina satu rumah dalam syurga

Dalil
Sabda nabi s.a.w;
من صلَّى في يومٍ ثنتي عشرة سجدة، تطوُّعا، بني له بيتٌ في الجنَّة"رواه مسلم.
Maksudnya;
“Sesiapa yang solat sehari semalam 12 rakaat sunat, Allah membina satu rumah baginya dalam syurga”.(riwayat Muslim)

2) solat 2 rakaat waktu malam

Faedah
dimakbulkan doa, diampun dosa dan ditunaikan hajat oleh Allah s.w.t.

Dalil
Sabda nabi s.a.w;
"يتنزَّل ربُّنا تبارك وتعالى كلَّ ليلةٍ إلى السماء الدنيا، حين يبقى ثلث الليل الآخر، يقول: من يدعوني فأستجيب له، من يسألني فأعطيه، من يستغفرني فأغفر له"رواه البخاري.
Maksudnya;
“Allah s.w.t turun ke langit dunia setiap malam(turun yang layak bagi Allah atau urusanNya) ketika 2/3 malam sambil berkata; “siapakah yang berdoa kepadaku nescaya aku perkenankan, siapakah yang meminta daripadaku nescaya aku berikan dan siapakah yang minta ampun daripadaku nescaya aku ampun dosanya”. (riwayat Bukhari)

3) solat Dhuha, 2 rakaat, 4 rakaat atau 8 rakaat.

Faedah
Memberi sedekah untuk setiap sendi kita sebagai bersyukur kepada Allah s.w.t

Dalil

"يصبح على كلِّ سُلامى من أحدكم صدقة، فكلُّ تسبيحةٍ صدقة، وكلُّ تحميدةٍ صدقة، وكلُّ تهليلةٍ صدقة، وكلُّ تكبيرةٍ صدقة، وأمرٌ بالمعروف صدقة، ونهيٌ عن المنكر صدقة، ويجزئ من ذلك، ركعتان يركعهما من الضحى"رواه مسلم، وروى البخاريُّ جزءاً منه
Maksudnya;
“Setiap sendi kamu perlu membayar sedekah, maka setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah dan solat 2 rakaat Dhuha adalah sedekah”. (riwayat Muslim dan sebahagiannya Bukhari)

4) Membaca surah al-Mulk (Tabarakallazi)

Faedah
Selamat daripada azab kubur

Dalil

"إنَّ سورةً من القرآن ثلاثون آية، شفعت لرجلٍ حتى غُفِر له، وهي "تبارك الذي بيده الملك"" رواه الترمذيُّ وأحمد، وقال الترمذيّ: هذا حديثٌ حسن.
Maksudnya;
“ Sesungguhnya satu surah daripada al-Quran yang mempunyai 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada manusia sehingga Allah mengampunkannya, iaitulah surah “Tabarakallazi Biyadihil mulk”. (riwayat at-Tirmizi dan Ahmad)

5) zikir 100 kali sehari

"لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد، وهو على كلِّ شيءٍ

Faedah
Menyamai pahala membebaskan 10 orang hamba, ditulis 100 kebajikan, dihapuskan 100 kejahatan dan pendinding daripada syaitan.

Dalil

"من قال لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد، وهو على كلِّ شيءٍ قدير، في يومٍ مائة مرَّة، كانت له عدل عشر رقاب، وكتبت له مائة حسنة، ومحيت عنه مائة سيِّئة، وكانت له حرزاً من الشيطان يومه ذلك حتى يمسي، ولم يأت أحدٌ بأفضل ممَّا جاء به، إلا أحدٌ عمل أكثر من ذلك"رواه مسلم.
Maksudnya;
“Siapa yang zikir dengan zikir ini 100 kali sehari, baginya pahala menyamai membebaskan 10 orang hamba, ditulis baginya 100 kebaikan, dihapuskan 100 kejahatan dan menjadi pendinding daripada syaitan pada hari tersebut hingga petang, tidak ada amalan yang lebih baik daripada itu kecuali kalau ada sesiapa yang melakukan amalan yang lebih banyak daripada itu”. (riwayat Muslim)

6) selawat ke atas nabi s.a.w 100 kali

Faedah
Selamat daripada sifat bakhil dan dapat balasan selawat dari Allah s.w.t.

Dalil

: "فإنَّه من صلَّى عليَّ صلاةً صلَّى الله عليه بها عشرا"رواه مسلم، وقوله: "البخيلُ الذي منْ ذُكِرت عنده فلم يصلِّ عليّ"رواه الترمذيّ، وقال: هذا حديثٌ حسنٌ غريبٌ صحيح.
Maksudnya;
“ sesungguhnya sesiapa yang selawat ke atas aku sekali Allah akan membalasnya 10 kali selawat ke atasnya, orang yang bakhil ialah orang yang tidak berselawat ke atasku apabila namaku disebut”. (riwayat at-Tirmizi)

7) zikir 100 kali

سبحان الله وبحمده، سبحان الله العظيم"

Faedah
Ditanam baginya 100 pokok kurma dalam syurga.

Dalil

: "من قال سبحان الله العظيم وبحمده غُرِست له نخلةٌ في الجنَّة"رواه الترمذيّ، وقال: حديثٌ حسنٌ غريب.
Maksudnya
“ sesiapa yang berzikir dengan zikir ini ditanam baginya satu pokok kurma dalam syurga’. (riwayat at-Tirmizi)

8) Istighfar 100 kali sehari

Faedah
Dilepaskan kesulitan dan diluaskan rezeki

Dalil

: "من لزم الاستغفار جعل الله له من كلِّ ضيقٍ مخرجا، ومن كلِّ همٍّ فرجا، ورَزَقه من حيث لا يحتسب"رواه أبو داود وابن ماجه والحاكم بسندٍ صحيح.
Maksudnya;
“Sesiapa yang membiasakan istighfar, Allah akan melepaskan kesulitannya dan kesugulannya serta memberi rezeki kepadanya dari jalan yang dia tidak menduganya’.
( riwayat Abu Daud, Ibnu Majjah dan al-Hakim)

Mudah-mudahan kita dapat mengamalkannya untuk meningkatkan keimanan kepada Allah, di samping dapat memperolehi faedah dan fadhilat daripada amalan tersebut, yang paling penting kita beramal dengan hati yang tulus ikhlas kepada Allah s.w.t samada mendapat fadhilatnya atau tidak itu terserah kepada Allah s.w.t.

Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

Feb 6, 2009

Jagalah dirimu dan ahli keluargamu

Firman Allah s.w.t :at-Tahrim :6

“Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan”.

Ayat 6 surah at-Tahrim adalah ayat yang sering dibaca di dalam khutbah-khutbah dan ceramah-ceramah oleh khatib-khatib dan pendakwah-pendakwah. Kerana kepentingan seseorang manusia menjaga dirinya sendiri dan ahli keluarganya yang terdiri daripada isteri dan anak-anak dan sesiapa sahaja yang berada di bawah jagaannya daripada api neraka Allah s.w.t.

Di antara maksud ayat di atas ialah;

- Jagalah diri kamu daripada neraka dengan meninggalkan maksiat serta melakukan ketaatan, dimulakan dengan diri sendiri kemudian ahli keluarga.

- Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka dengan menyuruh mereka berbuat baik dan menjauhi kemungkaran, di samping itu ajarlah mereka segala tuntutan syara’ serta pendidikan berdasarkan al-quran.

- Hendaklah menjauhi apa yang Allah tegah dan beramal dengan mentaatiNya. Ajarkan mereka, didiklah dan takutkan mereka dengan balasan api neraka.

Bapa atau suami yang menjadi pemimpin dan ketua keluarga mestilah memastikan orang yang berada di bawah jagaannya sentiasa berada di atas landasan yang betul,ia merupakan tanggungjawab yang sangat berat yang perlu dipikul.

Di antara tanggungjawab utama ketua keluarga ialah;

1) Hendaklah mengingatkan Ahli keluarganya supaya selalu menunaikan solat serta mengingatkan mereka agar solat tepat pada waktunya, sebagaimana firman Allah s.w.t:Thooha:132

“dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah Engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) Kamilah Yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan Yang baik adalah bagi orang-orang Yang bertaqwa”.

Sabda nabi s.a.w;
“Suruhlah anak-anak kamu solat ketika berumur tujuh tahun” (riwayat al-Hakin dan Abu Daud)

Berapa ramai ibu bapa hari mementingkan solat anak-anak? Berapa ramai hari ini ibu bapa yang sentiasa mengingatkan anak-anak supaya solat di awal waktu? Berapa ramai ibu bapa yang ambil tahu anak mereka solat penuh lima waktu ataupun tidak? Paling dasyat lagi ibu bapa juga tidak solat, maka bagaimana anak-anak akan solat? Pengalaman saya apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar yang tidak solat, apabila ditanya kepada mereka kenapa kamu tidak solat, maka jawapan mudah yang diberikan ialah ibu bapa saya pun tak solat, masyaAllah bagaimana ibu bapa begini akan selesaikan tanggungjawab ini di hadapan Allah s.w.t. . sebab itu Allah mengarahkan bapa atau suami menjaga diri mereka dahulu daripada api neraka. Ramai ibu bapa hari ini (mudah-mudahan kita tidak termasuk) yang tidak pernah bertanya kepada anak-anak, solat ke belum? Tapi yang ditanya kepada anak-anak, dah makan belum? Dah mandi belum?dah tidur belum?bagi mereka makan, minum, tidur dan mandi itulah yang paling utama, perkataan solat tak pernah ditanya sehingga anak-anak tidak tahu apa itu solat?

Mendidik anak-anak solat sejak awal sebelum baligh bertujuan untuk membiasakan diri dengan solat sejak dari awal, supaya apabila mereka sudah baligh tidak ada masalah lagi dengan solat.

2) Hendaklah mendidik anak-anak supaya berpuasa sebagai latihan semenjak kecil untuk membiasakan diri dengan berpuasa apabila baligh nanti.

Ada juga ibu bapa mengatakan; zalim kalau disuruh kanak-kanak berpuasa sejak umur tujuh tahun. Bagi mereka kanak-kanak ini belum mampu untuk menahan diri dari lapar dan dahaga. Kalau dilihat pada zahirnya memanglah nampak macam zalim, tapi hikmah di sebaliknya ialah sangat berguna kepada anak-anak, sebab mereka tidak akan ada masalah untuk berpuasa apabila baligh nanti. Kalau kita melihat seekor ibu zirafah yang menendang-nendang anaknya yang baru dilahirkan, Nampak macam zalim, tapi sebenarnya tujuannya ialah menguatkan anggota tubuh anaknya supaya cepat boleh berlari untuk menyelamatkan diri daripada musuh sebab zirafah tak mampu untuk mendukung anaknya kerana lehernya panjang.

3) Mengajar ahli keluarga dengan akhlak mulia dan pendidikan agama. Seandainya tidak mampu mengajar sendiri, mestilah menjemput ustaz ustazah ke rumah atau menghantar ke kelas-kelas fardu Ain.

Ini adalah tanggungjawab ibu bapa yang perlu diselesaikan. Mempelajari ilmu fardu Ain adalah satu kewajipan ke atas setiap muslim dan muslimah. Mempelajari ilmu aqidah, membaca al-Quran , kaedah solat yang betul dan semua ilmu yang berkaitan dengan syara’ adalah wajib.

Adakah kita rela di saat kita mati nanti, tidak ada anak-anak kita yang boleh membaca surah Yaasin, tidak ada anak-anak yang turut serta memandikan jenzah kita, tidak ada anak-anak yang turut serta dalam solat jenazah kita, alangkah bahagianya seorang bapa yang meninggal kemudian solat jenazahnya diimami oleh anaknya sendiri, Ya Allah! Kurniakan kami anak yang soleh dan solehah, berikan kekuatan pada kami untuk mendidik mereka Ya Allah!.

Jadikan ahli keluarga kita sebagai sahabat, jangan jadikan mereka sebagai musuh, ingat jika ahli keluarga tidak dididik dengan didikan agama mereka akan menjadi musuh kita yang akan menghalang kita dari masuk syurga Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t: at-Taghaabun :14
“Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu Yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

4) Tidak boleh membiarkan ahli keluarganya melakukan perkara maksiat dan melanggar perintah Allah s.w.t.

Bapa sebagai ketua keluarga mestilah bersifat cemburu dan tidak senang hati terhadap isteri dan anak-anak yang sentiasa melakukan maksiat dan sentiasa sakit hati setiap kali mereka melakukan kekejian.

Sebagai suami mesti sakit hati jika isteri tidak solat, sakit hati jika isteri tidak menutup aurat, tapi jika ada suami yang berbangga dengan pakaian isterinya tidak menutup aurat dan berbangga supaya semua orang boleh melihat aurat isterinya, suami ini termasuk dalam lelaki Dayus yang tidak ada harapan masuk syurga dan berdosa besar, alangkah peliknya seorang suami sanggup membiarkan aurat isterinya ditonton oleh orang lain sedangkan itu semua hanyalah untuk suami sahaja, mengapa sanggup berkongsi dengan orang lain?

Begitu juga seorang bapa, mesti rasa cemburu dan sakit hati jika anak-anaknya tidak melakukan suruhan Allah dan melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. adakah kita sanggup dan rasa tenang apabila anak tidak solat? Adakah kita rasa selesa kalau anak-anak menjadi mat rempit, judi, pembuli, kaki lepak, tidak menutup aurat dan sebagainya, kalau kita masih boleh tidur lena lagi….teruskan…tapi ingat kita tidak akan tidur lagi apabila kita berhadapan dengan Munkar dan Nakir. Sesiapa yang tidur di dunia kerana tidak melakukan kewajipan terhadap Allah, tidak akan tidur lagi selepas mati kerana menerima balasan siksa dari Allah s.w.t. sesiapa yang tidak tidur di dunia kerana sentiasa sibuk menunaikan tanggungjawab kepada Allah s.w.t, akan tidur lena selena lenanya di dalam kubur sehinggalah dibangkitkan di hari qiamat. Ingat kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

Seorang bapa mestilah bertegas dalam mendidik anak-anak, tidak boleh menurut kehendak mereka yang berunsur maksiat dan di luar kemampuan. Begitu juga seorang suami perlu bertegas dalam mendidik isteri yang tidak menurut hukum Allah s.w.t.

Langkah mengelak kemurkaan Allah s.w.t

1) Setiap individu hendaklah mengetahui, mempelajari, memperkukuhkan diri dengan beramal apa yang dipelajari dan meninggalkan apa yang sepatutnya ditinggalkan.

2) Jadikanlah diri dan keluarga sebagai orang yang bertaqwa serta membersihkan diri daripada sebarang bentuk syirik dan kekufuran.

3) Beribadat kepada Allah sebanyak mungkin samada khusus atau umum.

4) Mendirikan solat lima waktu, kerana sesiapa yang meninggalkannya diancam dengan azab yang pedih serta kehinaan di dunia dan akhirat

Kepada bapa dan suami ingatlah pesan Allah s.w.t

Firman Allah s.w.t : Thooha :132
“dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah Engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) Kamilah Yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan Yang baik adalah bagi orang-orang Yang bertaqwa”.

Firman Allah s.w.t : at-Tahriim :6
“Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan”.

Firman Allah s.w.t : an-Nahl :93
“dan Sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa Yang kamu telah kerjakan”.

Firman Allah s.w.t : as-soffaat :24
"Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana Sesungguhnya mereka akan disoal”.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai