SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Dec 4, 2008

PUTRAJAYA, 22 Nov (Bernama) -- Majlis Fatwa Kebangsaan Sabtu mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.



Pengerusinya Datuk Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

"Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

"Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Abdul Shukor berkata perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Okt lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.

Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.

Beliau berkata terdapat banyak amalan lain dalam Islam yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan dan mendapatkan ketenangan termasuk mengamalkan sembahyang dan berzikir.

Yoga merupakan satu pakej senaman yang telah diamalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi dan dikatakan boleh melambatkan penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, lelah dan penyakit jantung.

-- BERNAMA


Komen saya:

Bersenam dan bersukan memang digalakkan oleh islam, kerana otak yang sihat berada pada tubuh yang sihat.Tapi dalam apa keadaan pun, setiap perkara yang hendak dilakukan mestilah berpandukan al-Quran dan Assunah dan ajaran islam supaya ia tidak menyeleweng dari aqidah yang sebenar.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anfal ayat:60

" dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) Segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka Yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja Yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya".

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Setiap sesuatu yang dilakukan selain zikir kepada Allah s.w.t ialah perkara yang melalaikan, kecuali empat perkara;
-memanah
-menunggang kuda (tujuan latihan peperangan)
-Bermesra bersama isteri dan
-berenang".
(Hadis at-Tobrani)

Inilah sukan yang tidak dikira lalai, manakala sukan yang lain termasuk bolasepak, hoki, futsal dan pelbagai lagi dibolehkan dengan syarat tidak lalai dari ingat Allah s.w.t.

Jadi, sebagai orang islam carilah bentuk riadah mengikut sunnah dan jauhilah bentuk senaman yang menjadi milik agama lain dikhuatiri boleh menjejaskan aqidah.Betullah kata beberapa sahabat kita bahawa Solat adalah ibadah yang ada nilai senaman yang sangat unit.Oleh aitu selalulah melakukan solat-solat sunat, lebih-lebih lagi di waktu malam, pahala kita dapat, sihat pun dapat aqidah selamat.

Hassan Basri Hj Abdullah.

0 comments:

Post a Comment