Jika kita ada rumah untuk berteduh, ada tempat untuk tidur, ada makanan di rumah, ada pakaian untuk dipakai, maka kita lebih kaya daripada 75% penduduk dunia. Jika kita ada wang di dalam poket dan kita mampau berbelanja untuk waktu senang dan susah, maka kita lebih kaya daripada 8% penduduk dunia.
Jika kita bangun pagi dalam keadaan sihat walafiat, kita sebenarnya berada dalam nikmat yang sangat besar dan agung. Berapa ramai bahkan jutaan penduduk dunia yang tidak mampu untuk untuk hidup seperti ini kerana penyakit yang dideritai.
Jika kita boleh solat berjamaah di masjid tanpa rasa takut atau ditangkap atau dibunuh, maka kita berada di dalam nikmat yang tidak boleh dikecapi oleh orang lain seperti rakyat Palestin contohnya
Jika kita tidak pernah merasa ketakutan peperangan, makanan penjara atau disiksa, kita berada dalam nikmat yang besar.
Jika kita tersenyum dan bersyukur kepada Allah s.w.t, maka kita berada dalam nikmat, ramai yang boleh melakukannya, tapi tidak melakukannya.
Jika kita orang Islam, maka kita mendapat nikmat yang agung, berapa billion orang kafir di dunia dan mati dalam kekafiran, sepatutnya kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memilih kita sebagai muslim dan mudah-mudahan mati sebagai muslim.
Oleh itu wajib ke atas kita mensyukuri nikmat Allah s.w.t ke atas kita yang tidak terhitung banyaknya.
Firman Allah s.w.t:
وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها
(jika kamu menghitung nikmat Allah, kamu tak mampu menghitungnya)
Lihatlah kepada tubuh badan kita, tempat tinggal kita, makanan kita, minuman kita, pakaian kita, air, udara dan segala-galanya yang kita ada, kita dipenuhi dengan nikmat dunia tapi kita tidak sedar, dan tidak tahu atau buat-buat tak tahu.
Firman Allah s.w.t :Luqmaan:20.
“tidakkah kamu memperhatikan Bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada Kami nikmat-nimatNya Yang zahir dan Yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang Yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah Dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah Yang menerangi kebenaran”.
Jika kita perhatikan betul-betul, kita akan dapati bahawa kita mempunyai dua mata, dua lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.
Firman Allah s.w.t : al-Balad:8-9
8. (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) -
9. dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?
Dua mata yang dikurniakan untuk melihat kebaikan dan tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t, di samping dua mata dikurniakan dua kelopak mata untuk ditutup jika kita terlihat maksiat. Lidah dikurniakan untuk berzikir dan memuji Allah dan dikurniakan dua bibir sebagai kunci kepada lidah untuk mengelakkan bercakap benda kotor dan keji. Adakah kita telah menggunakan semua nikmat ini dengan sebaiknya?
Firman Allah s.w.t :ar-Rahman :13
“maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?
Adakah mudah kita berjalan di atas tapak kaki? Jika tapak kaki sudan sakit dang bengkak, dan adakah mudah untuk kita berjalan sekiranya betis kita sakit atau kaki kita dipotong? Adakah mata kita boleh terpejam jika badan kita sakit dan demam?
Lihatlah kepada mata kita, kita selamat daripada buta, lihatlah telinga kita,kita selamat daripada pekak, lihatlah kepada kulit kita, kita selamat daripada penyakit panau dan kurap,perhatikan akal kita, kita selamat daripada penyakit lupa atau gila.
Adakah kita sanggup menukar mata kita dengan segunung emas? Adakah kita sanggup menukar pendengaran kita dengan segunung perak? Adakah kita sanggup menukar lidah kita dengan permata berlian dan kita menjadi bisu?
Sesungguhnya kita berada dalam nikmat yang sangat banyak tetapi kita tidak pernah menyedarinya, kita hidup dalam kemewahan dan kesenangan sejak bermulanya pagi hinggalah malam. Kita makan daripada rezeki Allah dan segala nikmat yang lain tapi tidak pernah menjadi hamba Allah yang sentiasa beribadah kepadanya, dengan kata yang sebenar.
Firman Allah s.w.t :Qaaf :22
“(serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada Dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami hapuskan kelalaian Yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan Dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".
Berfikirlah tentang diri kita, keluarga kita, rumah kita, kenderaan kita, pekerjaan kita, kesihatan kita,dan alam ini dan jangan kita menjadi manusia yang menyedari nikmat Allah s.a.w. tapi tidak mensyukurinya…..
Firman Allah s.w.t :
“mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka tergamak mengingkarinya; dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang Yang kufur ingkar”.
Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai
Feb 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment