SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Feb 15, 2009

Kebaikan dunia dan akhirat

sabda nabi s.aw;
أربع من أُعطيهن فقد أُوتي خيري الدنيا والآخرة: لسانًا ذاكر، وقلبًا شاكر، وبدنًا على البلاء صابرًا، وزوجة صالحة لا تبغيه خَونا في نفسها وماله
maksudnya;
"Empat perkara, sesiapa yang dikurniakannya oleh Allah, maka dia akan mendapat kebaikan dunia dan akhirat;


1) Lidah yang sentiasa berzikir
2) Hati yang sentiasa bersyukur
3) Badan yang sabar menghadapi ujian
4) Isteri yang solehah yang tidak khianat pada dirinya dan harta suaminya.

 Sebesar-besar nikmat Allah

Empat perkara yang disebut oleh nabi s.a.w ini, merupakan sebesar-besar nikmat Allah s.a.w. Lebih besar daripada harta, pangkat, segala apa yang dikejar oleh manusia atas dunia ini, binatang ternakan, ladang, kenderaan, emas dan perak. Sesiapa yang mendapat nikmat ini, sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan dunia dan juga akhirat.

Nikmat yang pertama : Lidah yang sentiasa berzikir

Bahawa Allah s.w.t anugerahkan kepada kita lidah yang sentiasa menyebut namanya pada setiap ketika dan keadaan, tidak pernah jemu menyebut namaNya, lidah yang sentiasa basah menyebut nama Allah.
Ketika manusia sibuk dengan dunia, ketika manusia tenggelam dengan tanggungjawab mereka, maka hendaklah mereka ingat kepada Allah s.a.w. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak reda kepada hambaNya yang mengingatiNya semata-mata ingat dan berzikir dengan zikir yang sedikit.

Firman Allah s.w.t: al-Ahzab :41-42
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً}
maksudnya;
41. Wahai orang-orang Yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah Dengan ingatan serta sebutan Yang sebanyak-banyaknya;

42. dan bertasbihlah kamu kepadanya pada waktu pagi dan petang.

Orang-orang munafik juga ingat kepada Allah s.w.t, tapi sekali sekala dan terlalu sedikit.
Firman Allah s.w.t:an-Nisa' :142
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri Dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)".

Adapun orang-orang yang beriman dengan Allah s.w.t sentiasa berzikir dan ingat Allah s.w.t dalam apa keadaan sekalipun.

Firman Allah s.w.t: Ali-Imran :191
"(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka".

Sesungguhnya mereka sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan, mereka tidak pernah lupa Allah s.w.t ketika aman, damai atau ketika berlaku peperangan bahkan ketika bertemu musuh sekalipun.
Firman Allah s.w.t: al-Anfaal :45
"Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu bertemu Dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)".

Lisan yang sentiasa berzikir ialah lisan yang sentiasa basah dengan zikir. Nabi s.a.w pernah ditanya;

يا رسول الله، إن شرائع الإسلام كثُرت عليَّ، فباب نتمسك به جامع. فقال: "لا يزال لسانك رطبا من ذكر الله
maksudnya;
"Wahai Rasulullah! sesungguhnya syariat Islam terlalu banyak ke atas saya, pintu untuk kami berpegang terlalu banyak, maka bersabda nabi s.a.w; Sentiasalah lidahmu basah menyebut Allah s.w.t.
(riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Perlu diingat bahawa hati perlulah bersama dengan lidah ketika berzikir, jika tidak mampu menghadirkan hati ketika berzikir maka minta lindung dengan Allah daripada Syaitan, insyaallah.

Nikmat yang kedua : Hati yang sentiasa bersyukur

Zikir dan syukur sentiasa beriringan.

Firman Allah s.w.t: al-Baqarah :152
"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu Dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)".


Sabda nabi s.a.w;
"اللهم أعنِّي على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك"
maksudnya;

" Ya Allah ! Bantulah aku untuk mengingatimu, untuk bersyukur kepadamu dan melakukan sebaik-baik ibadah keranamu".(riwayat Ahmad, an-Nasa'ie, Ibnu Khazimah dan Ibnu Hibban)

Syukur sangat dituntut oleh Islam, peringkat pertama syukur ialah manusia merasa semua nikmat adalah datang dari Allah s.w.t, ini ialah pengiktirafan hati yang meyakini bahawa semua nikmat yang kita perolehi adalah datang dari Allah s.w.t sehingga nikmat yang diberi oleh makhluk juga asalnya adalah dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t :an-Nahl :53
"Dan apa-apa nikmat Yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; Kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan".


Hati yang bersyukur mengiktiraf semua nikmat datang dari Allah s.w.t, apa yang ada pada kita, di sekeliling kita semuanya nilmat Allah s.w.t, alangkah besarnya nikmat Allah kepada kita, semua yang ada di sekekeliling kita ditundukkan untuk berkhidmat kepada kita manusia makhluk terbaik.

Firman Allah s.w.t : Ibrahim:32-34
"Allah jualah Yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan Dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan ia Yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut Dengan perintahNya, juga Yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).


dan ia juga Yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan Yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.

dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua Yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya".

Wajib ke atas orang-orang beriman bersyukur dengan nikmat-nikmat ini, kerana syukur boleh memelihara nikmat dan mengikat nikmat tersebut supaya ia berterusan dan ditambah oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t :Ibrahim:7
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Nikmat yang ketiga :Badan yang sabar menghadapi ujian


Menanggung beban, keperitan dan kepayahan pada jalan Allah s.w.t, lapar dan dahaga kerana Allah s.w.t, berjihad di jalan Allah dan sebagainya dalam menghadapi dugaan dan cabaran kehidupan.Seorang manusia tidak akan berjaya di dunia dan akhirat kecuali dengan bersabar.

Sabda nabi s.a.w;
الصبر ضياء"
maksudnya;
"Sabar itu cahaya". (riwayat Muslim, Ahmad dan at-Tirmizi)

 iaitu sabar menerangi jalan manusia, jika tidak ada sabar manusia sebenarnya berjalan di dalam kegelapan.
Sabar ialah nikmat, sesiapa yang dianugerahkan sabar maka dia dianugerahkan nikmat yang besar.

Nikmat yang keempat :Isteri yang solehah yang tidak khianat pada dirinya dan harta suaminya.

Ini antara nikmat yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada hambanya, sesiapa yang dianugerahkan isteri yang solehah sesungguhnya dia mendapat nikmat yang besar bahkan lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Sabda nabi s.a.w;
"الدنيا متاع، وخير متاعها المرأة الصالحة"
maksudnya;
"Dunia adalah mata benda, sebaik-baik mata bendanya ialah Isteri yang solehah".(riwayat Muslim, an-Nasa'ie dan Ibnu Majjah)

Nabi s.a.w ketika berkahwin dengan Khadijah, baginda tidak mencari harta, tidak mencara umur yang muda, tidak mencari kecantikan tapi mencari solehah.
Isteri solehah adalah harta simpanan yang sangat bernilai, kerana mereka membantu kita untuk taat kepada Allah, menjauhkan kita dari melakukan maksiat kepada Allah.

Isteri solehah akan berkata kepada suaminya sewaktu suaminya pergi bekerja;
"Carilah harta yang halal, kami sanggup berlapar tapi tak sanggup makan harta haram dan mendapat kemurkaan Allah".

Isteri solehah bila suaminya keluar berjihad dan ditanya kepadanya adalah kamu sanggup menjadi janda dan siapakah yang akan memberi makan kepada anak-anakmu?.jawabnya dengan penuh keyakinan dan iman; " suamiku hanya memberi makan bukan memberi rezeki, jika yang memberi makan itu mati, masih ada yang memberi rezeki, itulah Allah s.w.t.

Isteri solehah adalah nikmat, sebab itu nabi memasukkan isteri solehah ke dalam nikmta-nikmat dunia dan akhirat.

Sabda nabi s.a.w;
"مَن رزقه الله امرأة صالحة، فقد أعانه الله على شطر دينه، فليتق الله في الشطر الثاني
maksudnya;
"Siapa yang dianugerahkan isteri solehah, sesungguhnya Allah menjaga sebahagian agamanya, maka dia hanya perlu menjaga sebahagian yang baki".(riwayat at-Tobrani dan al-Hakim)

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment