SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Feb 21, 2009

Pelajar pukul guru

Pelajar pukul guru adalah masalah yang kini sering menjadi topik hangat masyarakat. Ada beberapa kes yang direkodkan dan banyak lagi kes-kes yang tidak direkodkan kini. Selain daripada pukul banyak lagi kesalahan disiplin yang dilakukan oleh pelajar.

Antara kes yang direkodkan

KANGAR 16 Okt. - Dua orang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini didakwa menendang dan memukul seorang guru Fizik berusia 27 tahun setelah dipercayai tidak puas hati dengan tugasan kerja kursus yang diberikan kepada mereka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, kedua-dua pelajar tingkatan dua itu dikatakan dipanggil guru berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkataan kesat yang ditulis dalam kertas kerja kursus yang dihantar.

Baca seterusnya



Mengapakah masalah ini berlaku ?

Ada banyak sebab yang mendorong masalah disiplin pelajar menular walaupun ada garis panduan yang sedia ada mengikut pekeliling.Berdasarkan surat pekeliling iktisas 3/1983 yang disiarkan oleh kementerian Pendidikan Malaysia.

JENIS-JENIS KESALAHAN

1. KESALAHAN BERAT.

• Kurang sopan, biadap kepada guru atau pelajar. • Mencuri, menipu, berjudi, minum minuman keras. • Mengugut atau memeras atau menggunakan kekerasan. • Terlibat dalam najis dadah atau merokok. • Menganggotai kumpulan haram. • Memukul guru atau pelajar. • Melakukan perbuatan yang tidak bermoral. • Ponteng kelas, sekolah dan perhimpunan. • Membawa atau menyebarkan gambar atau video lucah.

2. KESALAHAN SEDERHANA BERAT.

Bising. • Bergaduh atau bertumbuk. • Keluar kelas tanpa kebenaran. • Mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. • Pakian tidak kemas. • Bersubahat dengan sebarang kesalahan. • Bercakap bohong atau menipu. • Membawa atau bermain permainan yang merbahaya. • Tidak menghormati guru atau pelajar. • Mengotori kelas atau kawasan sekolah. • Tidak menepati masa. • Tidak membawa peralatan pembelajaran. • Tidak menyiapkan kerja atau latihan.

3. KESALAHAN RINGAN •

Datang lewat ke sekolah atau asrama. • Tidak membayar yuran sekolah atau asrama. • Mengusik atau menganggu pelajar. • Merayau-rayau. • Makan atau minum dalam kelas. • Melompat pagar sekolah. • Menganggu ketenteraman. • Tidak menunjukan semangat kekitaan atau sayangkan sekolah.

4. PERINGATAN. •

Semua hukuman berat dan sederhana akan dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga. Kesalahan ini akan direkodkan. • Sebarang kesalahan yang dilakukan berulang akan dianggap kesalahan berat. • Pengetua atau lembaga Disiplin Sekolah mempunyai kuasa untuk mengubahsuaikan mana-mana bahagian dalam peraturan ini.

Pekelling ini juga tidak mampu menangani masalah walaupun ia dijadikan sebagai panduan.

Oleh itu, tak lain tak bukan marilah kita kembali kepada tanggungjawab asas dalam pendidikan anak-anak. Di mana bermulanya pendidikan ini adalah dari rumah, ibu bapa wajib mengajar anak-anak sejak dari kecil untuk menghormati guru, memuliakan guru dan menunaikan hak-hak guru mereka. Kata pepatah; didik anak biarlah dari rebungnya.

Nabi s.a.w telah meletakkan asas kepada ibu bapa para pendidik dan panduan-panduan untuk mendidik anak-anak supaya memuliakan alim ulama dan guru-guru, supaya manusia tahu kelebihan mereka sebagai ilmuan dan supaya pelajar-pelajar mereka dapat menunaikan hak mereka sebagai guru.

Antara wasiat nabi s.a.w melalui hadis-hadis baginda;

Sabda nabi s.a.w
“ Bukan umatku sesiapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, tidak kasihan kepada orang yang lebih muda dan tidak menunaikan hak guru-guru. (riwayat Ahmad, Thabrani dan al-Hakim)

Sabda nabi s.a.w
“ Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu dari mereka. (riwayat at-Thabrani)

Sabda nabi s.a.w
“ Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik ; Orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil”. (riwayat at-Thabrani)

Pengajaran yang boleh kita ambil daripada wasiat-wasiat nabi adalah seperti berikut;

1) Pelajar mesti bersifat rendah diri (tawadhu’) terhadap gurunya, tidak boleh melawan arahan guru, seperti pesakit mengikut arahan doktor.

Imam al-Ghazali berkata; “Tidak akan dapat ilmu kecuali dengan merendah diri dan mendengar dengan teliti…

2) Pelajar wajib melihat gurunya dengan penuh penghormatan.

Imam as-syafie berkata; “Aku membuka lembaran kitabku di depan Imam Malik (gurunya) dengan penuh hati-hati, supaya Imam Malik tidak mendengar bunyinya.

Ar-Rabi’ (murid Imam as-Syafie) berkata; “ Aku tidak sekali-kali minum di hadapan Imam as-Syafie sewaktu beliau melihatku kerana aku gerun dengan kehebatannya”.

3) Pelajar mestilah mengiktiraf hak gurunya dan jangan lupa kelebihan gurunya.
Syu’bah berkata; “ aku apabila menerima satu ilmu dari seorang manusia maka aku akan menjadi hambanya seumur hidup”.

Syauqi berkata dalam syairnya
“ Tunaikan hak guru dan muliakan mereka, seorang guru seolah-olah nabi yang diutus’.

Sepatutnya seorang pelajar mendoakan guru-gurunya sepanjang hayatnya, memelihara hubungan dengan keluarga guru-gurunya selepas kematian mereka, menziarahi kubur mereka, meminta ampun untuk mereka, mengikut jejak langkah mereka dan menjadikan guru-guru sebagai contoh dan tauladan dalam kehidupan.

4) Pelajar perlu bersabar dengan sikap panas baran gurunya, jangan sekali-kali memboikot mereka dan tidak belajar ilmu dari mereka.Jika guru marah, maka minta maaf dan bertaubat dengan kesalahan yang dilakukan, elakkan perbuatan yang boleh mendatangkan kemarahan guru kerana semua ini akan menjaga hubungan baik antara guru dan murid.

Alim ulama berkata; “ Sesiapa yang tidak bersabar ketika menuntut ilmu maka dia akan kekal dalam kejahilan, sesiapa yang bersabar akan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.

5) Pelajar wajib duduk di hadapan gurunya dengan penuh adab sopan, mendengar dengan penuh minat, melihat kepada wajah gurunya, tidak berpaling ke kiri dan ke kanan, ke atas dan ke bawah jika tidak ada keperluan.

Seorang pelajar perlu menjauhkan perkara-perkara yang kurang sopan di hadapan gurunya; tidak boleh mengganggu perjalanan P&P, tidak boleh menggerakkan tangan atau kakinya atau anggota lain tanpa hajat, tidak boleh mengorek hidungnya, tidak boleh menguap dengan membuka mulutnya, tidak boleh tidur waktu belajar, tidak boleh bermain jari jemarinya atau seluar dan bajunya, tidak boleh banyak cakap tanpa hajat, tidak boleh buat lawak yang menyebabkan kebisingan, kalau terpaksa ketawa ketawalah tanpa suara,tidak boleh banyak berdehem tanpa hajat, jika terpaksa bersin maka rendahkan suara semampu mungkin dan tutup mukanya dengan sapu tangan atau tisu.

6) Pelajar tidak boleh masuk ke bilik guru atau tempat yang dikhususkan untuk guru tanpa izin.
Jika setelah minta izin tapi tidak diizinkan masuk maka pulanglah jangan sekali-kali diulang-ulang minta izin. Jika ragu-ragu samada guru mendengar atau tidak maka boleh diulang sebanyak tiga kali sahaja, jika terpaksa mengetuk pintu maka ketuklah dengan lembut dan beradab dengan hujung jari. Apabila dibenarkan masuk, masuklah dengan penampilan yang terbaik, badan yang bersih, berpakaian kemas lebih-lebih lagi jika P&P sedang dijalankan.

Inilah di antara adab-adab yang perlu diajar kepada anak-anak oleh ibu bapa dan para pendidik. Jika anak-anak sejak dari kecil diajar adab-adab ini maka mereka akan menjadi terpelajar bukan kurang ajar sebagaimana yang berlaku pada hari ini. Mereka akan menjadikan guru-guru sebagai orang yang paling dihormati selepas ibu bapa mereka, gurulah orang yang memberi sinar cahaya dalam kehidupan mereka selepas mereka berada dalam kegelapan. Ingatlah sehebat manapun manusia, setinggi manapun pangkatnya dia mesti ada guru yang mengajarnya satu waktu dahulu.Oleh itu hormati guru, muliakan guru, janganlah melawan guru lebih-lebih lagi memukul guru, ikut arahan guru, kecuali jika disuruh melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.



Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment