SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Nov 20, 2009

Keistimewaan 10 Pertama Zulhijjah


Alhamdulillah saya ada sedikit kesempatan untuk menulis semula di dalam blog ini yang agak lama tidak ada sebarang artikel,bersempena cuti sekolah yang baru bermula ini maka ada sedikit masa untuk saya menulis dan berkongsi ilmu dengan para pengunjung blog ini. Sedar tak sedar dah hampir setahun blog ini berada di alam siber, Alhamdulillah sedikit sebanyak dapat memeriahkan blog-blog agama dan dakwah yang ada. Terima kasih kepada para pengunjung yang singgah ke blog ini samada sengaja atau tidak mudah-mudahan sama-sama dapat manfaat.

Saya mulakan penulisan ini dengan tajuk yang sesuai dengan bulan zulhijjah ini sebagai peringatan bagi yang lalai dan lupa dengan kelebihan yang ada pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Bagi mereka yang terlepas kelebihan 10 akhir Ramadhan lepas maka ini peluang kedua yang diberikan oleh Allah s.w.t untuk merebut sebanyak mungkin pahala yang ada sebagaimana sabda nabi s.a.w “kejarlah amal kebajikan itu sepanjang tahun”.

Sah dari nabi s.a.w bahawa beribadah pada 10 pertama Zulhijjah lebih baik dari beribadah di waktu-waktu yang lain. Sehingga ibadah solat,puasa,zikir dan lain-lain yang dilakukan pada 10 pertama Zulhijjah lebih baik dari pahala berjihad fi sabilillah kecuali mati syahid.

Sabda nabi s.a.w

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله من هذه الأيام ، يعني أيام العشر قالوا : يا رسول الله و لا الجهاد في سبيل الله ؟ قال : و لا الجهاد في سبيل الله إلا رجلاً خرج بنفسه و ماله لم رجع من ذلك بشيء "

Maksudnya;
“Tidak ada amal soleh yang dilakukan yang lebih dikasihi oleh Allah s.w.t selain dari amal yang dilakukan pada hari-hari 10 ini. Sahabat bertanya; Ya Rasulallah ! Tidak juga jihad fi sabilillah, maka jawab Rasulullah; tidak juga jihad fi sabilillah kecuali seorang lelaki yang keluar berjihad dengan diri dan hartanya kemudian tidak kembali lagi (mati syahid) (riwayat Bukhari)

Hadis ini menunjukkan tidak ada amalan yang dilakukan di waktu lain yang boleh menandingi amalan yang dilakukan pada 10 pertama Zulhijjah walaupun berjihad fi sabilillah kecuali mati syahid.

Apa amalan yang digalakkan sepanjang 10 hari ini?

i) Puasa sunat

Sayyidatuna Hafsah isteri nabi s.a.w meriwayatkan bahawa nabi s.a.w tidak pernah meninggalkan puasa Asyura’ , 10 hari pertama Zulhijjah dan tiga hari setiap bulan. Manakala riwayat dari isteri-isteri nabi s.a.w yang lain mengatakan nabi tidak pernah meninggalkan puasa 9 Zulhijja (Arafah)

Jangan lalai dan lupa untuk berpuasa 9 Zulhijjah ini, kerana pahalanya sangat besar, amat rugi bagi kita yang hidup pada hari tersebut mensia-siakan pahala berpuasa arafah kerana tidak berpuasa.

Sabda nabi s.a.w;

"صيام يوم عرفة أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله والسنة التي بعده" (صحيح).

Maksudnya;
“Puasa hari Arafah dikira disisi Allah s.w.t boleh menghapuskan dosa setahun sebelum dan setahun selepasnya”. (hadis sohih)

ii) Qiyamullail
Antara amalan yang digalakkan pada waktu ialah mendirikan solat-solat malam ia sabit dilakukan oleh nabi dan para sahabat.

iii) memperbanyakkan zikir
digalakkan memperbanyakkan zikir pada waktu ini berpandukan firman Allah s.w.t

و يذكروا اسم الله في أيام معلومات

Maksudnya;
“Dan sebutlah nama Allah pada hari-hari tertentu”

Hari-hari tertentu ialah 10 pertama Zulhijjah mengikut jumhur ulama.

Sabda nabi s.a.w;

ما من أيام أعظم و لا أحب إليه العمل فيهن عند الله من هذه الأيام العشر فأكثروا فيهن من التهليل و التكبير و التحميد " .

Maksudnya;
“Tidak ada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah s.w.t padanya selain 10 hari ini maka perbanyakkan tahlil, takbir dan tahmid padanya”.

Marilah sama kita meperbanyakkan amalan dikesempatan yang ada ini untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t di samping memperbanyakkan bekalan untuk bertemu dengan Allah s.w.t. ingatlah kata-kata Ibnu Rejab;

“ Keuntungan, keuntungan dengan merebut peluang yang ada pada hari-hari besar ini,tidak ada sesuatu yang boleh menggantikan kelebihannya dan tidak dinilai dengan harta benda dunia, bersegeralah, bersegeralah dengan amalan sebelum datangnya ajal”.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

1 comments:

khadijah91 said...

~assalamualaikum ustaz..masih ingat saya?? ex student smt sejingkat..PKM 1 07/08..
~alhmdulillah dpt jumpa ustaz lg..

_khadijah bt ellie_ =)

Post a Comment