SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Feb 6, 2009

Jagalah dirimu dan ahli keluargamu

Firman Allah s.w.t :at-Tahrim :6

“Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan”.

Ayat 6 surah at-Tahrim adalah ayat yang sering dibaca di dalam khutbah-khutbah dan ceramah-ceramah oleh khatib-khatib dan pendakwah-pendakwah. Kerana kepentingan seseorang manusia menjaga dirinya sendiri dan ahli keluarganya yang terdiri daripada isteri dan anak-anak dan sesiapa sahaja yang berada di bawah jagaannya daripada api neraka Allah s.w.t.

Di antara maksud ayat di atas ialah;

- Jagalah diri kamu daripada neraka dengan meninggalkan maksiat serta melakukan ketaatan, dimulakan dengan diri sendiri kemudian ahli keluarga.

- Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka dengan menyuruh mereka berbuat baik dan menjauhi kemungkaran, di samping itu ajarlah mereka segala tuntutan syara’ serta pendidikan berdasarkan al-quran.

- Hendaklah menjauhi apa yang Allah tegah dan beramal dengan mentaatiNya. Ajarkan mereka, didiklah dan takutkan mereka dengan balasan api neraka.

Bapa atau suami yang menjadi pemimpin dan ketua keluarga mestilah memastikan orang yang berada di bawah jagaannya sentiasa berada di atas landasan yang betul,ia merupakan tanggungjawab yang sangat berat yang perlu dipikul.

Di antara tanggungjawab utama ketua keluarga ialah;

1) Hendaklah mengingatkan Ahli keluarganya supaya selalu menunaikan solat serta mengingatkan mereka agar solat tepat pada waktunya, sebagaimana firman Allah s.w.t:Thooha:132

“dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah Engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) Kamilah Yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan Yang baik adalah bagi orang-orang Yang bertaqwa”.

Sabda nabi s.a.w;
“Suruhlah anak-anak kamu solat ketika berumur tujuh tahun” (riwayat al-Hakin dan Abu Daud)

Berapa ramai ibu bapa hari mementingkan solat anak-anak? Berapa ramai hari ini ibu bapa yang sentiasa mengingatkan anak-anak supaya solat di awal waktu? Berapa ramai ibu bapa yang ambil tahu anak mereka solat penuh lima waktu ataupun tidak? Paling dasyat lagi ibu bapa juga tidak solat, maka bagaimana anak-anak akan solat? Pengalaman saya apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar yang tidak solat, apabila ditanya kepada mereka kenapa kamu tidak solat, maka jawapan mudah yang diberikan ialah ibu bapa saya pun tak solat, masyaAllah bagaimana ibu bapa begini akan selesaikan tanggungjawab ini di hadapan Allah s.w.t. . sebab itu Allah mengarahkan bapa atau suami menjaga diri mereka dahulu daripada api neraka. Ramai ibu bapa hari ini (mudah-mudahan kita tidak termasuk) yang tidak pernah bertanya kepada anak-anak, solat ke belum? Tapi yang ditanya kepada anak-anak, dah makan belum? Dah mandi belum?dah tidur belum?bagi mereka makan, minum, tidur dan mandi itulah yang paling utama, perkataan solat tak pernah ditanya sehingga anak-anak tidak tahu apa itu solat?

Mendidik anak-anak solat sejak awal sebelum baligh bertujuan untuk membiasakan diri dengan solat sejak dari awal, supaya apabila mereka sudah baligh tidak ada masalah lagi dengan solat.

2) Hendaklah mendidik anak-anak supaya berpuasa sebagai latihan semenjak kecil untuk membiasakan diri dengan berpuasa apabila baligh nanti.

Ada juga ibu bapa mengatakan; zalim kalau disuruh kanak-kanak berpuasa sejak umur tujuh tahun. Bagi mereka kanak-kanak ini belum mampu untuk menahan diri dari lapar dan dahaga. Kalau dilihat pada zahirnya memanglah nampak macam zalim, tapi hikmah di sebaliknya ialah sangat berguna kepada anak-anak, sebab mereka tidak akan ada masalah untuk berpuasa apabila baligh nanti. Kalau kita melihat seekor ibu zirafah yang menendang-nendang anaknya yang baru dilahirkan, Nampak macam zalim, tapi sebenarnya tujuannya ialah menguatkan anggota tubuh anaknya supaya cepat boleh berlari untuk menyelamatkan diri daripada musuh sebab zirafah tak mampu untuk mendukung anaknya kerana lehernya panjang.

3) Mengajar ahli keluarga dengan akhlak mulia dan pendidikan agama. Seandainya tidak mampu mengajar sendiri, mestilah menjemput ustaz ustazah ke rumah atau menghantar ke kelas-kelas fardu Ain.

Ini adalah tanggungjawab ibu bapa yang perlu diselesaikan. Mempelajari ilmu fardu Ain adalah satu kewajipan ke atas setiap muslim dan muslimah. Mempelajari ilmu aqidah, membaca al-Quran , kaedah solat yang betul dan semua ilmu yang berkaitan dengan syara’ adalah wajib.

Adakah kita rela di saat kita mati nanti, tidak ada anak-anak kita yang boleh membaca surah Yaasin, tidak ada anak-anak yang turut serta memandikan jenzah kita, tidak ada anak-anak yang turut serta dalam solat jenazah kita, alangkah bahagianya seorang bapa yang meninggal kemudian solat jenazahnya diimami oleh anaknya sendiri, Ya Allah! Kurniakan kami anak yang soleh dan solehah, berikan kekuatan pada kami untuk mendidik mereka Ya Allah!.

Jadikan ahli keluarga kita sebagai sahabat, jangan jadikan mereka sebagai musuh, ingat jika ahli keluarga tidak dididik dengan didikan agama mereka akan menjadi musuh kita yang akan menghalang kita dari masuk syurga Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t: at-Taghaabun :14
“Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu Yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

4) Tidak boleh membiarkan ahli keluarganya melakukan perkara maksiat dan melanggar perintah Allah s.w.t.

Bapa sebagai ketua keluarga mestilah bersifat cemburu dan tidak senang hati terhadap isteri dan anak-anak yang sentiasa melakukan maksiat dan sentiasa sakit hati setiap kali mereka melakukan kekejian.

Sebagai suami mesti sakit hati jika isteri tidak solat, sakit hati jika isteri tidak menutup aurat, tapi jika ada suami yang berbangga dengan pakaian isterinya tidak menutup aurat dan berbangga supaya semua orang boleh melihat aurat isterinya, suami ini termasuk dalam lelaki Dayus yang tidak ada harapan masuk syurga dan berdosa besar, alangkah peliknya seorang suami sanggup membiarkan aurat isterinya ditonton oleh orang lain sedangkan itu semua hanyalah untuk suami sahaja, mengapa sanggup berkongsi dengan orang lain?

Begitu juga seorang bapa, mesti rasa cemburu dan sakit hati jika anak-anaknya tidak melakukan suruhan Allah dan melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. adakah kita sanggup dan rasa tenang apabila anak tidak solat? Adakah kita rasa selesa kalau anak-anak menjadi mat rempit, judi, pembuli, kaki lepak, tidak menutup aurat dan sebagainya, kalau kita masih boleh tidur lena lagi….teruskan…tapi ingat kita tidak akan tidur lagi apabila kita berhadapan dengan Munkar dan Nakir. Sesiapa yang tidur di dunia kerana tidak melakukan kewajipan terhadap Allah, tidak akan tidur lagi selepas mati kerana menerima balasan siksa dari Allah s.w.t. sesiapa yang tidak tidur di dunia kerana sentiasa sibuk menunaikan tanggungjawab kepada Allah s.w.t, akan tidur lena selena lenanya di dalam kubur sehinggalah dibangkitkan di hari qiamat. Ingat kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.

Seorang bapa mestilah bertegas dalam mendidik anak-anak, tidak boleh menurut kehendak mereka yang berunsur maksiat dan di luar kemampuan. Begitu juga seorang suami perlu bertegas dalam mendidik isteri yang tidak menurut hukum Allah s.w.t.

Langkah mengelak kemurkaan Allah s.w.t

1) Setiap individu hendaklah mengetahui, mempelajari, memperkukuhkan diri dengan beramal apa yang dipelajari dan meninggalkan apa yang sepatutnya ditinggalkan.

2) Jadikanlah diri dan keluarga sebagai orang yang bertaqwa serta membersihkan diri daripada sebarang bentuk syirik dan kekufuran.

3) Beribadat kepada Allah sebanyak mungkin samada khusus atau umum.

4) Mendirikan solat lima waktu, kerana sesiapa yang meninggalkannya diancam dengan azab yang pedih serta kehinaan di dunia dan akhirat

Kepada bapa dan suami ingatlah pesan Allah s.w.t

Firman Allah s.w.t : Thooha :132
“dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah Engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadaMu, (bahkan) Kamilah Yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan Yang baik adalah bagi orang-orang Yang bertaqwa”.

Firman Allah s.w.t : at-Tahriim :6
“Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan”.

Firman Allah s.w.t : an-Nahl :93
“dan Sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa Yang kamu telah kerjakan”.

Firman Allah s.w.t : as-soffaat :24
"Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana Sesungguhnya mereka akan disoal”.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment