SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Mar 15, 2009

Mana Produk Kita?

Baru ku tahu rupanya, Teh Cap Masjid adalah bukanlah pengeluaran Bumiputera. Nampaknya kita tertipu dengan penjenamaan. Selain menggunakan jenama cap Masjid, nama teh tersebut pun menggambarkan seperti ia adalah keluaran orang Islam iaitu dengan perkataan "Guru" iaitu Teh Guru Cap Masjid

Selain dari mengelirukan dari aspek penjenamaan, syarikat tersebut juga cuba menipu dengan menggunakan pewarna.

Umat Islam lambat sangat nak keluarkan produk sendiri sehingga bangsa lain mengambil kesempatan kerana prospek benefit yang diaorang dah nampak. Rakyat beragama Islam di Malaysia adalah yang tertinggi dan semestinya mempunyai permintaan yang tinggi juga terutama bab makanan.
baca seterusnya Sini

Komen saya

Sudah banyak komen dari orang-orang yang perihatin dengan urusan umat Islam yang ditulis, komen saya ini,Cuma menambahkan koleksi yang ada untuk menunjukkan keperihatinan kita kepada urusan umat Islam dan sebagai peringatan semula bagi yang lalai.

Apabila kita membaca, melihat dan mengkaji persoalan yang berkaitan dengan makanan,minuman, pakaian dan pelbagai lagi keperluan harian yang diperlukan oleh orang Islam maka kita sentiasa mendapati keperluan-keperluan orang Islam ini majoritinya disediakan dan diusahakan oleh orang bukan Islam. Walaupun kita hidup di negara sendiri yang diperintah oleh orang-orang Islam, kita mempunyai tanah sendiri, tetapi keperluan orang-orang Islam seolah-olah tidak terbela dan kadang kala susah rasanya nak dapatkan keperluan yang diusahakan oleh orang-orang Islam.Adakah kita hanya ingin menjadi pengguna semata-mata dan tidak ada usaha yang serius untuk berubah menjadi pengusaha dan pengeluar barangan sendiri, tidak dinafikan ada juga produk yang diusahakan oleh orang-orang Islam tapi tidak mencukupi, kurang kualiti dan tidak mendapat sambutan pula di kalangan orang-orang Islam sendiri mungkin dari segi kualitinya atau sikap tak kisah dengan barangan yang nak dibeli dari segi halal dan haramnya.

Ada dua persoalan di sini yang perlu diperhatikan oleh orang-orang Islam;

i) Produk orang Islam
ii) Sambutan terhadap produk orang Islam tidak menggalakkan.

1)Produk orang Islam

Untuk mengatasi persoalan ini, orang Islam perlu diberi motivasi dan penjelasan bahawa syariat Islam terbahagi kepada dua;

Fardu ain
Fardu kifayah

Fardu ain ialah yang berkaitan dengan pengurusan diri dari segi roh, akal, fizikal dan akhlak seperti; membaca al-quran, hukum-hakam ibadah, asas-asas akhlak, halal dan haram dan sebagainya.

Fardu kifayah ialah berkaitan pengurusan sistem yang berkaitan dengan kehidupan manusia; seperti pertanian, perkilangan,perniagaan, perubatan,kejuruteraan,pertahanan dan pelbagai ilmu yang memberi manfaat.

Menyediakan produk untuk kegunaan orang-orang Islam adalah fardu kifayah ke atas umat Islam. Apabila sebahagian umat Islam telah melaksanakannya maka gugurlah kewajipan tersebut dari sebahagian yang lain. Tapi yang menjadi persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan sebahagian orang Islam itu? Inilah yang perlu diperincikan, adakah ia tiga daripada sepuluh,atau lima daripada sepuluh atau tujuh daripada sepuluh atau bagaimana? Dan adakah umat Islam hari ini sudah menunaikan tanggungjawab fardu kifayah ini ataupun belum mencapai tahap yang sebenar?

Maka orang-orang Islam perlu sedar dan jangan sekali-kali lalai dalam memenuhi tuntutan fardu kifayah ini. Kewajipan orang-orang Islam ialah menceburi bidang pertanian, perniagaan dan juga perkilangan untuk menampung keperluan umat Islam.

a)Bidang pertanian

Allah s.w.t telah menyediakan kepada manusia beberapa keperluan asas untuk manusia bertani, antaranya ialah

i)Bumi atau tanah
Firman Allah s.w.t : Nuh :19
"Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan”.

Firman Allah s.w.t : ar-Rahman :10-13
10. dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya Yang lain:
11. terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma Yang ada kelopak-kelopak mayang;
12. demikian juga terdapat biji-bijian Yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan Yang harum;
13. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?

ii)Air
Allah s.w.t menyediakan kepada manusia sungai, parit laut dan juga hujan untuk membantu pertanian.

Firman Allah s.w.t : al-An’aam :99
“dan Dia lah Yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan Dengan air hujan itu Segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman Yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) Yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah Yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, Yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan Yang tidak bersamaan. perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan kami) bagi orang-orang Yang beriman”.

Firman Allah s.w.t : Abasa :24-28
24. (Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya):
25. Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan Dengan curahan Yang menakjubkan.
26. kemudian Kami belah-belahkan bumi Dengan belahan Yang sesuai Dengan tumbuh-tumbuhan, -
27. lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian,
28. dan buah anggur serta sayur-sayuran,

iii)Angin
Allah s.w.t mengutuskan angin untuk membantu proses pendebungaan.
Firman Allah s.w.t : al-Hijr :19-22
19. dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang Yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu Yang tertentu timbangannya.
20. dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini Segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk Yang kamu bukanlah orang Yang sebenar menyediakan rezekinya.
21. dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan Dengan menurut kadar dan masa Yang tertentu.
22. dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka Dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu Yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.

Antara hadis nabi s.a.w yang menggalakkan pertanian ialah;

Sabda nabi s.a.w
“ Tidak ada balasan bagi seorang muslim yang menanam pokok atau sayuran, kemudian tanaman itu dimakan oleh burung atau dicuri oleh manusia melainkan baginya pahala sedekah”.(riwayat Muslim)

Daripada motivasi al-Quran dan al-Hadis di atas umat Islam perlu mempergiatkan usaha untuk bertani demi untuk memenuhi keperluan umat Islam yang lain. Tetapi malangnya umat Islam khususnya kita di Malaysia tidak berminat untuk bertani dengan pelbagai alasan yang diberikan,tetapi sebaliknya kita melihat orang-orang bukan Islam pula seolah-olah menyahut seruan al-Quran dan al-Hadis untuk berbudi kepada tanah sehingga tanah yang sekangkang kera yang ada di hadapan atau di belakang rumah mereka tidak disia-siakan untuk ditanam sayur-sayuran dan sebagainya berbanding kita umat Islam lebih selesa membeli dari mereka walaupun sebatang serai atau sehelai daun kunyit.

b)Perkilangan dan perniagaan

Begitu juga dalam bidang perkilangan dan perniagaan untuk memproses bahan-bahan mentah dan dipasarkan kepada orang-orang islam. Bila ada yang menanam kopi atau teh maka kita perlukan pula kepada kilang untuk memproses kopi dan teh tersebut untuk dipasarkan kepada umat Islam. Inilah yang mungkin kita kekurangan hari ini, sehingga minuman teh dan kopi diproses oleh orang bukan Islam, kita hanya menjadi pembeli yang setia, lebih parah ada di kalangan kita yang minum di kedai-kedai bukan muslim.

Umat Islam perlu digerakkan dari tidur yang lena, oleh kerana tidur yang panjang ini, menyebabkan kita susah untuk mencari produk keluaran orang-orang Islam, contoh mudah ialah susahnya nak dapatkan mee, kuey teow, tauhu, bebola ikan dan sebagainya yang diproses oleh orang-orang Islam.

2)Sambutan terhadap produk orang Islam tidak menggalakkan.

Hari ini walaupun ada juga produk yang dikeluarkan oleh orang-orang Islam, tapi persoalan seterusnya ialah sejauh mana kesedaran pengguna-pengguna yang beragama Islam untuk membeli dan menyokong produk keluaran orang-orang Islam ini. Oleh kerana tidak ada kesedaran umat Islam untuk mencari yang halal maka mereka tidak peduli dengan barangan yang dibeli. Masih ramai lagi yang tidak melihat tanda Halal pada produk yang akan dibeli, tidak kisah samada barangan tersebut dibuat oleh siapa?yang penting beli, halal haram soal nombor dua.oleh itu ramai yang membeli ayam di kedai bukan Islam walaupun tidak ada tanda halal atau tanda halal yang diragui kesahihannya, kadang kala diletakkan gambar penyembelih muslim yang sudah meninggal dunia bertahun-tahun dan ramai juga yang makan dan minum di kedai bukan Islam dan sebagainya. Sebagai umat Islam kita perlu peduli dengan makanan dan minuman yanmg kita ambil kerana ia berkait rapat dengan jiwa, akhlak dan amal ibadah.

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah : 168
“Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu”.

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah : 172
“Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya”.

Sabda nabi s.a.w;
“ Seorang manusia yang memasukkan ke dalam mulutnya satu suapan daripada benda haram tidak diterima amalannya empat puluh hari…” (riwayat muslim)

Komen ringkas ini hanya memfokuskan kepada makanan dan minuman sahaja, selain daripada itu masih banyak lagi barangan keperluan yang sepatutnya diceburi oleh orang Islam. sama-samalah kita fikir-fikirkan apakah yang perlu kita buat supaya kita boleh menggunakan produk kita sendiri, berilah sokongan kepada produk-produk orang Islam yang ada, semoga dengan sokongan yang diberikan dapat meningkatkan lagi motivasi sesama Islam untuk menghasilkan produk-produk yang lebih banyak.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment