SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Mar 8, 2009

Kelebihan Taat dan Mengikut Nabi S.A.W

Sebagai seorang muslim yang menjadi umat nabi Muhammad s.a.w, kita perlu tahu apakah kewajipan kita terhadap nabi s.a.w dan apakah kelebihan jika kita menunaikan kewajipan itu. Di antara kewajipan seorang muslim kepada nabi s.a.w ialah mengikut sunnah yang ditinggalkan oleh nabi s.a.w dan taat dan patuh kepadanya.
Apabila seorang muslim taat dan patuh dengan apa yang dibawa oleh nabi s.a.w, maka ada banyak kelebihan yang akan diperolehi hasil dari ketaatan dan kepatuhan itu.

Antaranya ialah;

1) Taat kepada nabi ertinya taat kepada Allah s.w.t

Firman Allah s.w.t :an-Nisa’ :80
“sesiapa Yang taat kepada Rasulullah, maka Sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa Yang berpaling ingkar, maka (janganlah Engkau berdukacita Wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan)”.

2) Taat kepada nabi daripada rukun iman

Firman Allah s.w.t :an-Nisa’ :65
“maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim Dalam mana-mana perselisihan Yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa Yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu Dengan sepenuhnya”.


3) Taat kepada nabi sumber hidayah

Firman Allah s.w.t : an-Nur :54
“Katakanlah lagi (kepada mereka): " Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kepada Rasul Allah. kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah Bahawa Sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa Yang ditugaskan kepadaNya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa Yang ditugaskan kepada kamu. dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk; dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah Dengan penjelasan Yang terang nyata".

4) Taat kepada nabi mengundang rahmat Allah

Firman Allah s.w.t :Ali-Imran :132
“dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat”.

5) Taat kepada nabi akan dihimpunkan bersama nabi-nabi, orang-orang Siddiqiin , orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

Firman Allah s.w.t : an-Nisa’ :69-70
"dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang Yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, Iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang Yang Syahid, serta orang-orang Yang soleh. dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang Yang taat)".

"demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha mengetahui (akan balasan pahalanya)".

6) Taat kepada nabi sumber kejayaan dan boleh masuk syurga

Firman Allah s.w.t : an-Nisa’ :13
“Segala hukum Yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. dan sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke Dalam syurga Yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan Yang amat besar”.

7) Mengikut nabi tanda cinta hamba kepada Allah dan mengundang cinta Allah kepada hambaNya

Firman Allah s.w.t : Ali-Imran :31
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

8) Mengikut nabi sebab diampunkan dosa

Firman Allah s.w.t : Ali-Imran :31
“Serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

9) Mengikut nabi sumber hidayah

Firman Allah s.w.t :al-A’raaf :158
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) Yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang menghidupkan dan mematikan. oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Yang Ummi Yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk".

Terdapat banyak hadis yang menganjurkan supaya berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dan kewajipan taat dan mengikut jejak langkah nabi s.a.w sehingga jika kita tidak taat kepada nabi dan mengikutnya kita akan binasa.

Antara hadis-hadis tersebut ialah;

 . عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول صلى الله عليه وسلم قال: "كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبي، قالوا: يا رسول الله ومن يأبي؟ قال: من أطاعني دخل الجنة ومن عصاني فقد أبى" رواه البخاري.

Maksudnya;
“ Dari Abu Hurairah r.a bahawa rasulullah s.a.w bersabda; Semua umatku akan masuk syurga kecuali yang ingkar,sahabat bertanya siapakah yang ingkar itu Ya rasulallah ! jawab baginda; Siapa yang taat kepadaku masuk syurga, siapa yang menderhaka itulah orang yang ingkar. (riwayat Bukhari)

Bersempena kita menyambut Maulidur rasul s.a.w pada tahun ini marilah sama-sama kita mempertingkatkan azam untuk lebih mengenali nabi s.a.w dengan memperbanyakkan membaca buku-buku sirah nabawiyyah, untuk kita menggali segala khazanah dan pusaka yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w, di samping membaca ratusan ribu hadis yang dibukukan , semuanya terlalu mudah untuk didapati samada dari buku-buku dengan pelbagai bahasa atau melalui web-web atau blog-blog yang boleh dipercayai, terpulang kepada kita mahu atau tidak sahaja. Jangan lupa singgahlah di masjid-masjid dan surau-surau untuk bersama-sama dalam majlis ceramah dan forum bersempena maulidur rasul mudah-mudahan dapat memberi sedikit lagi info dan maklumat kepada kita mengenai rasulullah s.a.w dan sebagai menyatakan kasih dan cinta kita kepada nabi s.a.w.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment