SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Mar 7, 2009

Rasulullah Terpujinya Akhlakmu

Rabiul awwal datang lagi, tidak ada yang paling istimewa dalam kehidupan seorang muslim melainkan mengingati, menghayati dan mengikut jejak yang yang ditinggalkan oleh manusia pilihan Muhammad s.a.w. Walaupun mengingati, mengasihi dan menghayati sirah perjalanan hidup nabi s.a.w adalah dituntut pada setiap masa dan ketika, tetapi Rabiul awwal mempunyai sejarah yang tersendiri, sekurang-kurangnya apabila kita adakan sambutan dengan mengadakan ceramah-ceramah dan forum-forum mengungkap sejarah kelahiran dan dakwah yang disampaikan oleh nabi s.a.w boleh memberi sedikit peringatan bagi yang lalai yang tak pernah terdetik di hati untuk mengingati manusia agung ini, lebih-lebih lagi sunnah nabi s.a.w sudah banyak diabaikan bahkan ada di kalangan anak-anak orang Islam sudah tidak kenal siapa rasulullah lagi, maka bersempena sambutan maulidur rasul ini, jadikan sebagai titik tolak untuk memperbanyakkan membaca sirah nabi s.a.w dan sampaikan kepada generasi kita siapakah yang dikatakan rasulullah itu.

Sabda nabi s.a.w;
“ Ajarkan anak kamu tiga perkara; ajarkan mereka supaya cintakan nabi, cintakan keluarga nabi dan ajarkan mereka al-Quran”. (riwayat at-Tabrani)

Rasulullah adalah contoh tauladan terbaik dalam kehidupan seorang manusia muslim. Jika generasi kini tidak didedahkan dengan akhlak rasulullah s.a.w, maka mereka akan terdedah dengan akhlak yang buruk yang akan membawa kerosakan dalam keluarga, masyarakat dan negara dan membawa imej buruk kepada agama Islam itu sendiri.

Firman Allah s.w.t : al-Ahzab :21
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.

Antara perkara penting yang dibawa oleh rasulullah selain aqidah dan ibadah ialah penyempurnaan akhlak yang mulia. Perjalanan dakwah rasulullah s.a.w diwarnai dengan akhlak-akhlak yang terpuji yang ditunjukkan oleh baginda sehingga sebahagian besar kejayaan dakwah baginda adalah melalui akhlak yang agung.

Firman Allah s.w.t :al-Qalam :4
“Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia”.

Siapakah yang membaca dan mengkaji sirah rasulullah s.a.w kemudian tidak ada apa-apa kesan pada dirinya, tidak menangis dan tidak rindu dengan rasulullah s.a.w?siapa sahaja yang mengkaji sirah nabi s.a.w dengan hati yang ikhlas dan kerinduan yang mendalam terhadap nabi s.a.w akan menangis dan berkata “aku menjadi saksi bahawa engkau adalah rasulullah”.

Mudah-mudahan kita boleh menjadikan sirah nabi dan akhlak baginda yang agung sebagai panduan dalam semua urusan kehidupan kita, akhlak kita dan hubungan sesama manusia. Kita berurusan dengan manusia sebagaimana nabi berurusan dengan musuhnya, ketika nabi bersabda;

“Sesungguhnya aku diperintah oleh Allah menghubungkan silatur rahim dengan orang yang memutuskan hubungannya denganku,aku memberi kepada orang yang tidak memberi padaku dan aku memaafkan orang yang menzalimiku”.

Kita berurusan dengan sesama muslim sebagaimana nabi berurusan dengan orang munafik, sesungguhnya nabi s.a.w telah memaaf dan mengampunkan mereka. Kita berurusan dengan anak-anak kita sebagaimana nabi s.a.w berurusan dengan khadam dan pekerjanya. Sesungguhnya nabi mempunyai seorang khadam Yahudi yang berkhidmat untuknya, apabila khadam Yahudi ini sakit nabi merawatnya, sambil duduk di sisi kepalanya, bertanya khabarnya dan menyerunya supaya memeluk islam, akhirnya khadam Yahudi ini memeluk islam dan nabi bersabda; “segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kamu keranaku dari api neraka”.

Dalam kisah yang lain, seorang yahudi meminta nabi menjelaskan hutangnya di depan orang ramai di masjid dengan suara yang tinggi sambil menjerit dan marah-marah, tetapi nabi s.a.w hanya tersenyum dan masih berlembut dengannya sehingga Yahudi ini melihat keadaan nabi yang tidak melenting lalu Yahudi ini terus berkata; “ Aku bersaksi bahawa engkau adalah rasulullah, kerana kami membaca dalam kitab Taurat bahawa nabi akhir zaman ini antara sifatnya semakin marah semakin lembut”.

Mudah-mudahan kita dapat berurusan dengan manusia dengan sebaik-baiknya walaupun mereka menyakiti kita, kerana nabi s.a.w pernah disakiti oleh kaumnya, dihalau keluar dari bumi Mekah, dihina dan diperangi sehingga tidak ada perkara yang buruk tidak pernah dilakukan terhadap nabi s.a.w tapi apabila nabi s.a.w diberi kemenangan oleh Allah s.w.t dan dapat masuk semula ke bumi Mekah, sejarah telah mencatatkan bahawa nabi s.a.w telah memaafkan musuh-musuhnya dahulu, nabi berkata kepada mereka; “Allah telah maafkan kamu, pergilah kamu dibebaskan”.

Nabi s.a.w pernah ke bumi Thaif untuk berdakwah tapi baginda dihalau oleh penduduk Thaif, mereka melontarnya dengan batu sehingga berdarah tumitnya tapi nabi hanya berdoa “ Ya Allah ampunkan kaumku, sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti”.

Nabi s.a.w menjahit kasutnya, menjahit pakaiannya, membersihkan rumahnya, memerah susu kambingnya, memberi keutamaan kepada sahabat dalam soal makanan dari dirinya sendiri, sangat kasih kepada orang miskin, bersama dengan orang yang teraniaya, perihatin kepada janda, menziarahi orang sakit, mengikuti janazah ke kubur, meletakkan tangannya yang mulia di atas kepala anak yatim, bersikap lembut dengan wanita, menjamu tetamu, memberi makan kepada orang yang lapar, bergurau dengan kanak-kanak, kasihan kepada haiwan dan banyak lagi akhlak yang agung, jika kita membaca dan mengkaji sirah rasulullah s.a.w.

Ya Rasulullah ! sesungguhnya apabila kami membaca sejarah manusia dan tokoh-tokoh agung dunia kemudian kami membaca sirahmu, maka seolah-olah tidak ada manusia yang agung kecuali dirimu, kami tidak mengiktiraf kecuali dirimu, semua tokoh dunia adalah kecil pada pandangan kami jika dibandingkan dengan dirimu.

Ya Rasulullah ! kamu tak pernah hilang dari ingatan kami, kamu sentiasa di hati kami, sentiasa dalam jiwa kami, sentiasa dalam pendengaran dan penglihatan kami, kamu sentiasa berada dalam setiap titis darah kami, kamu sentiasa berada dalam setiap zarrah jasad kami, kamu sentiasa hidup dalam segala perlakuan kami dengan menghidupkan sunnahmu dan akhlakmu, kami sanggup menebus nyawa kami untukmu, kami sanggup menebus anak-anak dan isteri kami untukmu, kami sanggup menggadai nyawa kami untuk mempertahankanmu dari dihina oleh musuh-musuhmu, kami sanggup menggadai maruah kami untuk mempertahankan maruahmu Ya Rasulullah.

صلى الله وسلم عليك كلما ذكرك الذاكرون، وصلى الله وسلم عليك كلما غفل عن ذكرك الغافلون.





Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment