SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

May 9, 2009

Ibu oh Ibu

10 May adalah Hari Ibu yang disambut di Malaysia. Walaupun Islam hanya ada Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha sahaja yang disambut oleh orang Islam di seluruh dunia, tidak ada hari-hari kebesaran yang lain, namun jika sekiranya perlu mengadakan sambutan hari ibu untuk memberi kesedaran kepada anak-anak yang mungkin makin hari makin melupakan hak-hak seorang ibu yang perlu ditunaikan, maka baik juga kita mengambil kesempatan ini untuk memberi peringatan kepada yang lalai khususnya kepada anak-anak yang melupakan jasa dan pengorbanan ibubapa mereka.

Di antara perkara yang paling penting ialah kita perlu mengetahui apakah hak-hak dua ibubapa? Supaya kita tidak melanggar hak-hak tersebut yang boleh menyebabkan kita boleh dicap sebagai anak derhaka.

Di antara pesan nabi s.a.w supaya anak-anak melakukan kebaikan kepada dua ibubapa ialah;

1- Reda Allah terletak kepada keradaan ibubapa

Sabda nabi s.a.w
“ Reda Allah terletak reda kedua ibubapa dan kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan kedua ibubapa”.

2- Berbuat baik kepada ibubapa mendahului berjihad di jalan Allah s.w.t

Seorang lelaki bertemu dengan nabi s.a.w lalu bertanya, “Bolehkah saya berjihad? Nabi bertanya; “adakah kamu ada ibubapa? Jawab lelaki tersebut; “ya, ada. Maka nabi bersabda berjihadlah kamu dengan menjaga keduanya”. (Riwayat Bukhari)

Ibu diberi sedikit kelebihan oleh Islam untuk lebih diberi perhatian oleh anak-anak.

Imam Bukhari melaporkan dari Abu Hurairah r.a berkata;

“Datang seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w; “Ya Rasulallah! siapakah yang lebih berhak untuk aku melakukan kebaikan kepadanya? Jawab nabi s.a.w, “ibumu, dia bertanya lagi, “siapa pula selepas itu? Jawab nabi ibumu, bertanya lagi, “siapa pula selepas itu? Jawab nabi ibumu, bertanya lagi, “siapa pula selepas itu? Jawab nabi bapamu.

Ibnu Kathir melaporkan dalam tafsirnya dari Sulaiman Bin Buraidah dari bapanya;

“Seorang lelaki melakukan Tawaf sambil mendukung ibunya, lalu dia bertanya kepada nabi adakah dia telah menunaikan hak ibunya? jawab nabi, “ tidak, tidak walaupun satu kesakitan yang pernah ditanggung oleh ibumu sewaktu mengandungkanmu”.

Sebab Islam melebihkan ibu daripada bapa ialah

1) Ibu mengandung, melahirkan, menyusukan, mengurus keperluan anak dan mendidik anak lebih daripada bapa.

2) Ibu sebagai wanita, diberi perasaan lebih mengasihi dan menyintai anak lebih daripada bapa, sebab itu anak-anak lebih manja dengan ibu berbanding bapa mereka.

Sempena dengan hari ibu ini, di sini saya perturunkan beberapa adab yang perlu diajar kepada anak-anak dan dilakukan oleh mereka untuk menunaikan hak kepada ibu bapa mereka.

1- Taat dan patuh kepada setiap arahan ibubapa kecuali perkara maksiat.

2- Bercakap dengan ibubapa secara lembut dan sopan

3- Bangun menghormati ibubapa apabila mereka masuk ke rumah

4- Mencium tangan ibubapa pagi dan petang dan hari-hari tertentu

5- Menjaga marwah dan harta ibubapa

6- Memuliakan dan memberi apa yang diminta oleh ibubapa

7- Bermesyuarat dalam segala urusan dengan ibubapa

8- Memperbanyakkan doa dan istighfar untuk ibubapa

9- Membantu ibubapa tanpa disuruh

10- Tidak mengangkat suara yang tinggi di hadapan mereka

11- Tidak menyampuk ketika mereka sedang bercakap

12- Tidak keluar dari rumah jika tidak diizinkan

13- Tidak mengganngu ibubapa yang sedang tidur

14- Tidak melebihkan isteri dan anak-anak daripada ibubapa

15- Tidak menghina ibubapa jika mereka melakukan perkara yang kita tidak suka

16- Tidak ketawa di hadapan mereka jika tidak ada perkara yang perlu

17- Tidak mengambil makanan yang ada di hadapan ibubapa kecuali dengan izin

18- Tidak tidur di hadapan ibubapa sewaktu mereka sedang duduk kecuali dengan izin

19- Tidak melunjurkan kaki di hadapan ibubapa

20- Tidak boleh masuk dahulu dan berjalan di hadapan mereka

21- Segera menjawab apabila dipanggil oleh ibubapa

22- Menghormati kawan-kawan ibubapa waktu mereka masih hidup atau selepas kematian mereka

23- Tidak memanggil ibubapa dengan nama mereka

24- Tidak memanjat atau menaiki tempat yang melintasi kepala mereka

25- Sering berdoa kepada ibubapa lebih-lebih lagi selepas kematian mereka.

Mudah-mudahan adab-adab ini dapat diberi perhatian oleh ibubapa untuk disampaikan kepada anak-anak, begitu juga anak-anak, harap dapat menjaga adab-adab ini supaya kita tidak digelar sebagai anak yang derhaka.Insyaallah jika pendidikan yang berterusan diberikan kepada anak-anak, kita tidak perlu lagi kepada hari ibu, kerana setiap hari perlu kita melakukan kebaikan kepada ibubapa dan insyaallah tidak ada lagi anak-anak yang akan menghantar ibubapa mereka ke rumah kebajikan masyarakat.



Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment