SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Jan 26, 2009

Gerhana Aqidah dan Akhlak

Black Metal keseronokan membawa syirik.

APAKAH anda peminat fanatik filem, buku, drama seram mengagungkan syaitan serta aksesori dengan lambang iblis?

Jika ya, ini bukan lagi satu hobi, keseronokan atau mainan perasaan semata-mata tetapi lebih membimbangkan ini boleh menjerumuskan seseorang kepada masalah lebih serius iaitu syirik.

Inilah kebimbangan sekumpulan 10 pensyarah tiga fakulti Universiti Malaya menerusi kajian terbaru mereka mendapati ramai belia Islam memuja syaitan menerusi pelbagai filem dan drama, pengaruh muzik khususnya Black Metal, permainan video yang mengetengahkan nama wira syaitan serta kebanjiran majalah, buku serta komik asing dan dihasilkan syarikat tempatan.

Malah, pengaruh yang secara fizikalnya dianggap satu bentuk hiburan, sebenarnya sebahagian ajaran sesat satanisme dari Barat yang mahukan pengikutnya sesat dengan memuja dan mengabdikan diri kepada syaitan dan seterusnya membolehkan seseorang Muslim terpesong akidahnya.

Ajaran satanisme itu dipelopori Church of Satan yang mempunyai ramai penganut di Barat. Ciri utama ajaran sesat yang mengagungkan syaitan itu disebarkan menerusi pengaruh muzik dan kumpulan Black Metal, filem dan drama asing, laman web serta buku Church of Satan yang diseludup masuk ke Malaysia.

"Lebih menakutkan, atas alasan 'sekadar suka-suka, terpengaruh dengan rakan-rakan,' tindakan belia yang juga responden berusia 13 hingga 30 tahun ini, amat serius. Ini kerana ia boleh menyebabkan mereka menjurus kepada pengamal dan seterusnya penganut dan mungkin berakhir sebagai 'pader' satanisme," tegas salah seorang penyelidik kajian yang juga pensyarah Akademi Pengajian Islam, Prof Madya Dr Che Zarrina Sa'ari kepada Berita Minggu.

Kajian bertajuk Elemen Satanisme Dalam Trend Kepenggunaan Media Di Kalangan Belia Islam itu yang turut meraih dua anugerah di Ekspo Penyelidikan UM baru-baru ini, dijalankan selama setahun mulai September 2007 hingga akhir Disember lalu.

Selain Che Zarrina, pensyarah dan pakar dalam bidang Pengajian Islam, Psikologi dan Ekonomi Islam UM yang terbabit dalam kajian itu ialah Prof Dr Joni Tamkin Borhan, Prof Madya Dr Khadijah Mohd Khambali, Dr Lihanna Borhan, Noor Hasnoor Mohamad Nor, Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman, Faizuri Abdul Latif, Muhammed Yusof, Hazman Hassan dan Basri Hussein.

Buat permulaan, kajian itu membabitkan 682 responden di sekitar Lembah Klang dan dijangka diperluaskan ke seluruh negara jika mendapat dana mencukupi.

"Satanisme bukan hiburan semata-mata tetapi satu ancaman jelas kerana menonjolkan syaitan sebagai wira. Malah syaitan itu dianggap amat berkuasa hinggakan perlu digeruni oleh semua. Inilah yang boleh menyebabkan seseorang itu syirik," katanya.

Che Zarrina berkata, pandangan sedemikian sememangnya salah kerana bertentangan dengan ajaran agama Islam.

"Islam sememangnya mengakui kewujudan syaitan. Tetapi syaitan lebih berperanan sebagai gangguan yang harus dilawan bukan digeruni atau diagungkan lebih daripada Tuhan.

"Lebih membahayakan, ada filem Hollywood menunjukkan unsur syaitan ini hanya boleh diperangi menerusi salib dan ini menunjukkan seolah-olah itulah cara paling berkesan bagi mengatasi masalah itu. Bayangkan jika adegan itu ditonton berulang kali yang boleh menyebabkan remaja beranggapan itulah cara yang sesuai dilakukan bagi melawan hantu," katanya.

Che Zarrina berkata, apa dikesali, syarikat produksi tempatan juga berlumba-lumba menghasilkan filem dan drama seram bagi menarik minat ramai.

"Mereka perlu sedar kerana filem serta drama itu bukan sekadar hiburan tetapi ada implikasinya yang jauh lebih bahaya daripada elemen seram berkenaan. Elemen yang mempengaruhi penonton, khususnya golongan muda supaya takutkan syaitan lebih daripada Tuhan.

"Ada pula yang mempersendakan Islam apabila menunjukkan seolah-olah syaitan dan hantu ini tidak takutkan ayat suci al-Quran," katanya.

Mengenai punca utama penularan ancaman satanisme itu, Che Zarrina berkata, majoriti atau 56 peratus responden mengakui terpengaruh dengan rakan selain menggilai filem seram.

Katanya, apa yang menyedihkan, ramai belia Islam yang ditemui dalam kajian sekitar Lembah Klang itu, mengakui mereka tidak menganggap satanisme itu satu ancaman atau tahu cara untuk menanganinya.

"Mereka mengakui mempunyai pendidikan asas Islam, tetapi tidak tahu tindakan menyamai penganut satanisme itu salah di sisi agama. Mereka juga tidak sedar yang diri mereka diperalatkan dalang yang mahukan remaja Islam itu sesat.

"Inilah yang kita bimbangkan kerana masyarakat, terutama ibu bapa serta kerajaan tidak menganggapnya sebagai ancaman serius seperti dadah dan gejala mat rempit yang diakui ramai.

"Sebagai penyelidik, kami juga bimbang jika ancaman satanisme tidak diendahkan, ia boleh mencetuskan masalah serius pada 10 atau 20 tahun akan datang kerana trend ke arah itu sudah pun ada," katanya.

Berikutan itu, Che Zarrina dan semua penyelidik lain berpendapat antara cara berkesan menangani masalah itu adalah dengan meminda silibus pendidikan agama di sekolah supaya turut menyenaraikan satanisme sebagai antara ancaman utama yang boleh menyebabkan syirik.

Tidak ketinggalan, pembabitan dan peranan ibu bapa untuk memastikan siapa rakan anak serta bahan bacaan serta laman web yang dilayari golongan muda itu bagi mengelak mereka terpengaruh dengan elemen satanisme yang menyesatkan ini.
sumber
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090124222832/Article/


Komen saya
Kalau kita melihat kepada tulisan di atas ada dua perenggan yang menyebut tentang peranan ibu bapa yang agak longgar dalam pendidikan anak-anak dan tidak serius dalam menunaikan amanah pendidikan anak-anak yang diamanahkan oleh Allah s.w.t, cuba kita perhatikan tulisan berikut;
"Inilah yang kita bimbangkan kerana masyarakat, terutama ibu bapa serta kerajaan tidak menganggapnya sebagai ancaman serius seperti dadah dan gejala mat rempit yang diakui ramai.

Tidak ketinggalan, pembabitan dan peranan ibu bapa untuk memastikan siapa rakan anak serta bahan bacaan serta laman web yang dilayari golongan muda itu bagi mengelak mereka terpengaruh dengan elemen satanisme yang menyesatkan ini.

Ada 3 faktor penting yang disentuh dalam penulisan ini;

Pertama : Pengabaian ibu bapa dalam pendidikan anak-anak
Kedua   : Pengaruh rakan-rakan
Ketiga   : Pengaruh filem

Untuk membincangkan 3 faktor ini anda boleh merujuk kepada kitab Tarbiah Aulad yang saya terjemahkan dan sudah dipostkan dalam blog My Kuliah saya.
sila rujuk sini

Saya akan mengulas faktor pengabaian ibu bapa dalam pendidikan anak-anak menurut apa yang ditulis oleh Abdullah Naseh Ulwan dalam kitab Tarbiah Aulad Fil Islam.

Ibu bapa adalah pendidik pertama dalam kehidupan seorang manusia. Merekalah yang akan mencorakkan masa depan dan cara hidup anak-anak mereka, sebagaimana mafhum daripada hadis nabi s.a.w bahawa setiap bayi dilahirkan putih bersih, maka ibu bapa mereka yang yang akan menentukan samaada mereka akan menjadi Yahudi,Nasara atau Majusi.

Kita tidak boleh melupakan peranan ibu dalam menunaikan amanah pendidikan anak.
Seorang penyair ada menyebut;

"Ibu merupakan sekolah, apabila kamu menyediakannya,
Kamu telah menyediakan satu generasi yang unggul"

Maksudnya; seorang ibu ibarat sebuah sekolah untuk anak-anak, apabila seorang suami atau bapa telah menyediakan seorang ibu yang terbaik kepada anak-anak mereka, maka anak-anak akan mendapat pendidikan yang terbaik dan akan menjadi manusia yang berguna. Oleh itu di antara kewajiban seorang bapa terhadap anaknya ialah memilih ibu yang baik untuk mereka.

Ibu dalam menunaikan tanggungjawab sama sahaja dengan bapa bahkan lebih penting dan utama, kerana ibu sentiasa mendampingi anak-anak sejak mereka dilahirkan sehingga mereka meningkat dewasa. Nabi s.a.w pernah mengasingkan peranan ibu dalam pendidikan anak-anak dalam sabda baginda;

"Dan ibu sebagai penjaga dalam rumah suaminya dan akan disoal oleh Allah s.w.t tentang anak-anak yang dibawah jagaannya".

Semua ini bertujuan untuk wujud kerjasama antara suami isteri dalam membina generasi berguna. Apabila seorang ibu mengabaikan amanah ini, kerana menyibukkan diri bersama rakan-rakannya, menghabiskan masa dengan rakan-rakannya dan keluar dari rumah berfoya-foya meninggalkan anak-anak dengan  pembantu rumah sahaja, begitu juga bapa,apabila mengabaikan amanah ini dengan menghabiskan masa di kedai-kedai kopi, bermain Dam dan Catur bersama kroni-kroninya maka tidak syak lagi anak-anak akan membesar seperti anak yatim piatu yang kematian ibu bapanya dan hidup seperti pelarian dan inilah yang menyumbang kepada kerosakan dan jenayah.

Seorang pujangga berkata;

Bukanlah yatim itu orang yang kematian ibu bapanya,
Dari kehidupannya dan meninggalkannya dalam kehinaan,
Tetapi yatim itu ialah seorang anak yang ada ibu bapa,
Tapi ditinggalkan kerana kesibukan ibu bapanya.

Tidaklah tumbuhan yang tumbuh di taman
Seperti tumbuhan yang tumbuh di padang
Bagaimana kita mengharapkan generasi yang sempurna
Sedang mereka menyusu dari seorang ibu yang kurang

Kepada ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab mereka maka renungkanlah amaran Allah s.w.t

Firman Allah s.w.t : at-Tahrim : 6
"Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan".

Pesan nabi kepada ibu bapa

" Seorang suami adalah pemelihara ahli keluarganya dan akan disoal apa yang dijaganya, seorang isteri adalah pemelihara rumah suaminya dan akan disoal apa yang dijaganya". (riwayat Bukhari dan Muslim)

" Didiklah anak-anak kamu dan perbaiki akhlak mereka". (riwayat Ibnu Majjah)

" Suruhlah anak-anak kamu mengikut suruhan Allah dan menjauhi laranganNya, itulah cara menyelamatkan mereka dari api neraka".

Berpandukan arahan Allah s.w.t dan pesanan nabi s.a.w di atas kita dapat buat kesimpulan bahawa ibu bapa adalah orang yang pertama yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t di akhirat nanti jika anak-anak mereka menjadi rosak sewaktu di atas dunia ini. Sebagai muslim yang beriman dengan hari pembalasan kita mesti bertindak segera untuk menunaikan amanah Allah s.w.t, jika ditakdirkan anak-anak kita rosak juga selepas kita menunaikan amanah ini, kita tidak akan disoal lagi kerana kita sudah menunaikan amanah, tapi insyaallah anak-anak yang mendapat cukup pendidikan lebih-lebih lagi pendidikan agama yang kukuh akan terhindar dari masalah-masalah sosial yang ada pada hari ini.

Sebaliknya jika ibu bapa tidak bertindak segera untuk menunaikan amanah Allah s.w.t dalam pendidikan anak-anak mereka, sudah pasti anak-anak ini akan berhadapan dengan gerhana aqidah dan akhlak yang tidak akan berkesudahan.

Firman Allah s.w.t : al-Furqaan :74
"dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa".

Ya Allah ! Ya Tuhan Kami !
Berikan kepada kami kekuatan untuk menunaikan amanahMu.
Kurniakan kepada kami isteri-isteri yang solehah
Kurniakan kepada kami suami-suami yang soleh
Kurniakan kepada kami anak-anak yang soleh dan solehah

Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

0 comments:

Post a Comment