Sarawak sudah menerima Islam sejak awal abad ke15 lagi, iaitu pada zaman Kesultanan Brunei yang memerintah hampir keseluruhan bahagian Barat dan Utara Borneo.Walaupun sudah beratus tahun Islam telah bertapak di sini tetapi institusi pendidikan tradisional seperti sekolah pondok seperti yang ada di Semenanjung dan pasentren di Indonesia, tidak tumbuh seperti yang sepatutnya.
Kemungkinan pengaruh Rajah Putih Brooke yang memerintah Sarawak dari 1842 sehinga 1946, adalah terlalu kuat sehingga evolusi pendidikan Islam terbantut. Sebaliknya Sekolah Missionary pula tumbuh macam cendawan di serata Sarawak.
Hasil program pendidikan dan kebajikan yang berterusan oleh pihak gereja, agama Kristian menjadi satu agama besar di bumi Sarawak. Dari zaman Brooke lagi, mubaligh2 Kristian tidak putus-putus berkampung di kawasan pendalaman. Orang-orang Pribumi Sarawak diuliti dengan program welfare gereja dan anak-anak mereka diajar tentang agama Kristian di sekolah2 missionary. Sidang Injil Borneo (SIB) yang lahir dari mazhab Avenglical bergiat cergas di kalangan kaun-kaum Orang Ulu (Kelabit, Kenyah, Kayan, Punan, Penan dll). Bermula dengan hanya 3, 4 orang pada tahun 70an, kini hampir semua Orang Ulu adalah Kristian.
Pada masayang sama agama Islam hanya tertumpu di kalangan masyarakat Melayu. Mungkin asakan dari pengembangan Kristian di sekeliling, Islam jadi terhadang di kawasan majoriti Melayu dan sebahagian masyarakat Melanau sahaja. Sistem pendidikan Islam tradisional hanya berkisar pada pembelajaran membaca al Quran sahaja. Sistem Pondok tidak wujud di Sarawak. Olehitu tidak ada ulama besar lahir di sini. Tidak seperti di semenanjung, kita ada Tok Kenali, Tuan Tulis, Al Fatani dll. Begitu juga di Pulau Jawa, Indonesia telah lahir ulamak Wali Songo.
Samada perwujudan sistem pendidikan Islam disekat atau memang tidak ada individu yang sanggup menubuhkannya, tidaklah diketahui. Penyelikan yang rinci perlu dilakukan untuk menyiasat kenapa sistem pondok atau pasentran tidak tumbuh di Sarawak.
Pemahaman mengenai Islam penduduk setempat yang mempunyai sekolah pondok biasanya lebih tinggi berbanding dari tempat-tempat yang tiada sekolah pondok. Sebagai contoh, kita lihat di Champa (komboja/Laos/Vietnam), masyarakat Islam di sana terpelihara budaya Islamnya walau dihimpit oleh ideologi komunis dan Budha/Hindu, kerana di sana, sistem pondoknya subur.
Mungkin sebab yang lain adalah para Pemimpin Islam yang tidak bersungguh untuk menyebarkan syiar Islam. Jabatan Agama Islam misalnya terlalu lesu sehingga banyak kebajikan Islam terabai. Orang politik Melayu/Islam lebih gemar mengumpul harta dari mengumpul saudara (baru) Islam. Entah apa yang merasuk, mereka hanya sibuk dengan projek balak dan menjarah kantung negeri.
Walaubagaimanapun satu ketika dulu, ada usaha untuk membina madrasah tahfiz di Kuching di bawah kelolaan orang politik tetapi usaha itu tidak berapa menjadi kerana ia menjadi medan percaturan politik daripada mendaulatkan sistem pendidikan Islam. Akhirnya madrasah entah ke mana, program tahfiz entah ke mana.
Walaupun begitu kesedaran bahawa asakan dari program kristianisasi yang mengancam kesinambungan Islam di Sarawak tetap ada. Bermula dari kesedaran ini, tidak berapa lama dahulu, sekumpulan professional muda muslim di Bintulu bertekad untuk mendirikan sebuah "Sekolah Pondok Moden" di Bintulu bagi melahirankan ulama yang dapat membela Islam.
Maka pada tahun 2004 telah ditubuhkan sebuah Jawatankuasa untuk memikir, merencana dan membuahkan satu institusi tempatan yang akan melahirkan ulama yang hafaz al Quran serta berilmu modeni. Hasil titik peluh dan pengorbanan para pelopor Islam tempatan, maka akhirnya pada 10 Januari 2009 Institut Tahfiz Bintulu (ITB) berjaya dibuka dengan pengambilan 12 orang pelajar pertama. Di samping program sepenuh masa yang dilalui oleh 12 pelajar tersebut, ITB juga membuka kursus hafiz tidak sepenuh masa bagi mereka yang berminat.
Program Tahfiz (sepenuh masa) adalah selama 3 tahun, yang akan menjana lahirnya para hufaz dari institusi tempatan. Selepas 3 tahun para pelajar ini akan mula belajar kilmu-ilmu Islami dan juga ilmu-ilmu akademik yang lain termasuk pembelajaran komputer. Mereka akan disediakan untuk mengambil pepriksaan SPM pada tahun ke-5. Di akhir program ITB itu nanti akan lahirlah para ulama Islam yang bukan sahaja hafaz al Quran bahkan mempunyai kemahiran ilmu-ilmu dunia juga.
Marlah kita sama-sama doakan agar ITB akan berjaya dan cemerlang dalam mengeluarkan para ulama yang lahir dari bumi Sarawak, yang akan melebarkan hidayah Allah ke seluruh pelusuk bumi Kenyalang. Amin.
Jika ada sebarang pertanyaan sila hubungi Tn Hj Yaacop melalui: mdyacop@gmail.com
sumber
http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=1674&mode=thread&order=0&thold=0
Komen saya
Sesungguhnya bumi Sarawak adalah bumi dakwah. Bumi yang sangat mengharapkan dakwah dari para daie khususnya ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah dari semenanjung Malaysia.Penguasaan ilmu Fardu Ain, asas membaca al-Quran, ilmu Aqidah, Feqh dan sebagainya masih di peringkat yang tidak membanggakan. Komen saya ini bukan untuk merendahkan penduduk Sarawak khususnya di bandar Kuching bandar tempatku menyuburkan benih-benih islam, tapi sebagai satu motivasi kepada para Daie ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang berkelana di bumi Sarawak samaada di Kuching, Samarahan, Serian, Sarikei, Bintulu, Miri atau Limbang untuk bergerak menyampaikan dakwah islam di bumi Sarawak ini.
Jumlah ustaz uztazah di bumi Sarawak ini mencecah ribuan orang, tapi persoalannya adakah para Daie ini datang ke Sarawak untuk menyuburkan dakwah atau bagaimana?atau sekadar datang kerana terpaksa datang dan menunggu peluang untuk kembali semula ke semenanjung. Tidak seperti suatu ketika dulu, di mana para Daie datang ke Sarawak bukan sekadar menjadi ustaz ustazah di sekolah-sekolah bahkan mereka menjadi imam surau dan masjid, menjadi pakar rujuk persoalan agama sekadar ilmu yang ada, menjadi tenaga pengajar di surau dan masjid, mengajar al-Quran dan sebagainya, oleh itu banyak perubahan kefahaman islam dapat disalurkan kepada warga muslim Sarawak.
Bukan semua ustaz ustazah yang tidur, ramai dalam kalangan mereka yang telah berdakwah dan sedang berdakwah untuk menyuburkan islam di Sarawak, tahniah kepada mereka dengan komitmen yang telah diberikan. Kepada ustaz-ustazah yang belum menunaikan kewajipan berdakwah ini marilah sama-sama kita menyumpang sedikit ilmu atau kemahiran yang kita ada untuk sama-sama menunaikan kewajiban berdakwah.Perlu diingat bahawa berdakwah bukan di sekolah sahaja, ia juga perlu dilakukan di luar sekolah. Di sekolah kita mengajar anak-anak didik kita dalam masa yang sama bapa-bapa dan ibu-ibu didik juga jangan dilupakan.
Masih banyak lagi surau dan masjid yang memerlukan bimbingan dari para ustaz ustazah yang belum terisi dengan program ilmiah, ayuh penuhkan permintaan, tunaikan amanah dan tanggungjawab kepada masysrakat dan kepada Allah s.w.t. Saya memberi keutamaan kepada surau dan masjid terlebih dahulu selain sekolah, bukan bererti dakwah hanya tertumpu di situ, dakwah boleh berlaku dalam bentuk-bentuk yang lain termasuklah dakwah bil lisan, dakwah bil kitab dan dan bil hal. Apabila surau dan masjid sudah terisi barulah kita boleh bercakap tentang dakwah dalam bentuk yang lain. Yang menjadi masalah sekarang surau dan masjid belum penuh terisi, samaada kuliah maghrib, subuh dan ceramah umum, kalau nak dibandingkan jumlah surau dan masjid yang ada di Kuching ini,terlalu sedikit daripada jumlah para Daie yang ada, tapi bila tenaga Daie diperlukan ia tidak mencukupi.
Kepada ustaz ustazah yang tidak mampu untuk mengajar ilmu atau berceramah, sebab mungkin tidak ada kemahiran untuk berbuat demikian, mereka juga perlu menyumbang kepada dakwah islam dengan komitmen mereka, mereka boleh menjadi orang tengah kepada masyarakat setempat untuk mengadakan majlis ilmu dengan menjemput kawan-kawan para Daie yang mampu untuk memberi kuliah dan ceramah di tempat mereka. Tapi bagi saya, di sinilah tempatnya, di bumi Sarawak inilah tempat kita belajar membina kemahiran berdakwah, sebab tidak ada orang lain lagi selain kita, kata orang tidak ada rotan, akar pun jadilah, insyaallah mudah-mudahan akar akan menjadi rotan suatu hari nanti.
Antara kesilapan yang sering berlaku dalam konteks dakwah adalah menanti kesempurnaan diri sebelum melaksanakan dakwah, ramai yang berkata; ilmu saya masih sedikit, masih belum sempurna, baru nak start, saya tak layak, saya pun tak buat lagi macamana nak ajak orang lain buat dan macam-macam alasan lain lagi. Dengan kefahaman ini, orang yang mampu melaksanakan dakwah tidak berdakwah kerana merasakan ilmunya belum cukup mantap dan masih banyak kelemahan.
Berkaitan dengan isu ini, Imam Said Bin Jubair berkata; "Jika seseorang itu tidak mahu mengajak kepada maaruf dan mencegah mungkar sehingga keadaannya menjadi sempurna maka tidak ada sesiapapun yang akan mengajak kepada maaruf dan mencegah mungkar". Pendapat ini disokong oleh Imam Malik dan menambah; "Siapakah di antara kita yang lengkap dan sempurna?".Imam al-Hassan pula menambah; "Siapakah di antara kita yang telah melaksanakan kesemua perkara yang diserunya?Syaitan amat suka jika manusia diperdayakan dengan sikap ini sehingga akhirnya tidak ada sesiapapun yang mangajak kepada maaruf dan mencegah mungkar".
Para Daie yang dihormati sekelian ! jika kita merasa kita tidak sempurna dan belum cukup ilmu, maka jawapannya bukan duduk berpeluk tubuh menunggu kita menjadi sempurna bahkan apa yang perlu dibuat ialah mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran. Dakwah ialah medan jihad dan ijtihad yang tidak boleh dilakukan dengan senang dan mudah, perancangan serta persiapan perlu dilakukan dari masa ke semasa bagi menjamin kejayaan dakwah, sabda nabi s.a.w; " sesiapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah dialah yang berjuang pada jalan Allah". (riwayat Bukhari dan Muslim)
Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin menjelaskan berdakwah memerlukan persiapan dan adab ia terbahagi kepada tiga;
1) Ilmu
2) Warak
3) Akhlak yang baik
Imam Abu Laith as-Samarqandi menyebut dalam kitab Tanbihul Ghafilin bahawa persiapan umum dakwah ada lima
1) Ilmu
2) Keikhlasan
3) Kasih sayang dan kelembutan
4) Kesabaran
5) Mengamalkan apa yang disampaikan
Bagi mencapai matlamat ini para pendakwah perlu mempersiapkan diri melalui manhaj tarbiah yang kemas dan teratur untuk mencapai matlamat menjadi pendakwah yang sesuai dengan zamannya. imam al-Ghazali ada menyebut; "Wasilah atau pendekatan umum dakwah tidak berubah dan ia terbahagi kepada tiga;
1) Iman yang mendalam
2) Pembentukan yang rapi dan kemas
3) Usaha dan amal yang berterusan
Firman Allah s.w.t : an-Nahl :125
"serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk".
Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lali
0 comments:
Post a Comment