Sesungguhnya hati yang takut kepada Allah adalah hati yang khusyuk dalam beribadah, lembut ketika melakukan ketaatan, menangis ketika bermunajat, pilu ketika merendah diri kepada Allah, itulah hati yang hidup dalam setiap ibadah. Khusyuk ialah ketetapan hati ketika beribadah kepada Allah dan merendah diri serta rasa hina di depan Allah dan tenang segala anggota badan.
Khusyuk adalah roh kepada solat dan cahayanya, dengan khusyuk, solat akan sampai ke langit, hati yang khusyuk diikuti dengan fikiran yang sentiasa sedar dan diikuti dengan anggota yang tenang. Saad Bin Muaz Pernah berkata; “Aku tak pernah menyibukkan diri dengan perkara lain dalam solat”.
Allah memuji orang yang solat dalam keadaan khusyuk,
Firman Allah s.w.t :al-Mukminuun :1-2
“1. Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman,
2. Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya;
Khusyuk dalam solat ialah menghadirkan hati di hadapan Allah kerana mendekatkan diri kepadanya, dengan itu hati menjadi tenang, jiwa menjadi tenang, anggota menjadi tenang, tidak banyak menoleh ke kiri dan ke kanan kerana beradab dengan Allah, sentiasa sedar dengan apa yang dibaca dan segala pergerakan dari awal hingga akhir, tidak ada was-was dan fikiran yang buruk di dalamnya. Inilah roh solat yang yang perlu ada pada seorang mukmin.
solat yang tidak khusyuk anggota tubuh dan hati, walaupun sah dan diberi pahala, tapi pahala terebut berpandukan setakat mana hadirnya hati ketika solat terebut. Oleh itu tingkatkan khusyuk ketika solat setakat mana yang kita mampu ,hilangkan lintasan hati yang mengganggu, dengarlah apa yang dibaca, berfikirlah apa yang sedang kita sedang lakukan, kerana tidak ada solat kecuali apa yang kita fikirkan dan tidak ditulis kecuali apa yang dihadirkan oleh hati. Dimana hati kita ketika solat? sedang berenang dalam lautan dunia atau sedang tenggelam dalam angan-angan dunia sehingga tidak terfikir langsung yang kita sedang solat.
Ulama-ulama salaf ada membuat perbandingan solat dengan seorang hamba perempuan yang dihadiahkan kepada seorang raja. Bagaimana boleh kita menghadiahkan kepada seorang raja seorang hamba perempuan yang cacat, buta, bisu, pekak dan kudung tangan atau kaki, atau mati tanpa roh. Begitu juga solat yang nak dipersembahkan kepada Allah mestilah yang terbaik. Allah itu baik, dia tidak akan menerima kecuali yang baik, bukanlah satu amalan yang baik, jika solat tanpa roh.
Apabila kita hendak menunaikan solat maka ingatlah kepada siapa dan di hadapan siapa, kita sedang berdiri, waktu sedang solat hilangkan segala lintasan hati yang tidak baik, apabila selesai solat mintalah ampun kepada Allah kerana Allah menerima yang awal dan akhir dan mengampunkan kesalahan antara keduanya dengan rahmatNya,jangan berpaling dari qiblat dan jangan meninggalkan ingatan kepada Allah. Bayangkan keagungan Allah, sentiasa tadabbur ketika solat pada bacaannya,pergerakannya dari awal hingga akhir. wajib bagi seorang muslim, apabila dia takbiratul ihram-(Allahu akbar-Allah maha besar),menjadikan ingatan kepada Allah adalah lebih besar dan lebih agung daripada selainnNya atau melupakan yang selain Allah sebagai satu penghormatan kepadaNya.
Kerana maksud takbiratul ihram ialah mengharamkan ke atas diri melakukan perkara yang harus sebelum solat dari segala kesibukan dunia dan isinya. Maka sesiapa yang menyibukkan diri dengan urusan dunia ketika solat, sebenarnya dia tidak bertakbiratul ihram kerana masih lagi mengingati dunia.
Abdullah Bin Zubair apabila solat, keadannya seperti sebatang kayu kerana khuyuk.
Mansor Bin Mu’tamar apabila solat seolah-olah terhentinya masa.
Habib Bin Abi Thabit apabila solat seolah-olah seperti mayat.
Jundub Bin Abdullah berpesan; “apabila kamu solat jadikan syurga dan neraka berada di hadapan kamu dan titian sirat berada di sekitar kamu seolah-olah kamu berkata seperti firman Allah:as-sajdah :12 "Wahai Tuhan kami, Kami telah melihat dan mendengar Dengan sejelas-jelasnya (akan Segala Yang Kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah Kami ke dunia supaya Kami mengerjakan amal-amal Yang baik; Sesungguhnya Kami sekarang telah yakin". Umar al-Khattab apabila solat, beliau menangis sehingga boleh didengar oleh tiga sof di belakangnya.
Di antara cara untuk mencapai khusyuk dalam solat ialah;
1) Membuat persediaan untuk solat seperti mengetahui masuk waktu solat, azan dan iqamah dan wudu’ yang sempurna.
2) Menjauhkan segala maksiat, kerana maksiat merosakkan hati dan menghilangkan toma’ninah.
3) Menjauhkan diri dari apa yang boleh mengganggu ketika solat, jangan solat ketika sangat lapar, ketika ingin qada’ hajat, ketika meninggalkan masakan yang sedang dimasak di dapur atau anak kecil diletakkan di tempat yang tidak selamat.
4) Solat jamaah boleh membantu untuk khusyuk
5) Mengetahui hukum hakam solat, fardunya, sunatnya, makruhnya dan adab-adabnya.
6) Jika solat di rumah pastikan tempat solat jauh dari segala gangguan, suara manusia, radio dan TV.
7) Memandang ke tempat sujud tanpa menoleh ke kanan dan ke kiri.
8) Sentiasa memerhati makna ayat-ayat yang dibaca, begitu juga zikir, tasbih dan takbir.
9) Membayangkan Allah sedang melihat sewaktu sedang solat.
10) Menghayati setiap pergerakan solat, berdiri, ruku’ dan sujud serta membayangkan keagungan Allah s.w.t.
11) Merasakan solat yang sedang ditunaikan adalah yang terakhir dan mungkin akan mati selepas solat.
12) Memberi perhatian serius kepada doa iftitah dan taawwuz.
Mudah-mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai
Jan 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment