SELAMAT DATANG KE BLOG USTAZ HASSAN BASRI

PERINGATAN BAGI YANG LALAI


فذكر إنما أنت مذكر

فذكر  إنما  أنت  مذكر

Aug 30, 2009

10 cara raih keuntungan Ramadhan


Kepada perindu syurga yang dipenuhi nikmat yang kekal abadi, seharusnya ada penyesalan jika terlepas peluang untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan di bulan yang penuh dengan keberkatan dan hari-hari yang penuh kerahmatan ini, Ramadhan adalah bulan terbaik,hari terbaik,jam terbaik,minit dan saat terbaik yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w. setiap detik di bulan Ramadhan menanti hati orang beriman untuk menghirup titisan-titisan kebaikan dan mengumpul pahala sebanyak mungkin sebagai bekal di akhirat nanti. Jangan biarkan ia berlalu, jangan biarkan Ramadhan meninggalkanmu begitu sahaja,adakah mungkin Ramadhan akan hadir lagi dalam hidup kita?

Di sini diperturunkan 10 cara yang terbaik untuk kita mengaut sebanyak mungkin keuntungan yang tidak mungkin dapat diperolehi di bulan selain Ramadhan.

1- Solat

Solat di bulan Ramadhan mempunyai nilai dan pahala yang berbeza, solat sunat diberi pahala Fardu dan solat fardu diberi pahala 70 kali ganda.

Solat sunat

Sabda nabi s.a.w;
"من صابر على اثنتي عشرة ركعة في اليوم والليلة دخل الجنة".

Maksudnya;
“sesiapa yang sanggup mendirikan 12 rakaat sunat sehari semalam pasti masuk syurga”.

Sabda nabi s.a.w;
: "من صلى لله في اليوم والليلة اثنتي عشرة ركعة من غير الفريضة بني له بيت في الجنة".

Maksudnya;
“sesiapa yang solat sehari semalam 12 rakaat yang bukan fardu, dibina baginya satu rumah dalam syurga”.

Solat sunat 12 rakaat ialah 2 rakaat sebelum subuh, 4 rakaat sebelum zohor, 2 rakaat selepas zohor, 2 rakaat selepas maghrib dan 2 rakaat selepas isya’.

Solat tarawih termasuk dalam solat sunat yang perlu diberi perhatian untuk meraih ganjaran terbaik di bulan Ramadhan.

Solat fardu

Solat berjamaah di masjid diganda 27 kali ganda pahala, bayangkan kalau anda solat berjamaah di masjid pada bulan Ramadhan, berapa banyak pahala yang kita dapat..

5 waktu solat tambah 70 pahala Ramadhan tambah 27 pahala solat jamaah tambah 30 hari Ramadhan.

5 x 70 x 27 x 30 = 283,500 hampir suku juta pahala solat fardu berjamaah di masjid di bulan Ramadhan.

2- Puasa

Puasa terbahagi kepada 3 bahagian

i) Puasa orang awam
Iaitu menahan diri daripada makan,minum dan seksual sahaja.

ii) Puasa orang khusus
Bukan sekadar berpuasa orang awam bahkan berpuasa segala anggota,mata,telinga,lidah,tangan,kaki dan hati daripada melakukan maksiat.

iii) Puasa orang khusus khusus
Ditambah rasa cinta kepada Allah s.w.t, tidak meminta kecuali Allah,benci kepada maksiat dan tidak terfikir ingin melakukannya dan hati tidak sibuk dengan perkara sia-sia kecuali zikir dan ketaatan.

Jenis puasa manakah yang kita lakukan sekarang?

Puasa sebenar

Berpuasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum sahaja, tetapi mengambil pengajaran daripada roh puasa iaitu sesiapa yang boleh menahan diri daripada melakukan perkara halal dalam bulan Ramadhan maka wajib baginya menahan diri daripada melakukan perkara haram samaada dalam bulan Ramadhan atau di luar Ramadhan. Puasa sebenar ialah kita dapat melatih diri dan akhlak menjadi yang terbaik dan diteruskan selepas Ramadhan, bukan menjadi baik dalam bulan Ramadhan sahaja.

Keuntungan berpuasa

-Sehari berpuasa menjauhkan kita dari api neraka selama 70 tahun dan Allah boleh menambah kepada sesiapa yang dikehendakinya.

-Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah s.w.t

-Orang berpuasa akan masuk syurga melalui pintu khas yang bernama Rayyan.

-al-Quran dan puasa akan memberi syafaat di hari Qiamat dan tidak akan meninggalkan seorang hamba sehingga dia masuk ke syurga.

3- Qiyamullail

Qiyamullail ialah sebaik-baik nikmat selepas nikmat Islam, ia merupakan nikmat khulwah (berseorangan) dengan Allah s.w.t, tidak ada yang lebih baik daripada meninggalkan tidur dan bermunajat dengan Allah s.w.t. Qiyamullail merupakan sekolah yang besar untuk melatih jiwa, hanya orang-orang yang ikhlas sahaja yang boleh melazimi qiyamullail, oleh itu berusahalah bersungguh-sungguh supaya kita boleh mengislahkan diri dan dapat bersama-sama menjadi orang yang melazimi qiyamulail.

Keuntungan qiyamullail

-mendapat kemuliaan
Sabda nabi s.a.w; "قيام الليل شرف المؤمن". Maksudnya; qiyamullail adalah kemuliaan bagi mukmin”.

-mendapat 5 kebaikan
i-menjadi orang soleh

ii-hampir kepada Allah s.w.t

iii-mencegah melakukan dosa

iv-menghapus dosa

v-menghilangkan penyakit dari badan

-doa yang mustajab dan diterima taubat, khususnya dilakukan 1/3 akhir malam.


4- Zikrullah

Zikirullah adalah nyawa bagi hati, kelazatan bagi roh dan kenikmatan bagi jiwa.

Kata ulama; sesungguhnya di dunia ada syurga, sesiapa yang tidak memasukinya maka tidak akan masuk syurga di akhirat, syurga dunia ialah zikrullah.

Zikrullah pada setiap tempat dan masa.

Firman Allah ns.w.t : ali-Imran :191
"الذين يذكرون الله قيامًا وقعودًا وعلى جنوبهم"

Maksudnya;
“(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring”.

Peliharalah zikir anda pada 3 keadaan

i- zikir pagi dan petang- sekurang-kurangnya ma’thurat hanya lebih kurang 10 minit.

ii- Zikir dalam keadaan tertentu – bangun tidur, masuk tandas,keluar rumah,masuk rumah dan lain-lain.

iii- Zikir hati – atau yang disebut sebagi tafakkur – berfikir melihat kebesaran kejadian makhluk Allah s.w.t.


Kata Imam an-Nawawi; Tidak akan menjaga zikir pagi dan petang, kecuali orang yang bertaqwa.

Kata ulama; zikir bagi orang mukmin seperti air bagi ikan.


Keuntungan zikrullah

-menghapuskan dosa dan memberatkan timbangan amal

- sebagai benteng diri anugerah Allah s.w.t

-ketenangan hati dan jiwa "أَلا بِذِكْرِ اللهِ تَطْمَئِنُّ الْقَلُوب". Maksudnya; ingatlah dengan zikrullah dapat menenangkan hati.

5- Sedekah

Sesiapa yang ingin hampir kepada Allah dengan ibadahnya, yang inginkan darjat yang tinggi, yang ingin duduk bersama nabi di dalam syurga, yang ingin sihat tubuh badan, yang inginkan kebaikan untuk anak isteri selepas kematiannya, maka bersedekahlah, jangan sekali-kali merasakan sedekah anda akan mengurangkan harta anda.

Firman Allah s.w.t : al-Baqarah ;245
- "مَن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً وَاللهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ".

Maksudnya;
“siapakah orangnya Yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman Yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya Dengan berganda-ganda banyaknya? dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Sabda nabi s.a.w;
- "داووا مرضاكم بالصدقة"

Maksudnya; Ubatlah orang sakit di kalangan kamu dengan bersedekah.

Sabda nabi s.a.w;
- "أنا وكافل اليتيم في الجنة هكذا"، وأشار بالسبابة والوسطى وفرق بينهما.

Maksudnya; Aku dan penjamin anak yatim seperti ini, sambil nabi menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya(menunjukkan hampirnya orang yang bersedekah membantu anak yatim dengan nabi s.a.w di dalam syurga)

Doa Malaikat; اللهم أعطِ منفقًا خلفًا.. اللهم أعطِ ممسكًا تلفًا.

Maksudnya; Ya Allah ! berikan kepada orang yang bersedekah gantian hartanya,
Ya Allah ! berikan kepada orang bakhil kerosakan hartanya.

Keuntungan sedekah

-khazanah kebajikan yang banyak di sisi Allah s.w.t

-duduk hampir dengan nabi di dalam syurga

-rezeki bertambah di dunia

-segala hajat terlaksana


6- Tilawah al-Quran

Merupakan ibadah terbaik dalam bulan Ramadhan, berusahalah untuk khatam al-Quran lebih dari sekali.

Cara mudah khatam al-Quran

-membaca dua helaian al-Quran bersamaan empat muka surat pada setiap kali solat fardu, sehari semalam anda akan dapat habiskan satu juzuk, sebulan Ramadhan anda akan dapat sekali khatam al-Quran, untuk dua kali khatam gandakan sahaja kepada empat helaian al-Quran, begitulah seterusnya.

Untuk menjadi yang terbaik, maka bukan sahaja kita mengkhatamkan al-Quran sekali atau dua kali tetapi menghayati tafsirnya dan beramal dengan hukum hakam al-quran.Tidak bermakna jika kita boleh khatam 10 kali pun dalam bulan Ramadhan tetapi tidak beramal dengannya.

Keuntungan tilawah al-Quran

-setiap huruf yang dibaca diberi ganjaran 10 pahala dan Allah akan menambahkan lagi bagi sesiapa yang dikehendaki.(huruf dalam al-Quran hampir 300 ribu x 10 = 3 juta pahala sekali khatam)

-darjat kedudukan dalam syurga berdasarkan berapa banyak tilawah di dunia.

-doa yang makbul sewaktu khatam al-Quran.


7- Taubat

Merupakan penyesalan atas maksiat yang telah dilakukan, menjauhkan diri dari mengulanginya dan berazam tidak akan kembali melakukannya.

Setiap muslim perlu bertaubat setiap hari dari dosa yang dilakukan, kerana sebaik-baik manusia iaitu nabi s.a.w beristihgfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t lebih 70 kali sehari. Adakah kita lebih baik daripada nabi s.a.w, maka kita tidak perlu beristighfar lebih banyak daripadanya.

Firman Allah s.w.t :at-Tahrim :8
"Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

Keadaan orang yang bertaubat

Hancur luluh hatinya mengenangkan dosa yang dilakukan, bercucuran air matanya, hidup jiwanya, bimbang dosa tak diampun, merasa manis dengan melakukan ketaatan dan keimanan.

Keuntungan Taubat

-murah rezeki

-taubat faktor mandapat zuriat


8- Iktikaf

Iktikaf sunnah yang dilazimi oleh nabi s.a.w pada 10 akhir Ramadhan, pada tahun terakhir kehidupan nabi , beliau beriktikaf 20 hari.

Apa itu iktikaf?

Iaitu tinggal diam dalam masjid untuk beribadah dan meninggalkan kesibukan dunia, tidak keluar dari masjid kecuali darurat.

Tujuan Iktikaf

-mengfokuskan ibadah dan meninggalkan kesibukan dunia sambil bermunajat kepada Allah s.w.t.

-mencari Lailatul qadar dan menghidupkan malamnya untuk mendapatkan kelebihannya.

-mengurangkan percakapan dengan memelihara lidah sambil menyibukkan diri dengan zikrullah.

-bermunajat dengan Allah s.w.t dan bermanja dengannya serta bertadarus al-Quran.

Pelik

Kata imam az-Zuhri;
“Pelik bagi orang islam, mereka meninggalkan Iktikaf sedangkan nabi tidak pernah meninggalkannya sejak berhijrah ke madinah sehinggalah beliau wafat”.

Keuntungan Iktikaf

-timbunan pahala sejak masuk ke masjid hinggalah keluar daripanya.

-mengetahui bagaimana cara berhubung dengan Allah s.w.t dan bermanja dengannya.


9- Lailatul Qadar

Malam terbaik dalam setahun, malam yang dinanti oleh orang yang beriman setiap tahun untuk maraih keuntungan besar padanya.

Kelebihannya

Tidak ada kelebihan sepertinya, beribadah padanya mendapat pahala seribu bulan atau 83 tahun beribadah.

Bila waktunya?

Carilah ia di sepuluh terakhir Ramadhan, lebih lebih lagi pada malam-malam yang ganjil.

Cara mendapatkannya

Tidur secukupnya sebelum berbuka, berbuka dengan makanan yang sedikit sahaja, kemas kini jadual supaya dapat berqiyamullail, penuhkan separuh akhir malam dengan zikrullah, istighfar dan Tilawah al-quran.

Peringatan

Awasi tidur anda supaya tidak terlepas beribadah, jauhi percakapan dan perbuatan yang tidak berfaedah.

Doa yang diajar oleh nabi untuk dibaca pada malam lailatul Qadar
"اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني"

Maksudnya;
Ya Allah! Sesungguhnya engkau maha pengampun, suka kepada keampunan maka ampunkan dosaku Ya Allah!.

Kelebihan agung

Sabda nabi s.a.w

قال صلى الله عليه وسلم: "من قام ليلة القدر إيمانًا واحتسابًا غفر له ما تقدم من ذنبه"

Maksudnya;
“sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan perkiraan dosa dan pahala, diampun dosanya yang telah lalu”.

Keuntungan dapat Lailatul Qadar


-diampun segala dosa yang lalu

-boleh mendapatkan apa yang dihajati seperti rezeki dan isteri yang solehah.

10- Buat baik kepada dua ibubapa

Semua manusia dan muslim perlu mengetahui bagaimana cara melakukan kebaikan kepada kedua ibubapa, bagaimana cara mencium tangan mereka, bagaimana cara berkhidmat kepada mereka, sesungguhnya ramai dari kalangan kita telah mengabaikan hak-hak kedua ibubapa.

Peringatan

Rugi dan rugi dan rugi dan rugi, orang yang mempunyai dua ibubapa tetapi oleh kerana tidak menjaga hak kedua ibubapanya maka dia tak dapat masuk syurga.

Jauhi dari mengeluarkan kata-kata yang menyakiti mereka, kerana Allah s.w.t telah menegahnya di dalam al-quran.

Firman Allah s.w.t :al-Isra’ :23
“dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun)”.

Keuntungan berbuat baik kepada ibubapa

-syurga di bawah telapak kaki ibu

-mendapat reda allah s.w.t, kerana reda Allah terletak pada reda kedua ibubapa.

Inilah sepuluh amalan terbaik yang perlu diberi perhatian oleh orang yang beriman, supaya Ramadhan pada tahun ini dapat menambahkan bonus pahala kita sebelum kita bertemu dengan Allah s.w.t, ingat apabila kita bertemu dengan Allah s.w.t, kita tidak membawa bersama kita wang dan harta, kalau dibawa pun tidak boleh membantu apa-apa, Cuma yang dapat membantu kita ialah amalan-amalan kebajikan yang dilakukan di dunia. Sama-sama kita memperbanyakkan harta akhirat.

Mudah mudahan dapat manfaat
Hassan Basri Hj Abdullah
Peringatan bagi yang lalai

3 comments:

Rosma Majidee said...

Alhamdulillah. Terima kasih Ustaz. Semoga Allah memberikan ganjaran syurga firdaus atas usaha murni Ustaz. tolong doakan saya supaya diberikan ketenangan hati ya Ustaz.

Setetes Embun Pagi said...

Semoga Allah memberikan petunjuk - NYA kepada kita semua .

Unknown said...

semoga ALLAH selalu mepetunjuk memberikan petunjuk untuk kita semua amin

Post a Comment